Tuesday, June 26, 2012

Recharge!

Bismillahi walhamdulillah

Tidak kurang sebulan sahaja lagi Ramadhan bakal menjengah. Oh tidak sabar rasanya mahu bertemu Ramadhan, bulan yang sekian lama dinanti dan dirindui. Ramadhan tahun lepas masih bersisa di ingatan, bahagia rasanya dapat menjelajah rumah-rumah Allah di jantung kota ini. Alhamdulillah thumma Alhamdulillah..jika dahulu aku membayangkan kesukaran dan ketidak selesaan untuk menyambut Ramadhan di ibu kota tetapi rupanya tanggapan aku salah sama sekali. Di mana pun kaki ini berpijak di bumi Allah, Ramadhan itu memberikan keberkatan dan kedamaian yang tidak terungkap dengan kata-kata.

Sem 3 telah berakhir

Jersi Master yang telah disarungkan rupanya telah tampak lama, ibarat baju lama yang dipakai berulang kali. 3 sem sudah berlalu, dengan siri-siri suka-duka juga tangis-tawa sebagai rencah masakannya. Alhamdulillah 'ala kulli hal, tidak percaya pun ada kerana diizinkan Allah melaluinya selama 3 semester. Berbaki 1 semester lagi dengan penumpuan penuh terhadap Research Paper ku. Rabbuna yusahhil, semoga Allah mempermudahkan urusan hamba-Nya yang dhoif ini.

Ramadhan sebagai Isteri

Jika mahu dihitung segala nikmat pemberian-Nya, takkan terhitung rasanya. Thumma Alhamdulillah, Ramadhan kali ini adalah satu pengalaman baru dan manis sebagai seorang isteri. Takut juga ada, risau jika tidak dapat menyiapkan keperluan suami dengan sempurna. 'ala kulli hal, harus yakin bahawa Allah pasti membantu jika niatnya baik dan ikhlas, insya-Allah. Menghitung hari untuk berangkat pulang menemui suami dan keluarga tercinta.

Abah dan Mak di Bumi Eropah

Alhamdulillah, Tabarokallah! Allah mengizinkan kedua-dua insan kesayanganku 'terbang' ke bumi Eropah, bertujuan menghadiri majlis konvokesyen adinda Ahmad Faidz. Rezeki Allah tiada yang siapa pun dapat menduga bukan? Biarlah Mak dan Abah berhoneymoon ^^,..tersenyum senang aku mengikuti perkembangan mereka dari FB. FB ada manfaatnya juga jika kita tahu mengawalnya.

Azam Ramadhan 1433H

Countdown Ramadhan. Aku cuba membayangkan Ramadhan kali ini dengan memegang status baru iaitu "isteri". Aku cuba memutar kotak ingatanku tentang persiapan-persiapan yang telah dilakukan oleh insan yang melahirkanku iaitu ibuku. Mak adalah orang pertama yang akan bangun awal pagi, bertahajjud seketika dan akan terus mempersiapkan makanan untuk bersahur. Kemudian dengan sabarnya Mak akan mengejutkan kami yang kadang-kadang sungguh 'liat' nak bangun pagi. Mak hanya makan sedikit dan lebih senang jika anak-anaknya berselera dan makan banyak. Oh ibu, mampukah aku menjadi sepertimu?

Azam Ramadhan kali ini, memaksimakan amalan-amalan sunat di samping memperbaiki amalan-amalan wajib juga cuba melaksanakan kewajipan sebagai seorang isteri dengan baik, insyaAllah..

Hingga bertemu.


Khaulah,
6 Sya'ban 1433H

Friday, June 8, 2012

Isu 'Evergreen' : PTPTN


Seingat saya, sudah lama isu PTPTN ini didebatkan. Alam mahasiswa saya menjadi saksi beberapa siri demonstrasi yang pernah diadakan kerana isu ini. Isu 'evergreen' ini sekali lagi menggemparkan negara apabila pada 7 Jun 2012 (semalam), Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khalid Nordin mengesahkan PTPTN membekukan pinjaman kepada mahasiswa baru UNISEL (malaysiakini.com). Disebabkan itu, ramai pelajar yang menyatakan bahawa mereka terbeban jika PTPTN dibekukan terhadap mereka.

Alasan yang diberikan adalah "Pembekuan itu bertujuan untuk memberi peluang kepada Pakatan Rakyat membuktikan mereka mampu memberikan pendidikan percuma di negeri itu, lapor Utusan Malaysia." Kenyataan ini secara terang-terangan mengandungi unsur politik sehingga mengakibatkan para mahasiswa terbeban.

Saya menyemak balik Visi, Misi dan Objektif PTPTN. Objektif mereka adalah "Memastikan pembiayaan yang efisien disediakan kepada pelajar-pelajar yang layak mengikuti pengajian di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) selaras dengan hasrat Kerajaan bahawa tidak ada pelajar-pelajar yang gagal memasuki IPT atas sebab-sebab kewangan." Secara jelas telah dinyatakan bahawa tidak ada pelajar-pelajar yang gagal memasuki IPT atas sebab-sebab kewangan. Maka di manakah relevannya objektif ini dengan pembekuan pinjaman ini kepada mahasiswa baru UNISEL?

PRU 13 belum lagi berlangsung, mendengar khabar tarikhnya pun belum lagi. Umpama menunggu yang tidak muncul-muncul. Amat tidak wajar alasan pembekuan adalah untuk memberi peluang kepada PR untuk memberikan pendidikan percuma kepada rakyat, walhal PR masih belum menjadi kerajaan. 

Justeru, saya sebagai mantan mahasiswa dan kini adalah pelajar Sarjana amat tidak bersetuju dengan isu pembekuan ini. Saya merasai kesusahan menanggung beban kewangan dalam pengajian tambahan yuran pengajian kini lebih tinggi berbanding dahulu. Ketepikan dahulu 'politik ugut' ini wahai politikus yang budiman. Mahasiswa-mahasiswa ini tidak bersalah, mereka dengan niat yang mulia ingin menuntut ilmu tidak harus dijadikan pertaruhan dalam permainan politik anda.

Jangan sampai hasrat murni mereka ini dibatalkan. Ada yang berhasrat untuk berhenti belajar jika PTPTN masih dibekukan. Jika ada yang mengusulkan, "pinjamlah dengan badan pinjaman yang lain", saya kira syarat-syarat badan pinjaman selain PTPTN adalah lebih sukar untuk dipenuhi. Sehingga hari ini bagi saya, PTPTN adalah badan pinjaman dengan dana terbesar yang mudah memberikan pinjaman kepada pelajar-pelajar IPT di seluruh Malaysia.

Saya sebagai seorang pelajar memohon agar isu pembekuan PTPTN terhadap mahasiswa baru UNISEL dibatalkan dengan segera.

Terima kasih.

Khaulah,
8 Jun 2012.