Wednesday, October 23, 2013

Baitul Muslim Haraki

Bismillahi walhamdulillah

Alhamdulillah selesai sudah hari penamaan calon bagi N20 Sungai Limau. PAS meletakkan Ustaz Mohd Azam bin Abd Samad, 37 (Ketua Pemuda PAS Kawasan Jerai) manakala BN mempertaruhkan Dr Ahmad Suhaimi Lazim, 52 (Pensyarah Kanan UPSI). Keadaan berlangsung dengan aman tanpa sebarang kekecohan dan provokasi Alhamdulillah.


Saya amat tersentuh dengan setiap fenomena yang berlaku di dalam parti perjuangan kami ini iaitu Parti Islam Semalaysia (PAS). Saya dapat menyaksikan bahawa tulus dan ikhlasnya setiap ahli PAS terutama golongan-golongan yang lebih tua dan lebih senior dalam sepak terajang perjuangan ini. Mereka benar-benar memahami aqidah perjuangan yang sedang mereka intima' dan mereka bai'ahkan sejak usia muda mereka, Allahu Akbar!!

Mereka mengotakan apa yang dikata, melaksanakan apa yang telah dirancang dan istiqomah walau apa jua fitnah dan tohmahan yang sentiasa menyerang PAS. Begitu kerdil rasanya diri ini dalam menginfakkan seluruh jiwa raga untuk sebuah perjuangan yang mulia ini. 

Begitu saya teringat ketika darah muda masih panas dan aktif dalam perjuangan. Telah saya berjanji kepada Allah dan diri bahawa saya akan terus berintima' dan berjuang untuk Islam atas wasilah menyertai PAS. Namun setelah berumah tangga, tidak dapat dinafikan penglibatan saya semakin merosot dan amat jauh ke belakang dibandingkan dengan sahabat-sahabat seperjuangan yang lain. Penglibatan saya amat minima dan saya tahu saya sudah mula tidak mengotakan janji saya, Allahu..

Berilah sebanyak mana pun alasan tetapi mengapa sahabat-sahabat yang lain masih mampu istiqomah dan aktif? Begitu terpukul saya dengan soalan ini. Di mana Baitul Muslim Haraki yang diagung-agungkan satu ketika dahulu? Ah, lebih kuah dari sudu! Jawablah kamu di hadapan Allah kelak! Allahu Akbar! Ampuni hamba-Mu ini Ya Rabbi..

Namun begitu, saya sesungguhnya beruntung kerana punya suami yang turut sama mendokong perjuangan suci ini. Moga ada sedikit saham saya daripada keterlibatan suami di medan juang dengan wasilah menyiapkan keperluan beliau di dalam perjuangan. Allahu..jika jasad ini mampu dibelah dua, akan aku infaqkan satunya untuk perjuangan ini. Istiqomahkan kami Ya Rabbi, sesungguhnya cara berjuang itu ada pelbagai dan aku akan manfaatkan ruang dan peluang yang Engkau berikan di dalam kapasitiku yang kecil ini. Dengan izin-Mu ya Rabb, menangkanlah Islam di Dun Sungai Limau! Ampunkanlah segala kekhilafanku, kekerdilanku dan kelemahanku..

Tahniah buat semua mujahid/ah yang menyertai perarakan penamaan calon pada hari ini. Tiada kata dapat diungkap, hanya doa mengiringi, semoga Allah mengganjar setiap titik peluh, masa dan harta yang telah kalian laburkan, amin.


Merindui perjuangan hakiki,
Khaulah

Wednesday, October 9, 2013

Ibrah Khutbatul Wada'

Bismillahi walhamdulillah

Tidak sedar masa yang amat pantas berlari. 4 Zulhijjah 1434H hari ini. Alhamdulillah kita masih diberikan modal nyawa selain nikmat Iman dan Islam dalam meneruskan perjalanan sebagai seorang hamba dan khalifah-Nya. Bulan Zulhijjah merupakan salah satu bulan yang dimuliakan Allah selain bulan Zulqaedah, Muharram dan Rejab.

Justeru, kita dianjurkan untuk membanyakkan amalan-amalan sunat terutama pada 10 hari awal Zulhijjah. Selain ibrah pelaksanaan Rukun Islam kelima iaitu mengerjakan Haji di Makkah bagi yang berkemampuan, kisah pengorbanan Nabi Ibrahim, Nabi Ismail, Siti Hajar dan Siti Sarah, kita terlupa akan satu peristiwa besar yang berlaku pada hari Arafah, 9 Zulhijjah pada tahun ke-10 kenabian iaitu Khutbatul Wada' oleh Nabi yang kita kasihi Muhammad s.a.w.

Pada hari yang mulia itu, Nabi menaiki untanya yang bernama 'Quswah' menuju ke Lembah Qurainah. Lalu Nabi mengumpulkan semua jemaah Haji pada waktu itu yang seramai 114 ribu orang. Nabi meminta mereka menumpukan perhatian akan khutbah yang akan baginda sampaikan. Khutbah Nabi mengandungi prinsip-prinsip kehidupan manusia yang diajarkan di dalam Islam. Terdapat 7 isi penting daripada khutbah Nabi tetapi saya hanya dapat mencatat sebanyak 4 sahaja disebabkan kuliah yang saya hadiri semalam akan bersambung pada hari yang lain.

