Skip to main content

Berkaryalah..

Bismillahi walhamdulillah

Pagi yang ceria. Pagi yang bahagia. Alhamdulillah wa syukru Lillah atas nikmat Iman, Islam dan Seehah yang dikurniakan-Nya. Selepas saling berbalas ucapan "Selamat Pagi" dengan Zauji, aku memulakan langkah pagi ke Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran dengan rasa syukur dan bahagia. Mahu mujahadah hari ini, meninggalkan Umar di parkir Vista, dan aku hanya berjalan kaki sahaja ke fakulti. 

Subhanallah, sudah lama rasanya tidak menikmati pagi dengan berjalan kaki! Sedangkan zaman Degree dahulu, berjalan kaki adalah satu kewajipan setiap hari. Selain dapat menikmati alam ciptaan Allah pada pagi hari, dapat juga anggota badan ini bersenam dan keluar dari kepompong keselesaan dan kemalasan.

Menghirup udara segar sambil menikmati tazkirah dan mutiara-mutiara ilmu di IKIM.fm amat membahagiakan hati ini. Alhamdulillah semoga hari ini dilalui dengan penuh ketenangan dan mendapat redha Allah, insyaAllah. Aku tertarik dengan perbincangan bersama Presiden Yayasan Pembangunan Buku Malaysia, Tn Hj Hasan Hamzah untuk "Transformasi Dunia Penulisan di Malaysia". 

Beliau menggalakkan seluruh rakyat Malaysia untuk MENULIS! Jika satu masa dahulu, rakyat Malaysia digalakkan dan digesa untuk menghidupkan budaya MEMBACA, kini budaya itu mahu ditingkatkan lagi dengan meramaikan para cendekiawan, teknokrat, guru dan pensyarah dalam bidang penulisan. Menurut beliau, nilai tamadun sesuatu  zaman itu dinilai dengan karya-karyanya yang agung seperti jurnal-jurnal, manuskrip-manuskrip dan makalah-makalah ilmiah.

Kita merujuk hasil karya tokoh ilmuwan terdahulu, mungkin menjangkau ratusan tahun dahulu. Tetapi bagaimana dengan generasi akan datang yang akan membuat rujukan untuk penyelidikan mereka? Adakah mereka masih mahu merujuk kepada karya Tun Sri Lanang lagi? Di mana karya-karya kita yang seharusnya menjadi bahan rujukan mereka? 

Ilmuwan Islam

Tn Hj Hasan menambah bahawa amat sedikit sekali buku-buku dan jurnal-jurnal yang dihasilkan di Malaysia ini. Jika kita mewar-warkan kepada rakyat bahawa kita mentransformasikan negara tetapi ilmu rakyat tidak ditransformasikan, tiada gunanya juga. Negara berpendapatan tinggi haruslah selaras dengan  negara berpendidikan tinggi. Justeru, seruan ini adalah merupakan satu cabaran dan harus dijunjung di atas batu jemala para guru dan pensyarah terutamanya.

Menjadi satu seruan kepada diriku yang mahu menerjuni dunia pensyarah bahawa menjadi seorang pensyarah bukanlah untuk mencipta dunia glamor dengan memiliki gaji yang besar atau niat-niat keduniaan yang lain. Namun seorang pensyarah sebenarnya memikul satu amanah besar untuk menyediakan ummah yang berilmu dan beramal dengan ilmu yang dimilki. Justeru, satu cabaran besar menantiku di hadapan! Menulislah walaupun sehelai lembaran kecil kerana ilmu itu seharusnya dikongsi walaupun sedikit yang kita miliki. Ilmu jika dicari dan digali, tidak akan habis kerana luasnya ilmu Allah. Dan ilmu itu akan menjaga pemiliknya jika ilmu tersebut diamal, disebar dan disampaikan, insyaAllah.

Alat optik yang dihasilkan oleh ilmuwan Islam

Terima kasih kepada Tn Hj Hasan yang telah mem'boost' semangat menulis saya pada pagi ini. Semoga lebih ramai lagi para guru dan pensyarah yang bersemangat untuk berkongsi ilmu dan penyelidikan mereka dalam bidang penulisan, insyaAllah. Terakhir, pesan saya kepada diri yang kerdil ini, berkaryalah...demi agama dan demi ummah!

