Sunday, July 29, 2012

Kembali Ke Medan Tempur


Bismillahi walhamdulillah

9 Ramadhan 1433H. Pagi yang indah di bumi perjuangan Petaling Jaya. Alhamdulillah biiznillah, dengan izin Allah aku kembali ke medan tempur ini. Kembali menyambung perjuangan yang tiada noktah, perjuangan sehingga ke liang lahad insyaAllah.

Kuala Lumpur tetap sama, seperti yang aku tinggalkan sebelum Ramadhan. Malamnya masih dilihat sibuk, kereta-kereta masih melingkar di atas jalan raya sedangkan solat sunat tarawikh sedang berlangsung di masjid-masjid dan surau-surau. Di mana Ramadhan mereka?

Oh bukan mahu skeptikal kepada marhaen Kuala Lumpur, mungkin mereka mengerjakan ibadah itu di rumah. Ya dan soal ibadah adalah antara mereka dan Allah. Namun tidak dinafikan, rumah-rumah Allah di jantung kota ini tetap meriah dengan pesta ibadah di bulan yang penuh keberkatan, penuh kemuliaan ini.

Permusafiran Kulim-Kajang semalam memberi ruang kepada diri ini untuk bermuhasabah dan mengaudit diri terhadap segala amal ibadah dan perilaku sepanjang berada di dalam Ramadhan dan sepanjang menjadi suri kepada Zauji. Kadang kala berjauhan itu perlu juga, menambahkan rasa manis dan indah dalam percintaan kami =)

Aku kini terikut dengan hobi Zauji, mendengar rakaman kuliah-kuliah melalui MP3 pemberian beliau ketika bermusafir. Alhamdulillah masa perjalanan yang agak panjang terisi juga dengan mendengar butir-butir ilmu.

Aku memilih untuk mendengar slot “Celik Mata Reset Minda Keluarga” yang disampaikan oleh motivator tersohor, Prof Dr Muhaya. Penyampaian Prof yang bersahaja dan mudah difahami amat senang di pendengaranku. Banyak sekali pengalaman yang beliau ceritakan terutama pengalaman beliau merawat para pesakitnya. Beliau berkongsi mengenai pengalamannya merawat pesakit lelaki berusia 17 tahun yang memiliki power tinggi dan berniat untuk melakukan lasik. Soalan pertama yang beliau ajukan selepas memeriksa matanya adalah “Adik merokok?” lalu remaja itu menafikannya. Prof merenung matanya dan menyoal sekali lagi. “Jujurlah dengan saya, jangan tipu. Saya lihat mata kamu, saya tahu kamu merokok.” Terdiam remaja tersebut. Dia tunduk lalu mengangguk perlahan-lahan.

Prof melanjutkan bicaranya. “Adik, kenapa adik merokok? Adik tahu tak, mak adik dah laburkan hampir tujuh ribu untuk lasik ni dan jumlah ni bukan satu jumlah yang kecil. Adik tak kasihan kat mak adik? Saya tak mahu lakukan lasik kepada adik melainkan adik dah betulkan minda adik dahulu. Saya tak mahu adik nanti sudah nampak dengan terang tetapi adik masih melakukan perkara yang sia-sia dalam hidup.” Selepas Prof berkata begitu, remaja tersebut menangis, mungkin tersentuh dengan nasihat yang diberikan.

Remaja sering dipersalahkan atas perkara-perkara negatif yang mereka lakukan. Menurut Prof, mereka sebenarnya tidak bersalah, tetapi keluarga dan masyarakat yang bersalah kerana tidak mendengar apa mahu mereka, apa luahan hati mereka. Prof bertanya, berapa ramai ibu bapa yang mendengar luahan hati anak-anak? Adakah ibu bapa lebih suka mengarah atau mendengar? Berapa ramai ibu bapa yang peluk anak mereka dan berkata “Kamu anak yang hebat, kami berbangga memiliki kamu sebagai anak kami”.

