Kagum dengan 'Mereka'

Bismillahi walhamdulillah

Alhamdulillah jaulah tarbawi kami dipermudahkan Allah, selamat tiba dan selamat pulang. Tribute saya dedikasikan kepada adinda merangkap mastermind jaulah kami, Adinda Yard! Semoga segala pengorbanan beliau dalam memastikan jaulah ini sempurna diganjar Allah dengan selayaknya.

Berkira-kira saya pada awalnya mahu berpergian ke Pulau Mutiara ini. Bukan terlalu berkira dengan wang ringgit tetapi berkira dengan MASA! Sudah tentu orang seperti saya yang masih tidak sempurna time managementnya akan sentiasa berkira-kira dengan masa yang berbaki untuk siapkan segala tugasan yang diamanahkan. Allahu Allah, benarlah firman-Mu, betapa MASA itu tidak akan pernah menunggu orang yang leka dan lalai.

Akhiran, Allah memilih kami menyertai jaulah yang bermakna ini. Jaulah yang sekian lama saya rindui untuk menjadi pesertanya, seindah jaulah saya bersama teman-teman semasa fatrah alam graduasi dahulu. Alhamdulillah, seindah-indah lafaz, syukran Allah kerana memilihku untuk bersama mereka.

Bergantian saya dan Yard mengemudi buraq Najwa, membelah kepekatan malam demi misi ke Pulau Mutiara ini. Tawakkal kami kepada-Nya, tiada musyrif bersama kami, hanya Allah sebaik-baik penjaga. Alhamdulillah perjalanan kami dipermudahkan-Nya. Nampak sahaja papan tanda Butterworth, kami mengucap syukur dan menghela nafas lega. 

Lalu menginap di rumah adinda Hidayati, first class hospitality yang kami terima daripada keluarganya terutama ibunya! Masya-Allah, betapa hebatnya ibunda beliau, melayan segala kerenah kami sehingga melebihi daripada apa yang kami bayangkan. Semoga Allah merahmati keluarga Hidayati. Tersenyum saya mengingat segala peristiwa di rumah beliau, terutamanya semasa menjamah hidangan lazat, hidangan 'kasih sayang' bonda Hidayati...subhanallah, tidak akan saya luputkan ia dari ingatan saya..hebatnya ibu ini, bisik saya.

Pagi Sabtu, inilah hari yang dinanti oleh seluruh rakyat yang cintakan agama hanif ini, agama Islam yang lebih tinggi dari segala agama di dunia ini. Rakyat Pulau Pinang dan seluruh rakyat Malaysia membanjiri Dewan Millenium Kepala Batas, mengorbankan hari minggu mereka untuk bersama-sama meraikan Kongres Sambutan 60 Tahun PAS di tempat kelahiran PAS sendiri.

Saya dan teman-teman yang hadir begitu teruja dan kagum dengan 'mereka' ini. Subhanallah, ada yang hadir dengan berkerusi roda, ada yang bertongkat, ada yang 'istimewa' dan ada yang membawa anak-anak kecil. Sehingga tersayat perasaan saya menyaksikan kesungguhan dan komitmen mereka kepada perjuangan ini. Mereka pastinya punya komitmen lain di hujung minggu ini tetapi dapat mereka korbankan ia demi memastikan kongres ini berjalan dengan baik dan meriah. Tabarokallah! Allah sebaik-baik pengganjar atas segala niat dan amal yang dilaksanakan oleh hamba-Nya.

Perjalanan sepanjang kongres tidak saya biarkan ia berlalu begitu sahaja. Saya cuba menghadam input-input dan amanat yang disampaikan oleh pemimpin-pemimpin kesayangan kami dengan sebaiknya. Alhamdulillah syukran Allah atas segalanya, saya merasakan hari Sabtu saya sangat bermanfaat dan terisi dari pagi sehingga malam, moga Allah menerimanya.

