Wednesday, August 31, 2011

Siraman Hati

Segumpal daging ini terkadang cepat sahaja bolak-baliknya..
Segumpal daging ini perlu senantiasa dipantau, diperiksa kesihatannya..
Segumpal daging ini tersimpannya segala rasa..
Rasa yang hakikatnya tidak mampu pun dinukilkan dengan tulisan mahu pun kalam..
Segumpal daging itu adalah engkau, wahai HATI..

Lalu di kala engkau layu tidak bermaya..
Aku mencuba menyirammu dengan air iman..
Kerana aku tahu jika baik engkau, maka baiklah seluruh anggota badanku..
Dan jika buruknya engkau, maka buruk pulalah seluruh jasadku..
Dan aku tidak mahu itu, na'uzubillah..

Untukmu HATIku..



Tarbiyah Itu Memberi



Tarbiyah adalah untuk mereka yang menghargainya. Yang tidak berfikir hanya untuk menerima tetapi bersedia untuk MEMBERI. Mereka inilah yang akan terus kekal dengan tarbiyah itu.

Tarbiyah itu mahal. Untuk menerima semua natijah tarbiyah, kita harus MEMBERI semua yang kita ada kepadanya.

Tarbiyah adalah nikmat.

{Requote from Sayyeda Zainab-Cairo}

Tarbiyah adalah satu kepuasan! (Hamasyie)

Sebelum mata ini pejam, aku tekad untuk MEMBERI semampuku..walau tidak akan sama dengan memberinya Sang Kekasih Muhammad s.a.w. kepada umat baginda, akan tetapi aku tidak mahu menjadi umatnya yang tidak malu, langsung tidak memberi walau sepotong nasihat. Allahummaghfirli zunubi..

"Ya Allah, sertakanlah aku bersama mereka-mereka yang ringan dalam memberi"


Monday, August 22, 2011

Kembali Berpencak

Bismillahi walhamdulillah

Satu semester sudah ku tinggalkan jejak. Rekod yang dicatat, masih tidak memuaskan. Masih tidak tertebus ‘dosa’ Ijazah Mudaku. Juga masih tidak mampu membanggakan kedua orang tuaku. Apa sudah jadi wahai diri?

Jika waktu dapat diundur, mahu rasanya aku menapak kembali pada hari pertama menjejakkan kaki di tanah UM ini. Tetapi sudah tentu ianya tidak sama sekali boleh diundur, masa hanya mentertawakan aku. Ah, dasar manusia yang tidak tahu langit itu tinggi atau rendah! Sedarlah wahai diri…

Catatan hari ini yang bertanda di kalendar Hijri, 22 Ramadhan 1432H adalah lebih kepada menambah momentum dan menyuntik hamasah kepada diri sendiri. Mengakui akan benarnya kajian daripada sang motivator bahawa manusia itu semangatnya berapi-api hanya dalam masa 30 hari! Terkenang pada langkah pertama memijak tanah UM, oh memang semangatku menyala berapi-api tika itu!

Disebabkan itu aku mahu hamasah itu kembali berapi-api lagi di dalam diri ini. Pernah seorang teman menasihati bahawa carilah ‘butang hijau’ sebagai titik nyala semangatmu! Butang hijau? Ah, terlalu ideal rasanya aku tika itu, menyenaraikan beberapa ‘butang hijau’ku.

Semakin menginjak dunia dewasa, aku menyedari bahawa butang hijau itu ada di dalam diriku sendiri, ada di dalam diri setiap temanku malah ada di dalam diri setiap insan. Aku namakan butang hijau itu sebagai mindset. Jika mindset itu positif, maka positiflah tindakan kita dan sebaliknya jika mindset itu negatif, maka sudah tentu akan negatif juga tindakan kita.

Aku mengakui, lewat zaman kuliahku, tanpa sedar aku terpengaruh dengan cara fikir, gaya hidup dan pandangan beberapa orang teman terdekatku. Bagi aku, ianya adalah normal. Manusia pasti akan meniru contoh hidup yang dekat dengan mereka apatah lagi contoh hidup itu adalah insan hebat! Saling memberi dan menerima adalah pelajaran unggul yang aku timba pada zaman kuliahku dahulu.

