Friday, October 21, 2011

Mahasiswa Terus Menggugat!

Bismillahi walhamdulillah

21 Oktober 2011 menjadi sejarah bagi seluruh warga UIAM apabila satu demo besar-besaran telah diadakan di hadapan Masjid SHAS selepas solat Jumaat hari ini. Mahasiswa kembali menggugat! Dan sesungguhnya saya rindu untuk kembali bergelar seorang MAHASISWA!

Demonstrasi aman ini bertujuan bagi menyatakan sokongan kepada tokoh ilmuan dan pakar undang-undang terkemuka merangkap pensyarah di AIKOL, UIAM iaitu Prof Dr Abdul Aziz Bari. Siapa yang tidak mengenali beliau, seorang ilmuan yang sangat berani menyatakan pandangan dan hujah dari sudut akademik dan fakta sahih. Namun kenyataan beliau berhubung isu  "Sultan Sharafuddin telah bertitah bahawa baginda amat tersinggung dengan usaha pihak tertentu yang cuba melemahkan kepercayaan dan akidah orang Islam di Selangor" dikatakan sebagai menghina sultan.

Heboh isu ini di semua akhbar, facebook, twitter dan di mana-mana sahaja medium maya. Sekalung syabas dan tahniah saya rakamkan kepada seluruh rakan mahasiswa terutama rakan-rakan UIAM yang mengambil tindakan berani mewar-warkan isu ini dengan menubuhkan page 10000 mahasiswa menyokong penuh Professor Dr Abdul Aziz Bari. Inilah kuasa mahasiswa, kuasa suara anak muda yang tidak berdiri atas satu-satu kepentingan melainkan mereka hanya bersuara untuk menuntut sebuah pengadilan!

Saya masih menunggu berita demonstrasi yang sedang berlangsung di UIAM tika ini. Moga semuanya berjalan dengan aman dan lancar. Menegakkan yang benar lumrahnya memang pahit. Akan tetapi tetaplah dan yakinlah dengan janji Allah, kita berusaha sedaya upaya untuk menegakkan keadilan di dunia ini. Jika ianya tetap ditutup oleh 'tangan-tangan jahat', kita tidak harus takut atau gusar kerana mahkamah Allah di akhirat nanti jauh lebih dahsyat dan menggerunkan.

Suara mahasiswa membela cendekiawan di perkarangan Sultan Haji Ahmad Shah Mosque, IIUM
(foto ihsan: Ust Sya'ari)

Yang mahu terus menjadi seorang mahasiswa;
Khaulah Azwar~

Tuesday, October 18, 2011

Alur Rasa

Di tengah kedinginan pendingin hawa maktabah UM,
Mengetuk jari menguntai kata,
Benarlah pesan adinda nun jauh di bumi Anbiya',
Bermuhasabahlah, bermuhasabahlah sentiasa..


Alur rasa ini sudah ku alirkan,
Mahu segala kotoran itu mengalir jauh ke muara,
Jauh dan jauh, agar rasa itu tiada lagi menyinggah,
Merasuk dan meracau sukma..


Semalaman menghitung diri,
Menggumam menyesali segala salah dan khilaf,
Mencari-cari penawar di sebalik untaian madah dan mutiara sang murabbi,
Lalu menemui erti BAHAGIA yang dicari..Alhamdulillah..


Bahagia bukan pada harta dan rupa,
Juga bukan pada takhta dan kuasa,
Ah, bahagia itu sebenarnya ada dalam jiwa,
Carilah ia, nescaya kau akan benar-benar bahagia..

Perjalanan aku masih jauh,
Biar dipagut onak duri juga ombak badai,
Berundur langkahku tidak sama sekali..


Aku cuba membentuk alur rasa yang baharu,
Kerna perjuangan ini adalah perjuangan demi umat,
Perjuangan yang harus mendahului masa,
Perjuangan yang bernafas panjang..


Demi Tuhan yang jiwaku di tangan-Nya,
Aku mahu alirkan rasa ini, cinta ini,
Hanya pada-Mu semata,
Kerna setiap detik bersama-Mu aku sentiasa BAHAGIA..


Terima kasih Allah~


Nukilan rasa,
Khaulah Azwar

Thursday, October 13, 2011

Live a Life with Smile ^__^

Sentiasalah memulakan hari anda dengan SENYUMAN =)
Biar diterjah badai dan ombak ganas, tetapi hadapilah ia dengan garis SENYUM =)
Bukankah hidup hanya sekali?

Maka berhiduplah dengan sebaiknya dan SMILE sentiasa =)
Anda pasti bisa!

