Skip to main content

Mengisytiharkan Zero Rehat Buat Diri

Bismillahi walhamdulillah

Alhamdulillah, setinggi apa pun kalimah yang dianggap makhluk tinggi, tinggi lagi kalimah pujian kepada Raja segala Raja, Allah Rabbul Jalil. Terpanggil untuk menconteng rasa di dinding LTC yang rasanya sudah lama membeku, penuh lingkaran sawang mungkin. Bukan mahu membuka pekung di dada, tetapi rasanya inilah medan yang mampu untuk aku leraikan sedikit sesak di dada, sedikit, hanya sedikit..dan sudah tentunya hanya Allah yang lebih mengetahui perasaan seorang aku ini.

Tika ini, hanya Allah yang tahu betapa sesaknya, beratnya hatiku ini. Tidak tahu mengapa, seolah-olah rasa jauh dengan Allah, astaghfirullahal'adzim! Adakah ini petandanya imanku sedang yanqus? Astaghfirullah, astaghfirullah, astaghfirullah...Ya Allah, aku memohon taufiq dan hidayah-Mu, pandulah aku, bimbinglah aku menggapai redha-Mu..

Meniti hari-hari yang penuh debaran dan sesekali menakutkan membuatkan keresahan dan kebimbanganku menjadi-jadi. Aku tahu dan teramat tahu, Allah sentiasa ada untukku, untuk ibu ayahku, untuk adik-adikku, untuk sahabat-sahabatku..tetapi inilah aku, terkadang tidak mampu menahan kantung lelah yang seakan menghempap seluruh jiwa dan jasadku.

Saat aku bertemu dan bergaul dengan insan-insan hebat di sekelilingku, terlahir rasa kerdilnya diri dek masih tidak cukup persiapan baik dari segi ibadah, ilmu dan mental. Hingga terbisik bisikan-bisikan negatif di minda, astaghfirullah! Ya Allah, kuatkanlah aku dalam mendepani segala mehnah-Mu di hari-hari mendatang. Aku tidak akan pernah tahu apa yang bakal terjadi di hari depanku, maka aku serahkan segala-galanya kepada-Mu ya Ilahi..

Kehidupan insan dan orang biasa-biasa seperti aku ini seperti titik minima dan titik maksima di dalam graf kehidupan. Imannya terkadang naik, terkadang pula turun. Kita insan biasa-biasa ini mampukah seperti insan-insan yang luar biasa itu? Insan yang punya martabat dan kedudukan teristimewa di sisi Allah? Masya-Allah, kepingin sekali aku menjadi insan yang luar biasa itu, insan yang akrab, yang dekat dengan Tuhanku..

Bukankah Allah acapkali berfirman bahawa sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa itu dimuliakan Allah? Subhanallah, sudah ku temu jawapannya-TAQWA! Ya, Taqwa yang gampang disebut tetapi sukar dan payah untuk memperolehnya. Lantas rasa rindu memuncak kepada Ramadhan kembali menggetarkan sukmaku. Rindu tiada tara aku kepada bulan suci itu..moga Allah memperkenan menyampaikan aku kembali kepada bulan itu.

Aku mengisytiharkan ZERO rehat kepada diri! Ah, bukan mudah melalui hari-hari tanpa bantuan dan pertolongan Allah, bukan? Allahu Allah, bantulah kami dalam setiap langkah kami..doakan aku, ingin menaikkan lengkungan imanku, walau payah, aku yakin Allah ada untuk membantuku. Aku yakin Allah tidak pernah jemu mendengar keluhan insan berdosa seperti aku. Lalu kepada siapa lagi tempat untukku mengadu? Ya Allah, aku ingin menjadi hamba-Mu yang kuat, aku ingin kuat dalam mendepani segala ujian dunia ini..bantulah aku Ya Allah, amin Ya Rabbal'alamin..

Comments

Popular posts from this blog

Bulat Tekadku

  Bismillahi Walhamdulillah, Rasa bersalah menyelubungi diri apabila membuka lembaran LTC ku ini. Seolah-olah sudah hampir dilupakan. Post akhir ku adalah pada tahun lepas, masha Allah sungguh pantas masa berlalu! Benar sabdaan Nabi bahawa di akhir zaman, masa begitu singkat dirasakan, apabila kita berada di waktu pagi, kemudian tidak sedar waktu malam sudah pun muncul.  Tahun 2024 punya pelbagai cerita. Tidak lama sudah sampai penghujung tahun dan tidak lama juga Ramadhan bakal tiba. Semoga Allah mengizinkan kita berjumpa dengan bulan Ramadhan, bulan yang mulia, bulan yang menjadi dambaan orang-orang soleh. Berita dari Gaza Aku membelek Telegram sebentar tadi. Mata aku menangkap berita mengenai saudara seIslam kita di Gaza daripada group "Terkini dan Sensasi Palestin". Pedih sungguh rasa hati apabila mengetahui keadaan mereka yang terputus bekalan makanan dan tiada tempat tinggal. Mereka berpusu-pusu mendapatkan bekalan roti di Khan Younis. Allahu Akbar! Kepada Allah jua te...

Matematik Tambahan Yang Merumitkan

Bismillahi walhamdulillah Hampir berakhir cuti penggal ketiga persekolahan bagi sesi 2023/2024. Hari ini saya kembali ke sekolah, menggalas amanah dalam Perkampungan Akademik Siri 2. Siri 1 telah pun diadakan pada bulan Ogos yang lalu. Tahun ini merupakan tahun keempat saya menjadi guru Matematik Tambahan bagi kelas peperiksaan SPM. Tahun-tahun yang sudah saya lalui ialah tahun 2017, 2018 dan 2021. Kegerunan di hati masih ada apabila mengajar 'killer subject' ini. Soalan-soalan dalam peperiksaan SPM sesungguhnya sukar diramal. Kami diberi masa selama 4 jam dalam perkampungan akademik ini. Saya cuba merangka strategi yang boleh meraikan semua peringkat kefahaman pelajar. Maka saya telah mengadakan kumpulan-kumpulan kecil dan melantik Guru Muda bagi membantu saya dalam kumpulan mereka. Anak-anak pelajar saya ini bijak belaka. Alhamdulillah sepanjang pemerhatian saya hari ini, saya dapati guru muda telah memainkan peranan dengan sangat baik, malah memberi penerangan yang jauh lebi...

Doa Untuk Wanita

  Bismillahi walhamdulillah Menjadi seorang wanita atau tepatnya umat Nabi Muhammad s.a.w. adalah sangat istimewa. Nabi Muhammad s.a.w. sangat memuliakan kaum wanita. Datangnya baginda sebagai utusan Allah, baginda membuang segala perkara yang mungkar dan maksiat yang dilakukan oleh kaumnya. Pada ketika itu bayi perempuan akan dibunuh atau ditanam hidup-hidup. Allahu Akbar! Nabi Muhammad s.a.w. begitu menyayangi isterinya Siti Khadijah r.anha, hingga baginda berasa amat sedih pada tahun Siti Khadijah wafat.  Baginda juga merupakan seorang ayah yang penyayang dan datuk yang begitu sayang akan cucu-cucunya. Baginda mengajarkan kepada anakandanya, Fatimah yang pernah mengadu akan keletihan melakukan kerja rumah. Lalu baginda mengajarkan zikir Tasbih, Tahmid dan Takbir sebanyak 33x setiap satunya dan kita mengamalkanny setiap kali selepas solat. Doa Untuk Wanita   Sebenarnya banyak doa yang baik dan boleh diamalkan oleh kita. Saya kongsikan dahulu 3 DOA di bawah yang saya suk...