Ramadhan di Daerah Hi-Tech

Bismillahi walhamdulillah

5 Ramadhan 1433H. Subhanallah, cepat sungguh hari-hari yang berlalu di dalam bulan-Mu yang mulia ini. Bagaimana Ramadhanku? Allahu Allah..terasa banyak sekali masa yang dibazirkan dan dibuang begitu sahaja. Astaghfirullah, ampunkan hamba-Mu ini Ya Allah..

Ramadhanku tahun ini ku lalui di daerah Hi-Tech, di negeri tercinta Kedah. Hamdan Lillah atas kurniaan-Nya, dapat merasai saat-saat Ramadhan bersama Zauji. Namun begitu jauh di sudut hati, kerinduan Ramadhan bersama teman-teman seperjuangan tidak dapat disembunyikan. Serasa mahu kembali ke zaman bujangan juga zaman kampus suatu ketika dahulu.

Astaghfirullah..apakah aku telah menjadi insan yang tidak bersyukur? Sentiasa mengenangkan masa lalu walhal kini statusku adalah seorang isteri yang wajib berkhidmat untuk suaminya. Hal ini yang saban hari aku ingatkan kepada diri sendiri. Ya, mungkin dalam tempoh 5 bulan bernikah, hampir sebulan aku benar-benar berada di samping suami. Baru merasai bagaimana menguruskan makan-pakai suami dan hal-hal rumahtangga. Aku tidak boleh lagi memikirkan hal nafsi sahaja tetapi keperluan suami yang harus diutamakan. Wahai Allah, limpahkan sedikit kekuatan kepada hamba dalam menjadi suri terbaik untuk suami hamba.

Alhamdulillah thumma Alhamdulillah..Kasihnya Allah kepadaku, Dia mengurniakan seorang suami yang tidak menyusahkanku dan mudah diurus, terima kasih Zauji. Lalu di mana syukurku? Muhasabah untukku pada pagi 5 Ramadhan yang mulia ini. Benarlah, manusia sering kali merungut dengan ujian yang hanya sedikit dan sering jua membanding-banding kehidupannya dengan kehidupan orang lain. Walhal kehidupan dunia ini hanya sementara, sebentar cuma..namun dituruti jua hawa nafsu mereka..

Dalam masa yang sekejap sahaja Allah pinjamkan kepadaku, aku nekad untuk 'upgrade' diri terutama dalam hal-hal rumahtangga atau spesifiknya MEMASAK! Malam tadi, secara tidak sengaja aku menonton rancangan memasak yang dikelolakan oleh chef yang berbangsa Arab. Di akhir rancangan, beliau berkata, "masaklah dengan hati, masaklah dengan iman". Allahu Allah..cukup terkesan di hati ini. Benarlah, memasak adalah satu seni. Kita pasti mahu memasak makanan yang sedap-sedap agar dapat memberi kepuasan kepada orang yang memakannya. Jika kita benar-benar memasak dengan hati, dengan penuh kasih sayang dan penuh keimanan, insyaAllah makanan yang terhasil bukan sahaja sedap malah mendapat berkat dari Allah. Dan semoga dengan zikir dan doa yang kita tuturkan ketika memasak akan menjadikan orang yang memakannya dekat dengan Allah, insyaAllah..

Banyak sekali perkara baru yang aku pelajari setiap hari. Betapa Allah mahu mentarbiyah diri ini dan Allah mahu kita bertaqarrub dengan-Nya. Jadikan masa-masa keseorangan kita sebagai masa terbaik untuk kita berdamping dengan Allah. Buangkan segala persepsi negatif terhadap manusia dan hadirkan persepsi positif agar kehidupan hari-hari yang dilalui adalah tenang, bahagia dan mendamaikan. 'ala kulli hal, "hidupkan Ramadhan di dalam hatimu agar Ramadhan itu hidup walau di mana sahaja kakimu berpijak"


Khaulah,
Baiti Jannati
Kulim Techno

Comments

  1. =) =) masaklah dgn penuh kasih sayang walau utk sesiapa jua =) hehe nnti boleh post mai kt sini sket =p

    ReplyDelete
  2. uhuk..tak reti mana pun masak-memasak ni..still learning..setakat campak memang tau tapi nak bg ada rasa tu yg mencabar den..btw thanks sbb jd pengkomen setia ;)

    ReplyDelete

Post a Comment