Mengenang zaman Ijazah Dasar yang penuh warna-warni pastinya akan mengundang adunan rasa. Jika diberi pilihan untuk mengulang zaman itu, aku akan menjadi orang pertama yang menyetujuinya! Dan sekali lagi aku mengingatkan diri sendiri bahawa waktu, Al-‘Asr itu tidak bisa diputar ke belakang lagi walau cuma satu saat! Inilah hakikat kehidupan yang harus aku mengerti.

Manusia bisa sahaja mengenangkan persitiwa suka mahu pun duka yang singgah di dalam hidup mereka tetapi untuk berada kembali pada masa tersebut, sama sekali tidak boleh. Justeru masa lalu itu adalah satu masa yang ditinggalkan, ianya menjadi sejarah dalam diari hidup seseorang insan.

Langkah ini harus aku teruskan jua. Walau pundak di bahu maha memberat waktu demi waktu, aku tidak akan boleh melepaskannya begitu sahaja. Wahai Tuhan Yang Maha Mendengar, Engkau berikanlah aku secebis kekuatan dan segenggam tabah untuk aku meneruskan langkahan ini. Aku yakin itu. Aku yakin janji Tuhan, janji Rabbul Jalil itu pasti buat mereka yang benar-benar itqan dan tinggi mujahadahnya.

Coretan ingatan buat diri yang bergelar hamba, semoga kekal istiqomah sampai mati!


Tuesday, August 16, 2011

Sayap Perjuangan Teristimewa

Bismillahi walhamdulillah

15 Ramadhan 1432H semalam. Syukru Lillah dapat ifthar bersama teman, sahabat baikku, Halimatun. Kami berhajat mahu ke Kg Pasir selepas Maghrib, mendengar tazkirah Ramadhan daripada tokoh pimpinan yang tidak asing lagi; Al-Fadhil Ustaz Yusof Embong.

Alhamdulillah kami tiba lebih kurang jarak waktu tibanya Ustaz dan zaujah beliau. Teruja aku melihat setianya sang isteri yang sentiasa bersama suami walau di mana sahaja. Dalam hatiku berdoa, semoga Allah kekalkan kesejahteraan rumah tangga mereka dan terus istiqomah sampai dijemput Ilahi.

Aku berkesempatan berbual dengan seorang insan hebat, sayap perjuangan teristimewa buat Ustaz Yusof Embong. Subhanallah! Tabarokallah! Dalam hatiku tidak putus-putus melafazkan hamdalah atas nikmat pertemuan ini. Banyak sekali persoalan yang diajukan dek rasa kagumku terhadap insan ini, Puan Faridah.

Ustaz Yusof dan zaujah adalah antara ikon mujahid/ah yang aku kagumi disebabkan keistiqomahan mereka di dalam perjuangan menegakkan Islam ini. Malahan dua daripada sebelas orang anak-anak mereka adalah tidak asing bagiku; Mutmainnah dan Solehah, mereka adalah adik-adik seperjuangan IIUMku.

Subhanallah! Tabarokallah! Ucapan apa lagi yang dapat aku lafazkan atas nikmat bertemu insan-insan istimewa ini? Bagi-Mu segala puji Ya Allah, kami juga ingin mencontohi kehidupan mereka yang penuh keberkatan, insya-Allah.

Puan Faridah hanya membahasakan diri beliau "Mak Cik". Subhanallah, aku terasa sungguh dekat dengan beliau, seolah berbicara dengan ibu sendiri. Mak Cik seorang yang sangat merendah diri, sentiasa melontarkan senyum dan ikhlas berkongsi kisah hidup beliau bersamaku.

Hebatnya Mak Cik! Aku sesungguhnya sangat impressed dengan kekuatan dan ketabahan beliau dalam melayari Baitul Muslim bersama suami tercinta. Raut wajah Mak Cik sentiasa tenang dan Mak Cik sentiasa nampak muda =)

Ujar Mak Cik, "Setiap kali Mak Cik dianugerahi anak, Mak Cik akan menangis. Bertambahnya amanah dan tanggungjawab terhadap anak ini".

