Friday, June 24, 2011

Hiya Minhatun, Hiya Mihnatun

Bismillahi walhamdulillah

"Yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun" [67:2]
Subhanallah, Maha Suci Allah yang berkuasa mutlak ke atas hamba-hamba-Nya. Saat seseorang hamba itu membuka matanya di pagi hari sehinggalah menutup matanya kembali untuk tidur di malam hari, segala-galanya di bawah penguasaan Tuhan kita, Allah S.W.T.

Manusia digalakkan untuk merancang. Merancanglah dan memintalah kepada Dia agar setiap rencana dan rancangan itu selari dengan perancangan Allah jua, insya-Allah.

Sedikit perkongsian catatan hidup, bukan mahu dibicarakan sangat cerita biasa-biasa ini, tetapi mahu ianya walaupun tidak menarik, ada pelajaran yang dapat dicedok. Halaman LTC sekali lagi menjadi saksi, saat setiap jari ini mentinta, ada Yang Maha Melihat. Tintaan ini, moga bermanfaat walau sebesar zarah cuma.

Pagi hari Khamis, indah dan damai, alhamdulillah. Niat di hati yang sudah lama tersimpan ingin menziarahi sahabat lama, Habibah. Baru sahaja bergelar isteri sebulan yang lalu, syukur Lillah. Bersama teman dan sahabat akrab, Sabrina, kami bersama-sama menyusur jalan ke rumah mertua Bibah di USJ 13. Tunggangan setia kami, Umar tenang berjalan di atas jalan raya.

Tidak susah untuk mencari rumah mertua beliau. Alhamdulillah kami selamat tiba dengan izin Allah dan juga bantuan Google Map (masih tidak mampu memiliki GPS). Berbual dan berborak-borak santai dengan Puan Bibah yang kelihatan sangat bahagia amat menggembirakan kami. Bersantap dengan hidangan 'air tangan' istimewa Bibah, alhamdulillah sedap ^_^, inilah ciri-ciri isteri solehah!

Tiba waktu untuk pulang. Jadi teringat akan Umar. Sepanjang perjalanan tadi, air-condnya sudah tidak sejuk, hipotesis awal, mungkin gasnya sudah habis. Lalu bertanyakan ayah mertua Bibah, minta ditunjukkan workshop terdekat bagi menyelesaikan masalah Umar. Umar, sekali lagi diri ini teruji dengan kamu. Tidak memarahi kamu yang sudah banyak jasa, tetapi cuba untuk redha atas ujian yang diberikan ini.

Semoga rahmat Allah terlimpah ke atas ayah mertua sahabat kami dan keluarganya. Alhamdulillah dengan bantuan ayah mertua Bibah, Umar selamat dibawa ke bengkel berdekatan. Sabar menunggu Umar diperiksa, rupanya bukan air-cond yang bermasalah, tetapi paipnya sudah bocor! Allahu Allah..kata mekanik itu, kalau terlambat sedikit, Umar akan ditow sebab paip yang bocor akan menyebabkan air kering dan seterusnya enjin terbakar! Allahu Akbar! Tersirap juga darah, mengenangkan diri ini seorang perempuan dan agak sukar menyelesaikan masalah Umar jika bersendirian.

Berdirilah kami dalam tempoh 2 jam sementara menunggu Umar dibaiki. Umar, Umar..satu-persatu kenangan bersama Umar yang selalu sakit di Kuantan dahulu menjelma. Sudah ramai insan yang bermurah hati membantu Umar dan termasuk dalam list juga adalah Sabrina dan ayah mertua Bibah hari ini. Semoga Allah membalas kebaikan kalian, doaku.

Itulah sedikit cebisan cerita insan biasa ini. Allah menguji dan akan terus menguji. Selalu mengingatkan diri sendiri, bersangka baiklah dengan Allah, Dia menguji hamba-Nya bukan kerana Dia benci tetapi kerana Dia kasih. Mihnah atau ujian ini sebenarnya melengkapkan sebuah minhah atau anugerah hidup seseorang hamba. Atas setiap mihnah dan tarbiyah Allah ini, lafazlah Alhamdulillah..