Ironinya, kebanyakan ibu bapa lebih suka menuding jari kepada anak-anak dan memarahi anak-anak atas perlakuan negatif yang mereka lakukan. Justeru anak-anak merasakan mereka tidak lagi disayangi lalu mencari ‘kasih sayang’ itu di luar rumah. Lalu terjebaklah mereka dalam gejala yang tidak sihat disebabkan salah pilih kawan dan tidak dipandu oleh ibu bapa mereka.

Banyak lagi pengalaman lain yang diceritakan oleh Prof di samping ilmu tentang kesihatan mata turut dikongsi. Kesimpulannya, setiap daripada kita harus berbalik kepada diri sendiri dan perbetulkan diri masing-masing dahulu sebelum menuding jari kepada orang lain. Masyarakat kita terlalu suka menghukum dan memfitnah orang lain tetapi tidak pernah melihat kepada diri sendiri yang masih punya banyak kelemahan.

Benarlah apa yang disebut oleh Prof. Seek first to understand before to be understood. Salah satu daripada 7 Habits yang diperkenalkan oleh John Maxwell ini sebenarnya mengintikan apa itu empati. Tidak ramai antara kita yang empati. Suami tidak empati terhadap isteri dan sebaliknya. Ibu bapa tidak empati kepada anak-anak dan juga sebaliknya. Susahkah mahu menjadi empati? Anda hanya perlu menyediakan dua telinga anda untuk mendengar luahan hati mereka dan bahu anda jika diperlukan untuk mereka rebahkan dan merasa sedikit kelegaan dengan berbuat demikian.

Islam sesungguhnya mengajar apa itu empati. Kita diajar untuk mendengar apabila orang lain berkata-kata dan ianya termasuk dalam empati. Keberadaan kita di dalam Shahr Ramadhan adalah masa yang tepat untuk melatih empati  jika kita belum memilikinya lagi. Kenapa Ramdhan adalah bulan empati? Kerana Ramadhan mengingatkan kita kepada mereka yang susah, mereka yang kelaparan dan hidup di dalam kemiskinan. 

Subhanallah, indahnya Ramadhan! Rasulullah s.a.w. bersabda di dalam khutbah baginda di malam terakhir Sya’ban yang antara intinya, “Ramadhan adalah bulan kesabaran.” Benar sekali sabdaan baginda. Ramadhan melatih kita untuk sabar, bukan sabar yang biasa-biasa. Sabar dalam melakukan ibadah kepada Allah, sabar daripada melakukan perkara-perkara maksiat dan dilarang Allah. Dan sabar ini harus seiring dengan mujahadah. Subhanallah, Ramadhan mengajar kita segala-galanya, yang tidak ada di dalam bulan lain.

Aku teringat kata-kata seorang ulama’ yang disegani, Syeikh Nuruddin Al-Banjari, “Ramadhan hanya 30 hari dalam setahun”. Hanya 30 hari! Bukan 3 bulan, bukan 30 bulan. Maka rebutlah segala tawaran hebat yang tersedia di dalamnya. Amat rugi jika ada di antara kita yang masih melakukan perbuatan yang sia-sia, masih ada masa untuk berkaraoke di malam hari (na’uzubillah), bermain video game dan perbuatan lain yang melalaikan dan merugikan. Allahu Allah..ingatlah, Ramadhan hanya 30 hari sahaja, selepas Ramadhan berlalu, janganlah kita kesalkan kerana tidak melakukan amal ibadah sebanyak-banyaknya. Ramadhan: Peluang Yang Sama, Natijah Yang Berbeza.

Khaulah 
9.02 a.m.
Vista Angkasa.

Friday, July 27, 2012

Jumm'ah dan Prof Muhaya



Bismillahi walhamdulillah

7 Ramadhan 1433H. Jumm’ah mubarakah! Jumaat pertama Ramadhan. Alhamdulillah Allah masih memberikanku kesempatan berada di dalam bulannya yang penuh mulia, bulan yang penuh dengan tawaran dan bonus seperti kata Al-Fadhil Ustaz Syed Kadir Al-Jofree di dalam “Nasi Lemak Kopi O” pagi tadi.

