Friday, December 24, 2010

Setahun Yang Dulu..

Setahun sudah berlalu,
Saat menuruni 'kerusi' itu,
Menyerahkannya kepada yang lebih baik,
Dan ternyata 'dia' mengemudi kerusi ini dengan terbaik =)

Alhamdulillah banyak sekali yang dipelajari semasa menduduki kerusi itu,
Erti amanah, tanggungjawab, toleransi, lapang dada,
Juga korbankan 'ananiyah' beserta masa, tenaga, harta,
Indah sekali semuanya.

Bukan berbangga kerana dipilih untuk berada di situ,
Akan tetapi dengan penuh rasa rendah diri mendudukinya,
Sedangkan di dalam diri penuh tanda tanya,
Akhirnya akur itu adalah pilihan Allah jua.

Setahun sudah berlalu,
Kini kerusi itu bakal diduduki lagi,
Oleh empunya diri yang baru,
Yang bakal mengemudinya dengan lebih baik lagi daripada generasi terdahulu,
Insya-Allah..

Begitu aku meyakini dan menginsafi,
Kitalah mata-mata rantai perjuangan Nabi,
Menggalang-ganti tugas dan misi ini,
Sehingga tiba masa kita dipanggil Ilahi.

BUAT PEMILIK-PEMILIK KERUSI; TAHNIAH & TAKZIAH, ANDA ADALAH PILIHAN ALLAH!

Monday, December 20, 2010

Saturday, December 18, 2010

Alam Turut Bertasbih..









"Tidakkah engkau (Muhammad) tahu bahawa kepada Allah lah bertasbih apa yang ada di langit dan di bumi, dan juga burung yang mengembangkan sayapnya. Masing-masing sungguh telah mengetahui (cara) berdoa dan bertasbih. Allah Maha Mengetahui apa yang mereka kerjakan." [An-Nur 24:41]

Thursday, December 16, 2010

MenDARAH DAGINGkan Perjuangan Islam!

Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar!

'Azhim, Allah Maha Besar dan hanya kepada Dia aku berserah diri.

Telah aku mewaqafkan diri ini untuk perjuangan Islam yang suci..
Mudah sangat aku melafazkan kata-kata ini. Semudah itukah aku mempraktikkannya? Surah As-Soff ayat 2-3, Allah memberi amaran kepada orang beriman bahawa kemurkaan besar bagi mereka yang hanya pandai bercakap tetapi tidak melaksanakan cakapan itu. Astaghfirullah!

Sehingga saat ini aku masih merindukan 'alam tarbiyah' di bumi IIUM tercinta. Segala-galanya dirasakan sangat indah dan serasa tidak mahu beralih alam, mahu di situ selamanya. Akan tetapi aku akur akan sunnatullah, mana bisa aku selamanya di situ, sedangkan masih banyak 'tangan-tangan' yang menanti di luar sana. Tangan-tangan itu mahu dipimpin oleh kami yang diberi izin merasai nikmatnya tarbiyah ini. Allah..ini bukannya pekerjaan yang mudah! Nabi s.a.w sendiri apabila diperintahkan untuk berdakwah secara terang-terangan, baginda telah mengurungkan diri di dalam rumah selama hampir sebulan. Baginda sendiri merasai beban dakwah yang harus dipikul dan kita sebagai umat yang sayangkan baginda harus menyambung tugas dan amanah ini, iaitu mengembalikan umat manusia kepada Allah.

Usai berusrah bersama famili. Sejak kecil kami diasuh untuk duduk sebentar selepas solat Maghrib, mendengar sirah Nabi juga fadhilat solat, zikir dan Al-Qur'an. Alhamdulillah syukur tak terhingga kerana kami adik-beradik punya ibu dan ayah yang hebat dan serius mentarbiyah kami dengan ilmu ukhrawi di samping tidak mengkesampingkan ilmu duniawi. Terima kasih Mak, Abah!

