Tuesday, August 31, 2010

Merdeka Ruh, Merdeka Jiwa


31 Ogos 1957- Hari yang bermakna ini akan sentiasa diingati oleh seluruh rakyat Malaysia. Ketika Bapa Kemerdekaan Malaysia kita melaungkan perkataan keramat, Merdeka! Merdeka! Merdeka! dan disambut oleh seluruh rakyat Tanah Melayu ketika itu, peristiwa bersejarah tersebut terus diingati dan sehingga diabadikan di dalam filem mahupun drama di negara kita.

Alhamdulillah, inilah ucapan keramat yang tidak bisa dilawan oleh mana-mana ucapan lain atau dalam erti kata lain-ucapan manusia. Kemerdekaan ini adalah daripada Allah jua. Tidak salah untuk menyambut dan mengingati Hari Kemerdekaan Negara kerana ianya adalah salah satu bentuk atau tanda kesyukuran kita atas nikmat kemerdekaan negara kita daripada cengkaman penjajah. Syukur kepada Allah kerana kita masih boleh mendiami negara yang aman, tiada ghazwah secara zahiriah dan masih boleh bekerja dengan baik.

Bertambah lagi kesyukuran kita kerana pada tahun ini, 31 Ogos 2010 jatuh di dalam bulan Ramadhan, bulan rahmat dan bulan keberkatan. Tiada percikan bunga api mahu pun acara sambutan kemerdekaan besar-besaran yang boleh melalaikan rakyat Malaysia diadakan pada tahun ini (baca: dalam pengetahuan saya). Jika ada sekali pun, saya kira ianya tidaklah semeriah seperti yang pernah dilakukan pada tahun-tahun sebelum ini, insya-Allah.

Erti kemerdekaan bukanlah semata-mata bermaksud sesebuah negara itu bebas daripada cengkaman penjajah, tetapi maksud keMERDEKAan secara batiniyyah itu yang perlu dihayati oleh kita semua. Merdekakan ruh, merdekakan jiwa daripada cengkaman HAWA NAFSU. Betapa beruntungnya kita kerana erti kemerdekaan sebenar dapat kita hayati di dalam bulan suci ini. Ya, Madrasah Ramadhan ini sebenarnya mengajar kita untuk mendidik ruh, jiwa dan diri kita untuk mengawal hawa nafsu yang sering hendakkan perkara yang tidak baik.

Maka akan bertemulah kita dengan topik-topik di dalam Madrasah Ramadhan; subjek SABAR, TAQWA, MUJAHADAH, QANA’AH, SYUKUR dan TAQARRUB dipelajari oleh kita setiap hari. Kita memahami substances di dalam subjek-subjek ini dan kita cuba untuk mempraktikkannya. Betapa kita juga tahu bahawa kita kini sedang berada dalam fatrah 10 hari terakhir Madrasah Ramadhan. Oh, betapa Madrasah Ramadhan semakin hampir meninggalkan kita!

Merdeka ruh, merdeka jiwa bukan sahaja bebas daripada jajahan hawa nafsu tetapi juga bebas daripada pergantungan sesama makhluk. “Hidup ini usah bergantung sesama makhluk!” {Aneessa, PBS} Apa definisi pergantungan kepada makhluk? Mungkin contoh mudahnya adalah seperti menganggap rezeki yang diperoleh adalah daripada mana-mana pihak, contohnya menganggap syarikat ini yang memberi kita makan (baca: rezeki). Walhal, rezeki itu datang daripada Allah Ta’ala, Ar-Razzaq, Yang Maha Pemberi Rezeki! Mindset ini yang wajib diubah dan diperbetulkan dalam rata-rata masyarakat kita pada hari ini. Inilah erti kemerdekaan sebenar kerana hakikatnya tiada pergantungan yang lebih utama melainkan pergantungan total kita adalah kepada Allah Rabbul Jalil!

“Katakan sesungguhnya sembahyangku, ibadahku, hidupku dan matiku kerana Allah, Tuhan (Rabb) sekalian alam.” [Al-An’am: 162]

Sunday, August 29, 2010

Sesuci Kasih Ibu, Setulus Kasih Ayah


Mak,
Tidak bosan menguruskan makan-pakai anak-anaknya yang 9 orang ini..
Tidak penat memasak, mengemas rumah dan melakukan segala kerja rumah yang banyak ini..
Tidak pernah merungut keletihan..
Tidak pernah mempamerkan raut wajah yang sedih, letih mahu pun jemu..

Abah,
Sentiasa mahukan anak-anaknya yang 9 orang ini berjaya dalam pelajaran dan kehidupan kami..
Sentiasa mahukan anak-anaknya otimis dan maju ke hadapan..
Sentiasa menjaga masa dan optimumkan masa yang ada..
Sentiasa memenuhi keperluan keluarga yang besar ini dengan kemampuan yang dia miliki..

