"Masa itu adalah kehidupan" ~ As-Syahid Imam Hassan al-Banna
Masya-Allah, sungguh, masa begitu cepat menghambat kita, memakan usia kita! Sebaik terbenamnya matahari, maka berlalu lah usia kita. Berlalu dan berlalu..dari hari ke hari..
Wahai diri,
Muhasabahlah kembali iman dan amalmu. Sejauh mana hubunganmu dengan Allah yang engkau jaga? Hubungan dengan ibu bapa bagaimana? Hubungan dengan sahabat-sahabat, rakan-rakan dan seluruh manusia, semuanya menuntut kepada muhasabah.
Wahai diri,
Pasti sukar untuk dirimu menunaikan hak setiap manusia, bukan? Dan begitu juga hakmu pasti sukar ditunaikan oleh makhluk yang bernama manusia itu. Diri, janganlah engkau begitu mengharapkan setiap hakmu pasti akan tertunai terutama daripada manusia-manusia di sekelilingmu. Mereka juga sepertimu, makhluk Allah yang punya kelebihan dan kekurangan. Ada ketika mereka dapat menunaikan hakmu dan adakalanya mereka terlepas pandang daripada menunaikan hakmu.
Tetapi tidak bagi Allah wahai diri..Lagi engkau mendekat kepada-Nya, lagi Dia cinta dan suka kepadamu. Lagi engkau mengadu dan merintih kepadanya, lagi Dia setia mendengar setiap rintihanmu. Masya-Allah, itulah Allah Rabb kita wahai diri. Hatta dirimu adalah milik Dia.
Wahai diri,
Tika ini usiamu sudah menginjak lebih 4 tahun dalam 2 dekad kehidupanmu. Berpaling ke belakang, cuba engkau memeriksa kembali kerja buatmu terhadap Islam, baktimu kepada kedua ibu bapamu, amalan-amalanmu yang bisa menjadi tiket ke syurga jika amalanmu adalah amalan yang baik. Astaghfirullah, tidak terhitung dosa-dosa yang telah dilakukan..Namun begitu, janganlah engkau berputus asa wahai diri. Selagi usiamu masih bersisa di bumi Allah ini, selagi itu engkau masih berpeluang untuk beramal jariah. Pohonlah kekuatan daripada-Nya kerana hanya Dia lah yang mampu memberi 'kuat' dalam kita meneruskan langkah di atas dunia ini.
Wahai diri,
Fasa hidupmu juga bakal beralih ke satu tahap lagi. Bertambah tanggungjawabmu nanti, bertambah juga amanahmu nanti. Dalam kesempatan waktu yang ada ini, buatlah persiapan yang secukupnya wahai diri agar engkau tidak menyesal di kemudian hari. Pasakkan matlamat hidupmu adalah semata-mata untuk mencari keredhaan Allah dalam setiap apa yang engkau laksanakan. Insya-Allah Allah pasti akan memudahkan jalanmu menuju-Nya, amin..
Ku berpesan kepada diriku dan kepada setiap insan yang membaca tulisan ini. Hargailah MASA anda kerana masa makin memakan usiamu dan memotongmu jika engkau tidak memotongnya. Penuhilah hidupmu dengan meningkatkan IMAN dan TAQWA kepada-Nya, beramal jariah semampumu dan fikirkanlah nasib umat Islam pada hari ini yang makin hari makin parah dek kerana kebencian musuh-musuh Islam kepada kita.
"Allahummansuril Islama wal muslimina wal mujahidina fi kulli makan wa fi kulli zaman"
Comments
Post a Comment