Pasti saya tidak melupakan agenda pada malamnya. Kepala Batas sesak! Masya-Allah lebih 20 ribu rakyat membanjiri Dewan Millenium! Sekali lagi kekaguman saya terserlah. Ya Allah, saksikanlah, kami bersama-sama di dalam dewan ini demi misi kami untuk agama dan perjuangan-Mu ini, terimalah ia Ya Allah..

Saya dan teman-teman bersila di lobi dewan, bersesak-sesak umpama di Tanah Haram pula pemandanganya. Masya-Allah! Tetapi ianya tidak menghalang kami untuk  terus bersemangat mendengar segala amanat dan taujihad daripada tokoh-tokoh pimpinan kami yang sangat kami kasihi. Menambahkan lagi rasa keterujaan saya adalah saya dapat menyaksikan dengan sangat dekat ketibaan Mursyidul Am Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat pada malam itu. Subhanallah, tidak tergambar perasaan ini, hanya Allah yang Maha Tahu. Menyaksikan ulama' dan pemimpin Islam yang berkarisma ini membuatkan hati saya sangat tersentuh dan syahdu sekali. Doa saya, semoga Allah sentiasa memberkati TGNA.

Segala puji buat Allah Yang Esa. Hamdalah kami tidak akan pernah berhenti kerana Allah sahaja Tuhan kami, Tuhan Pemilik Alam ini. Terngiang-ngiang di telinga ini akan amanat dan pesan Tok Guru, Islam ini sudah berusia hampir 1450 tahun. Sudah lama Nabi meninggalkan kita, maka kita perlukan penapis untuk menapis segala anasir luar yang telah mencemari Islam selepas wafatnya Nabi kita yang tercinta. Penapis yang dimaksudkan adalah Kitabullah wa Sunnata Rasulullah s.a.w. Sebab itu saya sangat suka mendengar amanat Tok Guru kerana beliau meningatkan kami dengan perkara-perkara yang asas, perkara yang mudah difahami oleh rakyat marhaen dan orang awam.

Kongres tamat dengan berakhirnya ucapan penutup dan taujihad yang dipasakkan oleh Tok Guru kepada kami, rakyat Malaysia ini, rakyat yang cintakan perjuangan ini. Ya Allah, kami berkumpul di dalam dewan ini adalah semata-mata kerana-Mu jua. Bantulah kami dalam merealisasikan matlamat dan cita-cita kami. Misi "Menawan Putrajaya" akan kami pegang dan cuba kami tawan dengan izin-Mu. 

Sesungguhnya inilah jaulah tarbawi dan kembara ukhuwwah (Yard, 2011) yang amat-amat bermakna bagi saya. Musafir yang sering saya dambakan ini mengingatkan saya bahawa benarlah jika kita ingin mengenali seseorang sahabat itu, bermusafirlah bersamanya. Alhamdulillah dan saya telah merasai kemanisan ukhuwwah ini. Bersama mereka, saya berasa bahagia. Bersama mereka, saya tidak berasa gelisah. Bersama mereka, membuatkan saya sangat yakin bahawa mereka dan saya bersama-sama berpimpinan tangan dan langkah meneruskan perjuangan abadi ini, perjuangan yang berterusan sehingga tertegaknya Islam di muka bumi ini. Terima kasih sahabat dan adinda-adindaku, kalian anugerah Allah yang teristimewa. Ya Allah, jagailah ukhuwwah kami dan thabatkanlah kami di atas jalan perjuangan ini dan temukanlah kami di syurga-Mu nanti, amin ya Rabbana.


Dedikasi teristimewa buat: Sahabatku Halimatun, Adinda Khai, Adinda Yard, Adinda Najwa, Adinda Hidayati dan Adinda Aima..Seeru'ala barkatILLAH!

Comments

  1. jangan serik utk dtg penang lagi =)

    ReplyDelete
  2. oh Adinda, apresiasiku juga buat anda! Mucha gracias for the best hospitality! Insya-Allah takkan serik utk ke sn lg, best!!! Alhamdulillah =)

    ReplyDelete

Post a Comment