"You only live once, but if you work it right, once is enough."

"Love the moment. Flowers grow out of dark moments. Therefore, each moment is vital. It affects the whole. Life is a succession of such moments and to live each, is to succeed."






Tuesday, October 11, 2011

Soal Sikap


Bismillahi walhamdulillah

Astaghfirullahal’azhim..Astaghfirullahal’azhim..Astaghfirullahal’azhim..

Aku memohon ampunan-Mu Ya Allah atas segala dosa dan khilafku sebagai seorang hamba. Engkau terlalu hebat dan hanya Engkau Maha Tahu akan duduk letak setiap insan yang Engkau ciptakan. Moga catatanku kali ini diterima oleh-Mu, kerna sekali lagi aku berpesan kepada diriku, aku menulis hanya kerana-Mu.

Tidak tahu bagaimana harus aku memulakan. Dibesarkan dengan didikan yang agak tegas dan berdisiplin oleh Ayahanda dan Bonda membuatkan aku tidak betah pada awalnya bermukim di bumi Lembah Klang ini. Namun tidak sekali-kali aku menyalahkan takdir Ilahi (tidak akan, insya-Allah) atas setiap percaturan Dia. Dia malah tidak pernah memberikan kepayahan dan kesusahan kepada diri yang kerdil hina ini.

Aku cuba beradaptasi, hidup bersama penghuni-penghuni di bangunan flat ini. Ya, flat! Tidak pernah membayangkan akan menyertai insan-insan yang telah lama menghuni rumah berjenis flat ini. Pernah juga terdetik di hati, mampukah aku hidup di flat ini? Astaghfirullah, semoga Allah mengampunkan segala detikan yang tidak baik itu kerana rezeki setiap hamba-Nya telah pun ditetapkan sejak azali lagi. Alhamdulillah, dan kini sudah mencecah 10 bulan aku menghuni di sini.

Syukur aku panjatkan kepada-Nya, majoriti penghuni flat ini adalah terdiri daripada keluarga, tidak ramai atau boleh dikatakan tiada langsung warga asing di sini. Pesanan  Ayah Bonda sentiasa aku sematkan di hati bahawa aku harus berwaspada, extra waspada dalam erti kata lain kerana berhidup di kota metropolitan ini tidak dapat dijangkakan sama sekali kejadian-kejadian yang tidak diingini. Na’zubillah, Ya Allah peliharalah keselamatan diriku dan rakan-rakanku yang mendiami tanah Lembah Klang tika ini.

Bukan mahu aku kesalkan atau rungutkan mengenai sikap sesetengah  individu yang sama-sama mendiami flat ini, tetapi tika dan saat ini, kesabaranku benar-benar teruji.  Ujian pertama pada awalnya adalah betapa susahnya mahu mencari tempat parking untuk Umarku tambahan jika aku pulang ke rumah pada waktu malam. Allahu Allah, aku belajar untuk bersabar dan mengaktifkan semaksima mungkin kesabaranku ini. Alhamdulillah lama-kelamaan aku bisa berkompromi dengan hal dunia yang satu ini iaitu “parking di mana sahaja even space itu muat-muat sahaja untuk Umar”, asalkan Umar ada tempat tidur..

Tidak diceritakan lagi perihal ‘mereka’ yang tidak bertanggungjawab, sanggup membuang sisa makanan ke atas bumbung kereta orang lain dan termasuklah Umar sebagai mangsanya! Sungguh aku kesal dan sedih dengan sikap yang satu ini-pengotor dan tidak bertanggungjawab! Islam mengajar umatnya supaya mengamalkan kebersihan tetapi rupanya ia tidak sampai kepada golongan ini…Allahu Akbar!

Kesabaranku akhirnya bertambah calar apabila pada dua hari lepas aku terlihat kesan goresan dan calar yang agak dalam pada bumper Umar! Allahu Akbar! Sudah tidak tahu untuk berkata apa lagi, aku menganggapnya sebagai ujian Allah..moga kesabaranku ini sentiasa dikuatkan-Nya.

Aku tidak sedih jika si pembuatnya berjumpaku dan menyatakan bahawa dia terlanggar atau apa sahaja asbab tercalarnya Umar, sekurang-kurangnya aku mendengar ketulusan dan sikap bertanggungjawab individu terbabit. Akan tetapi, aku hampa dan sangat sedih dengan sikap sebegini. Apa yang sudah berlaku dengan sikap umat Islam ini? Tiada tanggungjawab? Tiada empati?

