Skip to main content

Half Way 2014

Bismillahi walhamdulillah

Alhamdulillah atas helaan nafas, atas nikmat Iman, Islam dan usia. Sanah helwah Zauji aka Abu Nafisah atas 28 tahun usia di dunia ini. Teruslah membimbing Umi dan Amani menuju redha Allah.

Masa amat terbatas. Umi mencuri sedikit waktu usai menyiapkan write up sebentar tadi. Umi akan menghadap spreadsheet yang agak memeningkan mata sebentar nanti. Alhamdulillah atas izin Allah Umi diterima bekerja sebagai Pegawai Penyelidik di USM. Amanah yang besar bertambah. Amanah kepada Abi dan Amani tidak boleh dikesampingkan. Terkadang ada penat, tertekan dan mahu putus asa. Lantas Umi beristighfar, mengingat kembali tujuan asal Umi bekerja dan mereflaksikan kepada Mak Umi yang sehingga hari ini masih bekerja. Mak kadang kala mengantuk di sekolah dek terpaksa berjaga malam menjaga anak-anak Mak Lang (adik Umi). Semoga Allah mengganjar Mak dengan ganjaran terbaik yakni SYURGA!

Sudah lebih separuh penggal tahun 2014. Negara tercinta kita tidak lari dengan pelbagai kisah suka duka. Sebelum Umi lahirkan Amani, kita semua dikejutkan dengan kehilangan pesawat MH370 sehingga hari ini. Kemudian dalam keadaan saudara-saudara kita di Gaza dibantai hebat oleh Zionis laknatullah, Malaysia sekali lagi dikejutkan dari mimpi indah tentang terhempasnya pesawat MH17. Allah, berganda kesedihan sebagai umat Islam dan sebagai rakyat Malaysia. 

Saudara-saudara kami di Gaza, mereka sudah dijanjikan syurga insyaAllah. Kita tidak mampu berada di kedudukan mereka. Lalu apa usaha kita? Mari memboikot barangan yang dikeluarkan oleh Yahudi. Boikot dengan ilmu, bukan dengan emosi melulu. Matlamat kita adalah untuk menjatuhkan ekonomi mereka, biar patah kaki mereka. Ada yang mengatakan boikot kita tidak memberi kesan pun kepada ekonomi mereka kerana mereka merupakan peneraju ekonomi dunia. Namun imbaslah kembali kisah seekor burung yang cuba memadamkan api besar yang mahu membakar Nabi Ibrahim a.s. Apabila ditanya kenapa engkau yang hanya mempunyai paruh kecil mahu memadamkan api wahai burung? Lalu jawab burung, aku tidak mahu disoal Allah di Hari Kiamat kelak, apa usahamu ketika melihat Nabiku dibakar? Nah, inilah usaha kita, biar nampak kecil dan seolah tiada kesan tetapi kita ada jawapan di hadapan Allah kelak bahawa usaha ini kita lakukan untuk membantu saudara-saudara kita di Gaza.

Kisah pembantaian umat Islam tidak sepi pada setiap zaman. Namun kita yakin bahawa Islam pasti akan menang! Menghalakan teropong kepada Malaysia kembali; kini hangat mengenai isu MB Selangor. Pelbagai spekulasi timbul namun saya secara peribadi menyokong kenyataan yang dikeluarkan oleh Tuan Presiden Tn Guru Hj Hadi Awang dan Majlis Syura. Sebagai ahli di bawah, kita wajib taat dan wala' kepada pemimpin kita. Fahami erti wala' dengan sebenarnya. Jangan ringankan tangan kalian untuk menyebarkan fitnah di alam maya (baca: facebook/twitter/dll) walhal kita tiada fakta atau bukti mengenainya. Nampak remeh tetapi tanpa sedar kita turut terperangkap dalam perang siber ini, na'uzubillah!

Semoga Allah memelihara Gaza. Semoga Allah menghindarkan kita daripada fitnah dunia dan semoga terlerai segala kekusutan dan krisis MB Selangor. 