Hari ini kami mendengar sirah Rasulullah tercinta. Permulaan dakwah baginda secara terang-terangan. Nabi mahu mengumpulkan seluruh kaum keluarga terdekat di rumah baginda. Tujuan utamanya adalah ingin memberitakan mengenai agama Islam dan wajibnya mereka beriman kepada Allah dan diri baginda sendiri. Dalam kalangan kaum kerabat yang dijemput itu termasuklah bapa saudara baginda merangkap besan baginda iaitu Abu Lahab atau nama sebenarnya Abdul Uzza.

Selesai menikmati jamuan yang disediakan, Nabi pun mula berhujah. Menyatakan kebenaran agama Islam, agama yang suci, agama yang adil yang diwahyukan oleh Allah SWT. Tiba-tiba Abu Lahab yakni bapa saudara Nabi dengan lantangnya berdiri, mencaci maki Nabi,
"Hanya kerana ini engkau menjemput kami ke rumahmu Muhammad! Engkau membawa ajaran baru yang bertentangan dengan agama nenek moyang kita!"
Sedih sungguh hati Nabi. Bapa saudara yang selama ini menyayanginya sanggup mengeluarkan kata-kata yang kesat dan menghina baginda di hadapan ahli keluarga yang lain.

Lantaran bencinya kepada Nabi, Abu Lahab mengarahkan dua orang anaknya, Utbah dan Utaibah segera menceraikan puteri-puteri Nabi yang menjadi isteri mereka iaitu Ruqayyah dan Ummu Kalthum. Bertambah hiba Nabi atas perlakuan bapa saudara sendiri.

Sementara itu, kaum kerabat Nabi yang lain meminta Nabi untuk mengadakan perjumpaan kali kedua bagi menambahkan lagi keyakinan mereka kepada agama baru ini. Mereka meminta Nabi supaya tidak mengundang Abu Lahab ekoran sikapnya yang biadap terhadap Nabi dahulu. Nabi sebagai utusan Allah tidak dapat menerima permintaan mereka kerana tugas baginda adalah mengajak manusia beriman kepada Allah, tidak kira mereka itu baik atau pun jahat sikapnya.

Nabi merasa malu apabila mengenangkan nabi-nabi terdahulu berhadapan dengan sejahat-jahat manusia dalam usaha dakwah mereka, contohnya Nabi Musa berhadapan dengan Firaun yang terkenal dengan kezaliman dan keangkuhannya. Nabi Nuh yang berhadapan dengan anak dan isteri baginda sendiri yang ingkar, tidak mahu beriman kepada seruan yang diberikan. Adakah baginda hanya mahu berdakwah kepada golongan yang baik-baik sahaja?

Subhanallah! Begitu kasihnya Nabi kita kepada seluruh umatnya. Jika kita berada di tempat Nabi, sudah tentu kita ingin berdakwah kepada golongan yang baik-baik sahaja bukan? Senang sedikit mereka hendak mendengar cakap kita. Allahumma solli'ala Muhammad, malunya kami kepadamu wahai Rasulullah..

Kita mengaku kita sayangkan Nabi, kasihkan Nabi, menyambung perjuangan Nabi..adakah benar-benar kita mengotakan apa yang kita laung-laungkan? Adakah benar-benar kita mengamalkan segala sunnah baginda? Berapa ramai mad'u yang berjaya kita tawan hati-hati mereka? Adakah hanya kepada golongan yang baik-baik sahaja yang kita dekati?

Allah..Allah..Allah..

Kita masih punya masa sahabat-sahabatku. Allah masih memberikan kita nikmat sihat, nikmat masa lapang, nikmat kesenangan. Untuk apa kita gunakan nikmat-nikmat ini agar di sana nanti ada jawapan yang dapat kita persembahkan kepada Dia? Untuk DAKWAH ILALLAH!

Sahabat-sahabat yang aku sayangi kerana Allah, marilah kita menDARAH DAGINGkan perjuangan Islam ini. Perjuangan yang kita laung-laungkan ini bukan hanya berlegar-legar di awang-awangan sahaja tetapi kita mahu ia menjadi DARAH DAGING kita! Bagaimana ertinya sahabat-sahabatku? Sehingga kita tidak akan pernah memberi alasan untuk berjuang, sehingga kita tidak akan pernah mengira-ngira untuk meleburkan masa, tenaga dan wang ringgit kita untuk Islam, sehingga kita tidak pernah ada jeda dalam memberi sumbangan kepada agama yang kita cintai ini.

