Skip to main content

|Edensor dan Enigma|



Sebulan Edensor (buah tangan ketiga Andrea Hirata selepas Sang Pemimpi) berada di tangan saya. Dipesan kepada Si Arai saya yang kedua, Hajrun yang kini sedang menikmati mimpi usia remajanya di Misra, tanah gedung ilmu juga Ardhul Kinanah yang saban lama saya juga rinduinya. Ah, sungguh saya dengki tahap 100 darjah Celcius!

Saya masih lagi mengingati ucap-kata semangat Si Arai nombor satu merangkap Adik Burung Kiwi saya, “Bacalah Edensor, serius best! Super best!” Oh, sudah lama sekali beliau menggesa saya untuk menikmati Edensor, namun baru hari ini dapat saya mengkulitinya. Terus laju saya menteks kepada beliau akan tamatnya pengembaraan saya bersama Edensor.

Terkagum-kagum saya dengan Andrea Hirata (AH). Jika dapat saya bertemu dengannya, ingin saya mengucap tahniah, tidak tahu bagaimana mahu merakam apresiasi saya kepada beliau. Patutlah, Si Arai 1 dan Si Arai 2 saya tak habis-habis keterujaan mereka dengan Edensor, dan saya juga pada hari ini turut mengakuinya!

Saya mendapati kata-kata saya sekarang terbau-bau kata-kata sang saudagar mimpi! Ah, tersihir sudah saya dengan AH! Sekali lagi kepala ini mengangguk lagak seekor burung belatuk yang mengangguk-angguk tika menggerudi batang pokok atau laksana anak-anak murid sekolah rendah berwajah polos mengangguk, mengiyakan setiap arahan yang diberikan oleh sang pendidik.

Gracias Seňor AH! AH membuka mata, minda dan jiwa saya bahawa setiap apa pun yang terjadi di dunia ini bukanlah hanya kebetulan. Bahkan setiap kejadian itu sudah ditetapkan ianya akan berlaku seperti yang sudah tertulis di Lauh Mahfuz. Ianya termasuk dalam Rukun Iman yang keenam, Beriman dengan Qadha’ dan Qadar.

Merentasi segenap lingkaran benua Eropah dengan tujahan cabaran yang jika difikir kembali dengan akal waras, pasti tidak bisa ditempuh oleh dua orang anak Melayu, yang tidak biasa dengan pertukaran musim di negeri atas angin itu..

Tetapi itulah kawan, hanya berbekalkan mimpi yang sentiasa mengasak dan memahat di jiwa, Tuhan mengizinkan memeluk mimpi-mimpi kita. Subhanallah, Maha Suci Allah yang memakbulkan segala impian, mimpi dan cita-cita kita!

Setiap kali ber’Amazing Race’ dengan mozek kehidupan Ikal dan Arai, hati dan jiwa saya membisikkan kekaguman atas semangat luar biasa mereka. Betapa mereka, hanya anak Melayu yang bermimpi pada zaman kecil mereka bisa meraih dan menikmati mimpi mereka.

Edensor-sentuhannya meninggalkan pelbagai rasa. AH hebat berkarya, mengadun segala warna rasa di dalamnya dan ada masanya mahu berguling-guling menahan tawa dengan unsur humor yang mengusik jiwa. Pada masa lainnya, meriding bulu roma seolah-olah spirit ini turut terangkat bersama-sama dengan mereka. Dan pada ketika yang lain pula, mahu tumpah air mata mengkagumi persahabatan tahap ithar di antara Ikal dan Arai!

Segala gelagat dan keletah mereka bersama teman-teman Sorbonne digubah indah, sehingga saya juga turut teruja menginginkan teman-teman seperti mereka. Tidak menyangka, idea gila Ikal-Arai turut mengheret teman-temannya ber’backpackers’ mengelilingi benua Eropah!

Sudah kehabisan kata untuk menggambarkan keseronokan mengikuti pengembaraan Ikal dan Arai di dalam Edensor. Sejak menatap judul novel ini, sudah tidak sabar ingin mengetahui apakah Edensor? Oh rupanya Edensor adalah nama sebuah desa, Desa Edensor yang digambarkan keindahannya di dalam sebuah novel lusuh pemberian A Ling, jantung hati Ikal. Dan epilog yang tidak terdugakan, Ikal dipeluk sekali mimpinya- beliau benar-benar menjejakkan kaki di Edensor! Subhanallah, Maha Suci Allah atas setiap kurniaan-Nya kepada perjalanan hamba-hamba-Nya..


Enigma

Terhenti nafas seketika tika mata ini terhenti di Mozek 34 pengembaraan AH. Tertinta di situ Enigma. Enigma- ianya menyamai nama usrah saya. Lantas kerinduan kepada mereka menerpa. Ah Enigma, betapa saya merindui kalian, teramatnya! Terkenang-kenang saat kita berusrah, di surau mahallah, di tasik Maimunah, di air terjun indah Panching juga bersantai-santai di warung Pak Lah roti canai atau di kedai-kedai makan di jajahan bumi Kuantan itu.


Sesungguhnya kalian benar-benar enigma! Daripada kalian, aku mempelajari banyak perkara dan satu hal yang paling aku belajar adalah berani! Ya, berani dalam segala hal termasuk dalam bermimpi!

