Tuesday, December 18, 2012

Terima Kasih Zauji..

Bismillahi walhamdulillah

Manusia sentiasa terkenang pada masa silam sedangkan masa silam adalah suatu masa yang ditinggalkan. Astaghfirullah..semoga Allah menjauhkan kita daripada tipu daya syaitan yang sentiasa menyilaukan pandangan dan membisikkan kesesatan.

Melayari bahtera rumah tangga menuntut kesabaran dan toleransi yang tinggi di antara suami dan isteri. Apabila badai menghempas bahtera kami, harus ada strategi bagi menghadapinya. Adakah perlu berpindah bahtera atau pun bertahan sahaja di dalamnya? 

Wanita atau isteri umumnya memiliki Emotional yang tinggi berbanding lelaki atau suami. Apabila berhadapan dengan masalah, selalu sahaja panik dan tenggelam punca. Maka si suami datang menghulurkan bantuan, memberikan buah fikiran yang bernas dan cuba menyelesaikan masalah itu dengan strateginya yang bijak dan mudah difahami. Subhanallah, Maha Suci Allah yang melengkapkan hidup suami dan isteri dengan kelebihan masing-masing.

Kadang-kadang ombak yang menghempas kecil sahaja, jadi kami tidaklah kelam-kabut ingin berpindah bahtera. Kami hanya perlu menukar laluan, mengelakkan ombak yang tidak mengancam nyawa. Usia kami sebagai suami isteri masih lagi muda iaitu 10 bulan. Ibarat seorang bayi, kami masih lagi bertatih, tidak boleh lagi berjalan apatah lagi berlari. Maka ujian yang datang mematangkan kami, mengajar kami untuk menjadi Problem Solver yang baik kepada sekolah peradaban yang kami bina ini.

Menyebut tentang sekolah peradaban, sudah tentu persiapan tuntas harus diperhatikan. Mencetak kader-kader dakwah bukan seumpama mencetak majalah mahu pun surat khabar. Harus memahami dan memiliki ilmu Tarbiyyatul Aulad agar mujahid dan mujahidah yang bakal lahir kelak terisi P.I.E.S mereka dengan seimbang. Meneliti amanah ini memanggil diri untuk bermuhasabah, apakah diri ini selayak menjadi ibu persis ibu Imam Syafi'e atau ibu Dr Mursi atau ibu baginda Rasul yang dicintai? Allahu Allah..menjadi seperti ibundaku sendiri pun terasa payah apatah lagi seperti ibu-ibu insan yang hebat ini!

Namun aku menyimpan niat dan azam untuk mencontohi ibu-ibu hebat ini dalam mendidik anak-anakku yang bakal lahir kelak. Meski pun Allah belum lagi menghadiahkan mereka kepada kami, tetapi kami akan terus berdoa dan menunggu dengan sabar. Semoga Allah menjauhkan kami daripada sifat berkeluh kesah dan membandingkan hidup kami dengan hidup orang lain. Na'uzubillahi min zaalik!

Terima kasih suamiku, kekasihku, cinta hatiku kerana sudi menerimaku seadanya..sesungguhnya kehadiranmu menguntumkan senyum di bibirku, menguatkan langkahku di jalan-Nya kerana adamu, aku bahagia dan kerana adamu, aku tidak berseorangan meneroka kehidupan dunia yang penuh pancaroba menuju kampung halaman kita yang abadi, Jannah insyaAllah..

Alhamdulillah thumma Alhamdulillah atas kurniaan seorang suami yang soleh kepada diri yang serba kekurangan ini. Mengenali dan mencintai suami selepas bernikah adalah nikmat terindah, hadiah daripada Allah buatku. Aku berjanji untuk menjadi seorang isteri yang solehah, yang lebih baik dari dunia dan seisinya buat mujahid pilihan Allah ini kepadaku. Duhai suamiku, pimpinlah tanganku bersamamu meraih cinta teragung, Pemilik Segala Cinta...

Wednesday, December 5, 2012

Pensyarah dan Gaji

Bismillahi walhamdulillah

Alhamdulillah atas nikmat Iman, Islam dan Seehah daripada Allah Ar-Rahim. Alhamdulillah atas nikmat pernikahan yang sudah pun berusia 10 bulan semalam. Zauji membelikan 'Satay Kulim Style' sebagai meraikan ulang tahun pernikahan kami, syukran Zauji! ^_^

Khabar adindaku, Masyitah yang bakal melangsungkan pernikahannya pada Februari tahun depan amat disyukuri. Beliau telah diterima menjadi pensyarah sambilan di UiTM Merbok, Kedah. Mabruk! Berkhidmatlah dengan sebaik mungkin, niatkan di hati bahawa mengajar juga adalah ibadah dan mengajarlah untuk memanusiakan manusia. Terimbau kenanganku menjadi pensyarah sambilan di UiTM Arau dahulu dan kini anak-anak didikku telah pun tamat pengajian Diploma mereka, Alhamdulillah..

Aku sebenarnya tidak gemar untuk membandingkan nilai gaji yang diterima di sesebuah universiti dengan universiti yang lain. Prinsip aku, bekerjalah walau di mana sahaja dengan bersungguh-sungguh dengan tidak mengabaikan misi utama dalam pekerjaan kita. Namun begitu, bukanlah aku mengkesampingkan nilaian gaji itu. Tidak salah untuk kita mendapatkan yang terbaik dan sudah tentu manusia amat tertarik dengan gaji yang besar dan juga pangkat yang tinggi. Maka berusahalah sedaya mampu untuk mendapatkan pekerjaan yang baik dan jika gajinya juga tinggi, Alhamdulillah..itu rezeki kita..

Harus diingat, janganlah diletakkan gaji sebagai matlamat utama pekerjaan kita. Aku kerap mendengar rungutan daripada ayahku sendiri bahawa rata-rata pensyarah muda tidak meletakkan misi utama sebagai seorang pensyarah dan pendidik walhal gaji yang diterima adalah besar dan menyamai pensyarah-pensyarah senior. Teringat nasihat daripada Prof Muhaya, menjadi seorang pensyarah bukanlah satu kebanggaan tetapi menjadi seorang pensyarah adalah untuk menyampaikan dan berkongsi ilmu yang sedikit yang kita miliki kepada anak-anak didik kita.

Zauji pernah mengatakan bahawa "senangnya jadi pensyarah.." lalu aku membalas "tak senang Abang, banyak kerja sebenarnya jika jadi pensyarah ni..". Tugas-tugas seorang pensyarah bolehlah dirujuk di dalam mana-mana buku atau iklan atau mana-mana sumber yang berkaitan tentangnya. Antara tugasan utama seorang pensyarah selain mengajar adalah dalam bidang penyelidikan. Pensyarah wajib menyiarkan hasil penyelidikan mereka dalam jurnal-jurnal sebagai membuktikan kualiti tahapan ilmu yang mereka miliki dan sebagai aset kepada perkembangan ilmu ummah. Dan tugasan ini yang harus aku pelajari dan berjinak-jinak mulai sekarang, insyaAllah.

Tujuan post ini ditulis adalah sebagai pemangkin semangatku yang ingin menerjuni dunia seorang pensyarah. Semester akhir ini dirasakan lambat berlalu sedangkan hati ini sudah membuak-buak ingin menyumbang kepada anak bangsa dan membantu mereka dalam dunia kampus mereka biiznillah. Kepada para pembaca LTC yang sudi singgah di sini, saya memohon doa kalian agar mendoakan kesuksesan dan kemudahan dalam perjalanan Master saya. Semoga Allah jua yang layak mengganjar doa ikhlas kalian.

Terima kasih ^_^