Skip to main content

Anakanda-anakanda Ummi Sudah Besar

Bismillahi walhamdulillah

Masa semakin deras berlari. Aku membelek catatan lama di dada LTC ini. Sungguh, aku merindui gaya penulisanku suatu ketika dahulu. Tulisanku penuh penjiwaan dan agak terperinci. Dalam tak sedar, seiring dengan kemunculan Revolusi Industri ke-4 kini, aku turut mengikut rentak menulis dalam gaya yang lebih ringkas dan padat sahaja.

Zaman yang kita diami rupanya mencorakkan diri kita tanpa kita sedar. Sedikit sebanyak ianya mempengaruhi cara kita berfikir dan tindakan kita. Dunia hari ini sangat pantas! Jika kita tidak mengikuti arus, nescaya kita akan ketinggalan. Begitu juga dalam hal mendidik anak-anak.

Anak-anak adalah hadiah daripada Allah melalui asbab pernikahan. Alhamdulillah, dalam usia perkahwinan yang bakal menghampiri 12 tahun, Allah mengurniakan 3 orang cahaya mata kepadaku dan suami. Nafisah Amani, Abdullah Zikri dan Muhammad Furqan nama diberi. Masing-masing sudah berusia 9, 7 dan 5 tahun. Masha Allah, pelbagai ragam yang mereka tunjukkan kepada kami, Ummi dan Abi mereka.

"Didiklah anak-anak kamu sesuai dengan zamannya kerana mereka bukan hidup di zamanmu." - Saiyidina Ali.

Aku mengakui akan kelemahan diri, betapa hebatnya cabaran di abad 21 ini. Pelbagai perkara negatif yang boleh mempengaruhi anak-anak jika tidak dipantau melalui telefon pintar mereka. Kita tidak boleh menyekat mereka melihat telefon pintar kerana mereka ialah generasi screenagers!  

Sudah 2 orang anakku yang memasuki usia mumayyiz, di mana mereka boleh membezakan antara perkara yang baik dan buruk. Aku amat menitik beratkan hal ehwal solat mereka. Saban waktu pasti aku akan meleteri mereka jika mereka belum menunaikan solat lagi. Biarlah walau sudah agak lewat, aku justeru memaksa juga mereka untuk solat. Biarlah aku berpenat pada waktu sekarang, daripada menangis di kemudian hari jika anak meninggalkan solat, na'uzubillah! Kepada Allah senantiasa aku panjatkan doa agar menjadikan zuriat keturunanku daripada kalangan mereka yang mendirikan solat.

Melihat anak-anak membesar di hadapan mata adalah satu nikmat terindah buat semua ibu bapa. Anak-anak mengajar kita erti bersabar, mengurus emosi dengan baik dan menuturkan kata-kata yang lembut dan sopan kepada mereka. Terngiang-ngiang di telingaku akan ajaran Bonda Prof Muhaya agar menguasai diri dengan menjadi seorang Plus 6 apabila berdepan dengan situasi anak mengamuk. Bagaimana hendak dilakukan apabila berdepan dengan situasi demikian? Bonda berpesan untuk tarik nafas dahulu, membaca Surah Al-Fatihah, mendoakan anak dan membayangkan anak tidak mengamuk. Mengucapkan syukur kerana Allah mengurniakan anak kepada kita dan mengganggap anak mengamuk adalah ujian daripada Allah kepada kita. Allah nak uji kesabaran kita sebagai seorang ibu. Subhanallah, sangat mendalam kan?

