Friday, April 27, 2012

Prolog BERSIH 3.0

Bismillahi walhamdulillah

27 April 2012| Satu hari lagi menuju hari BERSIH. BERSIH 2.0 sudah cukup merobek hati rakyat, bagaimana pula dengan BERSIH 3.0? Saya melihat kembali catatan Mozek BERSIH 2.0 saya yang lalu..rupanya Allah membenarkan dugaan saya dan rakyat Malaysia seluruhnya, Allahu Akbar! Bahawa BERSIH 3.0 pasti ada dan ianya sememangnya bakal berlangsung esok! Konklusinya, rejim Najib masih tidak berupaya memenuhi 8 tuntutan suara hati rakyatnya..


Rasa mahu menitikkan air mata apabila mengenang kembali BERSIH 2.0. Rasa berbangga dengan seluruh rakyat Malaysia yang cintakan keadilan dan keamanan sehingga hampir seantero dunia berBERSIH dan mengKUNINGkan peta dunia! Tahniah saya ucapkan.

Saat ini khutbah Jumaat sedang berlangsung dan pada saat yang sama, kedengaran siren polis di tengah-tengah jantung kota ini. Saya masih tidak mengetahui apa yang sedang berlaku di luar sana namun hasil daripada laporan-laporan berita, Dataran Merdeka sudah pun dipagar seawal jam 4 pagi tadi! Allahu Rabbi, saya tidak dapat mengagak strategi apa yang telah diatur oleh sang polis, hanya Allah Al-'Alim yang Maha Tahu.

Masih terngiang-ngiang di telinga bacaan puisi sang demonstran lara oleh Pak Samad Said, meruakkan rasa kesal dan sedih dengan sikap pemimpin negara. Semarak BERSIH 3.0 terus-terusan memenuhi dada-dada alam maya terutamanya laman sosial terkemuka, Facebook. Saya berbangga dengan kalian, teruskan semangat itu, biar nampak 'kuning' sahaja profile picture anda =)

Saya menyerahkan segalanya kepada Allah, saya tiada tahu adakah saya terpilih untuk berada di dalam lautan kuning esok. Jika ianya baik bagi saya, maka saya akan bersama-sama kalian. Jika saya tidak dapat hadir sekali pun atas asbab yang kuat, ruh saya tetap bersama tunjuk rasa itu. Walau hati ini perit, pedih dan sedih tidak bisa menjadi sebahagian daripada mereka, tetapi doa saya tetap dipanjatkan untuk kelancaran BERSIH 3.0 pada esok hari, insyaAllah.

Astaghfirullahal'azhim..bersama tajdid niat masing-masing, menghadiri BERSIH 3.0 demi untuk menuntut PRU 13 yang bersih dan adil! Jangan diturutkan emosi, wala' lah kepada arahan pimpinan, banyakkan berzikir dan berdoa. Tiada daya upaya yang lebih hebat melainkan Dia.

BERSIH 3.0>> semoga aman, lancar dan selamat.


Wednesday, April 25, 2012

Abah dan Mak; Titipan Allah Paling Istimewa

Bismillahi walhamdulillah

Mata enggan dipejam, mahu bermuhasabah malam ini. Layar minda terarah ke wajah Abah dan Mak, anugerah Allah yang paling istimewa dalam hidupku dan adik-adik. Menatap wajah Abah dan Mak, rasa seperti hilang segala masalah, rasa aman dan selamat, rasa tenang. Perasaan ini pastinya tidak akan hilang, walaupun umurku dipanjangkan ke angka 30 tahun, 40 tahun dan wallahu a'lam sampai kapan pun usiaku, perasaan damai ini akan bernada sama, insyaAllah.



Abah dan Mak, tidak terbendung rasa sayu di hati apabila mengenangkan segala pengorbananmu kepada kami. Kini aku sudah bergelar seorang isteri, sudah punya keluarga kecil sendiri namun kasih Abah dan Mak tidak pernah berkurang sedikit pun. Anak sulung mereka yang sudah pun berusia 26 tahun, sudah berkahwin tetapi masih dilayan seperti anak sulung mereka yang masih kecil, seperti 26 tahun yang dahulu. Allahu Allah..

Tika kepulanganku ke Juliana tempoh hari, Abah dan Mak menyambutku hangat, persis zaman bujangku. Sewaktu mahu pulang ke KL, Mak masih lagi menghantarku ke hentian bas. Ditanya apakah keperluanku cukup semuanya, seolah-olah aku ini adalah anak perempuannya yang masih kecil, sedangkan aku sudah memiliki seorang suami. Subhanallah, tabarokallah! Bagaimana bisa aku membalas jasa kalian wahai ayah dan ibuku? Hanya Allah sahaja yang mampu membalasnya..

Kesedihan berpisah dengan suami sedikit sebanyak terubat dengan menatap wajah tua mereka yang tenang. Sering berdetik di dalam hati, "apakah aku bisa menjadi ibu sebaik Mak?" Abah dan Mak adalah ibu bapa terhebat yang dikurniakan Allah kepada kami. Alhamdulillah ya Allah, rahmatilah kedua-dua mereka ya Allah..

