Wednesday, November 27, 2013

Harga Yang Harus Dibayar

Bismillahi walhamdulillah

Waktu kian berlalu. Minggu merangkak laju. Pelbagai 'hadiah' telah ku terima sejak akhir-akhir ini, hadiah normal buat seorang bakal ibu. 'ala kulli hal, aku bersyukur kepada Allah, sesakit aku tidaklah sampai perlu menyusahkan orang lain dan inilah yang acap kali aku minta daripada Dia. 
Awal kehamilan sememangnya mengujakan diriku, iyalah kerana inilah impian kami untuk memiliki zuriat sendiri, alhamdulillah. Dan sememangnya detik-detik kehamilan banyak sekali mengajarku erti sebuah SABAR, POSITIF dan KUAT untuk meneruskan kehamilan ini biiznillah. Betapa hebatnya Yang Maha Pencipta, tidak semudah ABC kehamilan itu dilalui oleh setiap bakal ibu dan para ibu tetapi kehamilan itu disertakan dengan ujian-ujian kecil agar si ibu bisa mempersiapkan dirinya untuk menerima ujian amanah si kecil yang jauh lagi mencabar. Allahu Akbar!!
Saban hari, aku sering mengingatkan diri sendiri bahawa Allah bersamaku. Aku harus kuat dan tidak boleh lemah dalam mengharung ujian hidup ini. Demi anakanda yang bakal menjadi aset ummah, aku wajib kuat berjuang dalam TARBIYAH KEHAMILAN ini, insyaAllah. Semoga Allah jua membesarkan imanku dan memudahkan urusan hamba-Nya yang dhaif serba-serbi ini.
Anakku, kamu adalah anugerah terindah buat Ummi dan Ayah. Akan Ummi berusaha sedaya upaya menjaga hakmu dengan baik dan sewajarnya. Ummi ini lemah, banyak sekali pengharapan dan pergantungan Ummi kepada Tuhan kita, Allah Yang Satu. Semoga kamu baik-baik sahaja di dalam rahim Ummi, membesar dan tumbuh baik agar bisa menjadi sesuci Maryam dan sehebat Yusuf a.s.

Warkah Ummi| Khaulah
Baiti Jannati

Sunday, November 24, 2013

Perjuangan Ini...

Bismillahi walhamdulillah

Alhamdulillahi Rabbil'alamin, pujian selayaknya bagi Allah, Tuhan pemilik alam ini. Selawat dan salam untuk Junjungan tercinta, Khaatimul anbiya' Muhammad s.a.w.

Saya kira tirai Muktamar PAS ke-59 sudah pun berlabuh. Alhamdulillah segalanya berjalan dengan baik dan lancar. Cemburunya saya kepada para muktamirin dan muktamirat yang menghadirkan diri ke sana, semoga mereka semua diganjari Allah Ta'ala.

Betapa naifnya saya, banyak sekali perkara yang wajib saya pelajari dalam erti kata bergelar seorang pendukung harakah Islamiyyah. Jika sekadar bersenandung di alam maya, bukanlah saya ini layak bergelar seorang pejuang, astaghfirullah..

Benarlah, jalan perjuangan ini sentiasa terhidang dengan mehnah, tribulasi, susah payah, fitnah dan segala macam penjara dunia yang merimaskan. Betapa hati ini bagaikan tersiat di setiap kali mata tertancap khabar-khabar buruk tentang perjuangan, telinga terdengar fitnah yang menikam dalam jasad perjuangan sedangkan diri ini tidak mampu membantu melainkan hanya dengan untaian DOA.

Ahli-ahli bawahan yang mendengar sudah terguris rasa hati apatah lagi para pemimpin yang mengemudi bahtera ini. Sudah pasti hati mereka jauh lebih tersayat dan sedih mendengarnya. Namun saya tahu pemimpin-pemimpin saya adalah insan-insan hebat pilihan Allah, mereka tidak akan mudah melatah apatah lagi melampiaskan amarah terhadap segala tohmah, hinaan dan fitnah. Mereka adalah hamba-hamba Allah yang beriman dan yakin sebenar-benarnya bahawa Allah pasti menjaga perjuangan yang berlandaskan agama-Nya semata. Allahu Akbar!!

Justeru, menjadi satu peringatan dan pengajaran yang besar kepada para ahli untuk sentiasa menyelidiki kesahihan sumber berita yang diterima daripada mana-mana pihak. Budaya merujuk pimpinan haruslah menjadi satu amalan dalam mengenal pasti kebenaran sesuatu berita. Janganlah mengambil sikap terburu-buru dan cepat melatah kerana dek sikap tidak berhati-hati ini bakal menjadi backfire kepada perjuangan yang kita cintai ini, na'uzubillah!

Sebagai seorang pendukung harakah Islamiyyah, wajiblah kita sentiasa memperbaharui (tajdid) niat kita setiap hari agar Allah sentiasa thabatkan kita di atas jalan dakwah ini. Berdakwah bukan untuk mencari publisiti tetapi berdakwah adalah kerana Allah semata-mata. Kita juga wajib meyakini bahawa Islam itu pasti akan menang walaupun kala ini kita melihat Islam seperti kalah kepada kuffar.

"RAHMAT UNTUK SEMUA"


Sunday, November 17, 2013

Sabtu Yang Optimum

Bismillahi walhamdulillah

Hari Sabtu yang padat. Alhamdulillah atas kurniaan kesihatan yang memuaskan. Seawal 8 pagi sudah tercatuk saya di hadapan kakak misi Klinik Desa Kelang Lama untuk check up 5 hari berturut-turut dek kenaikan berat badan melebihi 1 kg! Penangan Juliana's memang tidak dapat dinafikan dan inilah 'hadiah' yang saya terima =)

Usai check up, saya menemani suami ke Mengkuang Dam, antara tempat femes untuk berjogging dan beriadah. Alhamdulillah bersyukur dapat menghela nafas daripada udara nyaman tasik dan bukit bukau menghijau walaupun hanya berjogging di atas kerusi :p

Berjogging sudah, tiba di rumah pada jam 10 pagi. Dhuha seketika, memohon agar Dia melimpahkan keberkatan rezeki kepada kami sekeluarga. Next project, saya teringin untuk membuat puding gula hangus hehe..sudah lama meng'ushar' resepi lalu pada hari ini terkabullah hajat untuk makan puding gula hangus, alhamdulillah ya Rabb! Komen: puding gula hangus saya agak manis, mungkin kena kurangkan gula untuk next trial!