Terima kasih anak-anak Ummi kerana hadir dalam hidup Ummi dan Abi. Terima kasih kerana mengajar Ummi dan Abi untuk menjadi insan yang sabar. Terima kasih selalu teman Ummi ke sekolah, tunggu Ummi siapkan kerja walaupun banyak jam di sekolah Ummi. Semoga Allah sentiasa melindungi dan menyayangi kalian walau di mana sahaja berada. Ummi Abi sayang Kakak, Abdullah dan Adik Lillahi Ta'ala 💗

Comments

Popular posts from this blog

Ini Mozek BERSIH 2.0 Saya

Bismillahi walhamdulillah 9 Julai 2011 pasti akan terpahat kukuh dalam seluruh memori rakyat Malaysia. Sama seperti peristiwa berdarah 13 Mei 1969. Walaupun ianya telah 42 tahun berlalu, rakyat tidak pernah melupakannya. Impaknya amat besar terutamanya kepada kaum Melayu dan Cina pada ketika itu. Mozek BERSIH 2.0 Saya cuba mengenepikan segala emosi dan rasa marah saya ketika entri ini ditulis. Sungguhpun rasa marah ini tidak lagi padam, pesan naqibah saya, SABAR, SABAR dan berSABARlah! Sesungguhnya mengamalkan Islam pada akhir zaman ini ibarat menggenggam bara api! Maka, saya cuba bersabar, seperti sabarnya para pemimpin saya tika ini. Pagi 9 Julai 2011 tiba juga. Alhamdulillah, sehari telah berlalu pergi menjadikan umur saya 25 tahun 1 hari. Ulang tahun yang pasti diingati berikutan terpalitnya sejarah hitam dalam demonstrasi BERSIH 2.0! Palitan ini sebenarnya sudah pun terjadi kepada beberapa siri demonstrasi sebelum ini, tetapi saya kira palitan kali ini lebih dahsyat, lebih jijik d...

Wanita Perlu Bijak Urus Emosi

 Bismillahirrahmanirrahim, 10 hari lagi kita nak bertemu dengan bulan yang dirindui, Ramadhan al-Mubarak. Bulan yang penuh rahmat dan maghfirah daripada Allah, Rabb kita. Sebagai seorang wanita apatah lagi bergelar isteri dan ibu berkerjaya, pengurusan emosi sangat penting. Bukan mudah nak menukar 'topi' daripada seorang isteri dan ibu kepada seorang pekerja dan sebaliknya. Apabila seorang ibu penat di tempat kerja, ibu perlu berehat seketika agar emosinya stabil dan dapat berperanan dengan baik di rumah. Masha Allah Tabarokallah! Seorang ibu juga manusia biasa. Tidak terlepas dari rasa penat, marah dan sedih. Sifat negatif yang boleh menyebabkan sebuah keluarga tidak ceria dan harmoni. Ada satu kata-kata popular, "happy wife, happy family". Ada benarnya kata-kata ini. Ibu ialah madrasah dalam rumah tangga. Bahagia ibu, inshaa Allah bahagia rumah tangga. Sedih ibu, maka rumah tangga turut berasa muram. Kebanyakan sekolah sibuk dengan acara sukan minggu ini. Lantaran i...

Keluarga Juliana Berkembang ^^,

Bismillahi walhamdulillah "Isteri dan anak-anak adalah perhiasan dunia" Alhamdulillah, segala puji hanya untuk Allah, Tuhan Maha Pencipta, yang menciptakan manusia dari setitis air mani yang hina. Lalu menjadi segumpal darah, menjadi tulang, tulang kemudiannya dibalut dengan daging, dirupakan dengan sebaik-baik rupa dan bentuk lalu ditiupkan roh oleh Allah. Subhanallah! Tabarokallah! Alhamdulillah, adinda dikasihi Sakinah telah selamat melahirkan putera keduanya pada tanggal 8 September 2013 pada jam 5.01 petang di Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar. Putera kedua yang diberi nama Muhammad 'Imad Aqil menambahkan lagi seri kepada keluarga besar Juliana kami, Alhamdulillah.  Inilah Abang Long Fathi ^^, Ini adik Fathi, 'Imad Terimbau kenangan kami 9 beradik yang jarak kelahiran agak dekat, ada yang setahun, 2 tahun dan paling lama adalah 4 tahun. Seperti juga Sakinah, jarak kelahiran anaknya yang pertama dan kedua hanyalah setahun 1 bulan...