Skip to main content

Soal Sikap


Bismillahi walhamdulillah

Astaghfirullahal’azhim..Astaghfirullahal’azhim..Astaghfirullahal’azhim..

Aku memohon ampunan-Mu Ya Allah atas segala dosa dan khilafku sebagai seorang hamba. Engkau terlalu hebat dan hanya Engkau Maha Tahu akan duduk letak setiap insan yang Engkau ciptakan. Moga catatanku kali ini diterima oleh-Mu, kerna sekali lagi aku berpesan kepada diriku, aku menulis hanya kerana-Mu.

Tidak tahu bagaimana harus aku memulakan. Dibesarkan dengan didikan yang agak tegas dan berdisiplin oleh Ayahanda dan Bonda membuatkan aku tidak betah pada awalnya bermukim di bumi Lembah Klang ini. Namun tidak sekali-kali aku menyalahkan takdir Ilahi (tidak akan, insya-Allah) atas setiap percaturan Dia. Dia malah tidak pernah memberikan kepayahan dan kesusahan kepada diri yang kerdil hina ini.

Aku cuba beradaptasi, hidup bersama penghuni-penghuni di bangunan flat ini. Ya, flat! Tidak pernah membayangkan akan menyertai insan-insan yang telah lama menghuni rumah berjenis flat ini. Pernah juga terdetik di hati, mampukah aku hidup di flat ini? Astaghfirullah, semoga Allah mengampunkan segala detikan yang tidak baik itu kerana rezeki setiap hamba-Nya telah pun ditetapkan sejak azali lagi. Alhamdulillah, dan kini sudah mencecah 10 bulan aku menghuni di sini.

Syukur aku panjatkan kepada-Nya, majoriti penghuni flat ini adalah terdiri daripada keluarga, tidak ramai atau boleh dikatakan tiada langsung warga asing di sini. Pesanan  Ayah Bonda sentiasa aku sematkan di hati bahawa aku harus berwaspada, extra waspada dalam erti kata lain kerana berhidup di kota metropolitan ini tidak dapat dijangkakan sama sekali kejadian-kejadian yang tidak diingini. Na’zubillah, Ya Allah peliharalah keselamatan diriku dan rakan-rakanku yang mendiami tanah Lembah Klang tika ini.

Bukan mahu aku kesalkan atau rungutkan mengenai sikap sesetengah  individu yang sama-sama mendiami flat ini, tetapi tika dan saat ini, kesabaranku benar-benar teruji.  Ujian pertama pada awalnya adalah betapa susahnya mahu mencari tempat parking untuk Umarku tambahan jika aku pulang ke rumah pada waktu malam. Allahu Allah, aku belajar untuk bersabar dan mengaktifkan semaksima mungkin kesabaranku ini. Alhamdulillah lama-kelamaan aku bisa berkompromi dengan hal dunia yang satu ini iaitu “parking di mana sahaja even space itu muat-muat sahaja untuk Umar”, asalkan Umar ada tempat tidur..

Tidak diceritakan lagi perihal ‘mereka’ yang tidak bertanggungjawab, sanggup membuang sisa makanan ke atas bumbung kereta orang lain dan termasuklah Umar sebagai mangsanya! Sungguh aku kesal dan sedih dengan sikap yang satu ini-pengotor dan tidak bertanggungjawab! Islam mengajar umatnya supaya mengamalkan kebersihan tetapi rupanya ia tidak sampai kepada golongan ini…Allahu Akbar!

Kesabaranku akhirnya bertambah calar apabila pada dua hari lepas aku terlihat kesan goresan dan calar yang agak dalam pada bumper Umar! Allahu Akbar! Sudah tidak tahu untuk berkata apa lagi, aku menganggapnya sebagai ujian Allah..moga kesabaranku ini sentiasa dikuatkan-Nya.

Aku tidak sedih jika si pembuatnya berjumpaku dan menyatakan bahawa dia terlanggar atau apa sahaja asbab tercalarnya Umar, sekurang-kurangnya aku mendengar ketulusan dan sikap bertanggungjawab individu terbabit. Akan tetapi, aku hampa dan sangat sedih dengan sikap sebegini. Apa yang sudah berlaku dengan sikap umat Islam ini? Tiada tanggungjawab? Tiada empati?

Tidak aku sesalkan atas apa yang sudah terjadi pada Umar, tetapi setidak-tidaknya tunjukkanlah sikap tanggungjawab anda itu. Tiada tanggungjawab, tiada hormat lagi saya kepada anda!

Astaghfirullahal’adzhim…

Aku menerimanya sebagai ujian dari-Mu Ya Allah..moga individu terbabit menyedari kesalahan dia dan memohon ampun kepada-Mu. Sebagai umat Nabi Muhammad, aku memaafkan kesalahan dia kepadaku, moga Engkau juga memaafkan kami. Satu hal yang aku belajar bahawa tiada yang indah hidup di dunia metropolitan jika beginilah sikap yang diperlihatkan. Jelek dan muak dengan sikap ini, maaf kerana aku masih menyatakannya.

