Dialah Ayahku

Bismillahi walhamdulillah

Alhamdulillah syukur kepada Allah sehingga hari ini Dia masih memberikan nikmat Iman dan Islam, nikmat hidup juga kesihatan. 20 Safar 1432H hari ini. Dan genap sebulan aku bermukim di bumi Lembah Pantai ini. Sebulan bersamaan 30 hari telah memberikan banyak sekali pelajaran kehidupan kepadaku. Segala perasaan bercampur-baur; diadun dalam sebuah ‘adunan’ kamus hidup.

Perasaan syukur atas segala nikmat dan ujian yang ditetapkan Allah buat hamba-Nya tidak akan pernah sirna, insya-Allah. Mohon setiap saat diri kita dijaga Allah, sentiasa dilindungi dan dipermudahkan segala urusan hatta sekecil mana pun urusan itu. Hebatnya Allah, Dia tidak akan membiarkan hamba-Nya bersendirian melalui saat-saat getir dan sukar walaupun pada pandangan makhluk, alangkah beratnya ujian itu..

Apabila hidup di negeri orang ini, perasaan rindu kepada ibu ayah, adik-adik dan kampung halaman pasti ada. Iyalah, merekalah insan-insan yang paling dekat dalam hidup kita. Mereka menyaksikan jatuh bangun kita dan merekalah yang menjadi pendorong dan magnet yang kuat dalam setiap lembaran kisah hidup kita. Ya Allah, peliharalah kedua ibu bapaku, adik-adikku dan kaum keluargaku. Balaslah segala jasa bakti mereka kepadaku dan ampunilah segala dosaku kepada mereka..

“Apa yang ada jarang disyukuri, apa yang tiada sering dirisaukan”

Begitulah manusia, begitulah aku. Tidak dinafikan kebanyakan masaku kini juzu’nya lebih besar kepada BERSEORANGAN. Ya, siangnya berseorangan kerana rakan-rakan serumah semuanya bekerja. Muamalatku berlaku sekiranya aku ingin membeli makanan, fotostat nota, membeli buku dan menyapa rakan-rakan yang dikenali jika terserempak dengan mereka. Pada malamnya barulah berjumpa rakan sekelas, itu pun hanya 3 jam! Subhanallah, besar hikmahnya yang dapat ku lihat di sini, Allah mahu aku sentiasa berMUHASABAH!

Agak janggal dan kekok pada awalnya, selalu rasa agak sedih sebab tidak berteman. Lalu kenangan semasa alam mahasiswa dulu menjelma satu persatu. Ke mana sahaja berteman, iyalah ramai sahabat kan? Seronok dan testimoni daripada semua sahabatku, alam mahasiswa merupakan alam yang paling BAHAGIA, GEMBIRA dan CERIA! Aku sangat-sangat menyetujuinya, terima kasih amat sahabat-sahabatku!

Akan tetapi, sampai bila aku harus bersedih? Kenangan adalah satu masa yang ditinggalkan, ia tidak mungkin berulang lagi. Mahu flash backkah semua kenangan itu? Sedangkan umurku semakin meningkat dan akan meningkat sehingga aku tiada umur lagi di dunia ini. Teringat aku akan pesanan Abah, insan yang selalu menjadi booster aku, pengkritik hebat juga pakar motivator unggul bagiku, “Sudah tiba masanya keluar daripada kepompong zaman belajar dulu. Kalau sebelum ni asyik menempel dengan kawan-kawan, sekarang dah tak boleh dah. You have to be independent!”

Kata-kata keramat ini yang aku pegang. Sungguhpun perkataan INDEPENDENT ini sering sahaja aku dengar, dalam segala jenis kuliah dan ceramah, tidak ketinggalan juga usrah. Tetapi aku sebenarnya masih tidak memahami maksud INDEPENDENT itu. Kredit untuk Abah yang tidak jemu-jemu memberi suntikan semangat kepada anak sulungnya ini. Aku jadi malu kepada Abah. Semangat Abah tak pernah pudar, kata-kata perangsang dan doanya tidak pernah padam, selalu menelefonku walaupun anaknya ini hampir berusia 25 tahun tidak lama lagi. Subhanallah, bangganya aku punyai ayah sebegini.

Setiap kali Abah telefon, bertanya khabar aku dan Umar, pengajianku dan lain-lain perkara, tidak dilupakan dia pasti akan berdoa untukku. Rasa mahu menangis. Abah kata, “Belajar rajin-rajin, tebus balik apa yang tak dapat dalam Degree. Tak lama pun, 2 tahun ja. Niatkan belajar untuk cemerlang sehingga ke peringkat tertinggi.” Begitu tinggi sekali harapan dan amanat Abah. Dan begitu berat dan sesak sekali aku mahu melunasinya. Lalu aku menjawab, “Insya-Allah Abah, Kak Yong cuba yang terbaik.”

Dialah ayahku. Sentiasa punya high expectation kepada setiap orang anaknya. Allahu Allah..Bantulah aku dalam pengajianku, aku ingin menggembirakan hati kedua orang tuaku. Hanya ini sahaja yang mampu aku hadiahkan buat mereka di atas segala pengorbanan yang tidak akan terbalas olehku sampai kapan pun. Rahmatilah keduanya Ya Allah..

Dan kini aku mengerti.

Comments