Skip to main content

Manifestasi Syukur dan Najah

Bismillahi walhamdulillah

Lafazkan kalimah syukur..lafazkan Alhamdulillah..

Alhamdulillah, mudah dilafaz di bibir tetapi sejauh mana manifestasinya di dalam kehidupan kita? Keputusan SPM baru sahaja diumumkan semalam. Alhamdulillah gembira dengan pencapaian membanggakan daripada adik-adik semua. Tahniah! Teruskan kecemerlangan itu sampai bila-bila.

Dalam kegembiraan meraikan kejayaan cemerlang straight A+, ada juga segelintir teman-teman kita yang mungkin terkandas atau juga diuji dengan keputusan yang kurang memberangsangkan. Tidak mengapa, usah bermuram durja, bersedih keterlaluan kerana SPM bukanlah penentu segala-galanya. Tidak dinafikan SPM merupakan ‘tiket’ ke menara gading kerana jika keputusan SPM anda cemerlang, maka cerahlah peluang anda ke menara gading dengan kursus yang diidam-idamkan.

Jika keputusan tidak memberangsangkan, ayuh koreksi diri semula. Mungkin ada kesilapan-kesilapan yang telah dilakukan sebelum ini. Mungkin cara studi yang tidak menyengat, tidak faham 100 % dengan subjek yang dipelajari, tidak fokus di dalam kelas atau mungkin juga kurang pergantungan kepada Tuhan Yang Esa.

Bermuhasabahlah sentiasa. Aku juga melalui saat-saat getir ini suatu ketika dahulu. Di saat rakan-rakan lain bergembira dengan kejayaan yang cemerlang dan dapat menghadiahkan kejayaan ini kepada kedua ayahanda dan bonda, aku pula sebaliknya. Perasaan sedih yang amat sangat, hanya Allah yang tahu. Kejayaan yang tidak seberapa, aku tahu Abah dan Mak juga sedih. Tetapi tiada raut sedih yang terpancar di muka mereka. Allah..sedihnya kerana telah menghampakan harapan kedua mereka.


Adik-adik sekalian,

Jalan perjuangan untuk adik-adik masih jauh dan panjang. Bangkitlah! Jangan terus jatuh sampai tidak berdaya untuk bangun kembali. Sejarah generasi terdahulu mencatatkan bahawa kejayaan para ilmuwan dan cendekiawan hari ini adalah bermula daripada kejatuhan dan tersungkurnya mereka berkali-kali sebelum kejayaan ini digenggam dan diraih. Tentunya adik-adik memikirkan, “Oh, susahnya, payahnya! Macam mana nak cemerlang, susahlah kak!” Na’am, memang susah adik-adikku. Jika tidak, Nabi kita sendiri tentu tidak merasai kepayahan dan kesusahan dalam perjuangan dakwah baginda.

Tanyalah guru-guru, ibu bapa, abang-abang dan kakak-kakak anda. Pastinya mereka akan mengatakan isu yang sama. Insya-Allah, di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Man jadda wa jada! Inilah kata-kata keramat yang diukir indah di bangunan sekolahku, dan untuk selamanya pepatah Arab ini melekat kukuh dalam ingatanku bahawa “barangsiapa yang bersungguh-sungguh, dia pasti akan berjaya”.

Menyelak halaman surat khabar hari ini, banyak sekali berita kejayaan yang dipaparkan dan salah satu berita yang menarik adalah mengenai seorang pelajar berbangsa Cina yang memperoleh A+ dalam mata pelajaran Tasawwur Islam! Masya-Allah, satu tamparan hebat buat kita, para pelajar Muslim. Tidak terkecuali aku, aku menyetujuinya kerana ramai sekali pelajar-pelajar bukan Islam yang menunjukkan prestasi yang membanggakan di dalam kelas Islamic Banking and Finance! Aduh, terpukul!

Kini bukan lagi masanya untuk bersedih-sedih, tidak mahu makan dan minum dsb. Masa kita amat sedikit adik-adikku, rancanglah strategi, tetapkan matlamat dan cita-cita dan berusahalah mencari ruang dan peluang untuk mengukir kejayaan fiddarain. Mereka-mereka yang cemerlang telah membuktikannya, kita sahaja yang belum. Ayuh, gerakkan langkah sekarang!

