Bismillahi walhamdulillah
Ketika entri ini ditulis, dunia masih menyaksikan pembantaian dahsyat rejim Zionis Israel laknatullah ke atas rakyat Gaza, yang majoritinya adalah umat Islam. Peperangan Israel-Palestin kali ini adalah peperangan yang memakan masa panjang, tidak seperti siri peperangan sebelum ini. Banyak usaha sudah dilakukan, fokus kita untuk menekan Netanyahu, agar segera menghentikan peperangan ini.
Peperangan kali ini rupanya membuka banyak hikmah yang tidak terfikir dek akal sebelum ini. Saya sendiri mula menyelami sejarah Palestin dengan lebih mendalam, mengikuti secara dekat salah seorang rakyat Malaysia yang mengahwini rakyat Palestin iaitu saudara Nadir al-Nuri. Beliau merupakan pengasas kepada NGO Cinta Gaza Malaysia.
Peperangan kali ini benar-benar dirasai oleh umat seluruh dunia yang cintakan keamanan dan bencikan genoside. Hingga ramai manusia yang diberi oleh hidayah oleh Allah untuk mengucap syahadah! Allahu Akbar! Mereka begitu mengkagumi semangat jihad yang dipamerkan oleh umat Islam Palestin, yang tidak sedikit pun gentar dengan rejim Zionis. Mereka begitu cintakan syahid dan yakin bahawa besarnya ganjaran orang yang mati syahid.
Lalu apabila dibandingkan dengan kita, amat jauh dan nipisnya iman kita ini. Masih lagi lengahkan solat, culas membaca Al-Quran, susah nak berzikir apatah lagi nak berfikir untuk umat!
Allah meminta kita menggunakan aqal kurniaanNya untuk berfikir di sebalik peperangan yang berlaku di bumi Palestin kini. Allah mahu kita mencontohi semangat perjuangan dan keimanan yang utuh yang ditunjukkan oleh saudara seIslam kita di Palestin. Tidak dapat dibandingkan ujian kita dengan mereka. Apalah sangat ujian kita ini kan? Apa yang sering kita fikirkan adalah bagaimana nak kaya seperti si fulan? Bagaimana nak anak ramai seperti si fulan? Seronoknya pergi bercuti di luar negara seperti si fulan itu..dan macam-macam lagi😥
Kita sedikit pun tak risau akan kurangnya amalan kita. Tak risau melewatkan solat, tak gundah jika tak membaca Al-Quran, tak terfikir nak bersedeqah apatah lagi nak membanyakkan zikir. Allahu Akbar!
Maka, marilah kita mengambil pelajaran daripada peristiwa perang Taufan Al-Aqsa yang sedang berlaku ini. Marilah kita segera bertaubat atas segala dosa yang dilakukan. Tanamkan kecintaan untuk mati syahid dan semoga satu hari nanti, kita bisa memasuki Masjid Al-Aqsa bersama umat Islam seluruh dunia, bertakbir dengan penuh kesyukuran dan membesarkan Allah Yang Maha Agung.
Comments
Post a Comment