Bismillahirrahmanirrahim,
10 hari lagi kita nak bertemu dengan bulan yang dirindui, Ramadhan al-Mubarak. Bulan yang penuh rahmat dan maghfirah daripada Allah, Rabb kita.
Sebagai seorang wanita apatah lagi bergelar isteri dan ibu berkerjaya, pengurusan emosi sangat penting. Bukan mudah nak menukar 'topi' daripada seorang isteri dan ibu kepada seorang pekerja dan sebaliknya. Apabila seorang ibu penat di tempat kerja, ibu perlu berehat seketika agar emosinya stabil dan dapat berperanan dengan baik di rumah.
Masha Allah Tabarokallah! Seorang ibu juga manusia biasa. Tidak terlepas dari rasa penat, marah dan sedih. Sifat negatif yang boleh menyebabkan sebuah keluarga tidak ceria dan harmoni. Ada satu kata-kata popular, "happy wife, happy family". Ada benarnya kata-kata ini. Ibu ialah madrasah dalam rumah tangga. Bahagia ibu, inshaa Allah bahagia rumah tangga. Sedih ibu, maka rumah tangga turut berasa muram.
Kebanyakan sekolah sibuk dengan acara sukan minggu ini. Lantaran itu, guru-guru perlu stay back di sekolah hingga lewat petang atas komitmen memantau anak-anak pelajar bersukan. Rasa letih pastinya mencengkam. Lalu di sini perlunya seorang guru yang bergelar ibu bijak mengurus emosi. Jangan kerana rasa penat yang bersangatan membawa sengketa dalam rumah tangga.
Tidak terkecuali dengan sekolahku. Sejak minggu lepas lagi pertandingan-pertandingan sukan sudah berlangsung. Hari ini diadakan pertandingan bowling guru-guru. Alhamdulillah semua guru ceria dan bersemangat menyumbang mata kepada rumah sukan masing-masing. Pada sebelah malam, aku mengajar anak-anak pelajar pusat tusyen PTMM dalam subjek Matematik. Semoga anak-anak muridku dapat score dalam subjek Matematik dalam apa jua peperiksaan dan lapangan kehidupan.
Sebagai seorang ibu berkerjaya, kita perlu mempersiapkan diri mengurus rasa penat bekerja. Sebelum pulang berjumpa suami dan anak-anak, perlu reset minda agar kita pulang dalam keadaan yang tenang, tidak marah-marah mahu pun berleter. Banyakkan berdoa agar Allah memberikan kekuatan kepada kita untuk berkhidmat kepada keluarga pula. Ya, memang susah untuk bertenang di kala badan meminta untuk rehat. Tetapi kuatkan dirimu kerana di situlah terletak pahala yang besar daripada khidmatmu.
Aku sendiri merupakan anak kepada seorang guru. Ibuku seorang isteri dan ibu yang hebat! Tinggi sabarnya melayan suami dan 9 orang anak. Pulang dari sekolah tidak lagi berehat. Memasak dan mengemas rumah. Hujung minggu menghantar anak ke pusat tusyen. Semoga aku bisa mencontohi ibuku, banyakkan sabar dan toleransi. Kurangkan marah dan leteran serta menjaga air muka di hadapan suami dan anak-anak. Semoga Allah ampuni dosa-dosaku sebagai seorang isteri dan ibu.
Isteri, Ibu dan Guru
Kulim, Kedah








Comments
Post a Comment