Gambar sekadar hiasan~

Zuhur. Usai solat, kami menghadiri majlis walimah adik kepada kawan suami di Kulim Square. Nampaknya saya berehat dari memasak hari ini :). Majlis sangat sederhana dan menu speselnya adalah kambing masak kurma dan ayam masak ala Bangladesh! Bonda En Amil memang superb dalam masak-memasak ni dan ianya sangat diakui dan terbukti! Terima kasih kepada tuan rumah sekeluarga.

Tik..tok..alamak, sudah 3 petang rupanya, masa amat pantas berlalu..maka barulah merangkak-rangkak saya membuat persiapan untuk temuduga saya pada hari Isnin nanti. Allahu..macam-macam perasaan ada; almaklum tidak pernah lagi saya menghadiri temuduga secara formal. Meneliti segala tips, contoh-contoh soalan dan jawapan serta cara mengajar daripada Internet sahaja, semoga Allah membantu saya dan suami pada hari kejadian.

Hampir Maghrib baru siap draft saya, alhamdulillah. Formula 3P's yang saya peroleh akan cuba saya praktikkan insyaAllah. Fuh, berpeluh dan berdebar juga saya! Rabbuna yusahhil!

Usai Maghrib berjemaah bersama suami, saya membantu suami menyediakan skrip ucapan pengerusi majlis untuk majlis ihtifal PASTI pada esok hari. Aha, kepakaran dalam mengkopi-pasta dan meng-edit digunakan sepenuhnya. Terima kasih kepada sumber-sumber teks ucapan yang dipercayai :)

Alhamdulillah done! Selingan menikmati susu bercampur oat dahulu sebelum saya kemudian menggodek YouTube demi sebuah contoh pengajaran Simultaneous Equation! Apabila sudah lama meninggalkan alam sekolah, sebuah revision tuntas harus dilakukan! Terangguk-angguk saya mendengar cikgu-cikgu ini menerangkan cara untuk solve S.E. menggunakan Substitution Method. Alhamdulillah saya jelas sedikit sebanyak tetapi usaha mem'polish' dan bergaya seperti seorang guru merupakan langkah terakhir untuk saya lakukan. Bantulah hamba-Mu ini ya Rabb..

Untuk segala laluan pada hari ini, Alhamdulillah Ya Rabbi..permudahkanlah urusan kami pada hari-hari mendatang, amin.

notakaki#post santai di atas adalah sebagai salah satu momen yang ingin diingati dan disyukuri insyaAllah. Terima kasih Allah atas kemudahan di atas setiap kesulitan. Hamba masih banyak mahu belajar dan belajar..

Wednesday, October 23, 2013

Baitul Muslim Haraki

Bismillahi walhamdulillah

Alhamdulillah selesai sudah hari penamaan calon bagi N20 Sungai Limau. PAS meletakkan Ustaz Mohd Azam bin Abd Samad, 37 (Ketua Pemuda PAS Kawasan Jerai) manakala BN mempertaruhkan Dr Ahmad Suhaimi Lazim, 52 (Pensyarah Kanan UPSI). Keadaan berlangsung dengan aman tanpa sebarang kekecohan dan provokasi Alhamdulillah.


Saya amat tersentuh dengan setiap fenomena yang berlaku di dalam parti perjuangan kami ini iaitu Parti Islam Semalaysia (PAS). Saya dapat menyaksikan bahawa tulus dan ikhlasnya setiap ahli PAS terutama golongan-golongan yang lebih tua dan lebih senior dalam sepak terajang perjuangan ini. Mereka benar-benar memahami aqidah perjuangan yang sedang mereka intima' dan mereka bai'ahkan sejak usia muda mereka, Allahu Akbar!!

Mereka mengotakan apa yang dikata, melaksanakan apa yang telah dirancang dan istiqomah walau apa jua fitnah dan tohmahan yang sentiasa menyerang PAS. Begitu kerdil rasanya diri ini dalam menginfakkan seluruh jiwa raga untuk sebuah perjuangan yang mulia ini. 

Begitu saya teringat ketika darah muda masih panas dan aktif dalam perjuangan. Telah saya berjanji kepada Allah dan diri bahawa saya akan terus berintima' dan berjuang untuk Islam atas wasilah menyertai PAS. Namun setelah berumah tangga, tidak dapat dinafikan penglibatan saya semakin merosot dan amat jauh ke belakang dibandingkan dengan sahabat-sahabat seperjuangan yang lain. Penglibatan saya amat minima dan saya tahu saya sudah mula tidak mengotakan janji saya, Allahu..

Berilah sebanyak mana pun alasan tetapi mengapa sahabat-sahabat yang lain masih mampu istiqomah dan aktif? Begitu terpukul saya dengan soalan ini. Di mana Baitul Muslim Haraki yang diagung-agungkan satu ketika dahulu? Ah, lebih kuah dari sudu! Jawablah kamu di hadapan Allah kelak! Allahu Akbar! Ampuni hamba-Mu ini Ya Rabbi..

Namun begitu, saya sesungguhnya beruntung kerana punya suami yang turut sama mendokong perjuangan suci ini. Moga ada sedikit saham saya daripada keterlibatan suami di medan juang dengan wasilah menyiapkan keperluan beliau di dalam perjuangan. Allahu..jika jasad ini mampu dibelah dua, akan aku infaqkan satunya untuk perjuangan ini. Istiqomahkan kami Ya Rabbi, sesungguhnya cara berjuang itu ada pelbagai dan aku akan manfaatkan ruang dan peluang yang Engkau berikan di dalam kapasitiku yang kecil ini. Dengan izin-Mu ya Rabb, menangkanlah Islam di Dun Sungai Limau! Ampunkanlah segala kekhilafanku, kekerdilanku dan kelemahanku..

Tahniah buat semua mujahid/ah yang menyertai perarakan penamaan calon pada hari ini. Tiada kata dapat diungkap, hanya doa mengiringi, semoga Allah mengganjar setiap titik peluh, masa dan harta yang telah kalian laburkan, amin.