Tidak aku sesalkan atas apa yang sudah terjadi pada Umar, tetapi setidak-tidaknya tunjukkanlah sikap tanggungjawab anda itu. Tiada tanggungjawab, tiada hormat lagi saya kepada anda!

Astaghfirullahal’adzhim…

Aku menerimanya sebagai ujian dari-Mu Ya Allah..moga individu terbabit menyedari kesalahan dia dan memohon ampun kepada-Mu. Sebagai umat Nabi Muhammad, aku memaafkan kesalahan dia kepadaku, moga Engkau juga memaafkan kami. Satu hal yang aku belajar bahawa tiada yang indah hidup di dunia metropolitan jika beginilah sikap yang diperlihatkan. Jelek dan muak dengan sikap ini, maaf kerana aku masih menyatakannya.

Jika diberi pilihan untuk berhidup di kota metropolitan, aku pasti mengatakan TIDAK! Namun dari satu sisi yang lain, tidak aku nafikan bahawa hidup di KL menjadikan kita lebih ‘alert’ dan berdaya saing. Bukan mahu mencari hidup yang selesa kerana bagiku berhiduplah di mana sahaja kerana di mana-mana sahaja adalah bumi Tuhan, bukan? Jawapan tidakku itu adalah bersandarkan kepada  alasan terkuatku iaitu SOAL SIKAP!

Renungkanlah; bahawa Allah sekali-kali tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu melainkan mereka mengubahnya sendiri.

Wallahua’lam.

Monday, October 3, 2011

Kagum dengan 'Mereka'

Bismillahi walhamdulillah

Alhamdulillah jaulah tarbawi kami dipermudahkan Allah, selamat tiba dan selamat pulang. Tribute saya dedikasikan kepada adinda merangkap mastermind jaulah kami, Adinda Yard! Semoga segala pengorbanan beliau dalam memastikan jaulah ini sempurna diganjar Allah dengan selayaknya.

Berkira-kira saya pada awalnya mahu berpergian ke Pulau Mutiara ini. Bukan terlalu berkira dengan wang ringgit tetapi berkira dengan MASA! Sudah tentu orang seperti saya yang masih tidak sempurna time managementnya akan sentiasa berkira-kira dengan masa yang berbaki untuk siapkan segala tugasan yang diamanahkan. Allahu Allah, benarlah firman-Mu, betapa MASA itu tidak akan pernah menunggu orang yang leka dan lalai.

Akhiran, Allah memilih kami menyertai jaulah yang bermakna ini. Jaulah yang sekian lama saya rindui untuk menjadi pesertanya, seindah jaulah saya bersama teman-teman semasa fatrah alam graduasi dahulu. Alhamdulillah, seindah-indah lafaz, syukran Allah kerana memilihku untuk bersama mereka.

Bergantian saya dan Yard mengemudi buraq Najwa, membelah kepekatan malam demi misi ke Pulau Mutiara ini. Tawakkal kami kepada-Nya, tiada musyrif bersama kami, hanya Allah sebaik-baik penjaga. Alhamdulillah perjalanan kami dipermudahkan-Nya. Nampak sahaja papan tanda Butterworth, kami mengucap syukur dan menghela nafas lega. 

Lalu menginap di rumah adinda Hidayati, first class hospitality yang kami terima daripada keluarganya terutama ibunya! Masya-Allah, betapa hebatnya ibunda beliau, melayan segala kerenah kami sehingga melebihi daripada apa yang kami bayangkan. Semoga Allah merahmati keluarga Hidayati. Tersenyum saya mengingat segala peristiwa di rumah beliau, terutamanya semasa menjamah hidangan lazat, hidangan 'kasih sayang' bonda Hidayati...subhanallah, tidak akan saya luputkan ia dari ingatan saya..hebatnya ibu ini, bisik saya.

Pagi Sabtu, inilah hari yang dinanti oleh seluruh rakyat yang cintakan agama hanif ini, agama Islam yang lebih tinggi dari segala agama di dunia ini. Rakyat Pulau Pinang dan seluruh rakyat Malaysia membanjiri Dewan Millenium Kepala Batas, mengorbankan hari minggu mereka untuk bersama-sama meraikan Kongres Sambutan 60 Tahun PAS di tempat kelahiran PAS sendiri.

