Amat Sedikit Sekali Syukurku Kepada-Mu..


Usai membasuh baju, mak cik yang bekerja sebagai cleaner di hostelku menegur, "Bila sampai (UIA)?"

Aku tersenyum dan menjawab, "Pagi Ahad mak cik, "

"Mak sihat?" mak cik bertanya lagi.

"Alhamdulillah sihat. Mak cik sihat?" aku pula bertanya kembali.

"Mak cik sihat, cuma selesema sikit minggu lepas. Mak keje ke?" mak cik seakan berminat untuk tahu mengenai ibuku.

"A'ah, cikgu." Aku senyum.

"Patutlah anaknya pandai, mak cikgu, " mak cik membalas.

Aku terdiam. Mungkin rata-rata masyarakat akan memberikan tanggapan dan jawapan yang sama seperti mak cik tadi. Em, pandaikah seorang anak kepada cikgu? Bagi aku, tidak semestinya. Jika usaha yang kental tidak ada pada diri seorang anak, anak cikgu pun boleh hilang arah tuju, na'uzubillah.

Aku merenung kata-kata mak cik tadi. Terngiang-ngiang akan keluhan mak cik akan kehidupan beliau yang tidak sesenang orang lain. Aku mengerti amat. Betapa sedikit sekali kesyukuranku selama ini, astaghfirullah..

Melihat kehidupan orang lain yang lebih susah daripada diriku membuatkan aku teringat akan kehidupan Rasulullah S.A.W yang amat sederhana bahkan baginda sendiri amat suka mendampingi orang-orang miskin sehingga baginda pernah berdoa agar ditempatkan di jannah bersama orang-orang miskin, subhanallah!

Islam tidak menghalang umatnya untuk memburu kekayaan malahan amat digalakkan. Dengan kekayaan yang dimiliki, ianya dapat digunakan untuk infaq ke jalan Allah dan membantu golongan fakir miskin. Akan tetapi amat dikesalkan dengan sikap manusia yang bergelar pemimpin muslim pada hari ini, sehinggakan duit rakyat pun ingin disapu! Astaghfirullah, moga-moga Allah memberikan hidayah kepada mereka agar segera bertaubat dari segala kezaliman dan penindasan yang dilakukan.

Makin menginjak usia, Allah semakin mentarbiyah diri kita. Dengan aqal yang dianugerahkan-Nya, yang dapat membedakan antara haq dan bathil, mengapakan masih banyak sekali umat Islam hari ini yang seolah-olah menutup mata atas kebathilan yang berlaku di hadapan mata mereka? Adakah mahu ditunggu bala dan azab Allah, barulah kita mahu bertaubat? Na'uzubillah!

Sesungguhnya benarlah akan firman Allah yang bermaksud, "amat sedikit sekali di kalangan kamu yang bersyukur". Nah, kita boleh nilai kembali diri kita, adakah kita termasuk dalam golongan yang sedikit ini? Sahabat-sahabatku, marilah kita berdoa agar kita termasuk dalam golongan yang sedikit ini..


Comments