1- Islam mengajar persaudaraan (brotherhood), keadilan, kebebasan bersuara dan prinsip kehidupan. Jika dilihat isu kemanusiaan hari ini, Mesir merupakan contoh semasa yang wajib diketahui oleh semua umat Islam. Tiada langsung sifat perikemanusiaan oleh puak kudeta kepada marhaen Mesir yang tidak berdosa. Sedangkan Nabi tidak mengajar umatnya untuk membantai, membunuh dan menzalimi manusia lain.

2- Nabi menyebut, "Dengarlah, sedarlah! Janganlah kamu melakukan kezaliman! Janganlah kamu melakukan kezaliman! Janganlah kamu melakukan kezaliman!" Nabi telah mengulangi sebanyak 3 kali menunjukkan bahawa kerasnya amaran Nabi kepada mereka yang melakukan kezaliman.

3- Nabi menghalang daripada melakukan penindasan. 

Isu di Malaysia: RUU ala-ala ISA telah pun diluluskan sedangkan ISA sendiri sudah dimansuhkan. Apakah motif diwujudkan RUU tersebut? Rakyat berpendapat tidak ada bezanya ISA itu dimansuhkan, seolah-olah ISA diwujudkan kembali tetapi dengan nama yang lain. ISA sememangnya zalim dan menindas rakyat apabila si tertuduh tidak dibenarkan untuk membuat pembelaan ke atas dirinya. Di manakah keadilan yang telah diajarkan oleh Nabi s.a.w.?

4- Nabi menyebut, "Wahai orang-orang lelaki, takutlah kepada Allah yang telah mengamanahkan wanita kepada kamu. Mereka ada hak kepada kamu dan kamu ada hak kepada mereka. Jika mereka tidak menunaikan hak mereka, kamu berhak memukul mereka dengan pukulan yang tidak menyakitkan. 
Jistnya: Pertama mengenai tanggungjawab seorang lelaki dan keduanya Islam mengangkat darjat wanita dengan setinggi-tinggi darjat. Subhanallah!

Isu di Malaysia: Terdapat golongan wanita yang kononnya memperjuangkan kesama rataan antara lelaki dan wanita. Sebagai contohnya adalah SIS yang terikut-ikut dengan fahaman feminisme yang jelas mencabar hukum Allah! Mereka sebenarnya tidak percaya dengan janji Allah sedangkan Allah sudah mengangkat martabat wanita dengan begitu tinggi sekali.



Allahu..ampunkan segala dosa kami. Kami ingin menyucikan hati kami yang kotor dan hitam ini. Kami ingin mengikuti segala perintah-Mu dan Rasul-Mu kerana kami tahu hanya dengan jalan inilah kami dapat bertemu-Mu dan kekasih-Mu. Perkenankan doa kami ya Allah, Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang dan Maha Pengampun..

Tuesday, October 1, 2013

Perjalanan Belum Berakhir

Bismillahi walhamdulillah

Berat rupanya menyarungkan jersi Sarjana ini. Jika ditanya perasaan kala ini, tiada jawapan solid yang boleh diberikan. Amanah seorang penuntut ilmu sangat berat, malah teramat berat dalam mengamalkan ilmu yang dipelajari dan menyebarkannya. 

Esok adalah harinya. Ya hari yang amat disyukuri oleh kami semua, para graduan Universiti Malaya. Klisenya, pasti hari esok umpama layar perak yang memainkan segala suka duka kami tika bergelar seorang pelajar di UM. Alhamdulillah sebaik-baik ucapan. Saya sesungguhnya tidak akan mampu untuk melalui perjalanan penuh warna warni ini tanpa sokongan yang tidak berbelah bagi daripada rakan-rakan dan para pensyarah saya. Semoga rahmat Allah terlimpah buat kalian!



Dunia mahasiswa amat menenangkan hati saya. Tidak perlu terikat dengan big boss atau mana-mana peraturan pekerjaan. Bebas ke mana sahaja menemui rakan-rakan dan pensyarah. Bebas untuk beraktivisme, berziarah, berusrah, beriadah dan 'melancong' ke mana sahaja :))

Itu dahulu. Kini saya harus mempertimbangkan prioriti saya sebagai seorang isteri. Puja puji hanya kepada Allah yang mengizinkan saya melalui dunia mahasiswa yang amat mematangkan diri saya. Saya insafi bahawa tidak semua berpeluang untuk melanjutkan pelajaran dan tidak semua yang melanjutkan pelajaran dapat menamatkan studi mereka atas kekangan-kekangan tertentu yang tidak dapat dielakkan. Subhanallah! Tabarokallah! Maka nikmat Tuhan yang manakah yang kamu dustakan?

Perjalanan demi ilmu bukan setakat ini. Malah sehingga kita mati. Apalah erti segulung ijazah andai ilmu yang dipelajari hanya diperam dan diperukkan dalam nota-nota kuliah dan tesis akhir tahun pengajian. Tidak takutkah kita andai ditanya Allah bagaimana kita mengamalkan ilmu-ilmu yang kita pelajari? Allahu Allah.. Disebabkan itu, pentingnya niat yang dipasakkan tika mula menuntut ilmu. Moga ilmu yang ditimba adalah ilmu yang bermanfaat untuk diri, agama dan ummah.

Ya Allah, jadikan hamba-Mu orang yang memanfaatkan ilmu-Mu. Jauhi hamba daripada sifat riya', 'ujub dan sombong, na'uzubillah! Hiasilah diriku dengan sifat merendah diri dan sentiasa berlumba-lumba mencari ilmu-Mu sehingga nyawa ini bercerai daripada jasad. Amin.