Mak dan Abah,
Terima kasih yang amat atas segala-galanya..
Sungguh, sampai Hari Akhirat pun kami tidak mampu membalas segala penat-jerih kalian dalam membesarkan kami..
Kami menyerahkan kepada Allah, kerana Dia sahaja yang mampu membalas segala kebaikan kalian kepada kami..

Terima kasih Mak dan Abah =)

{sehingga umurku yang 24 ini pun masih disiapkan keperluan oleh Mak dan Abah *,^}

Saturday, August 28, 2010

Akan Ku Jumpa


Ku mengatur langkahku
Jalan tanpa bayang-bayangmu
Langit dan bumi setia menemaniku
Matahari menyinar tak pernah berpihak padaku
Ku kepanasan tanpa perlindunganmu

Hari berganti hari aku masih teguh menanti
Hadir dirimu dalam hidupku ini
Rasa kecewa ada bila kaki penat berlari
Namun yakin ku kau kan ku temui

Ku takkan pernah cuba berhenti
Langkahku mencari cinta
Yang ku tahu hanya tuk diriku
Kan ku terus cari sampai hujung dunia

Kerna ku tahu akan ku jumpa diri mu
Dan ku kan terus menempuh mimpi-mimpiku selalu

Ku lihat semua gembira
Bila mengenali erti cinta
Senyuman ku beri hanya duka
Bila ingin teman tuk berbicara

Cinta jangan sembunyi
Andai ku kabur mencari
Hadirlah dalam hidupku ini

Cinta jangan engkau pergi
Bila langkah ku cuba
Untuk mengejar dirimu

{Azfar}

* credit to Asma' (^_*)

Saturday, August 21, 2010

Tajdid Iman


“(yaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingat Allah hati menjadi tenteram.” [13:28]

Benarlah firman Allah, hanya dengan mengingati-Nya hati dan jiwa menjadi aman, tenteram dan bahagia. Segala bebanan terus lenyap, segala duka dan gundah gulana seakan hilang dan tiada terus. Subhanallah! Tabarokallah!

Dalam kesibukan seharian kita, bekerja mencari rezeki yang halal, terkadang kita lalai dari mengingati-Nya, astaghfirullah! Kita merasakan seolah-olah tugasan duniawi inilah yang maha besar dan perlu difikirkan setiap saat walhal dunia ini tiada nilaian sedikit pun di sisi Allah. Apabila acap kali dunia ini difkir-fikir dan dirisaukan, hingga ianya terbawa-bawa dalam solat kita dan inilah perkara yang sangat-sangat merugikan diri kita sendiri.

Tidak malukah kita kepada Allah? Allah memberi tanpa kita meminta. Allah tidak mengharapkan balasan atas apa yang Dia telah beri, subhanallah! Makan minum, pakaian kita semuanya diberikan oleh Allah, malahan makan minum kita lazat-lazat semuanya, pakaian pula bagus-bagus dan kadang kala berjenama.

Manusia adalah makhluk yang paling susah untuk berterima kasih! Benar bukan? Sesama manusia pun mereka susah untuk berterima kasih, kepada Allah? Fikirlah sendiri... Janganlah kita termasuk dalam golongan yang rugi, golongan yang tidak tahu bersyukur dan yang paling buruk sekali adalah golongan yang tidak mahu berfikir akan kebesaran Allah, na’uzubillah, semoga dijauhkan Allah daripada termasuk dalam golongan-golongan tersebut.

Pada hari ini, 11 Ramadhan 1431 H, marilah kita bersama-sama tajdid iman kita. Kita melakukan semua ini bukan untuk kepentingan diri sendiri, tetapi untuk kecintaan kita, Allah Rabbul Jalil. Inilah kesempatan terbaik untuk kita sementelahan kita berada di bulan yang mulia dan penuh keberkatan ini, jadi pohonlah, rayulah dan mintalah kepada-Nya dengan setulus hati kerana Allah sangat suka kepada orang yang meminta kepada-Nya dan bertambah lagi cinta Allah kepada kita yang sedang melaksanakan Rukun Islam yang ketiga ini.

Allah memberi pahala atas setiap amalan yang dilakukan dengan ikhlas dan semata-mata mengharapkan redha-Nya. Dan ketahuilah bahawa pahala orang yang berpuasa sangat istimewa kerana Allah sendiri yang akan memberikan pahala tersebut kepada orang yang berpuasa di Akhirat nanti. Allah juga menyediakan Ar-Rayyan iaitu nama pintu syurga yang khas akan dimasuki oleh orang yang berpuasa. Subhanallah! Tidak mahukah kita menerima hadiah istimewa ini?