Hamdan Lillah hari ini berkesempatan ikut Zauji ke Masjid Al-Huda Kelang Lama, rumah Allah yang menjadi saksi sujudku sepanjang Ramadhan tahun ini. Hari ini rasa sangat syahdu dan tenang sekali dan rasanya inilah ketenangan yang selama ini aku dambakan. Alhamdulillah Ya Allah, Engkau campakkan jua sakinah yang saban waktu aku memintanya Ya Allah..Lantunan bacaan Surah As-Sajadah dan Surah Insan oleh imam semasa Solat Subuh pagi tadi amat menyentuh hatiku, serasa hati yang kotor ini baru merasai siraman cahaya Nur Kalamullah..Allahu Allah..

Sesungguhnya ketenangan ini, kedamaian ini dan kebahagiaan jiwa ini yang aku cari, yang aku dambakan. Sedangkan Ramadhan sudah hampir seminggu berlalu..Allahu Allah..benarlah hidayah itu milik Allah, dan Dia sahaja yang bisa mencampakkannya kepada sesiapa sahaja yang Dia sukai. Wahai Allah, kekalkanlah sakinah ini ke dalam hati hamba yang sangat rapuh dan lemah imannya..

Prof Muhaya

Sedang aku scroll status-status rakan FB, tiba-tiba terpandang satu video yang bertajuk “Sejernih Sinar Matamu” oleh Ahmad Fetry, selebriti TV3. Masya-Allah rupanya video ini menceritakan kisah insan hebat yang menjadi ikutan sebahagian besar rakyat Malaysia iaitu Prof Muhaya. Prof Muhaya memang sudah tidak asing lagi dengan kita, seorang pakar mata, pendakwah dan motivator hebat dengan kata-kata beliau yang begitu bermakna dan bermanfaat.

Aku jadi teringat kepada Zauji. Di usia perkahwinan kami yang masih muda lagi, kami sebenarnya masih dalam fatrah mengenali antara satu sama lain. Zauji selalu recommendkan aku untuk mendengar slot Prof Muhaya di IKIM.fm iaitu “Reset Minda Celik Hati”. Rupanya Prof Muhaya merupakan salah seorang ikon beliau. Pasti Zauji akan quote kata-kata Prof Muhaya dan kemudian sampaikan kepadaku. Dan aku akuinya bahawa Prof Muhaya adalah seorang insan yang kaya jiwa dan setiap pekerjaan yang beliau laksanakan adalah kerana Allah dan mahu memanfaatkan orang lain.

Tontonlah video ini..dedikasi Prof Muhaya untuk kita semua yang bergelar muslimah, isteri, ibu dan tidak kira apa jua pekerjaan kita. Setiap patah kata beliau sangat inspiratif dan banyak kali beliau mengulangi bahawa beliau mahu meninggalkan dunia fana ini pada hari Jumaat dan di dalam bulan Ramadhan yang penuh mulia..Allahu Allah..hebatnya beliau..semoga Allah memperkenankan niat suci beliau.

Prof Muhaya sudah memanfaatkan insan lain di dalam kepakaran beliau. Bagaimana dengan kita? Prof Muhaya berkata, “Jangan kejar cita-cita tetapi kejarlah MAKNA, kerana cita-cita adalah pandangan manusia sedangkan MAKNA adalah pandangan Allah".“Menjadi pendidik bukan untuk tunjukkan kita pandai, tetapi menjadi pendidik adalah untuk memanfaatkan pelajar kita”. Subhanallah! Tabarokallah! Banyak lagi mutiara-mutiara hikmah yang beliau sampaikan, tontonlah..

Formula Prof Muhaya sebenarnya mudah sahaja, "Dekat dengan Allah, Kejar Akhirat dan Manfaatkan Orang Lain". Aku sangat terkesan dengan kata-kata beliau "Saya meminta kepada Allah, jika saya sudah tidak memberi manfaat kepada orang lain, ambillah saya dari dunia ini..". Allahu Rabbi..Bertanya kepada diri, sudahkah kita memberi manfaat kepada orang lain? Nabi juga telah bersabda yang bermaksud "Sebaik-baik kamu adalah yang memberi manfaat kepada yang lain" dan Prof Muhaya benar-benar mengamalkan apa yang telah disabdakan oleh Baginda.

