Thursday, December 15, 2011

|Edensor dan Enigma|



Sebulan Edensor (buah tangan ketiga Andrea Hirata selepas Sang Pemimpi) berada di tangan saya. Dipesan kepada Si Arai saya yang kedua, Hajrun yang kini sedang menikmati mimpi usia remajanya di Misra, tanah gedung ilmu juga Ardhul Kinanah yang saban lama saya juga rinduinya. Ah, sungguh saya dengki tahap 100 darjah Celcius!

Saya masih lagi mengingati ucap-kata semangat Si Arai nombor satu merangkap Adik Burung Kiwi saya, “Bacalah Edensor, serius best! Super best!” Oh, sudah lama sekali beliau menggesa saya untuk menikmati Edensor, namun baru hari ini dapat saya mengkulitinya. Terus laju saya menteks kepada beliau akan tamatnya pengembaraan saya bersama Edensor.

Terkagum-kagum saya dengan Andrea Hirata (AH). Jika dapat saya bertemu dengannya, ingin saya mengucap tahniah, tidak tahu bagaimana mahu merakam apresiasi saya kepada beliau. Patutlah, Si Arai 1 dan Si Arai 2 saya tak habis-habis keterujaan mereka dengan Edensor, dan saya juga pada hari ini turut mengakuinya!

Saya mendapati kata-kata saya sekarang terbau-bau kata-kata sang saudagar mimpi! Ah, tersihir sudah saya dengan AH! Sekali lagi kepala ini mengangguk lagak seekor burung belatuk yang mengangguk-angguk tika menggerudi batang pokok atau laksana anak-anak murid sekolah rendah berwajah polos mengangguk, mengiyakan setiap arahan yang diberikan oleh sang pendidik.

Gracias Seňor AH! AH membuka mata, minda dan jiwa saya bahawa setiap apa pun yang terjadi di dunia ini bukanlah hanya kebetulan. Bahkan setiap kejadian itu sudah ditetapkan ianya akan berlaku seperti yang sudah tertulis di Lauh Mahfuz. Ianya termasuk dalam Rukun Iman yang keenam, Beriman dengan Qadha’ dan Qadar.

Merentasi segenap lingkaran benua Eropah dengan tujahan cabaran yang jika difikir kembali dengan akal waras, pasti tidak bisa ditempuh oleh dua orang anak Melayu, yang tidak biasa dengan pertukaran musim di negeri atas angin itu..

Tetapi itulah kawan, hanya berbekalkan mimpi yang sentiasa mengasak dan memahat di jiwa, Tuhan mengizinkan memeluk mimpi-mimpi kita. Subhanallah, Maha Suci Allah yang memakbulkan segala impian, mimpi dan cita-cita kita!

Setiap kali ber’Amazing Race’ dengan mozek kehidupan Ikal dan Arai, hati dan jiwa saya membisikkan kekaguman atas semangat luar biasa mereka. Betapa mereka, hanya anak Melayu yang bermimpi pada zaman kecil mereka bisa meraih dan menikmati mimpi mereka.

Edensor-sentuhannya meninggalkan pelbagai rasa. AH hebat berkarya, mengadun segala warna rasa di dalamnya dan ada masanya mahu berguling-guling menahan tawa dengan unsur humor yang mengusik jiwa. Pada masa lainnya, meriding bulu roma seolah-olah spirit ini turut terangkat bersama-sama dengan mereka. Dan pada ketika yang lain pula, mahu tumpah air mata mengkagumi persahabatan tahap ithar di antara Ikal dan Arai!

Segala gelagat dan keletah mereka bersama teman-teman Sorbonne digubah indah, sehingga saya juga turut teruja menginginkan teman-teman seperti mereka. Tidak menyangka, idea gila Ikal-Arai turut mengheret teman-temannya ber’backpackers’ mengelilingi benua Eropah!

Sudah kehabisan kata untuk menggambarkan keseronokan mengikuti pengembaraan Ikal dan Arai di dalam Edensor. Sejak menatap judul novel ini, sudah tidak sabar ingin mengetahui apakah Edensor? Oh rupanya Edensor adalah nama sebuah desa, Desa Edensor yang digambarkan keindahannya di dalam sebuah novel lusuh pemberian A Ling, jantung hati Ikal. Dan epilog yang tidak terdugakan, Ikal dipeluk sekali mimpinya- beliau benar-benar menjejakkan kaki di Edensor! Subhanallah, Maha Suci Allah atas setiap kurniaan-Nya kepada perjalanan hamba-hamba-Nya..


Enigma

Terhenti nafas seketika tika mata ini terhenti di Mozek 34 pengembaraan AH. Tertinta di situ Enigma. Enigma- ianya menyamai nama usrah saya. Lantas kerinduan kepada mereka menerpa. Ah Enigma, betapa saya merindui kalian, teramatnya! Terkenang-kenang saat kita berusrah, di surau mahallah, di tasik Maimunah, di air terjun indah Panching juga bersantai-santai di warung Pak Lah roti canai atau di kedai-kedai makan di jajahan bumi Kuantan itu.


Sesungguhnya kalian benar-benar enigma! Daripada kalian, aku mempelajari banyak perkara dan satu hal yang paling aku belajar adalah berani! Ya, berani dalam segala hal termasuk dalam bermimpi!

Terima kasih Enigmaku! Kalian telah berada di tempat yang istimewa di dalam relung hati ini. Di mana pun kalian, sedang apa pun kalian sekarang, doaku sebagai sahabat, kakak juga teman; semoga Allah sentiasa menjaga, merahmati dan melimpahkan kejayaan kepada kalian di dunia dan akhirat. Tintaan apresiasi tidak akan cukup untuk dipersembahkan buat kalian. Uhibbukunna Fillah!

