Jurnal Syukur Di Malam Hari Lahirku

 Bismillahi walhamdulillah

Allahumma solli'ala Muhammad,

Wa'ala aali Muhammad.

Segala puja dan puji hanya bagi Allah, Tuhan pemilik alam jagat raya, Maha Berkehendak atas segala sesuatu.

Masha Allah, tidak berapa jam lagi akan bertambah lagi usiaku, 3 dekad lebih dan bakal menghampiri 4 dekad. Bermuhasabah, selama ini adakah aku telah menjadi insan yang bermanfaat?

Dengan izin Allah, sehari sebelum Hari Raya Korban yang lalu aku direzekikan mendaftar kelas yang amat bermakna dalam hidupku iaitu Prof Muhaya Circle (PMC) Batch 8. Bukannya aku baru tahu tentang kelas ini walhal suami ku sendiri merupakan alumni PMC Batch 2. Masha Allah, ilmu bonda Prof memang tinggi, maka aku harus bijak membahagikan masa untuk mendengar, memahami dan mencatat mutiara-mutiara ilmu bonda agar ianya dapat diamalkan dalam hidupku.

Dalam PMC, kami sentiasa disajikan dengan kelas-kelas ulangkaji oleh barisan fasilitator hebat yang sentiasa menghulurkan tangan dan gembira memberi dengan penuh cinta. Umpama kita enroll di universiti, kita mempunyai study group sendiri dan sentiasa berbincang mengenai kursus kita. Inilah hematku mengenai kelas PMC ini. Masha Allah, semoga Allah jua yang layak membalas kebaikan dan keikhlasan para fasilitator kesayangan kami.

Pada usia yang bakal beranjak ke 40 tahun kurang 3 tahun lagi, tidak ada apa yang mahu ku kejar melainkan hajat yang satu ini, cita-cita semua hamba Allah yang bersyahadah akan keEsaan Allah dan bersyahadah bahawa Nabi Muhammad itu pesuruhNya iaitu bergelar dhuyufurrahman. Aku sentiasa membayangkan diri aku sudah berada di hadapan Kaabah, menatap rumah Allah dengan penuh cinta dan mata yang berkaca. Subhanallah! 

Semoga Allah mengizinkan cita-cita ini termaqbul, aamiin Ya Mujib. 

Pada kesempatan ini, aku mentintakan rasa syukurku yang tidak terkira kepada Allah, Rabb ku, Rabb semesta alam, dengan limpah kurnia dan izinNya, nafas ini masih dihela dalam keadaan diri ini menggalas amanah sebagai khalifahNya.

Aku bersyukur menjadi anakanda kepada almarhum Abah, Hj Yaakob bin Abd Manaff dan bondaku, Khairani bt Khairuddin yang daripada keduanya asbab aku melihat dunia. Mereka berdua membesarkan kami dengan keperluan cukup semuanya biiznillah, memberi pendidikan dunia dan akhirat serta menggalakkan kami mencipta kejayaan demi kejayaan. Kepada Allah kami berdoa, tempatkanlah kedua ayah bonda kami dalam syurga Firdaus.

Aku bersyukur menjadi isteri kepada suamiku yang tercinta, Mohd Hafiz bin Md Basri, yang sudi menerima diriku seadanya. Beliau memimpin dan membimbingku agar menjadi isteri yang solehah serta ibu yang solehah buat anak-anak kami. Sifat dominan beliau yang tenang amat menyenangkanku dan anak-anak hinggakan anak-anak pasti akan merindui Abi mereka apabila Abi mereka berpergian daripada kami walaupun sehari. Inilah jodohku yang Allah sudah tetapkan dan doaku moga kami masih menjadi suami isteri di dalam syurga nanti, aamiin Ya Rabb.

Aku bersyukur menjadi menantu kepada almarhumah ibu mertuaku, Faizah bt Shafie, yang daripada beliau aku belajar untuk menjadi dewasa dan matang. Mak ialah mak mertua yang solehah dan opah yang amat disayangi oleh cucu-cucu atas keikhlasan dan keceriaan beliau kepada sesiapa sahaja. Pemergian Mak sebelum tiba Ramadhan tahun ini amat dirasai oleh kami. Aku doakan ruh Mak ditempatkan dalam kalangan hamba Allah yang soleh.

Aku bersyukur menjadi Ummi kepada 3 orang anakanda iaitu Nafisah Amani, Abdullah Zikri dan Muhammad Furqan. Anak-anak ku bijak dan pandai mengambil hati. Kakak Amani sudah boleh diharap membantu ku melakukan kerja rumah dan memantau adik-adik. Abdullah dengan gelagatnya yang kuat mengusik amat pandai mengambil berat terhadapku. Beliau juga suka menjadi imam solat jemaah di sekolah dan amat cakna dengan kerja rumah yang diberi oleh guru. Si kecil Furqan yang baru genap 5 tahun pada kelmarin sangat fokus dengan sesuatu tugasan. Suka menyusun atur dan mendengar arahan guru dengan teliti merupakan sikapnya. Ummi doakan anak-anak terus membesar dengan sihat dan berjaya dunia akhirat.

Aku bersyukur menjadi tenaga pengajar di Maahad Tahfiz Sains Darul Aman. Tahun ini menyaksikan hampir 6 tahun aku di bumi barokah ini. Sahabat-sahabat guru yang sentiasa bersemangat dan tak lokek membantu antara satu sama lain, anak-anak didik yang sangat bijak dan soleh solehah serta semua warga sekolah yang sangat baik membuatkan aku sentiasa sayang dan cinta kepada seluruh dan seisi MTSD ini. Aku berdoa semoga MTSD terus subur melahirkan generasi penghafaz Al-Quran yang profesional.

Aku bersyukur atas nikmat usia yang Allah kurniakan ini. Makin berusia maka semakin dekatlah kita dengan kematian. Kita pasti akan mati dan apabila berlaku 2 kematian daripada 2 orang insan yang amat penting dalam hidupku, membuatkan aku menginsafi diri bahawa aku jua akan mengikut jejak langkah arwah Abah dan Mak Mertua ku. Semoga Allah jadikan kubur mereka sebagai taman syurga dan jauhkan kubur daripada menjadi lubang neraka, na'uzubillah!

Sekian dahulu entri jurnal kesyukuranku. Banyak sekali nikmat daripada Allah kepada diri yang serba-serbi lemah ini. Doakan aku menjadi hambaNya yang sentiasa bersyukur dan sedar diri bahawa aku hanya lah hamba, yang akan pulang kepada Sang Penciptanya.

Selamat Hari Lahir wahai diri.

Aku sesungguhnya sayangkan diriku, maafkan diriku dan aku ingin menjadi seorang pencinta tanpa syarat.




Comments