"Ustaz tak mahu hantar anak-anak ke taska, Ustaz nak Mak Cik ajar sendiri anak-anak, kenalkan Al-Qur'an kepada mereka. Alhamdulillah sampai ada seorang anak Mak Cik yang khatam Al-Qur'an pada usia 7 tahun."

"Kita sebagai ibu ayah, harus menunjukkan akhlak yang baik kepada anak-anak. Anak-anak tak akan bertanya banyak kerana mereka dah faham. Mereka faham sebab ibu ayah mereka dah tunjukkan contoh yang baik kepada mereka."

"Kita sebagai seorang isteri dan ibu wajib melaksanakan tanggungjawab kita dengan baik. Sesibuk mana pun kita dengan usrah, program atau apa-apa sahaja, makan minum mereka jangan diabaikan. Buatlah kek ke, biskut ke petang-petang...dengan itu mereka tak akan persoalkan jika kita minta izin keluar untuk program di luar."

"Kadang-kadang Mak Cik kesian dengan anak-anak Mak Cik yang dah jadi ibu pada usia yang muda. Yalah, nak belajar lagi, nak urus anak lagi...tapi Mak Cik tak nak tunjuk kesian Mak Cik, Mak Cik nak diorang kuat."

Subhanallah! Sungguh aku kagum dengan Mak Cik. Hebatnya Mak Cik sehingga dapat membesarkan 11 orang anaknya dengan baik. Tidak hairanlah anak-anak Mak Cik juga hebat, hebat di dalam akademik mahu pun sebagai seorang pemimpin.



Semoga Allah merahmatimu Mak Cik. Hanya syurga yang layak buatmu, seorang isteri juga sayap perjuangan kepada suami, seorang ibu yang tiada pernah mengeluh dengan kegetiran ujian hidup dalam membesarkan dan mendidik 11 orang anakmu menjadi insan kamil. Kini Mak Cik sudah boleh menghela nafas lega, Mak Cik telah melunaskan amanah Allah buatnya.

Di akhir pertemuan, Mak Cik memberitahuku, "Mak Cik hanya tunggu mati, Alhamdulillah atas semua nikmat yang Allah bagi. Dan bila Mak Cik fikir-fikir, pentingnya hubungan yang intim dengan Allah. Kita tak akan mampu lalui semua ni tanpa kekuatan dan izin daripada Allah."

Dan sekali lagi aku jeda. Subhanallah, hebatnya insan yang Kau pertemukan denganku pada malam ini. Aku ingin sekali menjadi seperti beliau, kuat dan tabah mengharung ombak dan badai. Aku ingin meminjam kecekalan beliau buat bekal dalam mengemudi bahtera BMku pula nanti. Semoga rahmat dan kasih sayang Allah terus terlimpah buat Ustaz Yusof, Ustazah Faridah dan anak-anak.

Saturday, August 6, 2011

Langit Ramadhan dan Mimpi

Dengan nama Allah, hari ini aku masih lagi bernafas. Syukran Ya Allah. Ramadhan sudah menginjak hari yang keenam. Telah genap empat hari aku mengharung Ramadhan di tengah kota metropolitan ini. Segala yang tersurat di Lauh Mahfuz aku terimanya. Seakan tidak pernah aku membayangkan Ramadhan tahun ini aku berbumbungkan langit kota raya dengan kepadatan 1.6 juta penduduk ini.

Rahmat Allah tidak terperi. Tidak layak bagi seorang insan untuk mempersoalkan itu-ini kepada Tuhannya. Bukankah kita hanya hamba? Bukankah kita hanya khadam-Nya? Apakah tiada sekelumit pun malu yang ada di dalam diri? Dengan itu, bermuhasabahlah sentiasa. Di bawah langit Ramadhan, masih tidak terlewat untuk kita meraih kasih dan rahmat-Nya.

Lewat usia suku abad ini, aku benar-benar teruji. Teruji segalanya. Namun sebagai hamba, inilah ‘hadiah’ yang paling mahal daripada Tuhanku. Dia telah menciptakan kita atas hakikat hidup ini adalah sebagai ujian. Setiap ujian akan menentukan tahap keimanan seseorang hamba. Adakah imannya semakin meningkat? Atau semakin menyusut dan terkulai layu?