Wahai diri, ujian Allah kepadamu ini tidak sebesar mana, tidak seberat mana. Engkau tidak pernah merasai apa itu kebuluran, kelaparan, kesakitan yang amat sangat dan keperluan hidup yang sempit. Sebaliknya jika kau renungkan ujian hamba-hamba-Nya yang lain, masya-Allah mereka jauh lebih derita daripadamu! Pernah kau mendengar kisah sebuah keluarga di zaman Khalifah Umar al-Khattab? Keluarga miskin itu sampai merebus batu buat memujuk anak-anaknya yang menangis kelaparan! Bayangkanlah wahai diri..di mana letak duduk kita jika dibandingkan dengan mereka?

Wahai diri, mari tingkatkan iman dan taqwamu dan mari suburkan rasa syukur dan qana'ahmu kerana ganjaran Tuhan siapa tahu~

Sunday, June 19, 2011

Dunia Pendidik; Ahlan Wasahlan

Bismillahi walhamdulillah

Menulis di halaman LTC ini memberikan satu kepuasan kepada diri. Niyyah utama adalah menulis kerana-Nya kerana aku tahu bahawa setiap perkataan yang ditinta di sini pasti akan disoal oleh-Nya. Mohon maghfirah-Mu Ya Allah, biarlah apa sahaja yang ditinta di sini mendapat redha-Mu dan bermanfaat sedikit sebanyak buat yang membaca.

Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah...

Dunia yang dirindui olehku sudah menjengah. Allah Ar-Razzaq memperkenan memberikan sekali lagi peluang keemasan untukku mengasah dan mempertajam 'teaching skill' yang bakal bermula esok hari. Setelah hampir setengah tahun meninggalkan tanah UiTM Perlis, guru pengalaman pertamaku, kini tanah PASUM pula bakal menjadi guruku. Doa dipanjatkan, Ya Allah bantulah hamba-Mu ini..

Walaupun aku sudah punya sedikit pengalaman dalam mengajar, tidak dinafikan rasa gundah juga cuak melatari hati ini. Sudah tentu subjekku (baca: anak didik) adalah berbeza dengan mantan pelajarku dahulu. Mengikut pengalaman daripada tutor-tutor senior, pelajar-pelajar PASUM ini sangat cerdas dan bijak belaka. Oh, kaget juga aku! Satu perkataan yang muncul, PERSIAPAN yang semantapnya harus dilaksanakan.


Bagaimana reaksi pelajar-pelajarku? Segera terngiang-ngiang di telinga.."Miss Hafizah", gelaran daripada anak-anak didikku di UiTM Perlis dahulu. Ah, saya merindui awak semua, semoga awak semua sukses dunia akhirat..

"Ya Allah Yang Maha Mendengar, hamba-Mu memohon urusan pengajaran dan urusan duniawiku dipermudahkan oleh-Mu. Ya Allah, tidaklah dunia yang ku kejar melainkan dunia ini hanyalah merupakan tunggangan dan jambatan menuju ke negeri abadi"

Friday, June 17, 2011

Second Chance


Bismillahi walhamdulillah

Alhamdulillah segala syukur, puja-puji dipanjatkan kepada-Nya, yang sentiasa menjaga kita hatta di dalam gelap mahu pun terang. Betapa tidak terhitung nikmatnya, "wayarzuqhu minhaithu la yahtasib"-Dia yang memberikan rezqi dalam keadaan yang tidak disangka-sangka atau orang Melayu kita selalu tafsirkan sebagai 'durian runtuh'.

"Inna ma'al 'usri yusra"-sesungguhnya bersama kesulitan itu ada kesenangan. Maha Suci Allah, Dia tidak akan membebankan hamba-Nya jika hamba-Nya itu tidak mampu. Sesulit apa pun masalah yang dilontarkan, pasti ada jalan penyelesaiannya. Sesedih apa pun kejadian yang menimpa, pasti ada pelangi yang mewarnai selepasnya. Dan begitu juga, sesuram, semuram, sepahit dan apa sahaja 'se' yang berwarna hitam, pasti akan diselit warna ceria, pelangi indah dan sinar cahaya jika direnung dengan mata hati kita.

Ujian, mehnah adalah lumrah dalam kehidupan orang beriman. Allah juga berfirman bahawa tidak beriman seseorang itu selagi dia tidak diuji. Kehilangan insan tersayang, kemusnahan harta benda, kegagalan dalam peperiksaan dan sebagainya adalah siri-siri ujian yang pasti ada di dalam diari hidup kita. Maka apabila diberikan ujian, pintalah untuk dibesarkan iman untuk menghadapi ujian ini bukannya menyuburkan benih putus asa di dalam diri.