Abah seperti biasa, tidak pernah jemu memberi pesan, memberi galakan dan dorongan agar aku terus memajukan langkah dalam merealisasikan cita-cita seperti beliau, menjadi pendidik anak bangsa, insyaAllah. Aku amat-amat berterima kasih kepada Abah, marah Abah, tegur Abah, perli Abah menjadikan aku manusia pada hari ini, terima kasih Abah! Dan kadang-kadang aku rindu untuk dimarah oleh Abah kerana aku tahu Abah marah kerana Abah mahu membangkitkan aku yang kadang-kadang leka dan lalai. Abah marah kerana Abah sayangkan anak-anaknya dan Abah tidak mahu anak-anaknya ketinggalan dalam dunia persaingan maha dahsyat ini.

Bergelar seorang isteri mengalirkan rasa insaf di hati ini. Terima kasih Allah atas nikmat bergelar seorang isteri kepada seorang suami yang amat memahami dan menerima diriku seadanya. Bergelar seorang isteri mengajarku erti sabar, erti bertolak ansur dan erti melebihkan suami atas segala hal hatta dalam soal perasaan sendiri. Dan sifat-sifat seorang isteri solehah telah pun ditunjukkan oleh Mak, dan kini aku pula yang merasai dan menjalaninya. Ya Allah, bantulah aku untuk menjadi isteri yang solehah buat suamiku..



Mak, terima kasih kerana melahirkan Kak Yong, membesarkan dan mengajarkan erti kedewasaan kepada Kak Yong dan adik-adik. Kak Yong sayang Mak dan Abah kerana Allah dan semoga Allah mengumpulkan kita bersama-sama di syurga-Nya kelak, insyaAllah..

Anak Mak Abah,
Tanah perjuangan,
Vista Angkasa.

Friday, April 6, 2012

Menghimpun Quwwah

Bismillahi walhamdulillah

Atas nikmat terbesar yang dikurniakan Allah kepada kita semua iaitu nikmat Iman dan Islam, ucapkanlah ALHAMDULILLAH..

Jersi pelajar Sarjana masih tersarung di jasadku, pertengahan Semester 3 kini..Alhamdulillah'ala kulli hal. Buat julung-julung kalinya aku tidak pulang bercuti tika Mid Break berlangsung..lalu memasang mode "Mujahadah Tanpa Henti" kepada diri sendiri..

Namun, aku tetap seorang manusia, bukan robot! Teringat rakan dan teman baikku, Fatimah menuturkannya lewat semalam tika kami menyantuni FEA bersama assignments yang minta disiapkan..Senyum sendiri. Iya, tepat sekali bicara anda teman :)

Dan aku adalah seorang manusia yang tidak bisa lari daripada menghidap penyakit "STRESS". Lalu apabila sakit ini menjalar, timbullah idea-idea separa gila, hampir gila tetapi tidaklah sampai kepada gila di dalam otakku. Idea pertama adalah TRAVELLING! Serasa mahu 'terbang' dan keluar sebentar daripada bumi UM, meninggalkan sebentar 'dunia Masterku'!

Hanya idea sahaja, tidak bisa menjadi kenyataan atas kekangan masa dan kewangan (baca: mimpi sahaja yang mampu). InsyaAllah jika diizinkan Allah, mahu juga 'terbang' melihat dan mentadabbur ayat-ayat manzhurohnya, mengutip ibrah tinggalan tamadun manusia dahulu..



Lambakan tugasan yang seakan tidak kasihan kepada diri ini, memaksa diri untuk memperuntuk sebahagian besar masa kepadanya. Menghimpun quwwah, hamba yang lemah ini meminta kepada Allah Al-Qawiyy, Allah Maha Kuat, agar dikurnia sedikit kekuatan buat menyelesaikan tugasan duniawi ini demi misi membantu ummah, insyaAllah.

Agenda ummah jangan sesekali dikesampingkan. Terkadang kesibukan di dalam dunia Master menyebabkan aku terkesamping juga tugasan utama ini. Allah..ampunkan aku..Kudrat muda ini jangan dipersiakan, habisi ia dengan amal dan ibadah kepada-Nya semata. Malulah kepada mereka yang lebih tua daripadamu tetapi masih bertenaga dan masih tangkas gerak langkahnya untuk agenda ummah!

Lalu kembali bergema firman-Nya di dalam surah At-Taubah: 41 bahawasanya dalam keadaan apa sekali pun (ringan atau berat) harus tidak punya alasan bekerja untuk agama-Nya. Disambung pula dengan ayat berikutnya bahawa jalan tinggalan para Nabi dan Rasul Allah itu adalah jalan yang jauh dan sukar dan rata-rata manusia tidak mahu mengikuti jalan ini.

Muhasabah dinihari Jumm'ah mubarakah! Manusia itu nasiya, perlu diingat sentiasa..dan sentiasa..