Monday, March 19, 2012

Dunia PASUM| Terima Kasih!

Bismillahi walhamdulillah

Dunia timbaan ilmu mendidik anak-anak bangsa bakal ku tinggalkan tidak lama lagi. Terima kasih dunia PASUM seisinya! Terima kasih atas peluang keemasan yang diberikan. Alhamdulillah saya menghargai setiap detik (2 semester) saya di sini.

Buat anak-anak didik saya;

Semester 1 {B3, C1, T2}
Semester 2 {A3, C3, E2, E3, T3}

Kalian adalah terbaik dan terhebat! Semoga langkahan kalian lebih deras, lebih tuntas!

Selamat melangkah ke dunia yang lebih mencabar, lebih menggugah dan lebih dewasa. Maafin atas segala salah silap saya. Saya sesungguhnya berbangga dan gembira dapat mengenali kalian =)

Fi Amanillah!

Salam Sukses! Salam Najah untuk ummah!


Ikhlas,
Puan Hafizah, 2011/2012.

Friday, March 16, 2012

Penjara


Bismillahi walhamdulillah

Dari Abu Hurairah r.a katanya:”Rasulullah s.a.w bersabda:”Dunia penjara bagi orang mukmin dan syurga bagi orang kafir.” [Muslim]
Huraian
Dunia ini harus kita nikmati dengan mengikuti segala perintah Allah dan menjauhi larangan-Nya. Dikatakan bahawa dunia adalah penjara bagi mukmin kerana di dunia manusia terdedah dengan pelbagai macam godaan dan ancaman yang mencabar keimanan. Bahkan apa yang dilarang oleh agama itu selalunya menjadi kesukaan nafsu manusia. Namun hakikatnya laranga-larangan itu adalah demi kebaikan dan kesejahteraan manusia itu sendiri agar tidak terjebak ke lembah kebinasaan. Berbeza pula bagi golongan kafir mereka bebas melakukan apa sahaja sehingga akhirnya mereka merosakkan jiwa dan diri mereka sendiri. Inilah hakikat dunia yang akan menjadikan manusia yang alpa tenggelam di dalamnya. Sebab itu kita selaku orang mukmin diseru agar memanfaatkan dunia dengan bijaksana iaitu apabila kita berusaha memanfaatkan kehidupan dunia sebagai jambatan menuju kebahagiaan akhirat, maka Allah akan memberikan kedua-dua-nya (kebahagiaan dunia dan akhirat). Namun sekiranya kita hanya mengutamakan kehidupan dunia dan melupakan akhirat, maka Allah hanya akan memberikan satu kenikmatan sahaja iaitu dunia semata. Sedangkan di akhirat kelak kita mendapat kerugian yang banyak.




Teringat saya akan hadith ini. Benar sekali. Dunia yang fana ini akan ditinggalkan. Anggapan manusia yang begitu cintakan dunia seolah-olah mereka akan hidup selamanya hanyalah anggapan yang sia-sia, tiada makna. Mereka begitu memuji, memuja dan mengkagumi segala hal yang sementara ini sehingga sanggup bermati-matian deminya.

Sayang sekali bukan? Anggapan ini wajib diperbetulkan, wajib di’tune’kan. Amat cantik sekali analogi di dalam hadith di atas. Dunia ibarat penjara. Penjara kepada siapa? Penjara kepada orang beriman. Kenapa ianya dinyatakan khusus kepada orang beriman?

Cuba kita bayangkan jika kita berada di dalam penjara. Best kah? Oh, jika ada yang menawarkan kepada kita untuk duduk di dalamnya, cepat sahaja kita akan menolak kan? Nak buat apa duduk dalam penjara? Sempit, kotor, busuk, sesak, gelap dan menakutkan. Berada di dalamnya akan membuatkan kita menghitung-hitung hari ‘kebebasan’.  