Merindui perjuangan hakiki,
Khaulah

Wednesday, October 9, 2013

Ibrah Khutbatul Wada'

Bismillahi walhamdulillah

Tidak sedar masa yang amat pantas berlari. 4 Zulhijjah 1434H hari ini. Alhamdulillah kita masih diberikan modal nyawa selain nikmat Iman dan Islam dalam meneruskan perjalanan sebagai seorang hamba dan khalifah-Nya. Bulan Zulhijjah merupakan salah satu bulan yang dimuliakan Allah selain bulan Zulqaedah, Muharram dan Rejab.

Justeru, kita dianjurkan untuk membanyakkan amalan-amalan sunat terutama pada 10 hari awal Zulhijjah. Selain ibrah pelaksanaan Rukun Islam kelima iaitu mengerjakan Haji di Makkah bagi yang berkemampuan, kisah pengorbanan Nabi Ibrahim, Nabi Ismail, Siti Hajar dan Siti Sarah, kita terlupa akan satu peristiwa besar yang berlaku pada hari Arafah, 9 Zulhijjah pada tahun ke-10 kenabian iaitu Khutbatul Wada' oleh Nabi yang kita kasihi Muhammad s.a.w.

Pada hari yang mulia itu, Nabi menaiki untanya yang bernama 'Quswah' menuju ke Lembah Qurainah. Lalu Nabi mengumpulkan semua jemaah Haji pada waktu itu yang seramai 114 ribu orang. Nabi meminta mereka menumpukan perhatian akan khutbah yang akan baginda sampaikan. Khutbah Nabi mengandungi prinsip-prinsip kehidupan manusia yang diajarkan di dalam Islam. Terdapat 7 isi penting daripada khutbah Nabi tetapi saya hanya dapat mencatat sebanyak 4 sahaja disebabkan kuliah yang saya hadiri semalam akan bersambung pada hari yang lain.

1- Islam mengajar persaudaraan (brotherhood), keadilan, kebebasan bersuara dan prinsip kehidupan. Jika dilihat isu kemanusiaan hari ini, Mesir merupakan contoh semasa yang wajib diketahui oleh semua umat Islam. Tiada langsung sifat perikemanusiaan oleh puak kudeta kepada marhaen Mesir yang tidak berdosa. Sedangkan Nabi tidak mengajar umatnya untuk membantai, membunuh dan menzalimi manusia lain.

2- Nabi menyebut, "Dengarlah, sedarlah! Janganlah kamu melakukan kezaliman! Janganlah kamu melakukan kezaliman! Janganlah kamu melakukan kezaliman!" Nabi telah mengulangi sebanyak 3 kali menunjukkan bahawa kerasnya amaran Nabi kepada mereka yang melakukan kezaliman.

3- Nabi menghalang daripada melakukan penindasan. 

Isu di Malaysia: RUU ala-ala ISA telah pun diluluskan sedangkan ISA sendiri sudah dimansuhkan. Apakah motif diwujudkan RUU tersebut? Rakyat berpendapat tidak ada bezanya ISA itu dimansuhkan, seolah-olah ISA diwujudkan kembali tetapi dengan nama yang lain. ISA sememangnya zalim dan menindas rakyat apabila si tertuduh tidak dibenarkan untuk membuat pembelaan ke atas dirinya. Di manakah keadilan yang telah diajarkan oleh Nabi s.a.w.?

4- Nabi menyebut, "Wahai orang-orang lelaki, takutlah kepada Allah yang telah mengamanahkan wanita kepada kamu. Mereka ada hak kepada kamu dan kamu ada hak kepada mereka. Jika mereka tidak menunaikan hak mereka, kamu berhak memukul mereka dengan pukulan yang tidak menyakitkan. 
Jistnya: Pertama mengenai tanggungjawab seorang lelaki dan keduanya Islam mengangkat darjat wanita dengan setinggi-tinggi darjat. Subhanallah!

Isu di Malaysia: Terdapat golongan wanita yang kononnya memperjuangkan kesama rataan antara lelaki dan wanita. Sebagai contohnya adalah SIS yang terikut-ikut dengan fahaman feminisme yang jelas mencabar hukum Allah! Mereka sebenarnya tidak percaya dengan janji Allah sedangkan Allah sudah mengangkat martabat wanita dengan begitu tinggi sekali.



Allahu..ampunkan segala dosa kami. Kami ingin menyucikan hati kami yang kotor dan hitam ini. Kami ingin mengikuti segala perintah-Mu dan Rasul-Mu kerana kami tahu hanya dengan jalan inilah kami dapat bertemu-Mu dan kekasih-Mu. Perkenankan doa kami ya Allah, Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang dan Maha Pengampun..

Tuesday, October 1, 2013

Perjalanan Belum Berakhir

Bismillahi walhamdulillah

Berat rupanya menyarungkan jersi Sarjana ini. Jika ditanya perasaan kala ini, tiada jawapan solid yang boleh diberikan. Amanah seorang penuntut ilmu sangat berat, malah teramat berat dalam mengamalkan ilmu yang dipelajari dan menyebarkannya. 

Esok adalah harinya. Ya hari yang amat disyukuri oleh kami semua, para graduan Universiti Malaya. Klisenya, pasti hari esok umpama layar perak yang memainkan segala suka duka kami tika bergelar seorang pelajar di UM. Alhamdulillah sebaik-baik ucapan. Saya sesungguhnya tidak akan mampu untuk melalui perjalanan penuh warna warni ini tanpa sokongan yang tidak berbelah bagi daripada rakan-rakan dan para pensyarah saya. Semoga rahmat Allah terlimpah buat kalian!



Dunia mahasiswa amat menenangkan hati saya. Tidak perlu terikat dengan big boss atau mana-mana peraturan pekerjaan. Bebas ke mana sahaja menemui rakan-rakan dan pensyarah. Bebas untuk beraktivisme, berziarah, berusrah, beriadah dan 'melancong' ke mana sahaja :))

Itu dahulu. Kini saya harus mempertimbangkan prioriti saya sebagai seorang isteri. Puja puji hanya kepada Allah yang mengizinkan saya melalui dunia mahasiswa yang amat mematangkan diri saya. Saya insafi bahawa tidak semua berpeluang untuk melanjutkan pelajaran dan tidak semua yang melanjutkan pelajaran dapat menamatkan studi mereka atas kekangan-kekangan tertentu yang tidak dapat dielakkan. Subhanallah! Tabarokallah! Maka nikmat Tuhan yang manakah yang kamu dustakan?

