Skip to main content

Penjara


Bismillahi walhamdulillah

Dari Abu Hurairah r.a katanya:”Rasulullah s.a.w bersabda:”Dunia penjara bagi orang mukmin dan syurga bagi orang kafir.” [Muslim]
Huraian
Dunia ini harus kita nikmati dengan mengikuti segala perintah Allah dan menjauhi larangan-Nya. Dikatakan bahawa dunia adalah penjara bagi mukmin kerana di dunia manusia terdedah dengan pelbagai macam godaan dan ancaman yang mencabar keimanan. Bahkan apa yang dilarang oleh agama itu selalunya menjadi kesukaan nafsu manusia. Namun hakikatnya laranga-larangan itu adalah demi kebaikan dan kesejahteraan manusia itu sendiri agar tidak terjebak ke lembah kebinasaan. Berbeza pula bagi golongan kafir mereka bebas melakukan apa sahaja sehingga akhirnya mereka merosakkan jiwa dan diri mereka sendiri. Inilah hakikat dunia yang akan menjadikan manusia yang alpa tenggelam di dalamnya. Sebab itu kita selaku orang mukmin diseru agar memanfaatkan dunia dengan bijaksana iaitu apabila kita berusaha memanfaatkan kehidupan dunia sebagai jambatan menuju kebahagiaan akhirat, maka Allah akan memberikan kedua-dua-nya (kebahagiaan dunia dan akhirat). Namun sekiranya kita hanya mengutamakan kehidupan dunia dan melupakan akhirat, maka Allah hanya akan memberikan satu kenikmatan sahaja iaitu dunia semata. Sedangkan di akhirat kelak kita mendapat kerugian yang banyak.




Teringat saya akan hadith ini. Benar sekali. Dunia yang fana ini akan ditinggalkan. Anggapan manusia yang begitu cintakan dunia seolah-olah mereka akan hidup selamanya hanyalah anggapan yang sia-sia, tiada makna. Mereka begitu memuji, memuja dan mengkagumi segala hal yang sementara ini sehingga sanggup bermati-matian deminya.

Sayang sekali bukan? Anggapan ini wajib diperbetulkan, wajib di’tune’kan. Amat cantik sekali analogi di dalam hadith di atas. Dunia ibarat penjara. Penjara kepada siapa? Penjara kepada orang beriman. Kenapa ianya dinyatakan khusus kepada orang beriman?

Cuba kita bayangkan jika kita berada di dalam penjara. Best kah? Oh, jika ada yang menawarkan kepada kita untuk duduk di dalamnya, cepat sahaja kita akan menolak kan? Nak buat apa duduk dalam penjara? Sempit, kotor, busuk, sesak, gelap dan menakutkan. Berada di dalamnya akan membuatkan kita menghitung-hitung hari ‘kebebasan’.  

Itulah seperti yang kita fikirkan, seperti rata-rata orang fikirkan. Penjara sinonim dengan segala kejelekan dan penjara adalah tempat bagi mereka yang telah melakukan kesalahan dan disabit bersalah di sisi undang-undang. Akan tetapi sudah lupakah kita, Nabi Yusuf a.s. pernah dipenjara? Said Qutb, Zainab Al-Ghazali serta sahabat-sahabat Ikhwanul Muslimin juga pernah dipenjara? Adakah mereka seorang pesalah? Adakah mereka berbuat kesalahan sehingga disabit salah di sisi undang-undang?

Sesungguhnya mereka adalah orang-orang beriman yang punya iman yang kuat, jiwa yang kental dan ruh jihad yang mantap, sehingga mereka diuji sedemikian rupa. Hakikatnya, dunia ini adalah penjara yang sebenar bagi orang-orang yang beriman. Dunia ini penuh dengan kejelekan dan ketidak adilan oleh mereka yang zalim dan mereka yang tidak beriman.

Biarlah orang-orang beriman dipenjara di dunia, tidak mendapat hak-hak yang sepatutnya, tidak dijaga kebajikannya hatta maruah mereka turut sama diperkosa! Siapa kata orang-orang beriman tidak memperjuangkan hak-hak mereka? Siapa kata orang-orang beriman hanya diam membisu, memekakkan telinga atau pun tidak peduli dengan nasib mereka?

Orang-orang beriman sudah dan akan terus memperjuangkannya! Dan kerana mereka yakin bahawa Al-Jabbar sentiasa bersama mereka, mereka tidak gentar berjuang, mereka tidak pengecut untuk berhadapan dengan kuffar. Bagaikan berada di dalam penjara, disepak terajang, dimaki hamun dan diseksa seazabnya; begitulah yang dirasai oleh orang-orang yang beriman.

Orang-orang yang beriman, kalian harus yakin bahawa Allah Al-Jabbar sentiasa bersama kita. Pohonlah kepada Dia, mengadulah kepada Dia pada saat heningnya malam. Pohonlah kepada Al-Jabbar agar Dia cukupkan keperluan kita. Kerana Al-Jabbar tidak akan menghampakan permintaan hamba-Nya apatah lagi hamba-Nya yang dizalimi, ditindas dan dinafikan hak mereka.

