Skip to main content

Pensyarah dan Gaji

Bismillahi walhamdulillah

Alhamdulillah atas nikmat Iman, Islam dan Seehah daripada Allah Ar-Rahim. Alhamdulillah atas nikmat pernikahan yang sudah pun berusia 10 bulan semalam. Zauji membelikan 'Satay Kulim Style' sebagai meraikan ulang tahun pernikahan kami, syukran Zauji! ^_^

Khabar adindaku, Masyitah yang bakal melangsungkan pernikahannya pada Februari tahun depan amat disyukuri. Beliau telah diterima menjadi pensyarah sambilan di UiTM Merbok, Kedah. Mabruk! Berkhidmatlah dengan sebaik mungkin, niatkan di hati bahawa mengajar juga adalah ibadah dan mengajarlah untuk memanusiakan manusia. Terimbau kenanganku menjadi pensyarah sambilan di UiTM Arau dahulu dan kini anak-anak didikku telah pun tamat pengajian Diploma mereka, Alhamdulillah..

Aku sebenarnya tidak gemar untuk membandingkan nilai gaji yang diterima di sesebuah universiti dengan universiti yang lain. Prinsip aku, bekerjalah walau di mana sahaja dengan bersungguh-sungguh dengan tidak mengabaikan misi utama dalam pekerjaan kita. Namun begitu, bukanlah aku mengkesampingkan nilaian gaji itu. Tidak salah untuk kita mendapatkan yang terbaik dan sudah tentu manusia amat tertarik dengan gaji yang besar dan juga pangkat yang tinggi. Maka berusahalah sedaya mampu untuk mendapatkan pekerjaan yang baik dan jika gajinya juga tinggi, Alhamdulillah..itu rezeki kita..

Harus diingat, janganlah diletakkan gaji sebagai matlamat utama pekerjaan kita. Aku kerap mendengar rungutan daripada ayahku sendiri bahawa rata-rata pensyarah muda tidak meletakkan misi utama sebagai seorang pensyarah dan pendidik walhal gaji yang diterima adalah besar dan menyamai pensyarah-pensyarah senior. Teringat nasihat daripada Prof Muhaya, menjadi seorang pensyarah bukanlah satu kebanggaan tetapi menjadi seorang pensyarah adalah untuk menyampaikan dan berkongsi ilmu yang sedikit yang kita miliki kepada anak-anak didik kita.

Zauji pernah mengatakan bahawa "senangnya jadi pensyarah.." lalu aku membalas "tak senang Abang, banyak kerja sebenarnya jika jadi pensyarah ni..". Tugas-tugas seorang pensyarah bolehlah dirujuk di dalam mana-mana buku atau iklan atau mana-mana sumber yang berkaitan tentangnya. Antara tugasan utama seorang pensyarah selain mengajar adalah dalam bidang penyelidikan. Pensyarah wajib menyiarkan hasil penyelidikan mereka dalam jurnal-jurnal sebagai membuktikan kualiti tahapan ilmu yang mereka miliki dan sebagai aset kepada perkembangan ilmu ummah. Dan tugasan ini yang harus aku pelajari dan berjinak-jinak mulai sekarang, insyaAllah.

Tujuan post ini ditulis adalah sebagai pemangkin semangatku yang ingin menerjuni dunia seorang pensyarah. Semester akhir ini dirasakan lambat berlalu sedangkan hati ini sudah membuak-buak ingin menyumbang kepada anak bangsa dan membantu mereka dalam dunia kampus mereka biiznillah. Kepada para pembaca LTC yang sudi singgah di sini, saya memohon doa kalian agar mendoakan kesuksesan dan kemudahan dalam perjalanan Master saya. Semoga Allah jua yang layak mengganjar doa ikhlas kalian.

Terima kasih ^_^


Comments

Popular posts from this blog

Bulat Tekadku

  Bismillahi Walhamdulillah, Rasa bersalah menyelubungi diri apabila membuka lembaran LTC ku ini. Seolah-olah sudah hampir dilupakan. Post akhir ku adalah pada tahun lepas, masha Allah sungguh pantas masa berlalu! Benar sabdaan Nabi bahawa di akhir zaman, masa begitu singkat dirasakan, apabila kita berada di waktu pagi, kemudian tidak sedar waktu malam sudah pun muncul.  Tahun 2024 punya pelbagai cerita. Tidak lama sudah sampai penghujung tahun dan tidak lama juga Ramadhan bakal tiba. Semoga Allah mengizinkan kita berjumpa dengan bulan Ramadhan, bulan yang mulia, bulan yang menjadi dambaan orang-orang soleh. Berita dari Gaza Aku membelek Telegram sebentar tadi. Mata aku menangkap berita mengenai saudara seIslam kita di Gaza daripada group "Terkini dan Sensasi Palestin". Pedih sungguh rasa hati apabila mengetahui keadaan mereka yang terputus bekalan makanan dan tiada tempat tinggal. Mereka berpusu-pusu mendapatkan bekalan roti di Khan Younis. Allahu Akbar! Kepada Allah jua te...

Ini Mozek BERSIH 2.0 Saya

Bismillahi walhamdulillah 9 Julai 2011 pasti akan terpahat kukuh dalam seluruh memori rakyat Malaysia. Sama seperti peristiwa berdarah 13 Mei 1969. Walaupun ianya telah 42 tahun berlalu, rakyat tidak pernah melupakannya. Impaknya amat besar terutamanya kepada kaum Melayu dan Cina pada ketika itu. Mozek BERSIH 2.0 Saya cuba mengenepikan segala emosi dan rasa marah saya ketika entri ini ditulis. Sungguhpun rasa marah ini tidak lagi padam, pesan naqibah saya, SABAR, SABAR dan berSABARlah! Sesungguhnya mengamalkan Islam pada akhir zaman ini ibarat menggenggam bara api! Maka, saya cuba bersabar, seperti sabarnya para pemimpin saya tika ini. Pagi 9 Julai 2011 tiba juga. Alhamdulillah, sehari telah berlalu pergi menjadikan umur saya 25 tahun 1 hari. Ulang tahun yang pasti diingati berikutan terpalitnya sejarah hitam dalam demonstrasi BERSIH 2.0! Palitan ini sebenarnya sudah pun terjadi kepada beberapa siri demonstrasi sebelum ini, tetapi saya kira palitan kali ini lebih dahsyat, lebih jijik d...

Matematik Tambahan Yang Merumitkan

Bismillahi walhamdulillah Hampir berakhir cuti penggal ketiga persekolahan bagi sesi 2023/2024. Hari ini saya kembali ke sekolah, menggalas amanah dalam Perkampungan Akademik Siri 2. Siri 1 telah pun diadakan pada bulan Ogos yang lalu. Tahun ini merupakan tahun keempat saya menjadi guru Matematik Tambahan bagi kelas peperiksaan SPM. Tahun-tahun yang sudah saya lalui ialah tahun 2017, 2018 dan 2021. Kegerunan di hati masih ada apabila mengajar 'killer subject' ini. Soalan-soalan dalam peperiksaan SPM sesungguhnya sukar diramal. Kami diberi masa selama 4 jam dalam perkampungan akademik ini. Saya cuba merangka strategi yang boleh meraikan semua peringkat kefahaman pelajar. Maka saya telah mengadakan kumpulan-kumpulan kecil dan melantik Guru Muda bagi membantu saya dalam kumpulan mereka. Anak-anak pelajar saya ini bijak belaka. Alhamdulillah sepanjang pemerhatian saya hari ini, saya dapati guru muda telah memainkan peranan dengan sangat baik, malah memberi penerangan yang jauh lebi...