Perjalanan demi ilmu bukan setakat ini. Malah sehingga kita mati. Apalah erti segulung ijazah andai ilmu yang dipelajari hanya diperam dan diperukkan dalam nota-nota kuliah dan tesis akhir tahun pengajian. Tidak takutkah kita andai ditanya Allah bagaimana kita mengamalkan ilmu-ilmu yang kita pelajari? Allahu Allah.. Disebabkan itu, pentingnya niat yang dipasakkan tika mula menuntut ilmu. Moga ilmu yang ditimba adalah ilmu yang bermanfaat untuk diri, agama dan ummah.

Ya Allah, jadikan hamba-Mu orang yang memanfaatkan ilmu-Mu. Jauhi hamba daripada sifat riya', 'ujub dan sombong, na'uzubillah! Hiasilah diriku dengan sifat merendah diri dan sentiasa berlumba-lumba mencari ilmu-Mu sehingga nyawa ini bercerai daripada jasad. Amin.


Thursday, September 26, 2013

Kehilangan

Bismillahi walhamdulillah

Rakyat Kedah hari ini dikejutkan dengan berita pemergian mantan MB Kedah iaitu Ustaz Azizan Abd Razak pada jam 11.05 pagi tadi. Allahyarham menghembuskan nafasnya yang terakhir di Hospital Sultanah Bahiyah Alor Star, Kedah. Innilalillahi wainna ilaihi raaji'un. Begitulah akhir perjalanan hidup seorang insan, pasti akan kembali ke pangkuan Tuhannya.

Allahu..Ratusan status di FB mengutus takziah atas pemergian almarhum di samping gambar-gambar sekitar pengebumian almarhum juga dimuat naikkan. Sayu sungguh hati ini menatap ramainya yang hadir mengucapkan selamat tinggal kepada beliau. Subhanallah! Hebat dan mulianya seseorang insan itu boleh diukur dengan melihat berduyunnya manusia yang hadir menyolati jenazahnya. Begitulah yang dapat dilihat kepada sosok mulia yang dihormati lagi dikasihi ini. 

Sejujurnya saya agak terkilan kerana tidak mengenali almarhum dengan dekat semasa hidupnya. Hanya mengikuti perjuangan dan pimpinan almarhum dari jauh. Namun, saya bersyukur kerana dipilih Allah untuk menziarahi almarhum semasa beliau di General Hospital Penang. Kebetulan pula adik saya belajar sekelas dengan anak almarhum, Alhamdulillah.

Perginya seorang murabbi, ulama', pemimpin dan qudwah kami sangat merobek dan menyentap ulu hati kami. Serasa satu kehilangan yang tak tergantikan, sama rasanya seperti Almarhum Ustaz Fadzil Noor meninggalkan kami dahulu. Allahu..mereka benar-benar mengotakan janji mereka - hidup dan mati atas jalan Allah, jalan Rasulullah. Tiada lain yang kami minta, masukkanlah mereka di dalam Jannah-Mu yang tertinggi ya Rabb, biarlah mereka berehat selayaknya mereka telah bermati-matian menegakkan syari'ah-Mu tika hayat mereka.

Al-Fatihah.


Saturday, September 14, 2013

Coret-coret Marhaen

Bismillahi walhamdulillah

Pimpinan kerajaan penggal ini dilihat kucar-kacir baik dalam pengurusan negara mahu pun merespon kepada isu rakyat. Respon-respon mereka dilihat amat tidak matang dan umpama anak-anak kecil juga bisa menjawabnya. Ungkapan seperti "harga ayam mahal, jangan makan ayam", "tidak bersetuju dengan pendidikan di Malaysia, jangan hantar anak bersekolah di Malaysia". Rasa mahu ketawa sambil berguling pun ada, takkan seorang menteri yang menjadi peneraju kepada rakyat boleh mengeluarkan keputusan sedemikian?

Senaraikan isu-isu yang sedang hangat melanda negara tercinta kita ini; harga petrol RON95 naik 20 sen, harga barangan runcit naik, kes tembak-menembak, kes gangster dan kongsi gelap, isu KUIN dan perbelanjaan negeri Kedah yang meningkat, 13 orang ditahan kerana didakwa terlibat dalam perhimpunan haram semasa angkat sumpah MB Perak, penoreh getah yang menyertai BERSIH 3.0 didenda dan dipenjara dan banyak lagi. Ada lagi satu isu yang nak saya highlightkan iaitu kedudukan IPTA di Malaysia merosot, laporan daripada QS World University Rankings 2013/2014.

Isu-isu yang tersenarai di atas menggambarkan prestasi di Malaysia yang kian merosot terutama pada penggal pemerintahan 2013 ini. Ianya nyata membimbangkan marhaen dan pada satu ketika marhaen merasakan Malaysia turut tidak selamat. Lalu kepada siapa mahu diadukan permasalahan ini jika bukan kepada para pemimpin budiman sekalian?

Marhaen tidak boleh merungut terlalu banyak, bimbang akan dihalau dari bumi bertuah ini. Namun keadilan dan hak wajib dituntut dan diperjuangkan. Nah disebabkan itu ada antara kami yang ditangkap, didenda dan dipenjarakan. Kerana inilah perjuangan kami, kami cuba menegur dengan aman dan mahu mengelakkan sebarang kekecohan. Kami juga menegerti bahawa inilah yang dituntut oleh Islam, iaitu menegur pemimpin dengan hikmah dan aman. 

Setiap permasalahan pasti ada penyelesaiannya. Marhaen seperti kami ini meminta hanya SATU, berilah KEADILAN kepada rakyat. Tunaikanlah HAK rakyat dan jangan menipu rakyat. Marhaen sebenarnya amat perit apabila diumukan harga petrol yang naik, mereka terbeban, mereka tidak kaya seperti pak-pak menteri. Sebulan gaji hanya cukup-cukup sahaja buat menampung perbelanjaan asas keluarga dan kadang kala tidak cukup pun..terpaksa meminjam pula..Allahu, kasihanilah marhaen wahai pak menteri..