Nukilan rasa seorang hamba hina untuk saudara-saudaraku di Syria. Kalian harus kuat, kalian harus semangat kerana Allah Al-Jabbar bersama kalian dan doa-doa kami beserta kalian. Ya Allah Al-Jabbar, Engkau kentalkanlah iman mereka, lapangkan hati mereka dan cukupkan keperluan mereka di saat mereka berhadapan dengan ujian-Mu ini..amin Ya Allah..

p/s: penulis tidak merujuk kepada tafsiran ulama’ mengenai terjemahan hadith di atas. Penulis hanya menukilkan rasa hati berkisar isu semasa yang berlaku di Syria tetapi penulis mengkaitkannya dengan hadith di atas. Allahu a’lam, teruskan lantunan doa anda untuk saudara-saudara kita di Syria.

Comments

Popular posts from this blog

Bulat Tekadku

  Bismillahi Walhamdulillah, Rasa bersalah menyelubungi diri apabila membuka lembaran LTC ku ini. Seolah-olah sudah hampir dilupakan. Post akhir ku adalah pada tahun lepas, masha Allah sungguh pantas masa berlalu! Benar sabdaan Nabi bahawa di akhir zaman, masa begitu singkat dirasakan, apabila kita berada di waktu pagi, kemudian tidak sedar waktu malam sudah pun muncul.  Tahun 2024 punya pelbagai cerita. Tidak lama sudah sampai penghujung tahun dan tidak lama juga Ramadhan bakal tiba. Semoga Allah mengizinkan kita berjumpa dengan bulan Ramadhan, bulan yang mulia, bulan yang menjadi dambaan orang-orang soleh. Berita dari Gaza Aku membelek Telegram sebentar tadi. Mata aku menangkap berita mengenai saudara seIslam kita di Gaza daripada group "Terkini dan Sensasi Palestin". Pedih sungguh rasa hati apabila mengetahui keadaan mereka yang terputus bekalan makanan dan tiada tempat tinggal. Mereka berpusu-pusu mendapatkan bekalan roti di Khan Younis. Allahu Akbar! Kepada Allah jua te...

Matematik Tambahan Yang Merumitkan

Bismillahi walhamdulillah Hampir berakhir cuti penggal ketiga persekolahan bagi sesi 2023/2024. Hari ini saya kembali ke sekolah, menggalas amanah dalam Perkampungan Akademik Siri 2. Siri 1 telah pun diadakan pada bulan Ogos yang lalu. Tahun ini merupakan tahun keempat saya menjadi guru Matematik Tambahan bagi kelas peperiksaan SPM. Tahun-tahun yang sudah saya lalui ialah tahun 2017, 2018 dan 2021. Kegerunan di hati masih ada apabila mengajar 'killer subject' ini. Soalan-soalan dalam peperiksaan SPM sesungguhnya sukar diramal. Kami diberi masa selama 4 jam dalam perkampungan akademik ini. Saya cuba merangka strategi yang boleh meraikan semua peringkat kefahaman pelajar. Maka saya telah mengadakan kumpulan-kumpulan kecil dan melantik Guru Muda bagi membantu saya dalam kumpulan mereka. Anak-anak pelajar saya ini bijak belaka. Alhamdulillah sepanjang pemerhatian saya hari ini, saya dapati guru muda telah memainkan peranan dengan sangat baik, malah memberi penerangan yang jauh lebi...

Doa Untuk Wanita

  Bismillahi walhamdulillah Menjadi seorang wanita atau tepatnya umat Nabi Muhammad s.a.w. adalah sangat istimewa. Nabi Muhammad s.a.w. sangat memuliakan kaum wanita. Datangnya baginda sebagai utusan Allah, baginda membuang segala perkara yang mungkar dan maksiat yang dilakukan oleh kaumnya. Pada ketika itu bayi perempuan akan dibunuh atau ditanam hidup-hidup. Allahu Akbar! Nabi Muhammad s.a.w. begitu menyayangi isterinya Siti Khadijah r.anha, hingga baginda berasa amat sedih pada tahun Siti Khadijah wafat.  Baginda juga merupakan seorang ayah yang penyayang dan datuk yang begitu sayang akan cucu-cucunya. Baginda mengajarkan kepada anakandanya, Fatimah yang pernah mengadu akan keletihan melakukan kerja rumah. Lalu baginda mengajarkan zikir Tasbih, Tahmid dan Takbir sebanyak 33x setiap satunya dan kita mengamalkanny setiap kali selepas solat. Doa Untuk Wanita   Sebenarnya banyak doa yang baik dan boleh diamalkan oleh kita. Saya kongsikan dahulu 3 DOA di bawah yang saya suk...