Kuatkan pergantungan mu anak, kepada Allah
Bismillahi walhamdulillah
Tahun 2026 hampir melabuhkan tirai. Benar lah sabdaan Nabi yang menyatakan jarak dunia dan akhirat hanyalah antara dua jari kita. Pejam celik, tahun 2026 bakal berakhir tidak lama lagi.
Anakanda sulung Ummi Abi menduduki Ujian PKSK hari ini. Ummi mengambil cuti untuk fokus dekat Kakak. Ummi Abi doakan Allah permudahkan urusan Kakak, diberi kelancaran dalam menjawab segala soalan. Ummi doakan Kakak berjaya memasuki sekolah idaman Kakak. Pada pandangan Ummi, bi'ah solehah sangat penting dalam pembentukan peribadi dan shakhsiah Kakak.
Alhamdulillah, Ummi dan Abi memperoleh tarbiyah daripada latar belakang sekolah agama. Di sekolah agama Ummi belajar mengamalkan ma'thurat, belajar solat sunat rawatib, zikir dan amalan-amalan kebaikan yang lain secara praktikal. Semasa alam sekolah rendah Ummi belajar secara teori dalam kelas KAFA, tetapi kurang amalan dan penghayatan. Apabila berada di sekolah agama dan dalam persekitaran yang baik, alhamdulillah Allah izin untuk Ummi dan semua sahabat mengamalkannya.
Dunia hari ini sangat menakutkan wahai anak. Setiap hari membaca berita mengenai salah laku remaja, membuatkan Ummi beristighfar panjang. Ummi berfikir di mana silap orang dewasa dalam mendidik anak-anak remaja. Adakah salah ibu bapa? Adakah pengaruh media sosial dan laman-laman porno yang melampau dan tanpa batasan?
Banyak faktornya wahai anak. Ibu bapa yang melahirkan kamu sudah tentu ingin memberikan yang terbaik kepada anak-anak mereka. Tiada ibu bapa yang mahu melihat anaknya kecundang terutama dalam salah laku dan keruntuhan akhlak. Justeru, kita semua perlu sentiasa perbanyakkan doa dan amalan-amalan kebaikan agar terhindar daripada gejala tidak sihat dan keruntuhan akhlak.
Ingatlah wahai anak, ibu bapa tidak dapat menjagamu setiap masa. Hanya Allah sahaja tempat kita bergantung. Jom anak, kita berusaha tingkatkan keimanan dan ketaqwaan kita kepadaNya.
Ummu Nafisah,
Kulim, Kedah




Comments
Post a Comment