Allah sebenarnya mahu mengangkat darjat hamba-Nya. Maka hamba yang terpilih diuji oleh-Nya. Rahmat Allah itu amat luas, pasti kita tidak dapat menghitungnya. Maka bersyukurlah jika kita yang dipilih untuk menerima ujian ini. Lalu adakah ujian ini merupakan titiknya?

"Everybody deserves a second chance"-tersenyum-senyum saya mengingat kata-kata ini. Tidak perlu saya mention siapa yang menyebutnya tetapi cukuplah jistnya dapat kita ambil. Ya, SECOND CHANCE! Setiap orang berhak mendapatkannya, berhak menggenggamnya, berhak menuainya kembali. Kegagalan dalam first chance bukanlah penamatnya tetapi laluan itu adalah permulaan kepada titik-titik atau mozek-mozek yang bakal kita cantumkan dalam sepanjang hidup kita.

Alhamdulillah, inilah second chance saya. Saya tidak mahu menjadi orang yang kalah dengan first chance dan merasakan seolah-olah tiada chance lagi untuk upgrade diri kita. Jawapannya ADA! Grab your second chance! Saya lebih rela jatuh berkali-kali daripada menang tanpa maruah!

Second Chance saya..doakan~

Wednesday, June 15, 2011

Ayah Bonda; Maafkan Anakmu Ini

Bismillahi walhamdulillah

Puteri sulung Mak dan Abah ingin mencoret sesuatu di sini. Terlebih dahulu jutaan maaf dipinta untuk Mak dan Abah kerana diri ini jarang sekali menghadiahkan kebahagiaan kepada kalian berdua.

Sudah 25 tahun anak sulung Mak dan Abah sekarang, subhanallah cepatnya masa berlalu! Dalam usia satu dekad setengah ini aku cuba menghitung-hitung berapa banyak 'hadiah' kejayaan yang telah ku beri, walaupun aku tahu Mak dan Abah tidak memintanya tetapi sebagai seorang anak, wajib ke atasku untuk 'menghadiahkan' kejayaan terutamanya di dalam akademik kepada kedua orang tuaku.

Maafkan diri ini Mak dan Abah, rasanya tidak dapat dihitung dengan apa pun segala kesenangan, kemudahan dan segala-galanya yang telah kalian berdua berikan kepada kami, sembilan orang anakmu ini. Bermula dengan hari pertama aku menjenguk dunia sehingga ke saat ini, tidak tertahan rasanya menakung air mata yang pasti akan gugur jika mengingat akan pengorbanan kalian kepada kami. Maafkan segala kesalahan kami..

Mak dan Abah, diri ini selalu ingin melaksanakan yang terbaik dalam hidup terutama dalam dunia akademik. Tika ini, alhamdulillah dengan izin Allah jua, diri ini sedang melalui peringkat pengajian yang lebih tinggi iaitu Sarjana. Andai Mak dan Abah tahu, sesungguhnya aku telah berjanji dengan Allah, diriku dan dengan kalian juga bahawa aku akan mendapatkan Kelas Pertama untuk peringkat pengajian kali ini, insya-Allah. Dari itu, aku memohon dengan amat sangat kalian berdua dapat mendoakanku. Namun aku cukup mengerti bahawa kalian berdua sebenarnya senantiasa mendoakan kami anak-anakmu hatta kami tidak meminta pun, Allahu Allah..

Kita sentiasa merancang dan digalakkan untuk merancang hala tuju hidup kita. Begitu juga aku, Mak dan Abah, aku merasakan aku telah berusaha sedaya dan semampuku untuk cuba meraih yang terbaik pada semester lepas. Namun begitu aku diuji lagi, aku menerimanya dengan redha dan cuba memujuk diri, "mungkin usaha aku masih tidak cukup, strategi tidak mengena dan mungkin juga kurang menjaga amal ibadat" dan pelbagai asbab yang cuba dimuhasabahkan. Aku mohon maaf sekali lagi Mak dan Abah, anakmu ini masih tidak dapat membanggakanmu..

Setiap kali menerima panggilan telefon daripada kalian berdua, amat berat sekali untuk menuturkan bicara. Maafkan aku Mak dan Abah, bukan niatku untuk tidak mahu bicara, aku akan berusaha untuk menjadi anak yang solehah buat kalian kerana aku tahu inilah yang dimahukan Tuhanku. Aku benar-benar berdosa kepada kalian berdua, semoga kalian memaafkanku dan aku juga berdoa semoga Allah juga sudi mengampunkanku..

