Mahasiswa Menggugat?


Muhammad Abu Bakar (1973) dalam bukunya "Mahasiswa Menggugat" menyatakan, "kegiatan mahasiswa sebelum akta boleh dibahagikan kepada dua, iaitu aktiviti tahun-tahun permulaan (1959-1965) dan aktiviti-aktiviti zaman peralihan".

Menurut beliau lagi, aktiviti-aktiviti tahun-tahun permulaan tidak begitu rancak. Kegiatan-kegiatan pada ketika itu hanya bertumpu kepada kegiatan sukan dan derma darah. Hanya pada tahun 1962, mereka mula mengorak langkah mendekati masyarakat dengan projek mengutip derma membina masjid dan badan-badan kebajikan.

further reading >> Mahasiswa Menggugat

Pada suatu waktu dahulu, suara mahasiswa bisa 'menggugat' kerajaan. Mungkin kayu ukur demonstrasi boleh dibanggakan apabila melalui medan inilah mahasiswa dapat menyatakan hak dan pendirian mereka. Melalui demonstrasi juga mahasiswa telah mengangkat isu rakyat kepada kerajaan seperti Demonstrasi Baling pada tahun 1974. Boleh dikatakan kampus-kampus di Lembah Klang seperti UM, UKM, UPM dan UTM telah menyaksikan kegugatan mahasiswa pada ketika itu.

Itu sejarah dahulu, zaman dahulu. Pada hari ini, pada abad millenia ini mahasiswa dikatakan mandul, lesu, hilang taring dan tidak menggugat lagi. Benarkah?

Lalu apakah puncanya? Apakah real problemnya yang menjadi perkara pokok kepada kelesuan mahasiswa kini?

Bertempat di Audi Kulliyyah of Science hari ini, Education Bureau SCIENCESS dengan kerjasama PKPIM dan Fasilitator Team telah menganjurkan 'Forum Mahasiswa Menggugat' yang dibarisi oleh ahli-ahli panel daripada tiga front gerakan mahasiswa iaitu Saudara Ahmad Fakhrurrazi (mantan MPP UIAM), Saudara Fayhsal (HAKIM) dan Saudara Wasif (PKPIM).

Fokus perbincangan lebih tertumpu kepada Mahasiswa Meneraju Kepimpinan Masa Hadapan. Lalu penghujahan yang mantap telah diutarakan oleh ketiga-tiga ahli panel dengan baik sekali. Antara hujah yang menarik perhatian saya adalah hujah daripada Saudara Faysal apabila diajukan faktor kelesuan mahasiswa kini. Jawapan beliau adalah mahasiswa itu tidak memahami makna sebenar mahasiswa dan universiti (tempat mereka menuntut ilmu). Beliau telah melebarkan skop perbincangan kepada makna universiti. Universiti daripada perkataan 'universal' yang membawa maksud keantarabangsaan atau 'alamiyyah merupakan sebuah tempat yang terdiri daripada para cendekiawan dan gedung-gedung ilmu yang sangat bernilai kepada penduduknya iaitu mahasiswa. Universiti ibarat sebuah negara bagi mahasiswa dan para menterinya pula adalah daripada kalangan mahasiswa itu sendiri.

Di sinilah (baca: universiti) mahasiswa bebas untuk membentuk 'kerajaan' dalam politik mereka sendiri tanpa terlibat dengan mana-mana politik kepartian di luar sana. Mahasiswa bebas untuk membawa idealisme mereka sendiri dan malah mengangkatnya hingga ke peringkat kerajaan. Disebabkan itu, suara mahasiswa dapat didengari oleh pihak-pihak yang berautoriti kerana gelombang mahasiswa mampu menggugat!

Banyak lagi hujah-hujah menarik yang dibincangkan di dalam forum hari ini. Satu kerugian bagi mereka yang tidak hadir. Atau hanya mereka yang peduli tentang soal kemahasiswaan ini sahaja yang mahu hadir? Tidak cukup dengan 20, 30 orang sahaja yang peduli..bagaimana mahasiswa akan kembali MENGGUGAT jika hanya beberapa kerat sahaja yang peduli?

Ayuh rakan-rakan! Selagi anda bergelar MAHASISWA, tunjukkan rasa peduli anda atas isu-isu mahasiswa kerana ia adalah HAK kita!

...Mahasiswa pasti kembali MENGGUGAT!...

Comments