Marhaen mendoakan Malaysia tercinta ini terus aman dan damai dipimpin oleh pemimpin yang adil lagi empati kepada nasib rakyat. Marhaen tidak mahu pemimpin-pemimpin Malaysia dihukum Allah di Akhirat nanti dek tidak melunaskan amanah mereka, na'uzubillah! Berilah hidayah-Mu kepada pemimpin-pemimpin kami dan seluruh rakyat di bumi Malaysia ini ya Allah..


Khaulah,
Baiti Jannati

Tuesday, September 10, 2013

Keluarga Juliana Berkembang ^^,

Bismillahi walhamdulillah

"Isteri dan anak-anak adalah perhiasan dunia"

Alhamdulillah, segala puji hanya untuk Allah, Tuhan Maha Pencipta, yang menciptakan manusia dari setitis air mani yang hina. Lalu menjadi segumpal darah, menjadi tulang, tulang kemudiannya dibalut dengan daging, dirupakan dengan sebaik-baik rupa dan bentuk lalu ditiupkan roh oleh Allah. Subhanallah! Tabarokallah!

Alhamdulillah, adinda dikasihi Sakinah telah selamat melahirkan putera keduanya pada tanggal 8 September 2013 pada jam 5.01 petang di Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar. Putera kedua yang diberi nama Muhammad 'Imad Aqil menambahkan lagi seri kepada keluarga besar Juliana kami, Alhamdulillah. 

Inilah Abang Long Fathi ^^,

Ini adik Fathi, 'Imad


Terimbau kenangan kami 9 beradik yang jarak kelahiran agak dekat, ada yang setahun, 2 tahun dan paling lama adalah 4 tahun. Seperti juga Sakinah, jarak kelahiran anaknya yang pertama dan kedua hanyalah setahun 1 bulan. Melihat Fathi (anak sulung Sakinah) seperti melihat diri saya dahulu :), saya juga punya adik setelah berusia setahun 1 bulan! Tabah ye Fathi, nanti Mak Long ajar macam mana nak jaga adik walaupun kamu kecil lagi :p

Tidak sabar mahu pulang ke teratak Juliana. Meriahnya suasana di rumah sekarang, ada Tok Nah yang menjadi pengasuh kami dahulu, kini mengasuh anak Sakinah pula. MasyaAllah Tok Nah memang superb! Semoga Allah membalas syurga untuk Tok Nah kesayangan kami :)

Next, adinda saya Masyitah pula akan take place kakaknya Sakinah. Dia dijangka bersalin pada akhir Oktober insyaAllah. Wah, makin meriah keluarga kami, Alhamdulillah. Terima kasih ya Allah atas nikmat 'kaya anak' kepada Mak dan Abah kami. Kami ingin menjadi anak-anak soleh/ah lagi musleh kepada Mak dan Abah kami. Ganjari mereka dengan sebaik-baik ganjaran ya Rabbi..

Baiti Jannati
Khaulah

Thursday, September 5, 2013

Back to Basic!

Bismillahi walhamdulillah

Alhamdulillah thumma Alhamdulillah. Nikmat terbesar selepas nikmat Iman dan Islam adalah nikmat Sihat. Syukur infiniti kepada-Nya, badan rasa lebih sihat dan segar hari ini. Namun di sana, banyak kelompangan yang wajib diperbaiki baik dari sudut ibadah, tanggungjawab sebagai isteri, peranan di dalam masyarakat dan melunaskan sedikit lagi urusan Masterku.

Apa khabar anakku? Ummi mendoakan kesejahteraan dan kesihatanmu di alam rahim sebagaimana ibu Ummi dahulu mendoakan Ummi. Maafkan Ummi andai kurangnya alunan Al-Quran dan zikrullah buatmu, insyaAllah akan Ummi usahakan untuk saban waktu menjadi makanan rohanimu. Subhanallah, Tabarokallah! Hebatnya Tuhan yang menciptakan kita duhai anakku..

Pujian selamanya buat-Mu Tuhanku, yang tidak pernah jemu mencurahkan nikmat-Mu melimpah ruah walau kami masih malas dalam mengerjakan ibadah kepada-Mu. Allah..lemahnya iman kami..Terima kasih ya Allah, Engkau tidak pernah membiarkanku kesunyian, Engkau mempertemukanku dengan insan-insan soleh/ah yang sentiasa mengingatkanku kepada-Mu. Berkatilah kehidupan mereka, limpahkanlah rezeki yang berkat kepada mereka dan naungilah mereka pada hari kami dibangkitkan kelak. 

Terasa aku berjumpa dengan ubat hati, ubat 'morningsickness'ku iaitu antaranya dengan berjumpa dan bergaul dengan orang-orang yang soleh/ah ini, alhamdulillah ya Rabb..apresiasi buat Zauji yang menjadi asbab perjumpaan silaturrahim kami semalam. Lama benar rasanya aku tidak berkumpul dengan mereka yang menjadi penyejuk hati di kala hati gersang dengan siraman iman. Allahu, Engkau eratkanlah ukhuwwah di antara kami dan thabatkanlah kami atas jalan perjuangan ini. 



Nostalgia di alam kampus seolah-olah berulang kembali. Ya rupanya pertemuan ini yang sering kali aku rindui. Kehidupan pasca graduasi ternyata lebih hebat cabaran dan dugaannya, kepada Allah harus dipohon agar tumit kaki ini terus thabat, tidak futur dan lenyap dari jalan tinggalan Nabi ini, na'uzubillah! Inilah asal usul kita, merantai kembali jalan tinggalan Nabi. Betapa susah payahnya Nabi, saat baginda turun menggigil dari Gua Hira' menerima wahyu Ilahi demi membetulkan kebobrokan dan mengeluarkan zulumat kepada Nur buat seluruh umat manusia.

Back to basic! Back to Allah, back to Rasulullah! Back to Al-Quran wa Sunnah! Dunia hari ini kembali menggelap dek kerana apa? Kerana kita tidak menjalankan kerja-kerja Nabi! Allahu..satu muhasabah besar buat diriku..

Friday, August 16, 2013

Eid Mubarak dan Amanah

Bismillahi walhamdulillah

Alhamdulillah atas nikmat kesihatan yang dikurniakan Allah pada hari ini. Rasa seperti 'baru hidup' dek hampir 2 minggu lemah longlai dan tidak dapat menunaikan segala kewajipan dengan sebaiknya. Astaghfirullah'ala kulli zanbin..