Terakhirnya, doakan anakmu ini menjadi hamba Allah, anak dan sahabat yang solehah, itqan dalam setiap gerak kerja dan tidak mengenal erti putus asa. Semoga Allah sentiasa memelihara dan menyayangi kalian selama-lamanya kerana hanya Dia sahaja yang dapat membalas segala kebaikan kalian kepada kami.

"Ya Allah, rahmatilah kedua ibu bapaku sebagaimana mereka mengasihiku ketika aku masih kecil".

-Anakmu-

Wednesday, June 8, 2011

Tanah PJ Di Sisi

Bismillahi walhamdulillah

Sujud syukur kepada-Nya. Alhamdulillah aku selamat kembali semula ke tanah ini, tanah ke'sibuk'an ini, Kampung Kerinchi, Petaling Jaya. Akhir-akhir ini, amat berat sekali jari-jari untuk mencoret walau sedikit di halaman LTC ini. Maafkan aku.

Sebulan lamanya di daerah sendiri bertemankan 'Juliana'ku, Alhamdulillah. Sempat juga 2 minggu berturut-turut travel bersama, entah dapat lagi atau tidak bertravel sebegini. Mencari hikmah di sebalik setiap mozek yang cuba dicantumkan dalam siri-siri kehidupan sementara ini.

Duhai teman, aku sebenarnya terpana sendiri. Cuba mengkoreksi setiap titik laluan yang telah ku mulai sejak awal tahun dahulu. Ingin aku menangis semahunya, aku masih tidak berjaya menebus kekalahanku. Allahu Allah..hanya Dia Maha Tahu.

Namun begitu aku tidak mahu terus menjadi orang yang kalah! Ya tidak mahu kalah kepada ujian dunia ini. Kerana apa teman? Kau dan aku juga tahu bahawa di sebalik kesulitan itu pasti adanya kesenangan bukan? Kau dan aku sering menuturkan ayat-ayat suci daripada Surah Al-Insyirah ini dalam solat kita bukan? Nah bukan sahaja kita menuturkannya bahkan kita cuba menghayati dan mengamalkannya, insya-Allah.

Dan kini aku kembali. Aku cuba bermuhasabah teman, betulkan aku jika aku tersasar dan tersalah. Sudah aku temui jawapannya, hubungan aku dengan Sang Pencipta! Sehebat mana pun kita teman, kita adalah hamba! Ya, HAMBA! Cukuplah dengan sibuknya kita dengan dunia yang begitu asyik tetapi mengapa kita tidak cuba sibuk dengan keasyikan dan kelazatan cinta-Nya. Allahu Allah..

Terkesan sekali aku membaca kisah-kisah insan yang sudah melalui jalan taubat. Kau tahu teman, luas sekali perjalanan seorang hamba menuju pintu taubat? Seluas dari timur ke barat, subhanallah! Pintu taubat tidak akan ditutup sehinggalah ditiupnya sangkakala. Aduh teman, mahu menjadi orang yang rugikah kita?

Rejab sudah menyapa kita teman. Tidak lama nanti, menjenguk pula Sya'ban dan seterusnya Ramadhan, bulan magis yang saban detik dirindui oleh orang yang beriman. Sudah kau persiapkan dirimu? Puasa sunat, istiqomah Al-Quranmu juga tambahkan amalan-amalan sunatmu. Ayuh teman, mari kita merebut gelaran AT-TAQWA itu! Kerna itulah sebaik-baik gelaran. Teman, mari bersama aku, kita kembali merengkuh kasih sayang Tuhan.

Doakan aku.

Thursday, June 2, 2011

Steadfast


Bismillahi walhamdulillah

Istiqomah

Mudah diungkap, mudah dicoret tetapi amat payah untuk diamalkan. Benar sabdaan Nabi, baginda amat suka amal yang walau sedikit tetapi istiqomah. Nah inilah dia kawan, kalimat ajaib ini istiqomah atau dalam bahasa Inggerisnya 'steadfast'.

Payah sekali kawan untuk aku kekal istiqomah. Doakan diri ini; istiqomah dalam semua perkara terutama urusan ukhrawiku.

Fastaqim kama umirta~