Kembali Ke Medan Tempur


Bismillahi walhamdulillah

9 Ramadhan 1433H. Pagi yang indah di bumi perjuangan Petaling Jaya. Alhamdulillah biiznillah, dengan izin Allah aku kembali ke medan tempur ini. Kembali menyambung perjuangan yang tiada noktah, perjuangan sehingga ke liang lahad insyaAllah.

Kuala Lumpur tetap sama, seperti yang aku tinggalkan sebelum Ramadhan. Malamnya masih dilihat sibuk, kereta-kereta masih melingkar di atas jalan raya sedangkan solat sunat tarawikh sedang berlangsung di masjid-masjid dan surau-surau. Di mana Ramadhan mereka?

Oh bukan mahu skeptikal kepada marhaen Kuala Lumpur, mungkin mereka mengerjakan ibadah itu di rumah. Ya dan soal ibadah adalah antara mereka dan Allah. Namun tidak dinafikan, rumah-rumah Allah di jantung kota ini tetap meriah dengan pesta ibadah di bulan yang penuh keberkatan, penuh kemuliaan ini.

Permusafiran Kulim-Kajang semalam memberi ruang kepada diri ini untuk bermuhasabah dan mengaudit diri terhadap segala amal ibadah dan perilaku sepanjang berada di dalam Ramadhan dan sepanjang menjadi suri kepada Zauji. Kadang kala berjauhan itu perlu juga, menambahkan rasa manis dan indah dalam percintaan kami =)

Aku kini terikut dengan hobi Zauji, mendengar rakaman kuliah-kuliah melalui MP3 pemberian beliau ketika bermusafir. Alhamdulillah masa perjalanan yang agak panjang terisi juga dengan mendengar butir-butir ilmu.

Aku memilih untuk mendengar slot “Celik Mata Reset Minda Keluarga” yang disampaikan oleh motivator tersohor, Prof Dr Muhaya. Penyampaian Prof yang bersahaja dan mudah difahami amat senang di pendengaranku. Banyak sekali pengalaman yang beliau ceritakan terutama pengalaman beliau merawat para pesakitnya. Beliau berkongsi mengenai pengalamannya merawat pesakit lelaki berusia 17 tahun yang memiliki power tinggi dan berniat untuk melakukan lasik. Soalan pertama yang beliau ajukan selepas memeriksa matanya adalah “Adik merokok?” lalu remaja itu menafikannya. Prof merenung matanya dan menyoal sekali lagi. “Jujurlah dengan saya, jangan tipu. Saya lihat mata kamu, saya tahu kamu merokok.” Terdiam remaja tersebut. Dia tunduk lalu mengangguk perlahan-lahan.

Prof melanjutkan bicaranya. “Adik, kenapa adik merokok? Adik tahu tak, mak adik dah laburkan hampir tujuh ribu untuk lasik ni dan jumlah ni bukan satu jumlah yang kecil. Adik tak kasihan kat mak adik? Saya tak mahu lakukan lasik kepada adik melainkan adik dah betulkan minda adik dahulu. Saya tak mahu adik nanti sudah nampak dengan terang tetapi adik masih melakukan perkara yang sia-sia dalam hidup.” Selepas Prof berkata begitu, remaja tersebut menangis, mungkin tersentuh dengan nasihat yang diberikan.

Remaja sering dipersalahkan atas perkara-perkara negatif yang mereka lakukan. Menurut Prof, mereka sebenarnya tidak bersalah, tetapi keluarga dan masyarakat yang bersalah kerana tidak mendengar apa mahu mereka, apa luahan hati mereka. Prof bertanya, berapa ramai ibu bapa yang mendengar luahan hati anak-anak? Adakah ibu bapa lebih suka mengarah atau mendengar? Berapa ramai ibu bapa yang peluk anak mereka dan berkata “Kamu anak yang hebat, kami berbangga memiliki kamu sebagai anak kami”.

Ironinya, kebanyakan ibu bapa lebih suka menuding jari kepada anak-anak dan memarahi anak-anak atas perlakuan negatif yang mereka lakukan. Justeru anak-anak merasakan mereka tidak lagi disayangi lalu mencari ‘kasih sayang’ itu di luar rumah. Lalu terjebaklah mereka dalam gejala yang tidak sihat disebabkan salah pilih kawan dan tidak dipandu oleh ibu bapa mereka.

Banyak lagi pengalaman lain yang diceritakan oleh Prof di samping ilmu tentang kesihatan mata turut dikongsi. Kesimpulannya, setiap daripada kita harus berbalik kepada diri sendiri dan perbetulkan diri masing-masing dahulu sebelum menuding jari kepada orang lain. Masyarakat kita terlalu suka menghukum dan memfitnah orang lain tetapi tidak pernah melihat kepada diri sendiri yang masih punya banyak kelemahan.

Benarlah apa yang disebut oleh Prof. Seek first to understand before to be understood. Salah satu daripada 7 Habits yang diperkenalkan oleh John Maxwell ini sebenarnya mengintikan apa itu empati. Tidak ramai antara kita yang empati. Suami tidak empati terhadap isteri dan sebaliknya. Ibu bapa tidak empati kepada anak-anak dan juga sebaliknya. Susahkah mahu menjadi empati? Anda hanya perlu menyediakan dua telinga anda untuk mendengar luahan hati mereka dan bahu anda jika diperlukan untuk mereka rebahkan dan merasa sedikit kelegaan dengan berbuat demikian.

Islam sesungguhnya mengajar apa itu empati. Kita diajar untuk mendengar apabila orang lain berkata-kata dan ianya termasuk dalam empati. Keberadaan kita di dalam Shahr Ramadhan adalah masa yang tepat untuk melatih empati  jika kita belum memilikinya lagi. Kenapa Ramdhan adalah bulan empati? Kerana Ramadhan mengingatkan kita kepada mereka yang susah, mereka yang kelaparan dan hidup di dalam kemiskinan. 

Subhanallah, indahnya Ramadhan! Rasulullah s.a.w. bersabda di dalam khutbah baginda di malam terakhir Sya’ban yang antara intinya, “Ramadhan adalah bulan kesabaran.” Benar sekali sabdaan baginda. Ramadhan melatih kita untuk sabar, bukan sabar yang biasa-biasa. Sabar dalam melakukan ibadah kepada Allah, sabar daripada melakukan perkara-perkara maksiat dan dilarang Allah. Dan sabar ini harus seiring dengan mujahadah. Subhanallah, Ramadhan mengajar kita segala-galanya, yang tidak ada di dalam bulan lain.

Aku teringat kata-kata seorang ulama’ yang disegani, Syeikh Nuruddin Al-Banjari, “Ramadhan hanya 30 hari dalam setahun”. Hanya 30 hari! Bukan 3 bulan, bukan 30 bulan. Maka rebutlah segala tawaran hebat yang tersedia di dalamnya. Amat rugi jika ada di antara kita yang masih melakukan perbuatan yang sia-sia, masih ada masa untuk berkaraoke di malam hari (na’uzubillah), bermain video game dan perbuatan lain yang melalaikan dan merugikan. Allahu Allah..ingatlah, Ramadhan hanya 30 hari sahaja, selepas Ramadhan berlalu, janganlah kita kesalkan kerana tidak melakukan amal ibadah sebanyak-banyaknya. Ramadhan: Peluang Yang Sama, Natijah Yang Berbeza.

Khaulah 
9.02 a.m.
Vista Angkasa.

Comments