Lama sangat tidak menjenguk dunia blog, gembira membaca perkembangan sahabat-sahabat; baik yang bakal bergelar ibu, baru bergelar ibu, sedang bertungkus lumus dengan PhD dll. Namun begitu, berita saudara-saudara Mesirku tidak akan dilupakan. Betapa kerdilnya diri ini jika mahu dibandingkan dengan kentalnya semangat jihad mereka. Allahu..

Ramadhan sudah pun berlalu. Setelah lama tidak ke rumah Allah, alhamdulillah diizinkan-Nya untuk sujud di dalam Masjid Al-Huda Kelang Lama, masjid saban hari saya dan suami bertarawikh. Allahu..perasaan rindu kepada Ramadhan tidak dapat diungkapkan. Benarlah Ramadhan pasti berlalu tetapi Tuhan Ramadhan sentiasa ada, sentisa menunggu hamba-hamba-Nya yang benar-benar ikhlas beribadah kerana-Nya.

Syukur teramatnya, julung-julung kalinya dalam usia baligh saya, Ramadhan kali ini diizinkan Allah untuk saya berpuasa penuh walaupun rasa ada cacatnya, semoga Allah mengampunkan saya. Bercampur aduk perasaan saya, begini mungkin harga yang perlu dibayar oleh seorang ibu..ya, mungkin ibu saya, adik-adik saya juga melaluinya sama seperti saya..muntah setiap hari di awal pagi, rasa tak berdaya dan lemah badan..Allahu..ampunkan segala dosa hamba dan peliharalah anak yang Engkau amanahkan kepada kami di dalam rahimku ini..Sesungguhnya hanya Engkau Maha Mengetahui apa yang berada di dalam rahimku ini..

Halusnya perasaan seorang ibu bukan? Hebatnya Allah yang menganugerahkan rasa itu. Allah mahu mempersiapkan semua bakal ibu untuk menggalas amanah yang besar ini, amanah mendidik ummah, mentarbiyah ummah. Amanah ini bukan untuk dipersiapkan fiziknya semata tetapi yang utamanya adalah ruhnya, agar amanah ini bisa tumbuh mekar seperti salafus-soleh, mujahid/mujahidah dan syahid/syahidah seperti di Mesir, Palestin, Syria dan seluruh negara Islam lainnya. Allah..jika difkir-fikir, amat berat sekali untuk kami memikul amanah ini tetapi inilah yang kami dambakan sepanjang pernikahan kami, kami berdoa siang dan malam kami..lalu Allah telah mengabulkannya..lalu di manakah syukur kami?


Usia anak kami masih kecil, amat kecil. Wahai Allah, aku memohon kekuatan daripada-Mu, permudahkanlah fasa kehamilanku, peliharalah anak di dalam kandunganku agar dia tumbuh dan membesar dengan sihat. Wahai Allah, izinkanlah hamba yang kerdil ini untuk merasai dan menghargai nikmat mempunyai zuriat dan bantulah kami untuk mendidik anak-anak kami menjadi hamba-hamba-Mu yang mendirikan solat dan benar-benar bertaqwa kepada-Mu. Amin ya Rabbal'alamin..


Untukmu anakku,
Khaulah
Baiti Jannati

Thursday, June 13, 2013

Ramadhan Tiba Lagi

Bismillahi walhamdulillah

Allah bersumpah dengan MASA, wal-'asr! Sesungguhnya manusia itu sentiasa di dalam kerugian. Benarlah, manusia itu di dalam kerugian jika kita mensia-siakan masa yang dipinjamkan Allah untuk kita. Astaghfirullah'ala kulli zanbin..

Kita kini berada di dalam bulan Sya'ban, empat hari sudah berlalu. Berbaki lebih kurang 26 hari lagi untuk bertemu dengan Ramadhan. Allahu Allah..Bagaimanakah dengan persiapan yang sudah kita lakukan? Apa kata untuk Ramadhan kali ini kita tajdid niat kita untuk mencantikkan lagi amal fardi kita? Jom kita semak checklist di bawah:


  • Solat fardhu di awal waktu
  • Sentiasa dalam keadaan wudhu'
  • Berusaha untuk tahajjud pada setiap hari
  • Banyakkan zikrullah
  • Banyakkan tilawatul Qur'an dan tadabbur
  • Menjaga hati, mata, lidah dan anggota badan yang lain daripada melakukan maksiat (contoh: zina mata, zina hati dll)
  • Bersedekah 
  • Mengeratkan silaturrahim terutama dengan jiran tetangga (contoh: bertukar-tukar juadah ketika iftar dll)
  • Bermuhasabah setiap hari sebelum tidur
  • Tidak membuang waktu dengan sia-sia
  • Menjaga masa dengan melakukan aktiviti-aktiviti berfaedah (membaca, hadiri kuliah, usrah, berkebun dll)

Alhamdulillah, chekclist di atas adalah antara azam yang ingin saya baiki dan cantikkan lagi mulai hari ini dan seterusnya insyaAllah. Mungkin dengan tibanya Ramadhan dapat menjadi satu motivasi dan momentum kepada saya dan anda semua untuk berusaha meningkatkan iman dan amal dan seterusnya merebut MAHKOTA TAQWA seperti yang dijanjikan Allah SWT di dalam ayat-ayat-Nya.

(It was) the month of Ramadan in which was revealed the Qur’aan, a guidance for mankind and clear proofs for the guidance and the criterion (between right and wrong). So whoever of you sights (the crescent on the first night of) the month (of Ramadan i.e. is present at his home), he must observe Sawm (fasts) that month…”
- [al-Baqarah 2:185]

Wallahua'lam.

Khaulah
Baiti Jannati

Thursday, June 6, 2013

Hati Yang Penuh

Bismillahi walhamdulillah

Lama dan sangat lama sekali saya tidak menulis. Asbab utama adalah tiada modal hendak menulis dan kurang sekali membaca kala ini =(

Banyak peristiwa yang berlaku dua, tiga bulan ini. Bermula dengan peristiwa besar Malaysia iaitu PRU13 yang penuh dengan noda hitam sehinggalah kisah Safwan Anang, Pengerusi SMM yang sangat utuh prinsip perjuangannya.