Aku malu sendiri. Menangis menonton video ini..Seorang insan hebat seperti Prof Muhaya tiada rasa megah dengan ilmunya, profesionnya, anak-anak yang bijak pandai dan harta yang dimilki. Tetapi Prof Muhaya yang umum kenali adalah seorang insan yang kaya jiwa, pemurah, memanfaatkan insan lain, rendah hati dan akrab hubungannya dengan Allah, insya-Allah..

Mari kita sama-sama tingkatkan potensi diri, reset kembali minda, lukiskan 'big picture' yang hendak dicapai dalam hidup dan bersangka baik dengan apa sahaja yang kita laksanakan kerana Allah sentiasa bersama prasangka hamba-Nya..

Allahu A'lam..


Wednesday, July 25, 2012

Ramadhan di Daerah Hi-Tech

Bismillahi walhamdulillah

5 Ramadhan 1433H. Subhanallah, cepat sungguh hari-hari yang berlalu di dalam bulan-Mu yang mulia ini. Bagaimana Ramadhanku? Allahu Allah..terasa banyak sekali masa yang dibazirkan dan dibuang begitu sahaja. Astaghfirullah, ampunkan hamba-Mu ini Ya Allah..

Ramadhanku tahun ini ku lalui di daerah Hi-Tech, di negeri tercinta Kedah. Hamdan Lillah atas kurniaan-Nya, dapat merasai saat-saat Ramadhan bersama Zauji. Namun begitu jauh di sudut hati, kerinduan Ramadhan bersama teman-teman seperjuangan tidak dapat disembunyikan. Serasa mahu kembali ke zaman bujangan juga zaman kampus suatu ketika dahulu.

Astaghfirullah..apakah aku telah menjadi insan yang tidak bersyukur? Sentiasa mengenangkan masa lalu walhal kini statusku adalah seorang isteri yang wajib berkhidmat untuk suaminya. Hal ini yang saban hari aku ingatkan kepada diri sendiri. Ya, mungkin dalam tempoh 5 bulan bernikah, hampir sebulan aku benar-benar berada di samping suami. Baru merasai bagaimana menguruskan makan-pakai suami dan hal-hal rumahtangga. Aku tidak boleh lagi memikirkan hal nafsi sahaja tetapi keperluan suami yang harus diutamakan. Wahai Allah, limpahkan sedikit kekuatan kepada hamba dalam menjadi suri terbaik untuk suami hamba.

Alhamdulillah thumma Alhamdulillah..Kasihnya Allah kepadaku, Dia mengurniakan seorang suami yang tidak menyusahkanku dan mudah diurus, terima kasih Zauji. Lalu di mana syukurku? Muhasabah untukku pada pagi 5 Ramadhan yang mulia ini. Benarlah, manusia sering kali merungut dengan ujian yang hanya sedikit dan sering jua membanding-banding kehidupannya dengan kehidupan orang lain. Walhal kehidupan dunia ini hanya sementara, sebentar cuma..namun dituruti jua hawa nafsu mereka..

Dalam masa yang sekejap sahaja Allah pinjamkan kepadaku, aku nekad untuk 'upgrade' diri terutama dalam hal-hal rumahtangga atau spesifiknya MEMASAK! Malam tadi, secara tidak sengaja aku menonton rancangan memasak yang dikelolakan oleh chef yang berbangsa Arab. Di akhir rancangan, beliau berkata, "masaklah dengan hati, masaklah dengan iman". Allahu Allah..cukup terkesan di hati ini. Benarlah, memasak adalah satu seni. Kita pasti mahu memasak makanan yang sedap-sedap agar dapat memberi kepuasan kepada orang yang memakannya. Jika kita benar-benar memasak dengan hati, dengan penuh kasih sayang dan penuh keimanan, insyaAllah makanan yang terhasil bukan sahaja sedap malah mendapat berkat dari Allah. Dan semoga dengan zikir dan doa yang kita tuturkan ketika memasak akan menjadikan orang yang memakannya dekat dengan Allah, insyaAllah..