Itulah seperti yang kita fikirkan, seperti rata-rata orang fikirkan. Penjara sinonim dengan segala kejelekan dan penjara adalah tempat bagi mereka yang telah melakukan kesalahan dan disabit bersalah di sisi undang-undang. Akan tetapi sudah lupakah kita, Nabi Yusuf a.s. pernah dipenjara? Said Qutb, Zainab Al-Ghazali serta sahabat-sahabat Ikhwanul Muslimin juga pernah dipenjara? Adakah mereka seorang pesalah? Adakah mereka berbuat kesalahan sehingga disabit salah di sisi undang-undang?

Sesungguhnya mereka adalah orang-orang beriman yang punya iman yang kuat, jiwa yang kental dan ruh jihad yang mantap, sehingga mereka diuji sedemikian rupa. Hakikatnya, dunia ini adalah penjara yang sebenar bagi orang-orang yang beriman. Dunia ini penuh dengan kejelekan dan ketidak adilan oleh mereka yang zalim dan mereka yang tidak beriman.

Biarlah orang-orang beriman dipenjara di dunia, tidak mendapat hak-hak yang sepatutnya, tidak dijaga kebajikannya hatta maruah mereka turut sama diperkosa! Siapa kata orang-orang beriman tidak memperjuangkan hak-hak mereka? Siapa kata orang-orang beriman hanya diam membisu, memekakkan telinga atau pun tidak peduli dengan nasib mereka?

Orang-orang beriman sudah dan akan terus memperjuangkannya! Dan kerana mereka yakin bahawa Al-Jabbar sentiasa bersama mereka, mereka tidak gentar berjuang, mereka tidak pengecut untuk berhadapan dengan kuffar. Bagaikan berada di dalam penjara, disepak terajang, dimaki hamun dan diseksa seazabnya; begitulah yang dirasai oleh orang-orang yang beriman.

Orang-orang yang beriman, kalian harus yakin bahawa Allah Al-Jabbar sentiasa bersama kita. Pohonlah kepada Dia, mengadulah kepada Dia pada saat heningnya malam. Pohonlah kepada Al-Jabbar agar Dia cukupkan keperluan kita. Kerana Al-Jabbar tidak akan menghampakan permintaan hamba-Nya apatah lagi hamba-Nya yang dizalimi, ditindas dan dinafikan hak mereka.

Nukilan rasa seorang hamba hina untuk saudara-saudaraku di Syria. Kalian harus kuat, kalian harus semangat kerana Allah Al-Jabbar bersama kalian dan doa-doa kami beserta kalian. Ya Allah Al-Jabbar, Engkau kentalkanlah iman mereka, lapangkan hati mereka dan cukupkan keperluan mereka di saat mereka berhadapan dengan ujian-Mu ini..amin Ya Allah..

p/s: penulis tidak merujuk kepada tafsiran ulama’ mengenai terjemahan hadith di atas. Penulis hanya menukilkan rasa hati berkisar isu semasa yang berlaku di Syria tetapi penulis mengkaitkannya dengan hadith di atas. Allahu a’lam, teruskan lantunan doa anda untuk saudara-saudara kita di Syria.

Tuesday, March 13, 2012

Apresiasi Buat Zauji

Bismillahi walhamdulillah

Alhamdulillah, ucapan hamdalah selamanya untuk Rabbku, untuk Rabb yang sentiasa melimpahkan rahmat dan kasih sayang-Nya yang tiada tara. Syukur teramatnya kerana Dia mengizinkan diri ini mengecap nikmat terindah dalam hidup selepas nikmat Iman dan Islam iaitu nikmat sebuah pernikahan.


Tanggal 4 Februari 2012 bersamaan 11 Rabi'ul Awal 1433H, diri ini telah sah dinikahi zauji dengan sekali lafaz. Alhamdulillahi Rabbil'alamin..maka kini redha suami menjadi matlamat utama dalam hidupku. Kami telah halal untuk menyulam cinta, berkasih sayang kerana Allah semata. Inilah nikmat terindah, yang sebelumnya adalah haram bagi seorang lelaki dan perempuan, tetapi kini telah HALAL dengan asbab tali pernikahan itu. Alhamdulillah ya Rabb!