Fastabiqul khairat! Mungkin Ramadhan tahun ini adalah Ramadhan yang terakhir untuk kita. Rebutlah peluang menjadi kecintaan-Nya agar kita tidak menjadi orang yang menyesal dan rugi di negeri abadi nanti, na’uzubillah..

Harapan Ramadhan~ menjadi hamba kecintaan Dia~



Wednesday, August 18, 2010

Menjiwai Tugas Seorang Pensyarah

"Miss, macam mana nak selesaikan soalan ni?"

"Bila Miss free ya? Saya nak jumpa Miss,"

"Miss, kita buat Test lepas Hari Raya, boleh?"

Itulah antara soalan-soalan yang aku terima daripada anak-anak didikku. Tidak ku sangka, sudah masuk minggu ke-7 aku bergelar pensyarah sambilan sepenuh masa. Masya-Allah!

Tidak dinafikan, aku mengambil masa yang agak lama untuk menjiwai tugas sebagai seorang pensyarah ini. Rupanya tanggapanku terhadap profesion seorang pensyarah selama ini adalah meleset sama sekali.

Dahulu,
"Nampak macam best je jadi lecturer ni, masa agak flexible, kan? Kerja pun tak teruk sangat."

Kini,
"Ya Allah, baru ku tahu erti tugas seorang pendidik. Bantulah hamba-Mu ini."

Seorang pensyarah, bukanlah satu tugas yang mudah seperti yang aku bayangkan sebelum ini. Masih banyak tugasan lain selain mengajar yang perlu dilaksanakan. Bagaimana seorang pensyarah mahu memastikan anak-anak didiknya memahami topik yang diajar, membantu anak-anak didiknya yang bermasalah (baca: ponteng kelas, gagal dalam ujian dsb), menyediakan soalan-soalan dan rancangan mengajar setiap hari, menyertai aktiviti-aktiviti kakitangan kampus dan banyak lagi.

Subhanallah! Masih banyak lagi perkara-perkara baru yang aku perlu pelajari dari hari ke hari. Aku masih lagi merangkak di alam kerjaya ini. Alam kerjaya yang menuntut komitmen penuh, alam kerjaya yang tidak mengenal erti belas kasihan, alam kerjaya yang mengajarku erti menjaga dan menghargai masa.

Ingin ku rakamkan jutaan terima kasih buat ayahanda PM Yaakob Abd Manaff yang banyak sekali membimbing dan menunjuk ajar sekaligus membantuku menjiwai tugas seorang pensyarah ini. Abah selalu berkata, menjadi pensyarah di UiTM ini adalah untuk membantu anak bangsa kita. Ya, umum mengetahui bahawa UiTM merupakan universiti yang mengutamakan anak-anak bumiputera di negara kita ini. Insya-Allah aku cuba melaksanakan amanahku dengan sebaiknya.

Mengambil motivasi daripada Sayyid Qutub "TARBIYAH itu adalah seni membentuk manusia."

Mencabar diri sendiri untuk mentarbiyah diri, anak-anak didik dan masyarakat dengan erti kata tarbiyah yang sebenar, insya-Allah.

Friday, August 13, 2010

Ramadhan Kareem!


Allahumma baarikli fi Ramadhan..

Ramadhan, bulan yang penuh kerahmatan ini datang lagi. Alhamdulillah, aku masih diberikan kesempatan untuk bertemu dengannya lagi. Syukran Ya Allah!

Aku mengira-ngira, hampir 10 tahun aku menyambut Ramadhan sebagai seorang pelajar, berada di bumi ilmu, jauh daripada keluarga. Dan kerinduan untuk menyambut Ramadhan di Taman Ilmu dan Budi masih tidak dapat ku singkirkan. Bersahur, iftar jama'ie, bertadarus dan bertarawikh bersama teman-teman dan adik-adik kesayangan seperjuanganku tidak mungkin aku padamkan dari kotak memori ini. Biarlah Allah sahaja yang tahu erti kerinduan ini.

Betapa pantas masa berlalu. Disebabkan itu Allah juga telah bersumpah 'Demi Masa' di dalam Ayat-ayat-Nya. Subhanallah! Ramadhan telah pun tiba dan Ramadhan tahun ini akan ku manfaatkan sebaiknya, insya-Allah. Ramadhan tahun ini juga merupakan julung-julung kali aku menyambutnya bersama usrahku yang tercinta. Entah dapat lagi atau tidak aku menyambutnya tahun hadapan bersama-sama keluargaku lagi.