Dari Irbadh bin Sariyah r.a, katanya : Telah menasihati kami oleh Rasulullah saw akan satu nasihat yang menggentarkan hati kami dan menitiskan air mata kami ketika mendengarnya, lalu kami berkata, ‘Ya Rasulullah, seolah-olah ini adalah nasihat yang terakhir sekali, maka berilah pesanan kepada kami.
Lalu Baginda saw bersabda, “Aku berwasiat akan kamu supaya sentiasa bertakwa kepada Allah dan dan mendengar serta taat (kepada pemimpin) sekalipun yang memimpin kamu itu hanya seorang hamba.
Sesungguhnya sesiapa yang panjang umurnya daripada kamu pasti akan melihat perselisihan yang banyak. Maka hendaklah kamu berpegang teguh dengan Sunnah ku dan sunnah para Khulafa Ar-Rasyidin Al-Mahdiyin (Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali r.a) dan gigitlah sunnah-sunnah itu dengan gigi geraham dan jauhilah perkara-perkara yang baharu (bid’ah) yang diada-adakan, kerana sesungguhnya tiap-tiap bid’ah itu sesat.” (Riwayat Abu Daud dan At-Tirmidzi)

Ummu Nafisah
Baiti Jannati 

Comments

Popular posts from this blog

Ini Mozek BERSIH 2.0 Saya

Bismillahi walhamdulillah 9 Julai 2011 pasti akan terpahat kukuh dalam seluruh memori rakyat Malaysia. Sama seperti peristiwa berdarah 13 Mei 1969. Walaupun ianya telah 42 tahun berlalu, rakyat tidak pernah melupakannya. Impaknya amat besar terutamanya kepada kaum Melayu dan Cina pada ketika itu. Mozek BERSIH 2.0 Saya cuba mengenepikan segala emosi dan rasa marah saya ketika entri ini ditulis. Sungguhpun rasa marah ini tidak lagi padam, pesan naqibah saya, SABAR, SABAR dan berSABARlah! Sesungguhnya mengamalkan Islam pada akhir zaman ini ibarat menggenggam bara api! Maka, saya cuba bersabar, seperti sabarnya para pemimpin saya tika ini. Pagi 9 Julai 2011 tiba juga. Alhamdulillah, sehari telah berlalu pergi menjadikan umur saya 25 tahun 1 hari. Ulang tahun yang pasti diingati berikutan terpalitnya sejarah hitam dalam demonstrasi BERSIH 2.0! Palitan ini sebenarnya sudah pun terjadi kepada beberapa siri demonstrasi sebelum ini, tetapi saya kira palitan kali ini lebih dahsyat, lebih jijik d...

Wanita Perlu Bijak Urus Emosi

 Bismillahirrahmanirrahim, 10 hari lagi kita nak bertemu dengan bulan yang dirindui, Ramadhan al-Mubarak. Bulan yang penuh rahmat dan maghfirah daripada Allah, Rabb kita. Sebagai seorang wanita apatah lagi bergelar isteri dan ibu berkerjaya, pengurusan emosi sangat penting. Bukan mudah nak menukar 'topi' daripada seorang isteri dan ibu kepada seorang pekerja dan sebaliknya. Apabila seorang ibu penat di tempat kerja, ibu perlu berehat seketika agar emosinya stabil dan dapat berperanan dengan baik di rumah. Masha Allah Tabarokallah! Seorang ibu juga manusia biasa. Tidak terlepas dari rasa penat, marah dan sedih. Sifat negatif yang boleh menyebabkan sebuah keluarga tidak ceria dan harmoni. Ada satu kata-kata popular, "happy wife, happy family". Ada benarnya kata-kata ini. Ibu ialah madrasah dalam rumah tangga. Bahagia ibu, inshaa Allah bahagia rumah tangga. Sedih ibu, maka rumah tangga turut berasa muram. Kebanyakan sekolah sibuk dengan acara sukan minggu ini. Lantaran i...

Keluarga Juliana Berkembang ^^,

Bismillahi walhamdulillah "Isteri dan anak-anak adalah perhiasan dunia" Alhamdulillah, segala puji hanya untuk Allah, Tuhan Maha Pencipta, yang menciptakan manusia dari setitis air mani yang hina. Lalu menjadi segumpal darah, menjadi tulang, tulang kemudiannya dibalut dengan daging, dirupakan dengan sebaik-baik rupa dan bentuk lalu ditiupkan roh oleh Allah. Subhanallah! Tabarokallah! Alhamdulillah, adinda dikasihi Sakinah telah selamat melahirkan putera keduanya pada tanggal 8 September 2013 pada jam 5.01 petang di Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar. Putera kedua yang diberi nama Muhammad 'Imad Aqil menambahkan lagi seri kepada keluarga besar Juliana kami, Alhamdulillah.  Inilah Abang Long Fathi ^^, Ini adik Fathi, 'Imad Terimbau kenangan kami 9 beradik yang jarak kelahiran agak dekat, ada yang setahun, 2 tahun dan paling lama adalah 4 tahun. Seperti juga Sakinah, jarak kelahiran anaknya yang pertama dan kedua hanyalah setahun 1 bulan...