Al-Fatihah. Marilah kita sedekahkan surah Al-Fatihah buat arwah Mak Lang saya (Faridah Abd Manaff), Mak Ngah (Maznah Abd Manaff), nenek (Khadijah Abbas) dan buat seluruh muslimin muslimat yang terlebih dahulu pergi meninggalkan kita. Kita mendoakan agar ruh mereka semua dicucuri rahmat-Nya dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang soleh, insya-Allah.
Kronologi pemergian arwah Mak Lang yang dikasihi:
Aidilfiri 1430 H: Kami sekeluarga menerima khabar Mak Lang mendapat angin ahmar (stroke). Mak Lang tak boleh berjalan, beliau menerima rawatan fisioterapi secara intensif. Alhamdulillah kami sempat menziarahi beliau.
27 Nov 2010: Kami ke KL, menghantar To’ki ke Uniten dan Umar ke rumah Pak Usu. Terniat untuk menziarahi Mak Lang tetapi masa terbatas, kami bercadang untuk ziarah beliau pada bulan hadapan. Mak Usu yang baru menziarahi arwah minggu lalu menyatakan keadaan arwah yang amat kurus, beliau tak mahu makan, terbaring lesu sahaja.
3 Dec 2010: Pukul 2.30 pagi, Allah menjemput Mak Lang, innalillahi wainna ilaihi raaji’un. Alhamdulillah Pak Lang sempat mengajarkan syahadah sebagai kalimah akhir buat isteri beliau. Terharu sungguh mendengar kisah pengorbanan Pak Lang (contoh buat para suami di luar sana), sepanjang Mak Lang sakit, Pak Lang yang menjaga beliau termasuklah memandikan beliau dan memasak buat anak-anak. Masya-Allah, hebatnya pengorbanan Pak Lang! Menitis air mata apabila mengenangkannya.
Kami di Jitra, bergegas bertolak ke Puncak Alam. Agak lewat kami mengetahui berita pemergian Mak Lang disebabkan tak sedar deringan handphone yang berbunyi berkali-kali. Kami tiba di sana tidak beberapa lama sebelum jenazah dikebumikan. Alhamdulillah sempat menatap wajah terakhir Mak Lang sebelum beliau disemadikan di Tanah Perkuburan Felda Bukit Cerakah.
Wajah Mak Lang bersih sekali. Alhamdulillah saya yakin, Mak Lang pergi dalam husnul khatimah, insya-Allah. Saya melihat wajah anak-anak Mak Lang, seorang demi seorang; Along, Angah, Khairul, Zulkhairi dan Izzah. Nampak mereka redha dan tenang dengan pemergian ibu tercinta. Saya tahu mereka juga merelakan pemergian ibunda yang telah sakit selama lebih setahun itu. Semoga Allah melimpahkan kesabaran yang tinggi buat Pak Lang dan anak-anak.
Mak Cik Dick (adik Abah) menyebut kepada saya, “Alhamdulillah Mak Lang ‘pergi’ dengan mudah. Kita ni tak tahu macam mana jalan pulang kita.” Terdiam saya. Menginsafi diri yang terlalu banyak dosa ini. Adakah seperti Mak Lang jalan pulang kita?
Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. Dan sesungguhnya pada hari kiamat sajalah disempurnakan pahalamu. Barangsiapa dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, maka sungguh ia telah beruntung. Kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdayakan. [Ali-Imran: 185]
Teringat satu kata-kata dalam novel kesukaan saya, “Hijab Sang Pencinta”-RAM,
Mati itu pasti..hidup insya-Allah
Lalu, sudah siapkah kita untuk bertemu Tuhan, Rabb sekalian alam?
“Allahummaghfirlaha warhamha wa’afiha wa’fu ‘anha”
Semoga Mak Lang bersemadi dengan aman di alam barzakh sana. Kami juga akan menyusul Mak Lang, insya-Allah.
{entri ini khas buat adinda Bangah dan Nienah yang berada di perantauan}
Comments
Post a Comment