Salam kejayaan fiddarain, berjayalah untuk Ummah dan hadiahkanlah kejayaan kita buat Ayahanda dan Bonda kerana hanya dengan ini yang mampu kita berikan dan hanya ini sahaja yang mampu memberikan SENYUM di wajah mereka. Kita berjumpa di ANGKASA KEJAYAAN!

Comments

Popular posts from this blog

Bulat Tekadku

  Bismillahi Walhamdulillah, Rasa bersalah menyelubungi diri apabila membuka lembaran LTC ku ini. Seolah-olah sudah hampir dilupakan. Post akhir ku adalah pada tahun lepas, masha Allah sungguh pantas masa berlalu! Benar sabdaan Nabi bahawa di akhir zaman, masa begitu singkat dirasakan, apabila kita berada di waktu pagi, kemudian tidak sedar waktu malam sudah pun muncul.  Tahun 2024 punya pelbagai cerita. Tidak lama sudah sampai penghujung tahun dan tidak lama juga Ramadhan bakal tiba. Semoga Allah mengizinkan kita berjumpa dengan bulan Ramadhan, bulan yang mulia, bulan yang menjadi dambaan orang-orang soleh. Berita dari Gaza Aku membelek Telegram sebentar tadi. Mata aku menangkap berita mengenai saudara seIslam kita di Gaza daripada group "Terkini dan Sensasi Palestin". Pedih sungguh rasa hati apabila mengetahui keadaan mereka yang terputus bekalan makanan dan tiada tempat tinggal. Mereka berpusu-pusu mendapatkan bekalan roti di Khan Younis. Allahu Akbar! Kepada Allah jua te...

Matematik Tambahan Yang Merumitkan

Bismillahi walhamdulillah Hampir berakhir cuti penggal ketiga persekolahan bagi sesi 2023/2024. Hari ini saya kembali ke sekolah, menggalas amanah dalam Perkampungan Akademik Siri 2. Siri 1 telah pun diadakan pada bulan Ogos yang lalu. Tahun ini merupakan tahun keempat saya menjadi guru Matematik Tambahan bagi kelas peperiksaan SPM. Tahun-tahun yang sudah saya lalui ialah tahun 2017, 2018 dan 2021. Kegerunan di hati masih ada apabila mengajar 'killer subject' ini. Soalan-soalan dalam peperiksaan SPM sesungguhnya sukar diramal. Kami diberi masa selama 4 jam dalam perkampungan akademik ini. Saya cuba merangka strategi yang boleh meraikan semua peringkat kefahaman pelajar. Maka saya telah mengadakan kumpulan-kumpulan kecil dan melantik Guru Muda bagi membantu saya dalam kumpulan mereka. Anak-anak pelajar saya ini bijak belaka. Alhamdulillah sepanjang pemerhatian saya hari ini, saya dapati guru muda telah memainkan peranan dengan sangat baik, malah memberi penerangan yang jauh lebi...

Doa Untuk Wanita

  Bismillahi walhamdulillah Menjadi seorang wanita atau tepatnya umat Nabi Muhammad s.a.w. adalah sangat istimewa. Nabi Muhammad s.a.w. sangat memuliakan kaum wanita. Datangnya baginda sebagai utusan Allah, baginda membuang segala perkara yang mungkar dan maksiat yang dilakukan oleh kaumnya. Pada ketika itu bayi perempuan akan dibunuh atau ditanam hidup-hidup. Allahu Akbar! Nabi Muhammad s.a.w. begitu menyayangi isterinya Siti Khadijah r.anha, hingga baginda berasa amat sedih pada tahun Siti Khadijah wafat.  Baginda juga merupakan seorang ayah yang penyayang dan datuk yang begitu sayang akan cucu-cucunya. Baginda mengajarkan kepada anakandanya, Fatimah yang pernah mengadu akan keletihan melakukan kerja rumah. Lalu baginda mengajarkan zikir Tasbih, Tahmid dan Takbir sebanyak 33x setiap satunya dan kita mengamalkanny setiap kali selepas solat. Doa Untuk Wanita   Sebenarnya banyak doa yang baik dan boleh diamalkan oleh kita. Saya kongsikan dahulu 3 DOA di bawah yang saya suk...