Ahlan Wasahlan Nafisah Amani ^_^

Bismillahi walhamdulillah

14 Rejab 1435H

Nafisah Amani, nama yang diilhamkan Allah kepada Abi tika menunggu Ummi di bilik menunggu dewan bersalin. Semoga anak Ummi dan Abi bisa mencontohi Sayyidah Nafisah r.anha yang merupakan puteri Hasan al-Anwar bin Zaid bin Hasan bin Ali dan Sayyidah Fathimah az-Zahra', puteri Rasulullah s.a.w.

Catatan Ummi hari ini dan insyaAllah selepas ini mungkin ringkas dan pendek tetapi Ummi mahu ianya bermanfaat kepada sesiapa yang membaca. Ummi mentinta buat tatapan Ummi di kala Ummi sudah di usia senja mungkin biiznillah, agar Ummi dapat menyelak kembali catatan kelahiran puteri sulung Ummi dan Abi ini. 

Kelahiranmu adalah satu anugerah, rahmat dan detik yang ditunggu-tunggu oleh Ummi dan Abi sayangku. Saat Allah mengirimkanmu dan meletakkanmu di dalam rahim Ummi, Ummi tahu Allah Yang Maha Pengasih mendengar doa Ummi yang banyak dosa ini. Allah mengurniakan zuriat kepada Ummi dan Abi pada usia 1 tahun lebih pernikahan kami, Alhamdulillah.

Hari ini usiamu sudah 57 hari anakku. Alhamdulillah Allah Al-Hayyu masih menghidupkan Amani, Ummi dan Abi untuk terus belajar menjadi hamba-Nya yang bersyukur dan terus berusaha menyebarkan hasanah kepada umat. Betapa syukurnya Ummi diizinkan Allah untuk memeluk, mencium dan menyusukan Amani walaupun masih kekok untuk Ummi. Ummi melihatmu sedari kamu basah dengan darah saat dilahirkan hingga hari ini kamu sudah besar dan comel, subhanallah!

Ummi akan terus menerus berdoa dan berusaha untuk menjadi Ummi terbaik untuk Amani dan ratu hati terbaik untuk Abi insyaAllah. Ummi baru mengerti akan hebatnya perjalanan dan tarbiyah menjadi seorang ibu, susah payah menjaga, menyusu dan membesarkan anak sendiri. Insafnya Ummi, hebatnya Mak kepada Ummi, Mak kepada Abi dan seluruh ibu di dunia ini.

Nafisah Amani,
Setinggi mana pun kasih Ummi buat Amani, tinggi dan besar lagi kasih sayang Allah kepada Amani.
Sehebat apa pun keperluan yang Ummi Abi sediakan untuk Amani, semuanya daripada Allah jua anakku.
Ummi dan Abi hanyalah wasilah lahirnya kamu di dunia fana ini.
Ingin Ummi khabarkan bahawa peran sebenar dan utama kita adalah 'abdullah dan khalifah Allah.
Semoga Ummi tidak lupa. Semoga Amani juga tidak lupa ya sayang..

 Amani's first day



Amani and Opah

Nafisah Amani Bt Mohd Hafiz

Catatan Ummi|Khaulah

Comments