Thursday, June 13, 2013

Ramadhan Tiba Lagi

Bismillahi walhamdulillah

Allah bersumpah dengan MASA, wal-'asr! Sesungguhnya manusia itu sentiasa di dalam kerugian. Benarlah, manusia itu di dalam kerugian jika kita mensia-siakan masa yang dipinjamkan Allah untuk kita. Astaghfirullah'ala kulli zanbin..

Kita kini berada di dalam bulan Sya'ban, empat hari sudah berlalu. Berbaki lebih kurang 26 hari lagi untuk bertemu dengan Ramadhan. Allahu Allah..Bagaimanakah dengan persiapan yang sudah kita lakukan? Apa kata untuk Ramadhan kali ini kita tajdid niat kita untuk mencantikkan lagi amal fardi kita? Jom kita semak checklist di bawah:


  • Solat fardhu di awal waktu
  • Sentiasa dalam keadaan wudhu'
  • Berusaha untuk tahajjud pada setiap hari
  • Banyakkan zikrullah
  • Banyakkan tilawatul Qur'an dan tadabbur
  • Menjaga hati, mata, lidah dan anggota badan yang lain daripada melakukan maksiat (contoh: zina mata, zina hati dll)
  • Bersedekah 
  • Mengeratkan silaturrahim terutama dengan jiran tetangga (contoh: bertukar-tukar juadah ketika iftar dll)
  • Bermuhasabah setiap hari sebelum tidur
  • Tidak membuang waktu dengan sia-sia
  • Menjaga masa dengan melakukan aktiviti-aktiviti berfaedah (membaca, hadiri kuliah, usrah, berkebun dll)

Alhamdulillah, chekclist di atas adalah antara azam yang ingin saya baiki dan cantikkan lagi mulai hari ini dan seterusnya insyaAllah. Mungkin dengan tibanya Ramadhan dapat menjadi satu motivasi dan momentum kepada saya dan anda semua untuk berusaha meningkatkan iman dan amal dan seterusnya merebut MAHKOTA TAQWA seperti yang dijanjikan Allah SWT di dalam ayat-ayat-Nya.

(It was) the month of Ramadan in which was revealed the Qur’aan, a guidance for mankind and clear proofs for the guidance and the criterion (between right and wrong). So whoever of you sights (the crescent on the first night of) the month (of Ramadan i.e. is present at his home), he must observe Sawm (fasts) that month…”
- [al-Baqarah 2:185]

Wallahua'lam.

Khaulah
Baiti Jannati

Thursday, June 6, 2013

Hati Yang Penuh

Bismillahi walhamdulillah

Lama dan sangat lama sekali saya tidak menulis. Asbab utama adalah tiada modal hendak menulis dan kurang sekali membaca kala ini =(

Banyak peristiwa yang berlaku dua, tiga bulan ini. Bermula dengan peristiwa besar Malaysia iaitu PRU13 yang penuh dengan noda hitam sehinggalah kisah Safwan Anang, Pengerusi SMM yang sangat utuh prinsip perjuangannya.

PRU13, digelar juga mother of election telah menjadi sejarah hitam yang tidak akan dilupakan oleh rakyat sampai bila-bila. Terlalu banyak cerita sedih jika hendak dicoretkan tetapi lebih eloklah jika dibaca di sumber-sumber yang lebih ahsan dan mantap faktanya. Sebagai marhaen, saya menjadi pemerhati sepenuh masa dan sentiasa mendoakan Malaysia yang saya cintai ini aman sentosa tanpa rasuah dan korupsi yang menggelapkan mata manusia.

Tertarik saya kepada kisah Safwan Anang; nama yang cukup popular dalam dunia mahasiswa kini. Mungkin saya sudah meninggalkan alam kampus menyebabkan saya kurang cakna siapa Safwan Anang. Sehinggalah beliau ditahan di Penjara Sungai Buloh, barulah sosok hebat ini mula dikenali dan diamati latar belakang hidupnya. Bertuah beliau, dikurniakan isteri sekental adinda Masturah, yang saya kira tidak ramai isteri muda yang sanggup bersabar sepertinya. Tahniah dan tahniah daripada saya, mereka adalah pasangan muda yang wajar dicontohi; berani, berprinsip, bersabar dan tinggi tawakkal kepada Yang Maha Esa. Saya mendoakan Allah sentiasa merahmati mereka yang tidak mengenal erti putus asa.

Terima kasih tidak terhingga kepada Safwan Anang yang berhati penuh, berjanji teguh untuk memperjuangkan isu Blackout 505 hingga saya yang asyik lena terus terjaga. Bukan tidak cakna isu ini tetapi akhiran, sedikit leka dengan tugasan peribadi menyiapkan kertas penyelidikan saya yang sudah lama tertangguh. 

Berhati penuh. Harus punya hati yang penuh dalam merealisasikan apa jua impian dan cita-cita yang telah kita lakarkan. Bukan senang hendak berhati penuh, harus dimulai dengan niat yang tulus dan ikhlas, berpaksikan Rabb semata. Safwan Anang dan Masturah mengajar saya bahawa dengan hati yang penuh dan ikhlas, Allah pasti membantu hamba-Nya. Terima kasih adinda berdua =)



Khaulah,
Baiti Jannati