Ramadhan Yang Sama, Natijah Yang Berbeza--aku mempelajarinya ketika di UIA dahulu. Kata-kata keramat ini amat bermakna sekali buatku. Ramadhan tetap akan datang. Ramadhan yang sama tetapi adakah persiapan dan sambutan kita tetap sama atau malah lebih hambar dari tahun-tahun sebelumnya?

Pesanku kepada diri yang amat lemah ini, sambutlah Ramadhan semeriah atau lebih meriah lagi daripada menyambut Syawal. Benarlah, Ramadhan ini adalah madrasah atau tamrin 30 hari sebagai bekalan buat kita untuk melalui 11 bulan selepas Ramadhan. Syukran kepada Ust Sya'ari yang menganalogikan tarbiyah Ramadhan dengan 2 komponen utama (pre dan post Ramadhan) dengan indah sekali.

Moga "la'allakum tattaqun" dapat menjadi motivasi terhebat kepada kita. Raihlah TAQWA itu walaupun kita tahu tiada jalan mudah menuju ke arah ketaqwaan itu. Seperti kata-kata adikku, Taqwa itu bisa diraih dengan usaha. Ya, aku menyetujuinya. Berusahalah kita ke arah TAQWA, betapa perlu berhati-hatinya kita dalam melaksanakan setiap amal dan kerja buat kita untuk Tuhan yang kita cintai. Bukankah Imam Ghazali ada menyatakan taqwa itu umpama kamu melalui jalan yang penuh dengan duri. Kamu harus melangkah dengan berhati-hati agar kamu tidak terpijak duri-duri di sepanjang perjalanan kamu.

Ya Allah, pakaikanlah hamba dengan pakaian TAQWA,
Ya Allah, balutilah hamba dengan balutan ZUHUD,

agar tiada lain yang hamba harapkan
dalam perjalanan menuju tempat kembali hamba
melainkan harapan hanya kepada-Mu

Ampunkan hamba Ya Allah..



Tuesday, August 3, 2010

Warna-warni Julai

Bismillahi walhamdulillah

Entri kali ini merupakan updated entry yang paling jauh jaraknya berbanding entri-entri yang lain. Maafkan diri ini wahai teratakku. Kekangan yang dialami selama hampir seminggu tidak dapat melayari alam maya (baca: problem with Streamyx) dijadikan alasan untuk tidak mengupdate..

Alhamdulillah-tiada kata lain yang dapat diungkapkan melainkan hamdalah, puji-pujian kepada-Nya yang sentiasa memberikan kekuatan kepada diri yang amat lemah ini dalam menelusuri warna-warni kehidupan yang sementara ini. Sesungguhnya firman Allah dalam Surah Al-'Asr amat-amat terkesan kepada diriku, juga ungkapan keramat "Al-Wajibat Aksaru Minal Awqat"-As-Syahid Imam Hasan al-Banna benar-benar memaknakan erti masa dalam diariku akhir-akhir ini.

Ya, bukan sahaja akhir-akhir ini (baca: sebulan yang baru berlalu), tetapi aku menginsafi bahawa kewajipan yang ditanggung itu benar-benar melebihi masa yang kita ada! Amat dan amat sedikit sekali dirasakan 24 jam yang dipinjamkan sehari-hari dengan tugasan jua taklifan yang dipikul..Allah!

Kehidupan pasca selepas graduasi sudah aku alami dan aku cuba adaptasinya sebaik mungkin. Seringkali doa dan kekuatan aku minta kepada-Nya pada setiap pagi hari sebelum melangkah ke tempat kerjaku. Subhanallah, Dia sentiasa bersamaku, Dia menyaksikanku dan Dia sentiasa membantuku. Dialah Allah, tika hati dan jiwa kosong, maka hanya kepada Dia tempat aku mengadu. Syukran ya Allah, aku senantiasa mengharapkan pertolongan-Mu dalam setiap helaan nafasku.

Warna-warni Julai--semoga warnanya terus indah, walau kadang kala tercalar juga dengan kesuraman dan ketidak ceriaan yang melatari hidup ini. Tetapi itulah lumrah kehidupan, terselit juga suramnya di celahan cerianya.

Sesekali kerinduan semasa di alam kampus menjengah. Tambahan Ramadhan yang bakal tiba ini membuatkanku terkenang kemeriahan menyambutnya di kampus dahulu. Moga-moga Ramadhan yang bakal tiba ini membuahkan natijah yang lebih baik berbanding Ramadhan sebelumnya. Hidupkanlah Ramadhan di dalam dirimu, insya-Allah kita akan merasai Ramadhan itu hidup di rumah, tempat kerja mahu pun di mana-mana sahaja kita berada.

Ilalliqa'~