Skip to main content

Ayah Bonda; Maafkan Anakmu Ini

Bismillahi walhamdulillah

Puteri sulung Mak dan Abah ingin mencoret sesuatu di sini. Terlebih dahulu jutaan maaf dipinta untuk Mak dan Abah kerana diri ini jarang sekali menghadiahkan kebahagiaan kepada kalian berdua.

Sudah 25 tahun anak sulung Mak dan Abah sekarang, subhanallah cepatnya masa berlalu! Dalam usia satu dekad setengah ini aku cuba menghitung-hitung berapa banyak 'hadiah' kejayaan yang telah ku beri, walaupun aku tahu Mak dan Abah tidak memintanya tetapi sebagai seorang anak, wajib ke atasku untuk 'menghadiahkan' kejayaan terutamanya di dalam akademik kepada kedua orang tuaku.

Maafkan diri ini Mak dan Abah, rasanya tidak dapat dihitung dengan apa pun segala kesenangan, kemudahan dan segala-galanya yang telah kalian berdua berikan kepada kami, sembilan orang anakmu ini. Bermula dengan hari pertama aku menjenguk dunia sehingga ke saat ini, tidak tertahan rasanya menakung air mata yang pasti akan gugur jika mengingat akan pengorbanan kalian kepada kami. Maafkan segala kesalahan kami..

Mak dan Abah, diri ini selalu ingin melaksanakan yang terbaik dalam hidup terutama dalam dunia akademik. Tika ini, alhamdulillah dengan izin Allah jua, diri ini sedang melalui peringkat pengajian yang lebih tinggi iaitu Sarjana. Andai Mak dan Abah tahu, sesungguhnya aku telah berjanji dengan Allah, diriku dan dengan kalian juga bahawa aku akan mendapatkan Kelas Pertama untuk peringkat pengajian kali ini, insya-Allah. Dari itu, aku memohon dengan amat sangat kalian berdua dapat mendoakanku. Namun aku cukup mengerti bahawa kalian berdua sebenarnya senantiasa mendoakan kami anak-anakmu hatta kami tidak meminta pun, Allahu Allah..

Kita sentiasa merancang dan digalakkan untuk merancang hala tuju hidup kita. Begitu juga aku, Mak dan Abah, aku merasakan aku telah berusaha sedaya dan semampuku untuk cuba meraih yang terbaik pada semester lepas. Namun begitu aku diuji lagi, aku menerimanya dengan redha dan cuba memujuk diri, "mungkin usaha aku masih tidak cukup, strategi tidak mengena dan mungkin juga kurang menjaga amal ibadat" dan pelbagai asbab yang cuba dimuhasabahkan. Aku mohon maaf sekali lagi Mak dan Abah, anakmu ini masih tidak dapat membanggakanmu..

Setiap kali menerima panggilan telefon daripada kalian berdua, amat berat sekali untuk menuturkan bicara. Maafkan aku Mak dan Abah, bukan niatku untuk tidak mahu bicara, aku akan berusaha untuk menjadi anak yang solehah buat kalian kerana aku tahu inilah yang dimahukan Tuhanku. Aku benar-benar berdosa kepada kalian berdua, semoga kalian memaafkanku dan aku juga berdoa semoga Allah juga sudi mengampunkanku..

Terakhirnya, doakan anakmu ini menjadi hamba Allah, anak dan sahabat yang solehah, itqan dalam setiap gerak kerja dan tidak mengenal erti putus asa. Semoga Allah sentiasa memelihara dan menyayangi kalian selama-lamanya kerana hanya Dia sahaja yang dapat membalas segala kebaikan kalian kepada kami.

"Ya Allah, rahmatilah kedua ibu bapaku sebagaimana mereka mengasihiku ketika aku masih kecil".

-Anakmu-

Comments

Popular posts from this blog

Bulat Tekadku

  Bismillahi Walhamdulillah, Rasa bersalah menyelubungi diri apabila membuka lembaran LTC ku ini. Seolah-olah sudah hampir dilupakan. Post akhir ku adalah pada tahun lepas, masha Allah sungguh pantas masa berlalu! Benar sabdaan Nabi bahawa di akhir zaman, masa begitu singkat dirasakan, apabila kita berada di waktu pagi, kemudian tidak sedar waktu malam sudah pun muncul.  Tahun 2024 punya pelbagai cerita. Tidak lama sudah sampai penghujung tahun dan tidak lama juga Ramadhan bakal tiba. Semoga Allah mengizinkan kita berjumpa dengan bulan Ramadhan, bulan yang mulia, bulan yang menjadi dambaan orang-orang soleh. Berita dari Gaza Aku membelek Telegram sebentar tadi. Mata aku menangkap berita mengenai saudara seIslam kita di Gaza daripada group "Terkini dan Sensasi Palestin". Pedih sungguh rasa hati apabila mengetahui keadaan mereka yang terputus bekalan makanan dan tiada tempat tinggal. Mereka berpusu-pusu mendapatkan bekalan roti di Khan Younis. Allahu Akbar! Kepada Allah jua te...

Matematik Tambahan Yang Merumitkan

Bismillahi walhamdulillah Hampir berakhir cuti penggal ketiga persekolahan bagi sesi 2023/2024. Hari ini saya kembali ke sekolah, menggalas amanah dalam Perkampungan Akademik Siri 2. Siri 1 telah pun diadakan pada bulan Ogos yang lalu. Tahun ini merupakan tahun keempat saya menjadi guru Matematik Tambahan bagi kelas peperiksaan SPM. Tahun-tahun yang sudah saya lalui ialah tahun 2017, 2018 dan 2021. Kegerunan di hati masih ada apabila mengajar 'killer subject' ini. Soalan-soalan dalam peperiksaan SPM sesungguhnya sukar diramal. Kami diberi masa selama 4 jam dalam perkampungan akademik ini. Saya cuba merangka strategi yang boleh meraikan semua peringkat kefahaman pelajar. Maka saya telah mengadakan kumpulan-kumpulan kecil dan melantik Guru Muda bagi membantu saya dalam kumpulan mereka. Anak-anak pelajar saya ini bijak belaka. Alhamdulillah sepanjang pemerhatian saya hari ini, saya dapati guru muda telah memainkan peranan dengan sangat baik, malah memberi penerangan yang jauh lebi...

Doa Untuk Wanita

  Bismillahi walhamdulillah Menjadi seorang wanita atau tepatnya umat Nabi Muhammad s.a.w. adalah sangat istimewa. Nabi Muhammad s.a.w. sangat memuliakan kaum wanita. Datangnya baginda sebagai utusan Allah, baginda membuang segala perkara yang mungkar dan maksiat yang dilakukan oleh kaumnya. Pada ketika itu bayi perempuan akan dibunuh atau ditanam hidup-hidup. Allahu Akbar! Nabi Muhammad s.a.w. begitu menyayangi isterinya Siti Khadijah r.anha, hingga baginda berasa amat sedih pada tahun Siti Khadijah wafat.  Baginda juga merupakan seorang ayah yang penyayang dan datuk yang begitu sayang akan cucu-cucunya. Baginda mengajarkan kepada anakandanya, Fatimah yang pernah mengadu akan keletihan melakukan kerja rumah. Lalu baginda mengajarkan zikir Tasbih, Tahmid dan Takbir sebanyak 33x setiap satunya dan kita mengamalkanny setiap kali selepas solat. Doa Untuk Wanita   Sebenarnya banyak doa yang baik dan boleh diamalkan oleh kita. Saya kongsikan dahulu 3 DOA di bawah yang saya suk...