Saya dan teman-teman yang hadir begitu teruja dan kagum dengan 'mereka' ini. Subhanallah, ada yang hadir dengan berkerusi roda, ada yang bertongkat, ada yang 'istimewa' dan ada yang membawa anak-anak kecil. Sehingga tersayat perasaan saya menyaksikan kesungguhan dan komitmen mereka kepada perjuangan ini. Mereka pastinya punya komitmen lain di hujung minggu ini tetapi dapat mereka korbankan ia demi memastikan kongres ini berjalan dengan baik dan meriah. Tabarokallah! Allah sebaik-baik pengganjar atas segala niat dan amal yang dilaksanakan oleh hamba-Nya.

Perjalanan sepanjang kongres tidak saya biarkan ia berlalu begitu sahaja. Saya cuba menghadam input-input dan amanat yang disampaikan oleh pemimpin-pemimpin kesayangan kami dengan sebaiknya. Alhamdulillah syukran Allah atas segalanya, saya merasakan hari Sabtu saya sangat bermanfaat dan terisi dari pagi sehingga malam, moga Allah menerimanya.

Pasti saya tidak melupakan agenda pada malamnya. Kepala Batas sesak! Masya-Allah lebih 20 ribu rakyat membanjiri Dewan Millenium! Sekali lagi kekaguman saya terserlah. Ya Allah, saksikanlah, kami bersama-sama di dalam dewan ini demi misi kami untuk agama dan perjuangan-Mu ini, terimalah ia Ya Allah..

Saya dan teman-teman bersila di lobi dewan, bersesak-sesak umpama di Tanah Haram pula pemandanganya. Masya-Allah! Tetapi ianya tidak menghalang kami untuk  terus bersemangat mendengar segala amanat dan taujihad daripada tokoh-tokoh pimpinan kami yang sangat kami kasihi. Menambahkan lagi rasa keterujaan saya adalah saya dapat menyaksikan dengan sangat dekat ketibaan Mursyidul Am Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat pada malam itu. Subhanallah, tidak tergambar perasaan ini, hanya Allah yang Maha Tahu. Menyaksikan ulama' dan pemimpin Islam yang berkarisma ini membuatkan hati saya sangat tersentuh dan syahdu sekali. Doa saya, semoga Allah sentiasa memberkati TGNA.

Segala puji buat Allah Yang Esa. Hamdalah kami tidak akan pernah berhenti kerana Allah sahaja Tuhan kami, Tuhan Pemilik Alam ini. Terngiang-ngiang di telinga ini akan amanat dan pesan Tok Guru, Islam ini sudah berusia hampir 1450 tahun. Sudah lama Nabi meninggalkan kita, maka kita perlukan penapis untuk menapis segala anasir luar yang telah mencemari Islam selepas wafatnya Nabi kita yang tercinta. Penapis yang dimaksudkan adalah Kitabullah wa Sunnata Rasulullah s.a.w. Sebab itu saya sangat suka mendengar amanat Tok Guru kerana beliau meningatkan kami dengan perkara-perkara yang asas, perkara yang mudah difahami oleh rakyat marhaen dan orang awam.

Kongres tamat dengan berakhirnya ucapan penutup dan taujihad yang dipasakkan oleh Tok Guru kepada kami, rakyat Malaysia ini, rakyat yang cintakan perjuangan ini. Ya Allah, kami berkumpul di dalam dewan ini adalah semata-mata kerana-Mu jua. Bantulah kami dalam merealisasikan matlamat dan cita-cita kami. Misi "Menawan Putrajaya" akan kami pegang dan cuba kami tawan dengan izin-Mu. 

Sesungguhnya inilah jaulah tarbawi dan kembara ukhuwwah (Yard, 2011) yang amat-amat bermakna bagi saya. Musafir yang sering saya dambakan ini mengingatkan saya bahawa benarlah jika kita ingin mengenali seseorang sahabat itu, bermusafirlah bersamanya. Alhamdulillah dan saya telah merasai kemanisan ukhuwwah ini. Bersama mereka, saya berasa bahagia. Bersama mereka, saya tidak berasa gelisah. Bersama mereka, membuatkan saya sangat yakin bahawa mereka dan saya bersama-sama berpimpinan tangan dan langkah meneruskan perjuangan abadi ini, perjuangan yang berterusan sehingga tertegaknya Islam di muka bumi ini. Terima kasih sahabat dan adinda-adindaku, kalian anugerah Allah yang teristimewa. Ya Allah, jagailah ukhuwwah kami dan thabatkanlah kami di atas jalan perjuangan ini dan temukanlah kami di syurga-Mu nanti, amin ya Rabbana.


Dedikasi teristimewa buat: Sahabatku Halimatun, Adinda Khai, Adinda Yard, Adinda Najwa, Adinda Hidayati dan Adinda Aima..Seeru'ala barkatILLAH!