Allahummaghfirli Ya Allah..

Aku sendiri masih jauh untuk menDARAH DAGINGkan perjuangan agama-Mu Ya Allah, tetapi aku berusaha mempersiapkan diriku ke arah itu. Semoga Engkau menerima segala amal kami dan Engkau redhainya Ya Rabbi..



Tuesday, December 14, 2010

Indahnya Ukhuwwah Ini



Semuanya LILLAHI TA'ALA..

Masih ingat detik dan saat indah itu..
Tahun 2004 kami bertemu, menyemai benih-benih ukhuwwah berpaksikan cinta Ilahi..
Makan minum bersama, tawa tangis juga..
Sehingga kami rasa sungguh dekat sekali.

Waktu berlalu, seiring dengan usia kami..
Oh, sudah 24 tahun umur kita sahabat-sahabatku..
Kita sudah melepasi alam mahasiswa..
6 tahun perkenalan kita dirasakan amat-amat singkat..
Namun semua kenangan itu tidak mungkin aku padamkannya.

Manis sungguh ungkapan ini,
"Kita bertemu & berpisah LILLAHI TA'ALA!"
Benar, janji Tuhan itu pasti..
Kita berpisah sebentar, rupanya Allah mahu mempertemukan kita lagi..
Subhanallah!



Tidak putus-putus syukur dipanjatkan..
Senyum sendiri kerana seakan tidak percaya bakal bertemu dengan sahabat-sahabat yang sangat disayangi..
Sahabat-sahabatku, kedatangan kalian dalam hidupku adalah SATU ANUGERAH,
Alhamdulillah!

Ayuh, kita melangkah lagi, di bumi UM menjadi saksi..
Aku yakin di dada kalian sudah tersemat erat NAJAH yang bakal digenggam!
Kita bergandingan tangan mencipta NAJAH itu, insya-Allah!

Tuesday, December 7, 2010

Kosong.

Bismillahi walhamdulillah

Rasa kosong. Serba tak kena hari ini. Graf iman menurun, astaghfirullah! Benarlah sabdaan Nabi, lemah dan malas itu menjadi punca kepada kegagalan dalam hidup kita. Sehingga Nabi menyuruh kita berdoa,

اَللَّهُمَّ إِنِّيْ أَعُوْذُبِكَ مِنَ الهَمِّ وَالحَزَنْ وَأُعُوْذُبِكَ مِنَ العَجْزِ وَالكَسَلْ وَأَعُوْذُبِكَ مِنَ الجُبْنِ وَالبُخْلِ وَأَعُوْذُبِكَ مِنَ غَلَبَةِ الدَّيْنِ وَقَهْرِ الرِّجَالِ

Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung pada-Mu dari rasa sedih gelisah dan aku berlindung pada-Mu dari sifat lemah dan malas, dan aku berlindung pada-Mu dari sikap pengecut dan bakhil, dan aku berlindung pada-Mu dari cengkaman hutang dan penindasan orang (aniaya).

Sudah 1432H.

Menziarahi blog sahabat, rakan dan adik-adik seperjuangan, rata-rata mereka mencoretkan tentang Hijrah. Terima kasih kalian, pena hati kalian bisa mengetuk tangkai hati yang di kala ini terasa kosong.

Kenapa kosong? Tepuk dada tanya IMAN!

Rasa jauh dengan Allah, tika solat, tika menatap kalimah-kalimah-Nya, mengakui bukan 100% fokus yang dapat diberikan. Allah..

Biarlah aku menjawab sendiri di hadapan Allah..Antara aku dan Tuhanku.


HIJRAH..

Berubahlah wahai diri, dari alam kegelapan kepada alam cahaya..

Umurmu makin berkurang tiap hari..

Kudratmu makin lemah..