Hidup berumah tangga sudah tentu tidak akan sunyi dengan ujian-ujian yang sentiasa dihidangkan Ilahi buat hamba-hamba-Nya yang beriman. Demikianlah kita diajar untuk memohon kekuatan kepada Allah dalam menghadapi mehnah hidup ini. Ujian juga merupakan tapisan dan saringan Allah buat hamba-hamba-Nya, apakah ikhlas dan benar imannya kepada Tuhannya. Begitu juga dengan usrah kami. Selepas seminggu bergelar pengantin baru, kami harus berpisah demi tanggungjawab masing-masing yang telah sedia digalas sebelum menikah lagi.

Sudah tentu rasa sedih tidak dapat diungkapkan lagi. Hanya Allah Al-'Alim Maha Mengetahui akan rasa ini. Namun begitu, sebagai hamba-Nya yang beriman, kita yakin bahawa Allah Al-Hafidz Maha Memelihara yang akan menjaga dan memelihara suami yang kita cintai. Kami harus saling menguatkan, saling menasihati dan menegur jika tersalah laku, kata mahu pun perbuatan.


Entri ini adalah apresiasi ku buat zauji tercinta. Terima kasih teramatnya zauji, dengan nama Allah engkau sudi mengambilku sebagai zaujahmu, suri hidupmu dan teman sepanjang hayatmu. Aku berjanji kepadamu bersaksikan Allah Tuhan kita, bahawa aku akan menjadi isterimu yang solehah, menjadi penyeri dan penyejuk hatimu di kala senang dan susahmu. Aku berjanji untuk taat kepadamu dengan segala kudrat yang sedikit yang Allah pinjamkan untukku, untuk aku sedaya upaya memberi keselesaan dan ketenteraman kepada dirimu. Aku berjanji untuk melahirkan, membesarkan dan mendidik bakal anak-anak kita agar mereka tumbuh dan membesar sebagai mujahid dan mujahidah ummah, agar mereka ini menjadi asset kita ke syurga-Nya kelak, insyaAllah.

Amat besar harapan dan cita-citaku bukan? Allahu Rabbi..bukan aku adalah yang terbaik untukmu tetapi aku cuba untuk menjadi isteri yang terbaik buatmu. Semoga engkau bisa memahami dan meredhaiku ya zauji. Dengan nama Allah, kita dipertemukan, kita disatukan dan andai kita akan berpisah, perpisahan itu jua adalah kerana Allah semata. Demi Allah, aku mencintaimu zauji dan ayuh kita bersama-sama melayarkan bahtera bait muslim kita menuju cinta dan redha-Nya. 

Salam kasih sayang,
Zaujahmu
Tanah perjuangan, Kerinchi.

Tuesday, March 6, 2012

Sedetik Lebih


Agak 'jiwang' rasanya mendengar lagu ini. Tetapi ini adalah lagu cinta saya dan abang, maka saya belajar untuk mendengarnya (baca: dalam frekuensi yang tidak kerap) dan ada juga lagu-lagu lain yang lebih mantap bait-baitnya.

Menjadi kekasih halal kepada abang adalah nikmat kebahagiaan yang tidak terucap. Alhamdulillah 'ala kulli hal! Dan pada 4 Mac lepas genaplah sebulan title 'isteri' yang telah saya galas. Usrah kami masih jauh lagi perjalanannya..Mohon didoakan agar usrah kami sentiasa disulami dengan sakinah, mawaddah dan rahmah.

Bestnya NIKAH! Buat pembaca LTC yang masih single, cepat-cepatlah melangkah ke alam menikah =)
Alhamdulillah..Alhamdulillah..Alhamdulillah..

Best regards,
Hafizah wa Hafiz~