Skip to main content

A Short Escape

 Bismillahi walhamduLillah,

Segala pujian hanya kepada Allah, Pemilik alam jagat raya. Selawat dan salam ke atas junjungan Nabi Muhammad s.a.w.

4 minggu persekolahan yang sangat padat, menyiapkan tugasan hingga rasa bagai tiada waktu. Rehat hanya di atas tikar sejadah, makan dan tidur di malam hari sambil masih bermimpikan kerja. Kepenatan yang makin memuncak apabila bersambung pula panggilan bengkel di hujung minggu.

Kapasiti diri sudah dirasakan mencapai tahap maksima. Kena rehat ni! Doa dipanjatkan kepada Ilahi moga ada sedikit ruang dan masa untuk 'bercuti' seketika daripada tugasan kerja.

Alhamdulillah Allah memudahkan segalanya. Tugasan bengkel disiapkan lebih awal dan terus dihantar kepada fasilitator. Semoga Allah membalas kebaikan sahabat-sahabat seperjuangan yang memahami dan memberi kebenaran untuk aku tidak mengikuti bengkel. Semoga Allah mengganjar semua guru yang berkorban masa hujung minggu demi anak bangsa.

Seawal 6 pagi kami sudah keluar rumah dan bercadang solat Subuh di masjid berdekatan Bandar Baharu. Pagi Jumaat yang hening, alhamdulillah dapat berjemaah Subuh di masjid. Sudah lama tidak berjemaah di masjid terutama pada waktu Subuh. Semoga dapat kami jadikan amalan dalam kehidupan kami.

Destinasi kami adalah bersarapan di Opah Strawberries, Cameron Highland! Alhamdulillah kami selamat tiba jam 10 pagi. Ramai sungguh pengunjung sehingga full house! Terpaksa kami menunggu seketika untuk mendapatkan tempat.

Kami memesan nasi lemak yang menjadi menu wajib jika ke restoran ini. Porsi ayam sangat besar, kenyang sampai tengah hari lah kami😊

Laluan ke Opah Strawberries. Ramai sangat orang sampai full house!

Bergambar kenangan ketika menunggu giliran tempat kami.

Wefie dulu sebelum makanan sampai 😊

Teruja anak-anak berada di Cameron Highland. Suhu yang sejuk sangat menyenangkan kerana sudah lama kami tidak merasai hujan di tempat kediaman kami. Petangnya kami ke pasar malam yang betul-betul terletak di hadapan homestay kami. Sudah pasti kami membeli makanan yang tidak ada di tempat kami iaitu buah strawberi yang manis, jagung susu yang lemak manis dan ubi keledek beraneka warna.

Alhamdulillah pengalaman indah sehari di Cameron Highland sangat kami syukuri. Allah beri kami rasai hawa yang sejuk, tak perlu buka kipas dalam homestay, tidur dalam kesejukan yang luar biasa dan menikmati panorama indah dan damai di sana. Semoga ada rezeki kami kembali lagi ke sana.

Scone dari Cameron Highland! Terima kasih Mak belanja kami. Subhanallah, sedap dimakan selepas dipanaskan👍

Buah tangan Tuan Haji ZRA menemani perjalananku.

Destinasi kami dari Cameron Highland.

Tiba masanya kami bertolak ke Shah Alam untuk menghadiri walimatul urus adik kepada adik iparku, Dr Mukmin. Kebetulan juga sudah lama tidak bertemu dengan keluarga beliau. Perjalanan kami hampir 3 jam. Sepanjang perjalanan sempat membaca karya Tuan Haji Zainal Rashid atau lebih dikenali dengan akronim ZRA. Seronok membaca naskhah beliau, seolah terlontar kembali ke zaman bujangan, hidup di jantung kota yang tidak kenal erti tidur dan bersenang-lenang. Apabila Tuan Haji ZRA menulis tentang susah payah dan kerja keras beliau di Kuala Lumpur, hati ini terus mengiyakan. Manusia begitu sibuk bekerja keras, tidak kenal malam dan siang demi mencari sesuap rezeki. Terkesima membaca kisah gelandangan dan anak-anak jalanan yang sentiasa menjadi perhatian beliau. Begitu kagum membaca santunan dan layanan first class beliau kepada golongan ini. Betapa kerdilnya diri ini kerana tidak pernah turun ke lapangan berjumpa golongan ini. Semoga Allah merahmati segala kebaikan yang beliau lakukan dan semoga Allah membuka pintu rezeki buat hambaNya yang diuji dengan himpitan kemiskinan dan kesusahan bekerja keras demi kelangsungan kehidupan.

Alhamdulillah, akhirnya sampai jua kami ke destinasi di Shah Alam. D'Kathira Wedding Hall mempertemukan kami dengan adik-adik kami, Sakinah sekeluarga, Zaki sekeluarga dan juga Aqil. Tiga orang adikku yang menetap jauh dari Kedah. Gembira kami berjumpa keluarga pengantin, mengeratkan silaturrahim setelah lama tidak bersua. Mak pun gembira dapat hadir ke walimah ini walaupun sedikit kepenatan bermusafir jauh. Semoga rumah tangga Muammar dan isteri, Dr Nirwana dilimpahi sakinah, mawaddah wa rahmah.