Tidak sekali-kali kita berhak ke atas diri sendiri..

Laisalaha mindu nillahi kaasyifah!


Monday, December 6, 2010

Jalan Pulang

Al-Fatihah. Marilah kita sedekahkan surah Al-Fatihah buat arwah Mak Lang saya (Faridah Abd Manaff), Mak Ngah (Maznah Abd Manaff), nenek (Khadijah Abbas) dan buat seluruh muslimin muslimat yang terlebih dahulu pergi meninggalkan kita. Kita mendoakan agar ruh mereka semua dicucuri rahmat-Nya dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang soleh, insya-Allah.

Kronologi pemergian arwah Mak Lang yang dikasihi:

Aidilfiri 1430 H: Kami sekeluarga menerima khabar Mak Lang mendapat angin ahmar (stroke). Mak Lang tak boleh berjalan, beliau menerima rawatan fisioterapi secara intensif. Alhamdulillah kami sempat menziarahi beliau.

27 Nov 2010: Kami ke KL, menghantar To’ki ke Uniten dan Umar ke rumah Pak Usu. Terniat untuk menziarahi Mak Lang tetapi masa terbatas, kami bercadang untuk ziarah beliau pada bulan hadapan. Mak Usu yang baru menziarahi arwah minggu lalu menyatakan keadaan arwah yang amat kurus, beliau tak mahu makan, terbaring lesu sahaja.

3 Dec 2010: Pukul 2.30 pagi, Allah menjemput Mak Lang, innalillahi wainna ilaihi raaji’un. Alhamdulillah Pak Lang sempat mengajarkan syahadah sebagai kalimah akhir buat isteri beliau. Terharu sungguh mendengar kisah pengorbanan Pak Lang (contoh buat para suami di luar sana), sepanjang Mak Lang sakit, Pak Lang yang menjaga beliau termasuklah memandikan beliau dan memasak buat anak-anak. Masya-Allah, hebatnya pengorbanan Pak Lang! Menitis air mata apabila mengenangkannya.

Kami di Jitra, bergegas bertolak ke Puncak Alam. Agak lewat kami mengetahui berita pemergian Mak Lang disebabkan tak sedar deringan handphone yang berbunyi berkali-kali. Kami tiba di sana tidak beberapa lama sebelum jenazah dikebumikan. Alhamdulillah sempat menatap wajah terakhir Mak Lang sebelum beliau disemadikan di Tanah Perkuburan Felda Bukit Cerakah.

Wajah Mak Lang bersih sekali. Alhamdulillah saya yakin, Mak Lang pergi dalam husnul khatimah, insya-Allah. Saya melihat wajah anak-anak Mak Lang, seorang demi seorang; Along, Angah, Khairul, Zulkhairi dan Izzah. Nampak mereka redha dan tenang dengan pemergian ibu tercinta. Saya tahu mereka juga merelakan pemergian ibunda yang telah sakit selama lebih setahun itu. Semoga Allah melimpahkan kesabaran yang tinggi buat Pak Lang dan anak-anak.

Mak Cik Dick (adik Abah) menyebut kepada saya, “Alhamdulillah Mak Lang ‘pergi’ dengan mudah. Kita ni tak tahu macam mana jalan pulang kita.” Terdiam saya. Menginsafi diri yang terlalu banyak dosa ini. Adakah seperti Mak Lang jalan pulang kita?


كُلُّ نَفْسٍ ذَائِقَةُ الْمَوْتِ وَإِنَّمَا تُوَفَّوْنَ أُجُورَكُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ فَمَنْ زُحْزِحَ عَنِ النَّارِ وَأُدْخِلَ الْجَنَّةَ فَقَدْ فَازَ وَمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا إِلَّا مَتَاعُ الْغُرُورِ

Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. Dan sesungguhnya pada hari kiamat sajalah disempurnakan pahalamu. Barangsiapa dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, maka sungguh ia telah beruntung. Kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdayakan. [Ali-Imran: 185]

Teringat satu kata-kata dalam novel kesukaan saya, “Hijab Sang Pencinta”-RAM,

Mati itu pasti..hidup insya-Allah

Lalu, sudah siapkah kita untuk bertemu Tuhan, Rabb sekalian alam?