Banyak sekali perkara baru yang aku pelajari setiap hari. Betapa Allah mahu mentarbiyah diri ini dan Allah mahu kita bertaqarrub dengan-Nya. Jadikan masa-masa keseorangan kita sebagai masa terbaik untuk kita berdamping dengan Allah. Buangkan segala persepsi negatif terhadap manusia dan hadirkan persepsi positif agar kehidupan hari-hari yang dilalui adalah tenang, bahagia dan mendamaikan. 'ala kulli hal, "hidupkan Ramadhan di dalam hatimu agar Ramadhan itu hidup walau di mana sahaja kakimu berpijak"


Khaulah,
Baiti Jannati
Kulim Techno

Thursday, July 12, 2012

An Amateur Housewife

Bismillahi walhamdulillah

Lokasi: Baiti Jannati (Techo Kulim)
Jawatan: Surirumah sepenuh masa

Alhamdulillah, sudah masuk hari keempat mendiami Baiti Jannati kami. Proses adaptasi nampaknya semakin terkawal dan sedikit demi sedikit dapat menarik nafas lega. Walau bagaimana pun, masih banyak kelengkapan yang tidak dapat disediakan dalam tempoh seminggu ini. 'ala kulli hal, hamdalah atas apa yang ada, kami tetap bahagia ^_^

Merasai pengalaman menjadi seorang surirumah amatur sepenuh masa amat menguji iman, perasaan dan masa. Hari-hari awal yang dilalui menerbitkan sedikit rasa bosan dek keseorangan sahaja di dalam rumah. Namun cepat-cepat dikuatkan hati bahawa inilah peranan sebenar seorang isteri di sisi suaminya. Bukankah ini saat yang ditunggu-tunggu? Seperti yang dipesan Zauji "Bermujahadahlah..."

Setelah 5 bulan hidup berjauhan, lalu kini Allah mengizinkan aku memainkan peranan sebagai seorang isteri sepenuhnya. Alhamdulillah..lalu di manakah syukurku? Sewajibnya rasa syukur itu menghiasi kamar hati kerana Allah telah mengurniakan seorang suami yang bertanggungjawab, penyayang dan bersungguh-sungguh mencari nafkah untuk keperluan keluarga kecil kami ini.


Nah, tidak mahu merebut pahala yang banyak itu? Sesungguhnya aku amat mengkagumi para surirumah yang begitu kental dan tabah melaksanakan tugas mereka di rumah. Mereka merupakan Manager, Doctor, Nurse, Financial Advisor, Chef, dan seberapa banyak lagi jawatan yang boleh disebutkan di sini, silakan..dan semua jawatan itu bisa dijiwai oleh seorang SURIRUMAH! Benarlah mereka seorang SURI dan RATU di dalam RUMAH dan ISTANA mereka.

Tempat seorang isteri yang solehah adalah di sisi suaminya. Mereka akan memastikan keperluan sang suami cukup serba-serbi. Mereka akan mendandan dan menghiasi diri mereka agar kelihatan cantik dan indah di mata suami. Mereka cuba sedaya upaya untuk tidak menimbulkan kemarahan kepada sang suami dengan menjaga perkataan, perbuatan dan adab mereka. Subhanallah, indahnya ajaran Islam dan amat benarlah janji Allah untuk para isteri yang taat kepada suami selagi mana tidak bertentangan dengan syara' dengan dimasukkan ke dalam syurga-Nya.

Aku terpana. Adakah aku sudah berperanan selayaknya sebagai seorang isteri yang solehah? 

Untuk Zaujiku, terima kasih atas segalanya..bimbinglah aku dan pimpinlah aku menuju redha dan kasih Ilahi..