Diari Ummi

Bismillahi walhamdulillah

Ummi kini sudah berada pada 32 minggu dan 6 hari kehamilan. Subhanallah, Tabarokallah! Seakan tak percaya rasanya, seolah baru semalam Ummi baru saja mengetahui bahawa Ummi hamil! Fasa sekarang adalah fasa yang mencorak pelbagai rasa dalam diri Ummi; rasa tidak sabar bertemu anak Ummi ni dan dalam masa yang sama rasa gementar dan takut juga dalam menghadapi proses bersalin nanti. Allahu yusahhil!

Persiapan mental dan fizikal harus disiapkan semantapnya. Ummi telah membaca perkongsian perjalanan kelahiran daripada sahabat-sahabat dan rakan-rakan Ummi. Masha Allah banyak manfaat yang Ummi peroleh sementelahan ini adalah kali pertama pengalaman Ummi hamil. Ada cerita positif dan ada cerita negatif. Ummi membaca semuanya dan Ummi cuba mengambil daripada sisi positifnya insyaAllah. Di dalam bacaan Ummi tentang Gentle Birth, seeloknya ibu yang hamil membayangkan gambaran yang positif sahaja agar emosi si ibu sentiasa dalam keadaan tenang, relaks dan nyaman dalam menghadapi proses kelahiran insyaAllah. 

Adik-adik Ummi iaitu Mak Lang dan Mak Cik juga berkongsi kisah bersalin mereka. Alhamdulillah sedikit sebanyak ianya membantu Ummi dalam memvisualkan gambaran persalinan; contohnya keadaan di dalam Bilik Bersalin, prosedur-prosedur yang dilakukan dan hak-hak ibu yang boleh diminta kepada perawat terutama dalam soal aurat dan kaedah rawatan (baca: Epi/cesarean dll)

Selain itu, persiapan fizikal untuk anak Ummi juga sudah Ummi dan Ayah siapkan semampu kami insyaAllah. Baju, napkin, sarung tangan kaki, barut, pampers, wet tissue, tilam bantal sponsored by Mak Tok, mandian dll. Seboleh mungkin kami cuba untuk memberikan kelengkapan yang terbaik untukmu anakku sebagaimana yang kami peroleh daripada orang tua kami dahulu.

Sudah tentu Ummi tidak melupakan persiapan rohani untuk anak Ummi ini. Ummi yakin bahawa persiapan rohani adalah kunci utama dalam pembinaan ruh, akhlak, emosi dan seterusnya fizikalmu anakku. Ummi tidak lupa untuk membacakan ayat-ayat Allah, berzikir sambil mengusap perut Ummi dan sentiasa mendoakan kesihatan dan kesejahteraan anak Ummi yang sedang bergembira berada di dalam rahim Ummi ini. Semoga anak Ummi keluar dari dalam rahim Ummi dengan sihat dan selamat insyaAllah.

Allah adalah tempat kebergantungan Ummi dan semua makhluk. Tidak wujudnya diri Ummi, dirimu anakku dan segala yang ada di dunia ini tanpa izin-Nya. Allahu Akbar! Betapa kerdilnya diri Ummi apabila mengenangkan segala nikmat yang dicurahkan-Nya. Justeru, jadilah kita hamba yang sebenar-benarnya ya anakku. Dengan nama Allah kita hidup dan dengan nama Allah kita akan kembali pada-Nya kelak.


Khaulah|Ummi
Baiti Jannati

Comments