“Allahummaghfirlaha warhamha wa’afiha wa’fu ‘anha”

Semoga Mak Lang bersemadi dengan aman di alam barzakh sana. Kami juga akan menyusul Mak Lang, insya-Allah.

{entri ini khas buat adinda Bangah dan Nienah yang berada di perantauan}


Wednesday, December 1, 2010

Dunia Seorang Pensyarah; Selamat Tinggal & Semoga Kembali Lagi

Kata Hamka,

“Mengakui kekurangan diri sendiri adalah tangga buat mencapai cita-cita. Berusaha terus bagi mengisi kekurangan adalah keberanian luar biasa.”

Alhamdulillah secara rasminya aku sudah tidak bergelar seorang pensyarah bermula hari ini. Ada sedikit kelegaan, bukan tidak menyukai profesion ini, tetapi aku sedikit tenang kerana telah melepaskan amanah ini dengan sebaik dan seoptimum khidmat yang dapat aku berikan. Semoga ianya dikira sebagai amal ibadat walaupun tidak seberapa sumbangan yang dapat dicurahkan.

Mengambil kesempatan di ruangan maya ini untuk aku merakamkan jazakumullahu khairan jaza’ buat:

1) Ayahanda; Hj Yaakob Abd Manaff (Prof Madya)

2) Pn Jasmani Bidin (Koordinator CS 228)

3) Pn Nooraini Ali (Pensyarah Statistik)

4) PM Raja Sulaiman Raja Lope Ahmad (Pensyarah Matematik)

5) En Mohd Najib (Penyelaras MAT 235)

6) En Khairu Azlan (Penyelaras MAT 285)

7) Pn Rohana Dollah & suami, En Azlan (Pensyarah Matematik)

8) Rakan-rakan seangkatanku (Izleen, Kak Fathonah, Dayah, Siti, Kak Aizura, Wani, Kak Hajar, Wani Ya, Kak Is, Waziah, Raihana dan Faizah). Kalian terbaik! Suka bersahabat dengan anda semua =)

9) Rakan pensyarah PTFT Finance (Fatin dan Maimun). Tahniah atas konvo kalian hari ini!

10) Dan semua warga UiTM Perlis yang telah banyak sekali membantu dan memberi tunjuk ajar sepanjang 5 bulan berkhidmat di sini. Hanya Allah sahaja yang layak membalasnya.

Sesungguhnya banyak sekali ilmu dan pengalaman yang ditimba sepanjang bergelar seorang pensyarah sambilan di sini. Terima kasih sekali lagi kepada UiTM Perlis yang telah memberikan kepercayaan kepadaku untuk menggalas amanah ini. Insya-Allah, mutiara-mutiara berharga yang ku perolehi di sini akan aku semat erat, buat bekal menuju perjalanan yang masih panjang.

Dengan berbesar hati aku ingin berkongsi dengan para pembaca budiman akan info-info menarik kerjaya sebagai seorang PENSYARAH UNIVERSITI. Anda berminat? Bolehlah teruskan pembacaan =)

Kelayakan Masuk

Mengikut perbekalan skim perkhidmatan Pensyarah Universiti, Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 20 tahun 2008 menetapkan bahawa kelayakan masuk ke kerjaya Pensyarah University adalah seperti berikut:

