Tuesday, November 27, 2012

Berkaryalah..

Bismillahi walhamdulillah

Pagi yang ceria. Pagi yang bahagia. Alhamdulillah wa syukru Lillah atas nikmat Iman, Islam dan Seehah yang dikurniakan-Nya. Selepas saling berbalas ucapan "Selamat Pagi" dengan Zauji, aku memulakan langkah pagi ke Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran dengan rasa syukur dan bahagia. Mahu mujahadah hari ini, meninggalkan Umar di parkir Vista, dan aku hanya berjalan kaki sahaja ke fakulti. 

Subhanallah, sudah lama rasanya tidak menikmati pagi dengan berjalan kaki! Sedangkan zaman Degree dahulu, berjalan kaki adalah satu kewajipan setiap hari. Selain dapat menikmati alam ciptaan Allah pada pagi hari, dapat juga anggota badan ini bersenam dan keluar dari kepompong keselesaan dan kemalasan.

Menghirup udara segar sambil menikmati tazkirah dan mutiara-mutiara ilmu di IKIM.fm amat membahagiakan hati ini. Alhamdulillah semoga hari ini dilalui dengan penuh ketenangan dan mendapat redha Allah, insyaAllah. Aku tertarik dengan perbincangan bersama Presiden Yayasan Pembangunan Buku Malaysia, Tn Hj Hasan Hamzah untuk "Transformasi Dunia Penulisan di Malaysia". 

Beliau menggalakkan seluruh rakyat Malaysia untuk MENULIS! Jika satu masa dahulu, rakyat Malaysia digalakkan dan digesa untuk menghidupkan budaya MEMBACA, kini budaya itu mahu ditingkatkan lagi dengan meramaikan para cendekiawan, teknokrat, guru dan pensyarah dalam bidang penulisan. Menurut beliau, nilai tamadun sesuatu  zaman itu dinilai dengan karya-karyanya yang agung seperti jurnal-jurnal, manuskrip-manuskrip dan makalah-makalah ilmiah.

Kita merujuk hasil karya tokoh ilmuwan terdahulu, mungkin menjangkau ratusan tahun dahulu. Tetapi bagaimana dengan generasi akan datang yang akan membuat rujukan untuk penyelidikan mereka? Adakah mereka masih mahu merujuk kepada karya Tun Sri Lanang lagi? Di mana karya-karya kita yang seharusnya menjadi bahan rujukan mereka? 

Ilmuwan Islam

Tn Hj Hasan menambah bahawa amat sedikit sekali buku-buku dan jurnal-jurnal yang dihasilkan di Malaysia ini. Jika kita mewar-warkan kepada rakyat bahawa kita mentransformasikan negara tetapi ilmu rakyat tidak ditransformasikan, tiada gunanya juga. Negara berpendapatan tinggi haruslah selaras dengan  negara berpendidikan tinggi. Justeru, seruan ini adalah merupakan satu cabaran dan harus dijunjung di atas batu jemala para guru dan pensyarah terutamanya.

Menjadi satu seruan kepada diriku yang mahu menerjuni dunia pensyarah bahawa menjadi seorang pensyarah bukanlah untuk mencipta dunia glamor dengan memiliki gaji yang besar atau niat-niat keduniaan yang lain. Namun seorang pensyarah sebenarnya memikul satu amanah besar untuk menyediakan ummah yang berilmu dan beramal dengan ilmu yang dimilki. Justeru, satu cabaran besar menantiku di hadapan! Menulislah walaupun sehelai lembaran kecil kerana ilmu itu seharusnya dikongsi walaupun sedikit yang kita miliki. Ilmu jika dicari dan digali, tidak akan habis kerana luasnya ilmu Allah. Dan ilmu itu akan menjaga pemiliknya jika ilmu tersebut diamal, disebar dan disampaikan, insyaAllah.

Alat optik yang dihasilkan oleh ilmuwan Islam

Terima kasih kepada Tn Hj Hasan yang telah mem'boost' semangat menulis saya pada pagi ini. Semoga lebih ramai lagi para guru dan pensyarah yang bersemangat untuk berkongsi ilmu dan penyelidikan mereka dalam bidang penulisan, insyaAllah. Terakhir, pesan saya kepada diri yang kerdil ini, berkaryalah...demi agama dan demi ummah!

Friday, November 23, 2012

Bahagiakan Dirimu

Bismillahi walhamdulillah

9 Muharram 1434H|23 November 2012

Hari Jumaat tiba lagi. Penghulu segala hari ini akan datang dengan setianya selagi Hari Kiamat belum tiba. Beruntunglah bagi mereka yang menghidupkan hari yang mulia ini dengan segala amalan sunat dan sunnah Nabi di samping tidak mengabaikan amalan wajib.