Pak Cik Khairi (Abi), Umi dan Mak


Sepupu dunia akhirat, si comel Ameena dan Auliya' 😍


Tidak di sangka berjumpa alumni MTSD, anak murid ku Dr Hazirah Asri, sahabat kepada pengantin perempuan😊

Masjid Shah Alam yang sentiasa dirindui. Kenangan solat berjemaah, iftar di bulan Ramadhan, iktikaf serta qiyam semasa bulan Ramadhan sentiasa segar dalam ingatan.

Alhamdulillah syukur, terima kasih wahai Allah kerana mengizinkan ku 'lari sebentar' dari kesibukan dunia kerja, meluangkan masa bersama keluarga tersayang di saat masa dirasakan semakin laju tanda akhir zaman. Terimalah pemusafiran kami sebagai ibadah di sisiMu. Sesungguhnya kami adalah musafir, berkelana di dunia fana ini untuk menuju ke kampung akhirat yang kekal abadi.

Catatan kenangan,
Nurhafizah binti Yaakob 
Kulim, Kedah





Comments

Popular posts from this blog

Bulat Tekadku

  Bismillahi Walhamdulillah, Rasa bersalah menyelubungi diri apabila membuka lembaran LTC ku ini. Seolah-olah sudah hampir dilupakan. Post akhir ku adalah pada tahun lepas, masha Allah sungguh pantas masa berlalu! Benar sabdaan Nabi bahawa di akhir zaman, masa begitu singkat dirasakan, apabila kita berada di waktu pagi, kemudian tidak sedar waktu malam sudah pun muncul.  Tahun 2024 punya pelbagai cerita. Tidak lama sudah sampai penghujung tahun dan tidak lama juga Ramadhan bakal tiba. Semoga Allah mengizinkan kita berjumpa dengan bulan Ramadhan, bulan yang mulia, bulan yang menjadi dambaan orang-orang soleh. Berita dari Gaza Aku membelek Telegram sebentar tadi. Mata aku menangkap berita mengenai saudara seIslam kita di Gaza daripada group "Terkini dan Sensasi Palestin". Pedih sungguh rasa hati apabila mengetahui keadaan mereka yang terputus bekalan makanan dan tiada tempat tinggal. Mereka berpusu-pusu mendapatkan bekalan roti di Khan Younis. Allahu Akbar! Kepada Allah jua te...

Doa Untuk Wanita

  Bismillahi walhamdulillah Menjadi seorang wanita atau tepatnya umat Nabi Muhammad s.a.w. adalah sangat istimewa. Nabi Muhammad s.a.w. sangat memuliakan kaum wanita. Datangnya baginda sebagai utusan Allah, baginda membuang segala perkara yang mungkar dan maksiat yang dilakukan oleh kaumnya. Pada ketika itu bayi perempuan akan dibunuh atau ditanam hidup-hidup. Allahu Akbar! Nabi Muhammad s.a.w. begitu menyayangi isterinya Siti Khadijah r.anha, hingga baginda berasa amat sedih pada tahun Siti Khadijah wafat.  Baginda juga merupakan seorang ayah yang penyayang dan datuk yang begitu sayang akan cucu-cucunya. Baginda mengajarkan kepada anakandanya, Fatimah yang pernah mengadu akan keletihan melakukan kerja rumah. Lalu baginda mengajarkan zikir Tasbih, Tahmid dan Takbir sebanyak 33x setiap satunya dan kita mengamalkanny setiap kali selepas solat. Doa Untuk Wanita   Sebenarnya banyak doa yang baik dan boleh diamalkan oleh kita. Saya kongsikan dahulu 3 DOA di bawah yang saya suk...

Ini Mozek BERSIH 2.0 Saya

Bismillahi walhamdulillah 9 Julai 2011 pasti akan terpahat kukuh dalam seluruh memori rakyat Malaysia. Sama seperti peristiwa berdarah 13 Mei 1969. Walaupun ianya telah 42 tahun berlalu, rakyat tidak pernah melupakannya. Impaknya amat besar terutamanya kepada kaum Melayu dan Cina pada ketika itu. Mozek BERSIH 2.0 Saya cuba mengenepikan segala emosi dan rasa marah saya ketika entri ini ditulis. Sungguhpun rasa marah ini tidak lagi padam, pesan naqibah saya, SABAR, SABAR dan berSABARlah! Sesungguhnya mengamalkan Islam pada akhir zaman ini ibarat menggenggam bara api! Maka, saya cuba bersabar, seperti sabarnya para pemimpin saya tika ini. Pagi 9 Julai 2011 tiba juga. Alhamdulillah, sehari telah berlalu pergi menjadikan umur saya 25 tahun 1 hari. Ulang tahun yang pasti diingati berikutan terpalitnya sejarah hitam dalam demonstrasi BERSIH 2.0! Palitan ini sebenarnya sudah pun terjadi kepada beberapa siri demonstrasi sebelum ini, tetapi saya kira palitan kali ini lebih dahsyat, lebih jijik d...