Jika diberi pilihan untuk berhidup di kota metropolitan, aku pasti mengatakan TIDAK! Namun dari satu sisi yang lain, tidak aku nafikan bahawa hidup di KL menjadikan kita lebih ‘alert’ dan berdaya saing. Bukan mahu mencari hidup yang selesa kerana bagiku berhiduplah di mana sahaja kerana di mana-mana sahaja adalah bumi Tuhan, bukan? Jawapan tidakku itu adalah bersandarkan kepada  alasan terkuatku iaitu SOAL SIKAP!

Renungkanlah; bahawa Allah sekali-kali tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu melainkan mereka mengubahnya sendiri.

Wallahua’lam.

Comments

Popular posts from this blog

Ini Mozek BERSIH 2.0 Saya

Bismillahi walhamdulillah 9 Julai 2011 pasti akan terpahat kukuh dalam seluruh memori rakyat Malaysia. Sama seperti peristiwa berdarah 13 Mei 1969. Walaupun ianya telah 42 tahun berlalu, rakyat tidak pernah melupakannya. Impaknya amat besar terutamanya kepada kaum Melayu dan Cina pada ketika itu. Mozek BERSIH 2.0 Saya cuba mengenepikan segala emosi dan rasa marah saya ketika entri ini ditulis. Sungguhpun rasa marah ini tidak lagi padam, pesan naqibah saya, SABAR, SABAR dan berSABARlah! Sesungguhnya mengamalkan Islam pada akhir zaman ini ibarat menggenggam bara api! Maka, saya cuba bersabar, seperti sabarnya para pemimpin saya tika ini. Pagi 9 Julai 2011 tiba juga. Alhamdulillah, sehari telah berlalu pergi menjadikan umur saya 25 tahun 1 hari. Ulang tahun yang pasti diingati berikutan terpalitnya sejarah hitam dalam demonstrasi BERSIH 2.0! Palitan ini sebenarnya sudah pun terjadi kepada beberapa siri demonstrasi sebelum ini, tetapi saya kira palitan kali ini lebih dahsyat, lebih jijik d...

Wanita Perlu Bijak Urus Emosi

 Bismillahirrahmanirrahim, 10 hari lagi kita nak bertemu dengan bulan yang dirindui, Ramadhan al-Mubarak. Bulan yang penuh rahmat dan maghfirah daripada Allah, Rabb kita. Sebagai seorang wanita apatah lagi bergelar isteri dan ibu berkerjaya, pengurusan emosi sangat penting. Bukan mudah nak menukar 'topi' daripada seorang isteri dan ibu kepada seorang pekerja dan sebaliknya. Apabila seorang ibu penat di tempat kerja, ibu perlu berehat seketika agar emosinya stabil dan dapat berperanan dengan baik di rumah. Masha Allah Tabarokallah! Seorang ibu juga manusia biasa. Tidak terlepas dari rasa penat, marah dan sedih. Sifat negatif yang boleh menyebabkan sebuah keluarga tidak ceria dan harmoni. Ada satu kata-kata popular, "happy wife, happy family". Ada benarnya kata-kata ini. Ibu ialah madrasah dalam rumah tangga. Bahagia ibu, inshaa Allah bahagia rumah tangga. Sedih ibu, maka rumah tangga turut berasa muram. Kebanyakan sekolah sibuk dengan acara sukan minggu ini. Lantaran i...

Keluarga Juliana Berkembang ^^,

Bismillahi walhamdulillah "Isteri dan anak-anak adalah perhiasan dunia" Alhamdulillah, segala puji hanya untuk Allah, Tuhan Maha Pencipta, yang menciptakan manusia dari setitis air mani yang hina. Lalu menjadi segumpal darah, menjadi tulang, tulang kemudiannya dibalut dengan daging, dirupakan dengan sebaik-baik rupa dan bentuk lalu ditiupkan roh oleh Allah. Subhanallah! Tabarokallah! Alhamdulillah, adinda dikasihi Sakinah telah selamat melahirkan putera keduanya pada tanggal 8 September 2013 pada jam 5.01 petang di Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar. Putera kedua yang diberi nama Muhammad 'Imad Aqil menambahkan lagi seri kepada keluarga besar Juliana kami, Alhamdulillah.  Inilah Abang Long Fathi ^^, Ini adik Fathi, 'Imad Terimbau kenangan kami 9 beradik yang jarak kelahiran agak dekat, ada yang setahun, 2 tahun dan paling lama adalah 4 tahun. Seperti juga Sakinah, jarak kelahiran anaknya yang pertama dan kedua hanyalah setahun 1 bulan...