Terima kasih Enigmaku! Kalian telah berada di tempat yang istimewa di dalam relung hati ini. Di mana pun kalian, sedang apa pun kalian sekarang, doaku sebagai sahabat, kakak juga teman; semoga Allah sentiasa menjaga, merahmati dan melimpahkan kejayaan kepada kalian di dunia dan akhirat. Tintaan apresiasi tidak akan cukup untuk dipersembahkan buat kalian. Uhibbukunna Fillah!

Comments

  1. berani bermimpi! Teruslah bermimpi dan work the idea kerana pasti, andai bukan hari ini, suatu hari nanti Tuhan akan benar-benar memeluk mimpimu andai terpasak kuat semangat dan keinginan yg tinggi di dasar hati =) Ma'akillah

    ReplyDelete
  2. hua ha ha..

    tahap ape AH menyihir kita kan?,jika semnagat luntur,di selak2 kan Edensor,sang pemimpi.Spirit yang luar luar biasa dan keberaniah yang tak terbatas kan memancing diri kembali percaya kepada itu!.

    ya!,jom jadikan tetralogy itu sebagai khazanah ilmu,hidup dan azimat menempuh hari yang penuh cabaran!

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

Dunia Seorang Pensyarah; Selamat Tinggal & Semoga Kembali Lagi

Kata Hamka, “Mengakui kekurangan diri sendiri adalah tangga buat mencapai cita-cita. Berusaha terus bagi mengisi kekurangan adalah keberanian luar biasa.” Alhamdulillah secara rasminya aku sudah tidak bergelar seorang pensyarah bermula hari ini. Ada sedikit kelegaan, bukan tidak menyukai profesion ini, tetapi aku sedikit tenang kerana telah melepaskan amanah ini dengan sebaik dan seoptimum khidmat yang dapat aku berikan. Semoga ianya dikira sebagai amal ibadat walaupun tidak seberapa sumbangan yang dapat dicurahkan. Mengambil kesempatan di ruangan maya ini untuk aku merakamkan jazakumullahu khairan jaza’ buat: 1) Ayahanda; Hj Yaakob Abd Manaff (Prof Madya) 2) Pn Jasmani Bidin (Koordinator CS 228) 3) Pn Nooraini Ali (Pensyarah Statistik) 4) PM Raja Sulaiman Raja Lope Ahmad (Pensyarah Matematik) 5) En Mohd Najib (Penyelaras MAT 235) 6) En Khairu Azlan (Penyelaras MAT 285) 7) Pn Rohana Dollah & suami, En Azlan (Pensyara...

Ibrah Khutbatul Wada'

Bismillahi walhamdulillah Tidak sedar masa yang amat pantas berlari. 4 Zulhijjah 1434H hari ini. Alhamdulillah kita masih diberikan modal nyawa selain nikmat Iman dan Islam dalam meneruskan perjalanan sebagai seorang hamba dan khalifah-Nya. Bulan Zulhijjah merupakan salah satu bulan yang dimuliakan Allah selain bulan Zulqaedah, Muharram dan Rejab. Justeru, kita dianjurkan untuk membanyakkan amalan-amalan sunat terutama pada 10 hari awal Zulhijjah. Selain ibrah pelaksanaan Rukun Islam kelima iaitu mengerjakan Haji di Makkah bagi yang berkemampuan, kisah pengorbanan Nabi Ibrahim, Nabi Ismail, Siti Hajar dan Siti Sarah, kita terlupa akan satu peristiwa besar yang berlaku pada hari Arafah, 9 Zulhijjah pada tahun ke-10 kenabian iaitu Khutbatul Wada' oleh Nabi yang kita kasihi Muhammad s.a.w. Pada hari yang mulia itu, Nabi menaiki untanya yang bernama 'Quswah' menuju ke Lembah Qurainah. Lalu Nabi mengumpulkan semua jemaah Haji pada waktu itu yang seramai 114 ribu ora...

Ini Mozek BERSIH 2.0 Saya

Bismillahi walhamdulillah 9 Julai 2011 pasti akan terpahat kukuh dalam seluruh memori rakyat Malaysia. Sama seperti peristiwa berdarah 13 Mei 1969. Walaupun ianya telah 42 tahun berlalu, rakyat tidak pernah melupakannya. Impaknya amat besar terutamanya kepada kaum Melayu dan Cina pada ketika itu. Mozek BERSIH 2.0 Saya cuba mengenepikan segala emosi dan rasa marah saya ketika entri ini ditulis. Sungguhpun rasa marah ini tidak lagi padam, pesan naqibah saya, SABAR, SABAR dan berSABARlah! Sesungguhnya mengamalkan Islam pada akhir zaman ini ibarat menggenggam bara api! Maka, saya cuba bersabar, seperti sabarnya para pemimpin saya tika ini. Pagi 9 Julai 2011 tiba juga. Alhamdulillah, sehari telah berlalu pergi menjadikan umur saya 25 tahun 1 hari. Ulang tahun yang pasti diingati berikutan terpalitnya sejarah hitam dalam demonstrasi BERSIH 2.0! Palitan ini sebenarnya sudah pun terjadi kepada beberapa siri demonstrasi sebelum ini, tetapi saya kira palitan kali ini lebih dahsyat, lebih jijik d...