Usai sahaja menamatkan marathon ‘Sang Pemimpi’. Ah, begitu lama aku memeramnya sehingga sudah malas mahu menapak kembali bacaan. Akan tetapi mujur ada adinda merangkap sahabat pembooster terkuatku, Hamasyie yang acap kali menyalakan hamasahnya kepadaku. Bertuah aku memiliki adik seperti beliau, Alhamdulillah Ya Rabb, Engkau kekal eratkanlah ukhuwwah kami. Lalu apa istimewanya Sang Pemimpi itu?

Andrea Hirata bukan calang-calang insan. Beliau berjaya dan teramat berjaya membuka mataku selebar dan sebulatnya bahawa tiada mustahil apa yang diangankan, apa yang dimimpikan akan menjadi nyata. Ya, dan begitu aku telah menyaksikan contoh hidup daripada insan-insan terdekatku, bahawa mimpi-mimpi mereka telah pun dipeluk Tuhan.

Mujahadah tiga sahabat akrab yang dipertontonkan kepada kami; Ikal, Arai dan Jibron ternyata bukan sebuah epik purba malah ianya adalah sebuah persahabatan hakiki yang tiada tara. Lukisan pengorbanan mereka sungguh meruntun hatiku bahawa aku sebenarnya masih jauh ketinggalan dalam soal pengorbanan kepada seorang sahabat.

Tanpa mimpi, orang seperti kita akan mati..” seakan ungkapan Arai ini terpahat kukuh di benakku tika ini. Walaupun sekilas pandang, pasti ada yang akan terburai tawa; takkan mahu berdagang mimpi? Apa sudah tidak punya pekerjaan lainkah? Namun jika ianya dilihat dengan mata hati, mimpi itu adalah impian dan cita-cita yang telah disulam sehingga tiada apa pun yang mampu merobohkannya.

Itulah pelajaran berharga yang ku peroleh daripada Andrea Hirata. Hidangannya sentiasa sahaja memukau, sehingga euforia dibuatnya. Tanyakan juga kepada adinda-adindaku; Hamasyie juga Hajar, pasti sama juga jawapan mereka. Andre Hirata tidak kalah dengan A.Fuadi yang menggarap N5M dan R3W sehingga setiap kalimatnya yang ajaib menjadi hafalan kami. Ah, sungguh kami tersihir!

Cukup dahulu aku kisahkan Sang Pemimpi dan Andrea Hirata kerana fokus utama yang ingin diraih oleh setiap Muslim lagi Mukmin adalah rahmat, keampunan dan pelepasan dari azab Neraka-Nya di dalam bulan yang penuh keberkatan ini. Langit Ramadhan masih terbuka luas. Rahmat Allah tiada bertepi menggamit hamba-Nya yang benar-benar ingin memperbaiki diri, berhijrah ke arah yang lebih baik daripada sebelumnya.

Sungguh damai dan tenang hati ini saat berteduh di bawah langit Ramadhan. Serasa mahu Ramadhan sahaja sepanjang tahun, bukan? Begitu mimpi dan angan seorang mukmin yang terlalu cintakan bulan yang penuh keberkatan ini. Ya Allah, berkatilah kami di dalam bulan Ramadhan.

Aku punya azam untuk Ramadhan tahun ini tetapi biarlah ianya menjadi rahsia antara aku dan Tuhanku. Sesungguhnya bulan magis ini dirasakan amat cepat sekali berlalu, moga setiap saat di dalamnya tidak dibiarkan dengan sia-sia. Pasti kita akan menangis hiba jika setiap saat di dalam bulan suci ini dibiarkan begitu sahaja. Allahu Rabbi, mohon diteguhkan iman kami dan berikan kekuatan kepada kami untuk menempuh Ramadhan dengan sebenar-benar iman dan hati yang ikhlas.

Di bawah langit Ramadhan, aku berjalan mencari rahmat, redha dan kasih sayang Tuhan, Allahu Allah..