MenDARAH DAGINGkan Perjuangan Islam!

Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar!

'Azhim, Allah Maha Besar dan hanya kepada Dia aku berserah diri.

Telah aku mewaqafkan diri ini untuk perjuangan Islam yang suci..
Mudah sangat aku melafazkan kata-kata ini. Semudah itukah aku mempraktikkannya? Surah As-Soff ayat 2-3, Allah memberi amaran kepada orang beriman bahawa kemurkaan besar bagi mereka yang hanya pandai bercakap tetapi tidak melaksanakan cakapan itu. Astaghfirullah!

Sehingga saat ini aku masih merindukan 'alam tarbiyah' di bumi IIUM tercinta. Segala-galanya dirasakan sangat indah dan serasa tidak mahu beralih alam, mahu di situ selamanya. Akan tetapi aku akur akan sunnatullah, mana bisa aku selamanya di situ, sedangkan masih banyak 'tangan-tangan' yang menanti di luar sana. Tangan-tangan itu mahu dipimpin oleh kami yang diberi izin merasai nikmatnya tarbiyah ini. Allah..ini bukannya pekerjaan yang mudah! Nabi s.a.w sendiri apabila diperintahkan untuk berdakwah secara terang-terangan, baginda telah mengurungkan diri di dalam rumah selama hampir sebulan. Baginda sendiri merasai beban dakwah yang harus dipikul dan kita sebagai umat yang sayangkan baginda harus menyambung tugas dan amanah ini, iaitu mengembalikan umat manusia kepada Allah.

Usai berusrah bersama famili. Sejak kecil kami diasuh untuk duduk sebentar selepas solat Maghrib, mendengar sirah Nabi juga fadhilat solat, zikir dan Al-Qur'an. Alhamdulillah syukur tak terhingga kerana kami adik-beradik punya ibu dan ayah yang hebat dan serius mentarbiyah kami dengan ilmu ukhrawi di samping tidak mengkesampingkan ilmu duniawi. Terima kasih Mak, Abah!

Hari ini kami mendengar sirah Rasulullah tercinta. Permulaan dakwah baginda secara terang-terangan. Nabi mahu mengumpulkan seluruh kaum keluarga terdekat di rumah baginda. Tujuan utamanya adalah ingin memberitakan mengenai agama Islam dan wajibnya mereka beriman kepada Allah dan diri baginda sendiri. Dalam kalangan kaum kerabat yang dijemput itu termasuklah bapa saudara baginda merangkap besan baginda iaitu Abu Lahab atau nama sebenarnya Abdul Uzza.

Selesai menikmati jamuan yang disediakan, Nabi pun mula berhujah. Menyatakan kebenaran agama Islam, agama yang suci, agama yang adil yang diwahyukan oleh Allah SWT. Tiba-tiba Abu Lahab yakni bapa saudara Nabi dengan lantangnya berdiri, mencaci maki Nabi,
"Hanya kerana ini engkau menjemput kami ke rumahmu Muhammad! Engkau membawa ajaran baru yang bertentangan dengan agama nenek moyang kita!"
Sedih sungguh hati Nabi. Bapa saudara yang selama ini menyayanginya sanggup mengeluarkan kata-kata yang kesat dan menghina baginda di hadapan ahli keluarga yang lain.

Lantaran bencinya kepada Nabi, Abu Lahab mengarahkan dua orang anaknya, Utbah dan Utaibah segera menceraikan puteri-puteri Nabi yang menjadi isteri mereka iaitu Ruqayyah dan Ummu Kalthum. Bertambah hiba Nabi atas perlakuan bapa saudara sendiri.

Sementara itu, kaum kerabat Nabi yang lain meminta Nabi untuk mengadakan perjumpaan kali kedua bagi menambahkan lagi keyakinan mereka kepada agama baru ini. Mereka meminta Nabi supaya tidak mengundang Abu Lahab ekoran sikapnya yang biadap terhadap Nabi dahulu. Nabi sebagai utusan Allah tidak dapat menerima permintaan mereka kerana tugas baginda adalah mengajak manusia beriman kepada Allah, tidak kira mereka itu baik atau pun jahat sikapnya.

Nabi merasa malu apabila mengenangkan nabi-nabi terdahulu berhadapan dengan sejahat-jahat manusia dalam usaha dakwah mereka, contohnya Nabi Musa berhadapan dengan Firaun yang terkenal dengan kezaliman dan keangkuhannya. Nabi Nuh yang berhadapan dengan anak dan isteri baginda sendiri yang ingkar, tidak mahu beriman kepada seruan yang diberikan. Adakah baginda hanya mahu berdakwah kepada golongan yang baik-baik sahaja?

Subhanallah! Begitu kasihnya Nabi kita kepada seluruh umatnya. Jika kita berada di tempat Nabi, sudah tentu kita ingin berdakwah kepada golongan yang baik-baik sahaja bukan? Senang sedikit mereka hendak mendengar cakap kita. Allahumma solli'ala Muhammad, malunya kami kepadamu wahai Rasulullah..

Kita mengaku kita sayangkan Nabi, kasihkan Nabi, menyambung perjuangan Nabi..adakah benar-benar kita mengotakan apa yang kita laung-laungkan? Adakah benar-benar kita mengamalkan segala sunnah baginda? Berapa ramai mad'u yang berjaya kita tawan hati-hati mereka? Adakah hanya kepada golongan yang baik-baik sahaja yang kita dekati?

Allah..Allah..Allah..

Kita masih punya masa sahabat-sahabatku. Allah masih memberikan kita nikmat sihat, nikmat masa lapang, nikmat kesenangan. Untuk apa kita gunakan nikmat-nikmat ini agar di sana nanti ada jawapan yang dapat kita persembahkan kepada Dia? Untuk DAKWAH ILALLAH!

Sahabat-sahabat yang aku sayangi kerana Allah, marilah kita menDARAH DAGINGkan perjuangan Islam ini. Perjuangan yang kita laung-laungkan ini bukan hanya berlegar-legar di awang-awangan sahaja tetapi kita mahu ia menjadi DARAH DAGING kita! Bagaimana ertinya sahabat-sahabatku? Sehingga kita tidak akan pernah memberi alasan untuk berjuang, sehingga kita tidak akan pernah mengira-ngira untuk meleburkan masa, tenaga dan wang ringgit kita untuk Islam, sehingga kita tidak pernah ada jeda dalam memberi sumbangan kepada agama yang kita cintai ini.

Allahummaghfirli Ya Allah..

Aku sendiri masih jauh untuk menDARAH DAGINGkan perjuangan agama-Mu Ya Allah, tetapi aku berusaha mempersiapkan diriku ke arah itu. Semoga Engkau menerima segala amal kami dan Engkau redhainya Ya Rabbi..



Comments

  1. Alhamdulillah..bagusnya famili akak..saya nak contohilah..

    ReplyDelete
  2. Nurul! Syukran sudi ziarah rumah akk..eh, kami biasa2 je, i'Allah Nurul & Imran mst ade formula yg lbh baik utk tarbiyah anak2=)
    Tahniah drpd akk ats kelahiran mujahid Nurul&Imran, comel, mcm Iffah jugak =)

    ReplyDelete

Post a Comment