Sunday, December 11, 2011

Muhasabah

Bismillahi walhamdulillah

Semakin sukar untuk menguntai kata, takut untuk menulis juga ada kerana atas setiap perkataan mahu pun tulisan kita akan diuji oleh Allah. Mohon taufiq dan hidayah-Nya agar setiap bait yang tercatat mengundang saham pahala, amin Ya Rabbi..

Masa terlalu laju berputar. Muharram 1433H sudah merangkak ke hari 16. Sesungguhnya hari-hari yang berlalu akan menjadi saksi kepada kita di Akhirat kelak. Satu hari adalah mewakili satu saksi! Allahu Allah, bayangkanlah setahun menyamai 365 hari, maka akan ada 365 saksi buat segala amal perlakuan sepanjang hidup kita. Itu baru satu hari, bagaimana dengan usia kita di dunia ini? Jika kita dipinjam Allah dengan usia 60 tahun dalam melalui sebuah kehidupan di dunia ini, maka hitunglah 60x365 hari..Allahu Akbar! Takut dan malunya untuk berjumpa Allah..

Kadang kala dalam melalui sehari-hari dalam kehidupan kita, kita sering kali dilalaikan dengan kenikmatan dunia. Tanpa kita sedar atau tidak, kita telah termasuk dalam golongan yang lalai! Na'uzubillah! Hitungkan kembali aktiviti seharian kita, berapa jam yang diperuntukkan untuk solat, membaca dan mentadabbur Al-Qur'an, berzikir, bersadaqah dan segala amal ibadah yang lain? Adakah masa kita majoritinya dihabiskan dengan ber'facebook'ing? Atau menonton drama Korea? Atau berborak-borak kosong tanpa tujuan? Atau ber'window shopping'?

Persoalan-persoalan di atas terlontar buat diri yang menulis ini juga. Rasa sangat tidak layak bergelar hamba-Nya. Setiap saat memohon ampun dari-Nya tetapi pada saat yang lain, kembali melakukan dosa. Astaghfirullahal'azhim..hamba-Mu yang berdosa ini memohon ampunan-Mu ya Rabbi..

Road to PRU-13

Malaysia sedang sibuk sekarang. Sibuk dalam fatrah menuju Pilihan Raya Umum ke-13. Ada ura-ura mengatakan PRU-13 sudah tidak berapa lama sahaja lagi. Allahu a'lam, Allah jua yang Maha Mengetahui bila terjadinya PRU-13 nanti. 

Sebagai rakyat Malaysia, atau yang tepatnya sebagai hamba Allah, tugas kita adalah terus taqarrub dengan-Nya. Setiap orang bisa sahaja berkata itu-ini, mengalir bak air menyebut ayat Al-Qur'an juga hadith-hadith, tetapi soal IKHLAS dan TAQWA itu hanya dalam pengetahuan Allah Ta'ala. Jika hati tidak bersih, tiada gunanya kata-kata manis yang dikeluarkan, bahkan dikhuatiri kata-kata kita nantinya mengundang kemurkaan Allah, na'uzubillah!

Saya menyaksikan dari tahun ke tahun, manusia atau secara khususnya rakyat Malaysia, sudah tidak lagi takut dan malu kepada Allah. Allahu Akbar! Fitnah seolah-olah sudah menjadi darah daging, rasuah dan riba apatah lagi, seolah-olah lupa bahawa barangsiapa yang memakan riba seperti mengisytiharkan perang kepada Allah dan Rasul-Nya?

Pembangunan diutamakan, kapitalisme pula diagungkan. Rakyat yang miskin terus miskin, yang kaya terus-terusan kaya! Benarlah Allah berfirman bahawa dunia ini adalah hanya mainan dan tipu daya bagi manusia. Malangnya segelintir manusia ini masih tidak nampak salah mereka, masih mendabik dada bahawa merekalah yang berjasa, merekalah yang 'memberi makan' kepada orang-orang miskin.

Tersayat hati saya apabila baru-baru ini tersebar luas di laman Facebook juga blog-blog akan satu "Sembang Rakyat" yang terang-terangan menghina Islam! Astaghfirullah, sudah menjadi apakah anda wahai manusia? Anda sedang menghina dan memperlekehkan hukum Allah! Anda fikir hukum Allah adalah barang mainan? Anda fikir hukum Allah boleh dibuat bahan senda gurau dan tawa ria? Saya tidak tahu apa yang ada di dalam fikiran anda tetapi saya mahu anda sedar bahawa anda telah melakukan dosa dengan menghina hukum Allah..Saya mohon agar kita sama-sama bertaubat di atas segala dosa yang telah kita lakukan samada dengan sedar atau tidak.

Dunia akhir zaman, semakin saya takut untuk melaluinya. Pelbagai ragam manusia dapat disaksikan, masing-masing lebih cintakan dunia berbanding akhirat. Berlumba-lumba dalam mengejar kemewahan dan bersaingan dalam meletakkan diri sebagai orang yang paling kaya, sebagai orang yang paling berpengaruh dan sebagai orang yang paling berkuasa! Allahu Allah, takutnya aku untuk berada di dalam dunia akhir zaman ini. Pimpinlah aku, thabatkanlah aku di dalam perjuangan menegakkan Islam dan meruntuhkan kebatilan dan Engkau berikanlah kemenangan kepada Islam di tanah airku sebagaimana Engkau mengizinkan Justice & Freedom Party menang di Mesir, amin Ya Rabbal 'alamin..