  1. Ijazah Sarjana dalam bidang berkaitan yang diiktiraf oleh kerajaan dari institusi-institusi pengajian tinggi tempatan atau kelayakan yang diiktiraf setaraf dengannya atau
  2. Ijazah Sarjana Muda Seni Bina atau Diploma Lanjutan dalam bidang berkenaan yang diiktiraf oleh kerajaan dan institusi-institusi pengajian tinggi tempatan atau kelayakan yang diiktiraf setaraf dengannya serta telah berdaftar penuh dengan Lembaga Arkitek Malaysia atau
  3. Ijazah Doktor Perubatan Veterinar dan Diploma Lanjutan dalam bidang berkenaan yang diiktiraf oleh kerajaan dari institusi-institusi pengajian tinggi tempatan atau kelayakan yang diiktiraf setaraf dengannya atau
  4. Kelayakan Perubatan Veterinar yang berdaftar sebagai Doktor Veterinar di bawah Jadual II Bahagian I, Akta Doktor Veterinar 1974 dan Diploma Lanjutan dalam bidang berkenaan yang diiktiraf oleh kerajaan dari institusi-institusi pengajian tinggi tempatan atau kelayakan yang diiktiraf setaraf dengannya atau
  5. Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang berkaitan yang diiktiraf oleh kerajaan dari institusi-institusi pengajian tinggi tempatan atau kelayakan yang diiktiraf setaraf dengannya.

Profil Kerjaya Pensyarah Universiti

- Kerjaya sebagai pensyarah universiti hanyalah berada di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) sahaja.

- Kerjaya ini mempunyai kepelbagaian dari sudut penggunaan skim perkhidmatan.

Penempatan

Tentulah di universiti! Menara gading tempat bercambahnya ilmu pengetahuan, melahirkan insan cemelang, pemimipin masa hadapan. Berasaskan kepada bidang dan pengkhususan, anda akan ditempatkan di jabatan atau fakulti yang sesuai dengan bidang dan kepakaran anda itu.

Nota kaki: Berdasarkan pengalaman saya yang sedikit ini, jika anda betul-betul ingin menceburkan diri dalam dunia pensyarah, eloklah Ijazah Sarjana Muda dan Sarjana anda adalah daripada bidang yang sama. Apabila saya dikhabarkan begini, dalam fikiran saya, adakah universiti-universiti di Malaysia mengamalkan narrow-minded dalam memilih pensyarah yang memiliki latar belakang yang berbeza untuk Ijazah Sarjana Muda dan Sarjana mereka? Anda juga boleh memikirkannya..Bagi saya, saya ingin memecahkan tradisi ini. Pada hemat saya, memiliki Sarjana dalam bidang yang berbeza dengan Ijazah Sarjana Muda adalah satu bonus kepada individu tersebut. Ianya boleh menjadi satu nilai tambah kepada seseorang pensyarah dalam memperluas lagi cakupan ilmu mereka.

Prospek Masa Depan

- Kerjaya sebagai seorang pensyarah sudah begitu kukuh dan sentiasa diperkukuhkan.

- Seorang pensyarah akan menjadi semakin mahir dan pakar dalam bidangnya.

- Contoh: Jika anda mengkhusus dalam bidang Matematik, anda hanya akan melaksanakan tugas-tugas akademik dalam bidang matematik sahaja. Tidak ada perkataan lain kecuali anda menjadi semakin mahir dan pakar dalam bidang anda.

Keistimewaan Kerjaya Pensyarah

- Waktu kerja yang fleksibel, anda datang ke pejabat setiap hari tetapi tidak terikat dengan waktu kerja biasa. Ia bergantung kepada IPTA berkenaan.

- Kenaikan pangkat dalam keadaan istimewa. Anda boleh melompat terus dari DS45 terus ke DS54. Dari pensyarah biasa boleh terus ke Profesor Madya.

Tugas Sebagai Pensyarah

Tugas umum:

  • Memberi syarahan, tutorial
  • Menjalankan penyelidikan dan menghasilkan penerbitan
  • Boleh diringkaskan dalam 7P (pengajaran, penyelidikan, penerbitan, penyeliaan, perundingan, pembentangan dan pementoran)

Anda berminat untuk menjadi sebagai salah seorang pendidik anak-anak muda kita? Saya mendoakan anda berjaya dan didiklah anak-anak muda kita dengan baik. Mereka adalah generasi hadapan yang akan mencorakkan negara kita baik dari sudut agama, ekonomi, politik dan sosial.

Sumber: Rahsia Kerjaya Graduan, Cr. Muhabir Ibrahim terbitan mustread Sdn Bhd.

KENTALKAN MOMENTUM ANDA DAN KEKALKAN USAHA!