Bismillahi walhamdulillah
15 Ramadhan 1432H semalam. Syukru Lillah dapat ifthar bersama teman, sahabat baikku, Halimatun. Kami berhajat mahu ke Kg Pasir selepas Maghrib, mendengar tazkirah Ramadhan daripada tokoh pimpinan yang tidak asing lagi; Al-Fadhil Ustaz Yusof Embong.
Alhamdulillah kami tiba lebih kurang jarak waktu tibanya Ustaz dan zaujah beliau. Teruja aku melihat setianya sang isteri yang sentiasa bersama suami walau di mana sahaja. Dalam hatiku berdoa, semoga Allah kekalkan kesejahteraan rumah tangga mereka dan terus istiqomah sampai dijemput Ilahi.
Aku berkesempatan berbual dengan seorang insan hebat, sayap perjuangan teristimewa buat Ustaz Yusof Embong. Subhanallah! Tabarokallah! Dalam hatiku tidak putus-putus melafazkan hamdalah atas nikmat pertemuan ini. Banyak sekali persoalan yang diajukan dek rasa kagumku terhadap insan ini, Puan Faridah.
Ustaz Yusof dan zaujah adalah antara ikon mujahid/ah yang aku kagumi disebabkan keistiqomahan mereka di dalam perjuangan menegakkan Islam ini. Malahan dua daripada sebelas orang anak-anak mereka adalah tidak asing bagiku; Mutmainnah dan Solehah, mereka adalah adik-adik seperjuangan IIUMku.
Subhanallah! Tabarokallah! Ucapan apa lagi yang dapat aku lafazkan atas nikmat bertemu insan-insan istimewa ini? Bagi-Mu segala puji Ya Allah, kami juga ingin mencontohi kehidupan mereka yang penuh keberkatan, insya-Allah.
Puan Faridah hanya membahasakan diri beliau "Mak Cik". Subhanallah, aku terasa sungguh dekat dengan beliau, seolah berbicara dengan ibu sendiri. Mak Cik seorang yang sangat merendah diri, sentiasa melontarkan senyum dan ikhlas berkongsi kisah hidup beliau bersamaku.
Hebatnya Mak Cik! Aku sesungguhnya sangat impressed dengan kekuatan dan ketabahan beliau dalam melayari Baitul Muslim bersama suami tercinta. Raut wajah Mak Cik sentiasa tenang dan Mak Cik sentiasa nampak muda =)
Ujar Mak Cik, "Setiap kali Mak Cik dianugerahi anak, Mak Cik akan menangis. Bertambahnya amanah dan tanggungjawab terhadap anak ini".
"Ustaz tak mahu hantar anak-anak ke taska, Ustaz nak Mak Cik ajar sendiri anak-anak, kenalkan Al-Qur'an kepada mereka. Alhamdulillah sampai ada seorang anak Mak Cik yang khatam Al-Qur'an pada usia 7 tahun."
"Kita sebagai ibu ayah, harus menunjukkan akhlak yang baik kepada anak-anak. Anak-anak tak akan bertanya banyak kerana mereka dah faham. Mereka faham sebab ibu ayah mereka dah tunjukkan contoh yang baik kepada mereka."
"Kita sebagai seorang isteri dan ibu wajib melaksanakan tanggungjawab kita dengan baik. Sesibuk mana pun kita dengan usrah, program atau apa-apa sahaja, makan minum mereka jangan diabaikan. Buatlah kek ke, biskut ke petang-petang...dengan itu mereka tak akan persoalkan jika kita minta izin keluar untuk program di luar."
"Kadang-kadang Mak Cik kesian dengan anak-anak Mak Cik yang dah jadi ibu pada usia yang muda. Yalah, nak belajar lagi, nak urus anak lagi...tapi Mak Cik tak nak tunjuk kesian Mak Cik, Mak Cik nak diorang kuat."
Subhanallah! Sungguh aku kagum dengan Mak Cik. Hebatnya Mak Cik sehingga dapat membesarkan 11 orang anaknya dengan baik. Tidak hairanlah anak-anak Mak Cik juga hebat, hebat di dalam akademik mahu pun sebagai seorang pemimpin.
Semoga Allah merahmatimu Mak Cik. Hanya syurga yang layak buatmu, seorang isteri juga sayap perjuangan kepada suami, seorang ibu yang tiada pernah mengeluh dengan kegetiran ujian hidup dalam membesarkan dan mendidik 11 orang anakmu menjadi insan kamil. Kini Mak Cik sudah boleh menghela nafas lega, Mak Cik telah melunaskan amanah Allah buatnya.
Di akhir pertemuan, Mak Cik memberitahuku, "Mak Cik hanya tunggu mati, Alhamdulillah atas semua nikmat yang Allah bagi. Dan bila Mak Cik fikir-fikir, pentingnya hubungan yang intim dengan Allah. Kita tak akan mampu lalui semua ni tanpa kekuatan dan izin daripada Allah."
Dan sekali lagi aku jeda. Subhanallah, hebatnya insan yang Kau pertemukan denganku pada malam ini. Aku ingin sekali menjadi seperti beliau, kuat dan tabah mengharung ombak dan badai. Aku ingin meminjam kecekalan beliau buat bekal dalam mengemudi bahtera BMku pula nanti. Semoga rahmat dan kasih sayang Allah terus terlimpah buat Ustaz Yusof, Ustazah Faridah dan anak-anak.
so inspiring kakak!
ReplyDelete