Hari yang mulia seharusnya disambut dengan gembira dan bahagia. Mensyukuri atas segala ni'mah dan bersabar atas musibah dan ujian jika ianya sudah ditaqdirkan buat kita. Merefleksi diri dengan musibah yang menimpa saudara-saudaraku di Gaza sana, hanya Allah sebaik-baik pelindung. Di sana-sini berita tentang Gaza dan boikot produk-produk Israel disebarkan. Alhamdulillah, begitu peka dan prihatin sekali umat Islam di Malaysia. Namun diharapkan boikot ini bukanlah boikot bermusim dan boikot plastik sahaja, insyaAllah.

Bangkit dari kemalasan, bangkit dari kejatuhan memang payah jika tidak disertakan dengan azam yang kental dan padu. Mewujudkan mood belajar juga amat terasa susahnya di kala sahabat seperjuangan tiada di sisi dan insan-insan kesayangan juga jauh di mata. Kepada Allah, Tuhan empunya diri, aku meminta..

Zauji berpesan, "Bahagiakan dirimu.." Begitu dalam sekali makna kata-kata Zauji. Aku cuba mentafsir dengan bahasaku, bahawa kebahagiaan itu ada dalam diri kita sendiri. Jika kita mahu bahagia, ciptalah kebahagiaan itu. Setiap hari apabila bangun dari tidur, ucapkan syukur kepada Allah dan berbaik sangka dengan Allah dan manusia di sekeliling kita. Subhanallah! Tidak terhitung rupanya ni'mah yang Allah kurniakan kepada kita. Kita sahaja yang sering tidak nampak segala ni'mah dan kurniaan Allah itu dalam kehidupan kita, dalam diri kita yang kerdil ini.



Nah, bangkitlah wahai diri! Di mana hamasahmu yang dulu? Di mana azam dan cita-cita setinggi langitmu? Di mana upayamu untuk melunaskan Mastermu? Di mana janjimu untuk menyumbang kepada ummah?

Allah..Allah..Allah..aku pasti tidak berdaya untuk melalui semua ini tanpa bantuan dan izin-Mu..bantulah hamba-Mu dalam menyelesaikan misi Masterku..Amin Ya Rabb!

Thursday, November 1, 2012

Adindaku Mahu Kahwin!

Bismillahi walhamdulillah

Pantas masa berlalu seiring pantasnya usia pernikahan aku dan Zauji. Serasa baru semalam kami bernikah. Alhamdulillah atas nikmat pernikahan ini. Terkini, adindaku pula akan bernikah! Dan pernikahan Februari akan kembali berulang dalam famili Hj Yaakob dan Pn Khairani =)

Oleh itu, aku ingin merakamkan setinggi-tinggi TAHNIAH buat adinda-adindaku yang dikasihi; AHMAD FAIDZ dan MASYITAH  yang bakal melangsungkan pernikahan mereka pada Februari 2013 nanti, insya-Allah. Percaya-tak percaya aku dengan khabar ini terutama bagi adinda Masyitah. Seusia 22 tahun beliau akan menamatkan zaman bujangnya!

Benarlah jodoh itu adalah rahsia Allah dan Dia jualah yang telah mengatur urusan jodoh kita. Tidak boleh ada tidak percaya pada ketentuan dan ketetapan Allah ini kerana Beriman kepada Qadha' dan Qadar adalah termasuk dalam Rukun Iman. Allahumma solli'ala Muhammad. Maha Suci Allah yang telah menciptakan manusia itu berpasang-pasangan dan memberikan ketenteraman kepada mereka melalui ikatan pernikahan.

Usia berapa pun kita berkahwin, itu adalah ketetapan Allah. Subhanallah! Tabarokallah! Maka aku mengimaninya. Syukur dipanjatkan kepada Allah kerana Dia telah memberikan jodoh yang baik kepada kepada kedua-dua adikku ini. Aku berdoa semoga Allah sentiasa melimpahkan sakinah, mawaddah dan rahmah ke atas bait muslim mereka. 

Mabruk Bangah dan Dedek! Selamat melalui fasa-fasa indah dalam baitul muslim kalian. Selamat melabur saham pahala, menuai amal soleh dan membaja iman dan taqwa bersama pendamping hidup kalian. Kak Yong gembira sekali jika adik-adik Kak Yong bahagia dan gembira ^__^ dan Kak Yong sentiasa berdoa semoga kita semua akan dikumpulkan sebagai satu famili di syurga-Nya. Amin Ya Rabb..