Skip to main content

Perjalanan Belum Berakhir

Bismillahi walhamdulillah

Berat rupanya menyarungkan jersi Sarjana ini. Jika ditanya perasaan kala ini, tiada jawapan solid yang boleh diberikan. Amanah seorang penuntut ilmu sangat berat, malah teramat berat dalam mengamalkan ilmu yang dipelajari dan menyebarkannya. 

Esok adalah harinya. Ya hari yang amat disyukuri oleh kami semua, para graduan Universiti Malaya. Klisenya, pasti hari esok umpama layar perak yang memainkan segala suka duka kami tika bergelar seorang pelajar di UM. Alhamdulillah sebaik-baik ucapan. Saya sesungguhnya tidak akan mampu untuk melalui perjalanan penuh warna warni ini tanpa sokongan yang tidak berbelah bagi daripada rakan-rakan dan para pensyarah saya. Semoga rahmat Allah terlimpah buat kalian!



Dunia mahasiswa amat menenangkan hati saya. Tidak perlu terikat dengan big boss atau mana-mana peraturan pekerjaan. Bebas ke mana sahaja menemui rakan-rakan dan pensyarah. Bebas untuk beraktivisme, berziarah, berusrah, beriadah dan 'melancong' ke mana sahaja :))

Itu dahulu. Kini saya harus mempertimbangkan prioriti saya sebagai seorang isteri. Puja puji hanya kepada Allah yang mengizinkan saya melalui dunia mahasiswa yang amat mematangkan diri saya. Saya insafi bahawa tidak semua berpeluang untuk melanjutkan pelajaran dan tidak semua yang melanjutkan pelajaran dapat menamatkan studi mereka atas kekangan-kekangan tertentu yang tidak dapat dielakkan. Subhanallah! Tabarokallah! Maka nikmat Tuhan yang manakah yang kamu dustakan?

Perjalanan demi ilmu bukan setakat ini. Malah sehingga kita mati. Apalah erti segulung ijazah andai ilmu yang dipelajari hanya diperam dan diperukkan dalam nota-nota kuliah dan tesis akhir tahun pengajian. Tidak takutkah kita andai ditanya Allah bagaimana kita mengamalkan ilmu-ilmu yang kita pelajari? Allahu Allah.. Disebabkan itu, pentingnya niat yang dipasakkan tika mula menuntut ilmu. Moga ilmu yang ditimba adalah ilmu yang bermanfaat untuk diri, agama dan ummah.

Ya Allah, jadikan hamba-Mu orang yang memanfaatkan ilmu-Mu. Jauhi hamba daripada sifat riya', 'ujub dan sombong, na'uzubillah! Hiasilah diriku dengan sifat merendah diri dan sentiasa berlumba-lumba mencari ilmu-Mu sehingga nyawa ini bercerai daripada jasad. Amin.


Comments

Post a Comment

Popular posts from this blog

Bulat Tekadku

  Bismillahi Walhamdulillah, Rasa bersalah menyelubungi diri apabila membuka lembaran LTC ku ini. Seolah-olah sudah hampir dilupakan. Post akhir ku adalah pada tahun lepas, masha Allah sungguh pantas masa berlalu! Benar sabdaan Nabi bahawa di akhir zaman, masa begitu singkat dirasakan, apabila kita berada di waktu pagi, kemudian tidak sedar waktu malam sudah pun muncul.  Tahun 2024 punya pelbagai cerita. Tidak lama sudah sampai penghujung tahun dan tidak lama juga Ramadhan bakal tiba. Semoga Allah mengizinkan kita berjumpa dengan bulan Ramadhan, bulan yang mulia, bulan yang menjadi dambaan orang-orang soleh. Berita dari Gaza Aku membelek Telegram sebentar tadi. Mata aku menangkap berita mengenai saudara seIslam kita di Gaza daripada group "Terkini dan Sensasi Palestin". Pedih sungguh rasa hati apabila mengetahui keadaan mereka yang terputus bekalan makanan dan tiada tempat tinggal. Mereka berpusu-pusu mendapatkan bekalan roti di Khan Younis. Allahu Akbar! Kepada Allah jua te...

Ini Mozek BERSIH 2.0 Saya

Bismillahi walhamdulillah 9 Julai 2011 pasti akan terpahat kukuh dalam seluruh memori rakyat Malaysia. Sama seperti peristiwa berdarah 13 Mei 1969. Walaupun ianya telah 42 tahun berlalu, rakyat tidak pernah melupakannya. Impaknya amat besar terutamanya kepada kaum Melayu dan Cina pada ketika itu. Mozek BERSIH 2.0 Saya cuba mengenepikan segala emosi dan rasa marah saya ketika entri ini ditulis. Sungguhpun rasa marah ini tidak lagi padam, pesan naqibah saya, SABAR, SABAR dan berSABARlah! Sesungguhnya mengamalkan Islam pada akhir zaman ini ibarat menggenggam bara api! Maka, saya cuba bersabar, seperti sabarnya para pemimpin saya tika ini. Pagi 9 Julai 2011 tiba juga. Alhamdulillah, sehari telah berlalu pergi menjadikan umur saya 25 tahun 1 hari. Ulang tahun yang pasti diingati berikutan terpalitnya sejarah hitam dalam demonstrasi BERSIH 2.0! Palitan ini sebenarnya sudah pun terjadi kepada beberapa siri demonstrasi sebelum ini, tetapi saya kira palitan kali ini lebih dahsyat, lebih jijik d...

Matematik Tambahan Yang Merumitkan

Bismillahi walhamdulillah Hampir berakhir cuti penggal ketiga persekolahan bagi sesi 2023/2024. Hari ini saya kembali ke sekolah, menggalas amanah dalam Perkampungan Akademik Siri 2. Siri 1 telah pun diadakan pada bulan Ogos yang lalu. Tahun ini merupakan tahun keempat saya menjadi guru Matematik Tambahan bagi kelas peperiksaan SPM. Tahun-tahun yang sudah saya lalui ialah tahun 2017, 2018 dan 2021. Kegerunan di hati masih ada apabila mengajar 'killer subject' ini. Soalan-soalan dalam peperiksaan SPM sesungguhnya sukar diramal. Kami diberi masa selama 4 jam dalam perkampungan akademik ini. Saya cuba merangka strategi yang boleh meraikan semua peringkat kefahaman pelajar. Maka saya telah mengadakan kumpulan-kumpulan kecil dan melantik Guru Muda bagi membantu saya dalam kumpulan mereka. Anak-anak pelajar saya ini bijak belaka. Alhamdulillah sepanjang pemerhatian saya hari ini, saya dapati guru muda telah memainkan peranan dengan sangat baik, malah memberi penerangan yang jauh lebi...