Comments

Popular posts from this blog

Bulat Tekadku

  Bismillahi Walhamdulillah, Rasa bersalah menyelubungi diri apabila membuka lembaran LTC ku ini. Seolah-olah sudah hampir dilupakan. Post akhir ku adalah pada tahun lepas, masha Allah sungguh pantas masa berlalu! Benar sabdaan Nabi bahawa di akhir zaman, masa begitu singkat dirasakan, apabila kita berada di waktu pagi, kemudian tidak sedar waktu malam sudah pun muncul.  Tahun 2024 punya pelbagai cerita. Tidak lama sudah sampai penghujung tahun dan tidak lama juga Ramadhan bakal tiba. Semoga Allah mengizinkan kita berjumpa dengan bulan Ramadhan, bulan yang mulia, bulan yang menjadi dambaan orang-orang soleh. Berita dari Gaza Aku membelek Telegram sebentar tadi. Mata aku menangkap berita mengenai saudara seIslam kita di Gaza daripada group "Terkini dan Sensasi Palestin". Pedih sungguh rasa hati apabila mengetahui keadaan mereka yang terputus bekalan makanan dan tiada tempat tinggal. Mereka berpusu-pusu mendapatkan bekalan roti di Khan Younis. Allahu Akbar! Kepada Allah jua te...

Matematik Tambahan Yang Merumitkan

Bismillahi walhamdulillah Hampir berakhir cuti penggal ketiga persekolahan bagi sesi 2023/2024. Hari ini saya kembali ke sekolah, menggalas amanah dalam Perkampungan Akademik Siri 2. Siri 1 telah pun diadakan pada bulan Ogos yang lalu. Tahun ini merupakan tahun keempat saya menjadi guru Matematik Tambahan bagi kelas peperiksaan SPM. Tahun-tahun yang sudah saya lalui ialah tahun 2017, 2018 dan 2021. Kegerunan di hati masih ada apabila mengajar 'killer subject' ini. Soalan-soalan dalam peperiksaan SPM sesungguhnya sukar diramal. Kami diberi masa selama 4 jam dalam perkampungan akademik ini. Saya cuba merangka strategi yang boleh meraikan semua peringkat kefahaman pelajar. Maka saya telah mengadakan kumpulan-kumpulan kecil dan melantik Guru Muda bagi membantu saya dalam kumpulan mereka. Anak-anak pelajar saya ini bijak belaka. Alhamdulillah sepanjang pemerhatian saya hari ini, saya dapati guru muda telah memainkan peranan dengan sangat baik, malah memberi penerangan yang jauh lebi...

Doa Untuk Wanita

  Bismillahi walhamdulillah Menjadi seorang wanita atau tepatnya umat Nabi Muhammad s.a.w. adalah sangat istimewa. Nabi Muhammad s.a.w. sangat memuliakan kaum wanita. Datangnya baginda sebagai utusan Allah, baginda membuang segala perkara yang mungkar dan maksiat yang dilakukan oleh kaumnya. Pada ketika itu bayi perempuan akan dibunuh atau ditanam hidup-hidup. Allahu Akbar! Nabi Muhammad s.a.w. begitu menyayangi isterinya Siti Khadijah r.anha, hingga baginda berasa amat sedih pada tahun Siti Khadijah wafat.  Baginda juga merupakan seorang ayah yang penyayang dan datuk yang begitu sayang akan cucu-cucunya. Baginda mengajarkan kepada anakandanya, Fatimah yang pernah mengadu akan keletihan melakukan kerja rumah. Lalu baginda mengajarkan zikir Tasbih, Tahmid dan Takbir sebanyak 33x setiap satunya dan kita mengamalkanny setiap kali selepas solat. Doa Untuk Wanita   Sebenarnya banyak doa yang baik dan boleh diamalkan oleh kita. Saya kongsikan dahulu 3 DOA di bawah yang saya suk...