Skip to main content

Rindu Ramadhan

28 Ramadhan 1430 H

Hujan renyai-renyai di luar. Sekali sekala terdengar bunyi guruh. Usai solat tarawikh, tarawikh terakhir untuk Ramadhan tahun ini, hati aku dipagut rasa sayu dan sedih sekali. Ya Allah, Ramadhan dah nak pergi..cepat sungguh masa berlalu, Ya Allah, rintihku.

Sungguh, aku rindu Ramadhan. Aku pasti akan merindui saat bertadarus bersama-sama sahabat, saat bertarawikh di rumah-rumah Allah bersama sahabat-sahabat dan adik-adikku. Aku rindu semuanya..

Tetapi Ramadhan tetap akan pergi seiring dengan berlalunya masa. Maka beruntunglah buat mereka yang benar-benar menghargai dan mengisi Ramadhan dengan sebanyak-banyak amal dan kebajikan. Tetapi malanglah buat mereka yang mensia-siakan Ramadhan begitu sahaja. Dan amat malang bagi jika tidak ada satu pun amalan yang bertambah di dalam Ramadhan Al-Mubarak ini, na'uzubillah..

Bulan rahmat ini tidak akan menunggu kita lagi. Kita hanya bersemangat menyambut kedatangannya tetapi apabila sudah berada di dalam bulan Ramadhan, seakan tiada perasaan untuk berlumba-lumba menambah amal dan kebajikan. Ramadhan baru seminggu berlalu, kita sudah sibuk ingin membuat persiapan menyambut Syawal..

Di manakah keutamaan Ramadhan? Di manakah semangat berkobar-kobar kita tatkala kita menyambut kedatangan Ramadhan? Sedangkan para sahabat begitu gembira dan menanti-nantikan kehadiran Ramadhan dan menangis apabila berakhirnya Ramadhan..adakah hati kita begitu keras sehingga tiada rasa sedih sedikit pun Ramadhan akan meninggalkan kita?

Ramadhan, kami pasti akan menunggu kedatanganmu lagi pada tahun hadapan. Ya Allah, panjangkanlah umur kami untuk kami bertemu lagi dengan bulan yang penuh barakah ini. Ya Allah, terimalah amalan kami sepanjang kami berada di dalam bulan Ramadhan dan ampunilah dosa-dosa kami. Sesungguhnya Engkaulah Tuhan Yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.

Buat semua sahabat dan muslimin muslimat yang mengenali diri ini, saya memohon ampun & maaf atas segala khilaf dan keterlanjuran kata atau perlakuan. Mohon dimaafkan ya.. Semoga Eidulfitr yang bakal menjelang akan mengembalikan kita kepada fitrah, suci daripada noda dan dosa ibarat bayi yang baru lahir..

Kullu 'am wa antum bikhair!

Nurhafizah Yaakob & Famili
95, Juliana, Jitra.

Comments

Popular posts from this blog

Ini Mozek BERSIH 2.0 Saya

Bismillahi walhamdulillah 9 Julai 2011 pasti akan terpahat kukuh dalam seluruh memori rakyat Malaysia. Sama seperti peristiwa berdarah 13 Mei 1969. Walaupun ianya telah 42 tahun berlalu, rakyat tidak pernah melupakannya. Impaknya amat besar terutamanya kepada kaum Melayu dan Cina pada ketika itu. Mozek BERSIH 2.0 Saya cuba mengenepikan segala emosi dan rasa marah saya ketika entri ini ditulis. Sungguhpun rasa marah ini tidak lagi padam, pesan naqibah saya, SABAR, SABAR dan berSABARlah! Sesungguhnya mengamalkan Islam pada akhir zaman ini ibarat menggenggam bara api! Maka, saya cuba bersabar, seperti sabarnya para pemimpin saya tika ini. Pagi 9 Julai 2011 tiba juga. Alhamdulillah, sehari telah berlalu pergi menjadikan umur saya 25 tahun 1 hari. Ulang tahun yang pasti diingati berikutan terpalitnya sejarah hitam dalam demonstrasi BERSIH 2.0! Palitan ini sebenarnya sudah pun terjadi kepada beberapa siri demonstrasi sebelum ini, tetapi saya kira palitan kali ini lebih dahsyat, lebih jijik d...

Wanita Perlu Bijak Urus Emosi

 Bismillahirrahmanirrahim, 10 hari lagi kita nak bertemu dengan bulan yang dirindui, Ramadhan al-Mubarak. Bulan yang penuh rahmat dan maghfirah daripada Allah, Rabb kita. Sebagai seorang wanita apatah lagi bergelar isteri dan ibu berkerjaya, pengurusan emosi sangat penting. Bukan mudah nak menukar 'topi' daripada seorang isteri dan ibu kepada seorang pekerja dan sebaliknya. Apabila seorang ibu penat di tempat kerja, ibu perlu berehat seketika agar emosinya stabil dan dapat berperanan dengan baik di rumah. Masha Allah Tabarokallah! Seorang ibu juga manusia biasa. Tidak terlepas dari rasa penat, marah dan sedih. Sifat negatif yang boleh menyebabkan sebuah keluarga tidak ceria dan harmoni. Ada satu kata-kata popular, "happy wife, happy family". Ada benarnya kata-kata ini. Ibu ialah madrasah dalam rumah tangga. Bahagia ibu, inshaa Allah bahagia rumah tangga. Sedih ibu, maka rumah tangga turut berasa muram. Kebanyakan sekolah sibuk dengan acara sukan minggu ini. Lantaran i...

Keluarga Juliana Berkembang ^^,

Bismillahi walhamdulillah "Isteri dan anak-anak adalah perhiasan dunia" Alhamdulillah, segala puji hanya untuk Allah, Tuhan Maha Pencipta, yang menciptakan manusia dari setitis air mani yang hina. Lalu menjadi segumpal darah, menjadi tulang, tulang kemudiannya dibalut dengan daging, dirupakan dengan sebaik-baik rupa dan bentuk lalu ditiupkan roh oleh Allah. Subhanallah! Tabarokallah! Alhamdulillah, adinda dikasihi Sakinah telah selamat melahirkan putera keduanya pada tanggal 8 September 2013 pada jam 5.01 petang di Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar. Putera kedua yang diberi nama Muhammad 'Imad Aqil menambahkan lagi seri kepada keluarga besar Juliana kami, Alhamdulillah.  Inilah Abang Long Fathi ^^, Ini adik Fathi, 'Imad Terimbau kenangan kami 9 beradik yang jarak kelahiran agak dekat, ada yang setahun, 2 tahun dan paling lama adalah 4 tahun. Seperti juga Sakinah, jarak kelahiran anaknya yang pertama dan kedua hanyalah setahun 1 bulan...