PRU13, digelar juga mother of election telah menjadi sejarah hitam yang tidak akan dilupakan oleh rakyat sampai bila-bila. Terlalu banyak cerita sedih jika hendak dicoretkan tetapi lebih eloklah jika dibaca di sumber-sumber yang lebih ahsan dan mantap faktanya. Sebagai marhaen, saya menjadi pemerhati sepenuh masa dan sentiasa mendoakan Malaysia yang saya cintai ini aman sentosa tanpa rasuah dan korupsi yang menggelapkan mata manusia.

Tertarik saya kepada kisah Safwan Anang; nama yang cukup popular dalam dunia mahasiswa kini. Mungkin saya sudah meninggalkan alam kampus menyebabkan saya kurang cakna siapa Safwan Anang. Sehinggalah beliau ditahan di Penjara Sungai Buloh, barulah sosok hebat ini mula dikenali dan diamati latar belakang hidupnya. Bertuah beliau, dikurniakan isteri sekental adinda Masturah, yang saya kira tidak ramai isteri muda yang sanggup bersabar sepertinya. Tahniah dan tahniah daripada saya, mereka adalah pasangan muda yang wajar dicontohi; berani, berprinsip, bersabar dan tinggi tawakkal kepada Yang Maha Esa. Saya mendoakan Allah sentiasa merahmati mereka yang tidak mengenal erti putus asa.

Terima kasih tidak terhingga kepada Safwan Anang yang berhati penuh, berjanji teguh untuk memperjuangkan isu Blackout 505 hingga saya yang asyik lena terus terjaga. Bukan tidak cakna isu ini tetapi akhiran, sedikit leka dengan tugasan peribadi menyiapkan kertas penyelidikan saya yang sudah lama tertangguh. 

Berhati penuh. Harus punya hati yang penuh dalam merealisasikan apa jua impian dan cita-cita yang telah kita lakarkan. Bukan senang hendak berhati penuh, harus dimulai dengan niat yang tulus dan ikhlas, berpaksikan Rabb semata. Safwan Anang dan Masturah mengajar saya bahawa dengan hati yang penuh dan ikhlas, Allah pasti membantu hamba-Nya. Terima kasih adinda berdua =)



Khaulah,
Baiti Jannati

Wednesday, March 20, 2013

Hanya Sebuah Research Paper

Bismillahi walhamdulillah

Hamdalah atas nikmat Iman, Islam, Seehah dan bergelar zaujah selama 1 tahun 1 bulan. Baitul Muslim kami masih lagi bertatih. Masih banyak yang perlu saya perbaiki dan koreksi diri. 

Apa khabar Research Paper saya? Sudah masuk semester kedua perjalanan RP saya. Ujian yang silih berganti mengingatkan saya bahawa ilmu Allah terlalu mahal, hanya mampu diraih oleh mereka yang ikhlas dan sabar. Subhanallah! Tabarokallah!

Kesabaran harus digandakan. Bak pesan sahabat, "sabar di atas sabar". Subhanallah, indah sekali bait-bait ini. Kadang kala kerenah birokrasi amat menguji iman tetapi cepat-cepat berpesan kepada diri bahawa anda tidak berseorangan mengharung kerenah ini, mereka yang lain juga (baca: researcher) turut berhadapan dengannya.

Apa lah sangat ujian yang kecil ini untuk saya..Ramai lagi insan di luar sana yang jauh lebih hebat ujian mereka. Allah menguji seseorang sesuai dengan kadar imannya. Nah hitunglah sekadar mana imanmu? Allahu Allah..tiap kali air mata berjuraian dek terlalu rapuh iman berhadapan dengan ujian-Mu, Engkau berikanlah sedikit kekuatan kepada hamba Ya Allah..kerana aku tahu Engkau lebih besar daripada segala masalah yang aku ada.

Tidak boleh ada perkataan putus asa dalam kamus hidup kita. Berulang-ulang diungkapkan bahawa ujian yang hadir menunjukkan bahawa Allah sayang akan hamba-Nya. Tetapi begitulah manusia, sekejap sahaja rasa sabarnya..kemudian akan mengungkit semula..Allah, lemahnya iman kita..



RP saya ini nilaiannya hanyalah 9 CH tetapi saya merasakan seperti RP saya ini bernilai 40 CH! Alhamdulillah, ini adalah tarbiyah Allah buat saya. Allah ingin menguji sejauh mana keseriusan dan kesungguhan saya dalam menuntut ilmu-Nya. Dalam ruang fikiran saya, saya tidak mahu menjadikan hari konvokesyen sebagai penamat MA saya. Sempat atau tidak sempat saya menghantar RP bukan lagi menjadi satu persoalan tetapi main goal saya adalah melaksanakan amanah yang terbengkalai ini dengan itqan dan penuh tanggungjawab insyaAllah. 

Jika rakan-rakan lain sibuk mengurus hal anak-anak tetapi saya pula sibuk mengurus RP saya kerana bagi saya RP adalah anak saya ^_^

Mohon doakan kemudahan RP saya ya teman-teman..Semoga Allah juga memudahkan urusan kalian. Put trust on Him because He always be with us! Sayang Allah, Cinta Allah!

Rindu Bertamu di Abu Dhabi

Monday, March 4, 2013

Sayonara Lembah Pantai!

Bismillahi walhamdulillah

Biiznillah, saya dan suami dapat bermusafir ke bumi tarbiyah kami sejak alam matrikulasi, Petaling Jaya. Alhamdulillah perjalanan pergi dan pulang dalam keadaan selamat dan aman. Syukur Ya Allah..

Berkira-kira awalnya mahu menggunakan kereta Ayahanda sementelahan kereta suami (baca: Si Biru) yang belum diservis. Akan tetapi, pada hari Jumaat lepas, suami berhasrat untuk menservis Si Biru dengan harapan dapat membawa kami ke KL. Pujian untuk Allah, kondisi Si Biru adalah selamat untuk bermusafir, maka kami teruskan rencana kami untuk ke KL menunggang Si Biru =)

Jam 8.30 pagi kami bertolak. Alhamdulillah hari dan cuaca yang baik seolah-olah menyambut kedatangan kami ke KL. Sampai di rumah sewa saya iaitu Vista Angkasa pada pukul 1.30 petang. Terima kasih diucapkan kepada sahabat kami, saudara Firwan yang sudi membantu mengangkat barang-barang saya yang sangat banyak itu. Tinggalan 2 tahun!

