Revisit|Ramadhan di Shah Alam


Bismillahi walhamdulillah

Jumaat kedua Ramadhan. Sudah separuh hari usia Ramadhan 1433H. Meninggalkan Zauji dengan keizinan beliau kadangkala menerbitkan rasa rindu di hati ini. Bersahur apakah beliau? Iftar bersama siapakah beliau? Zauji, semoga Allah sentiasa menjagamu untukku.

Shah Alam.

Tidak menyangka Ramadhan tahun ini diizinkan Allah menjejakkan kaki ke Rumah Cinta di Bandar Dalam Taman ini. Subhanallah! Tabarokallah! Bersama adik sparring saya, kami menghabiskan dua hari Ramadhan kami di Shah Alam, Alhamdulillah..Cuma tahun ini, hanya kami berdua, teman backpackers Amirah dan Yard tidak dapat bersama dalam Kembara Ramadhan tahun ini. Namun begitu, kenangan bersama mereka tidak mungkin dapat dipadamkan dalam kotak memori kami.

Siang hari kami bersenang-lenang di Perbandaran Perpustakaan Awam Selangor (PPAS). Alhamdulillah tidak terkata nikmatnya, tidak tergambar keseronokannya. Atmosferanya yang tenang dan mendamaikan menyuntik semangat saya untuk menyantuni jurnal-jurnal yang harus saya geledahi  buat rujukan Research Paper saya.


Tepat pukul 5 petang, dengan berat hati kami terpaksa meninggalkan PPAS memandangkan waktu bekerja sudah tamat. Terasa sekajap sungguh masa berlari. Usai solat, kami bergerak menuju ke PKNS Shah Alam, ‘mencuci mata’ dengan koleksi baju-baju yang cantik tetapi harganya berpatutan. Apalagi yang sering menjadi kegilaan wanita kalau bukan syurga duniawi, bershopping!! Allah..geleng kepala saya, memanglah wanita memiliki 9 nafsu dan 1 akal.

Di bahagian luar PKNS kelihatan deretan gerai atau Bazar Ramadhan PKNS sedang berlangsung dengan meriahnya. Pelbagai juadah dan air minuman beraneka jenis dijual. Nampak semuanya lazat dan sedap belaka. Walaupun niat mahu beriftar di Masjid Shah Alam, dek tuntutan nafsu makan maka kami beli juga 2,3 jenis kuih tetapi dengan kuantiti sedikit kerana bimbang tidak habis dimakan nanti. Puas bertawaf keliling bazar, kami pun mulailah bergerak ke masjid bersama tunggangan setia saya, Umar =)

Akhirnya kami tiba juga di Rumah Allah yang saban waktu kami rindui. Di sinilah kami mencipta kenangan terindah Ramadhan kami lewat tahun lepas. Di sini juga menjadi saksi senyum tawa dan tangis kami. Ya di Rumah Allah yang satu ini..



Tempat pertama yang kami kunjung usai memparkir Umar adalah air pancut. Tetapi agak sedih kerana air pancutnya tidak dipasang, hanya kelihatan lampu yang tidak menyala dan lanskap bulatannya yang besar seolah-olah berada di dalam auditorium. Saya jadi teringat pernah membawa Zauji ke sini. Saya bercerita kepada beliau tentang kecantikan air pancut yang dihiasi lampu yang berwarna-warni terutama pada waktu malam.

Puas menatap air pancut yang kosong, kami pun masuk ke dalam perut masjid memandangkan waktu iftar semakin hampir. Mata kami melilau mencari ruang kosong untuk duduk memandangkan hampir keseluruhan ruangan sudah diduduki. Dalam mencari tempat kosong, tiba-tiba mata saya terpandang sosok yang dikenali, Abi dan Umi! Abi dan Umi merupakan mertua adik saya, Sakinah. Ya Allah gembiranya rasa hati. Bersalaman dan bertanya khabar dengan Umi Abi seolah-olah bertanya khabar dengan Mak, Abah dan Mak Mertuaku sendiri. Hebatnya Allah, dalam keadaan ramai manusia di rumah-Nya, Allah mempertemukan saya dengan insan-insan yang saya kenal, Alhamdulillah..

Allahu Akbar..Allahu Akbar..

Hari baru Ramadhan telah menjenguk. Kami menadah tangan, membaca doa iftar dan memulai dengan memakan tamar. Alhamdulillah thumma Alhamdulillah..Kegembiraan berbuka puasa adalah satu kenikmatan yang tidak diungkapkan, hadiah dari Allah kepada hamba-Nya yang berpuasa. Setelah itu, kami bersiap-siap untuk mengerjakan Solat Maghrib dan seterusnya Solat Isya’ dan Solat Sunat Tarawikh di Rumah Allah yang indah ini.

Jika ditanya apakah daya tarikan utama di Shah Alam? Spontan saya akan menjawab Masjid Sultan Salahuddin atau Masjid Shah Alam! Teringat saya pernah menuturkan kepada adik sparring saya, “Seronoknya datang sini (masjid) kan? Takkan rasa jemu kalau datang beribu kali pun”. Allahu Allah..begitu indahnya rumah-Mu hingga sentiasa menggamit rasa rindu untuk bertamu walau jutaan kali pun.

Dua hari kami melakukan aktiviti yang sama. Siang di PPAS dan malam kami di Masjid. Dan semalam saya menghantar adinda saya ke Hentian Bas Shah Alam untuk kesekian kalinya, menghantar pulang srikandi saya ke halaman tanah tumpah Serambi Makkah. Indah sungguh percaturan Allah, saya dan adik saya tidak pernah menjangka untuk terus bergabung walau status bujang saya telah bertukar. Siapa lagi yang mengizinkannya jika bukan Allah Al-‘Azhim?

Memeluk erat adik saya merangkap sahabat seperjuangan saya, dan saling mendoakan agar bisa lagi dipertemukan Allah di atas landasan yang sama. Jika dahulu hati saya pasti menangis seperti tidak merelakan perpisahan antara saya dan dia. Tetapi kini saya tidak akan menangis lagi kerana saya berbangga memiliki seorang adik seperti beliau yang tidak akan pernah lelah dalam perjuangan menegakkan Islam di bumi Allah ini.

Teringat saya akan ungkapan Saiyyidah Zainab Al-Ghazali, seorang tokoh muslimat yang hebat dan sezaman dengan As-Syahid Imam Hassan Al-Banna, “Pernikahan itu akan datang dan pergi tetapi persaudaraan Fillah itu akan kekal selamanya..”. Subhanallah! Tabarokallah! Dan hari ini, saya mengakuinya, saya mengalaminya dengan izin Allah, Alhamdulillah..

Kita akan bertemu lagi jika kita ISTIQOMAH”- satu lagi ayat keramat yang dituturkan oleh sahabat kami. Benarlah kerana sejujurnya saya menemui wajah-wajah yang sama dan mereka yang benar-benar ikhlas dalam perjuangan ini. Saya berbaik sangka dengan semua sahabat saya dan saya sentiasa mendoakan mereka tetap teguh dan istiqomah di atas landasan yang telah lama kami ikrarkan untuk perjuangkannya hingga akhir hayat kami insya-Allah..

Comments