Selesai barang-barang dimasukkan ke dalam perut Si Biru. Penuh, sepenuh-penuhnya! Apresiasi buat hero saya, Zauji dikasihi yang sudi meneman saya ke KL dan menangkat barang-barang saya. Barakallahufiik! Hamdalah kerana saya sempat juga bertemu dengan teman MEc yang dirindui, Fatimah. Fatimah seperti biasa, menyambut saya dengan ceria dan penuh dengan cerita =), will miss you dear!

Destinasi seterusnya adalah ke Amcorp Mall. Kami mengisi perut dahulu bersama bakal suami, saudara Firwan. Banyaklah yang kami soal selidik beliau termasuklah perancangan post wedding (isi temu ramah adalah eksklusif ^^,). Lunch sudah, bersembang santai sudah. Seterusnya kami ke Bookexcess yang bertempat di tingkat 3 Amcorp Mall. Sepanjang saya bermukim di KL, tidak pernah lagi saya sampai di sana. Not bad! Kepada penggila buku seperti saya memang rambang mata melihat buku-buku yang best di sana dan akhirnya dapatlah grab satu buku "The Passion Test" ^__^

Jam sudah menunjukkan pukul 4 petang. Kami beredar dari Amcorp Mall dan hajat mahu menziarahi Pak Njang di Jinjang. Pertama kali ke rumah Pak Njang adalah zaman matrikulasi dahulu dan kini saya datang bersama suami. Sesat juga kami berdua, biasalah KL! Sifirnya tak sesat tak sah, hehe..Alhamdulillah selamat juga sampai akhirnya. Bertanya khabar Pak Njang sekeluarga, bersilaturrahim dan makan malam di rumah Pak Njang. Saya pasti tidak akan melupakan air tangan Mak Njang yang sangat sedap even masakannya simple sahaja, terbaik Mak Njang!

Masa berangkat tiba. Bersalaman dengan Pak Njang dan Mak Njang sambil mendoakan kesejahteraan buat mereka, kami pun bertolak pula ke Rawang, rumah abang suami yang sulung. Lebih kurang pukul 10 malam kami selamat sampai. Anak-anak Kak Aida sudah pun tidur semuanya kecuali si bongsu, Nisa yang sangat comel dengan lesung pipitnya dan murah senyumannya =)

Pagi Ahad. Kami bersantai sahaja di rumah Kak Aida. Bersarapan, melayan kerenah 3 orang puteri mereka; Nurul, Nina dan Nisa yang lincah dan bijak itu. Terhibur kami dengan kerenah mereka, semoga mereka membesar menjadi anak-anak yang solehah dan bijak. Berkali-kali si kakak berkata, "Mak Cik, balik pukul 11 eh, ajar Kakak buat latihan Sains boleh?". Saya senyum, "Ok, boleh je Kakak". Saya dan suami melayan Kakak dan Nina membuat latihan subjek-subjek mereka. Saya kagum dengan kesungguhan Kak Aida dan Abang Firul dalam memberikan pendidikan terbaik buat anak-anak mereka. 

Usai makan tengahari di rumah Kak Aida (sayur masak lemak, ayam goreng dan sup tulang), tiba masanya untuk kami berangkat pulang. Bersalaman dengan Kak Aida dan anak-anaknya yang comel (pasti akan merindui mereka), kami pun bertolak pulang. Semoga Allah membalas kebaikan Kak Aida sekeluarga, doa saya di dalam hati.

Kenangan Eidulfitr 2012 bersama keluarga suami

Saya bertanya kepada suami, "Abang gembira tak datang KL?". Suami saya senyum. "Alhamdulillah best, dapat ziarah saudara-mara secara tak langsung", jawab suami. "Terima kasih Abang dan Si Biru". Saya membalas. Senyum.

Alhamdulillah..Selamat tinggal bumi tarbiyahku Lembah Pantai..semoga Allah melimpahkan keberkatan kepada kamu dan seluruh rakyat di atas bumimu..

Wassalam.

Friday, March 1, 2013

Sawang

Bismillahi walhamdulillah

Fenomena 'sawang' yang acap kali menimpa golongan blogger rupanya turut melanda kepada saya. Saya nampaknya lebih senang memaksimakan 'mukabuku' berbanding blog. Maafkan saya LTC, saya akan cuba berusaha untuk membersihkan 'sawang' ini.

Mac hari ini. Bersamaan 18 Rabi'ul Akhir 1434H. Masa yang menggigit semakin mendera hati dan perasaan ini. Cuba mencari 'butang hijau' saya dengan meminjam spirit teman-teman MEc yang sudah berjaya menamatkan Research Paper mereka. Fighting Fizah! Seperti yang selalu ditiupkan oleh Fatimah, cewek Jambi saya =)

Semakin tidak sabar untuk menamatkan Research Paper saya dan semakin tidak sabar untuk melangkah ke dunia pekerjaan. Bahtera MEc sudah tiga perempat dalam pelayarannya, sudah mengharung ombak kecil, ombak ganas juga ribut taufan. Tidak mustahil bahtera saya ini bakal berdepan dengan ombak dan taufan lagi jika persediaan saya masih belum mantap. Mohon Allah besarkan iman saya dalam berhadapan dengan ujianNya.

Perjalanan Master bukan setakat membaca jurnal-jurnal dan menelaah kitab-kitab ekonomi saya bahkan saya belajar lebih dari itu. Berhidup di jantung kota yang saban waktu bagai berkejaran sememangnya manis untuk diingati. Wahai Allah, terima kasih atas tarbiyah ini. 

Teman-teman MEc yang tidak kenal erti putus asa dan penat lelah akan saya ingati dan contohi dalam sisa waktu umur saya insyaAllah. Mereka bersama saya, suka mahu pun duka terutama cewek Jambi saya itu. Maula Ya! Ah, lagu Abang Zain ini sering didendangkan oleh beliau. Jadi rindu.

Fatimah si cewek Jambi dan saya di Medicafe~

Jika mahu dikenang, tidak akan habis. Cukuplah setakat ini. Hidup perlu diteruskan. Insan-insan hebat itu akan saya semadikan dalam sanubari hati saya, akan saya doakan yang baik-baik untuk mereka insyaAllah. Alhamdulillah Ya Rabb atas nikmat mengenal payah, meneguk susah, mencerna sulit bersama teman-teman Master saya ini. Berkatilah mereka..berkatilah mereka..