Skip to main content

Bulat Tekadku

 Bismillahi Walhamdulillah,

Rasa bersalah menyelubungi diri apabila membuka lembaran LTC ku ini. Seolah-olah sudah hampir dilupakan. Post akhir ku adalah pada tahun lepas, masha Allah sungguh pantas masa berlalu! Benar sabdaan Nabi bahawa di akhir zaman, masa begitu singkat dirasakan, apabila kita berada di waktu pagi, kemudian tidak sedar waktu malam sudah pun muncul. 

Tahun 2024 punya pelbagai cerita. Tidak lama sudah sampai penghujung tahun dan tidak lama juga Ramadhan bakal tiba. Semoga Allah mengizinkan kita berjumpa dengan bulan Ramadhan, bulan yang mulia, bulan yang menjadi dambaan orang-orang soleh.

Berita dari Gaza

Aku membelek Telegram sebentar tadi. Mata aku menangkap berita mengenai saudara seIslam kita di Gaza daripada group "Terkini dan Sensasi Palestin". Pedih sungguh rasa hati apabila mengetahui keadaan mereka yang terputus bekalan makanan dan tiada tempat tinggal. Mereka berpusu-pusu mendapatkan bekalan roti di Khan Younis. Allahu Akbar! Kepada Allah jua tempat kami meminta. Tolonglah saudara-saudara kami Ya Rabb!


Teruskan doa dan solidariti kita semua. Teruskan bantuan wang ringgit dan apa sahaja yang kita ada buat mereka. Beri sokongan kepada NGO yang bertungkus-lumus menguruskan dana kita untuk disampaikan kepada rakyat Palestin.

Pemergian Mak Teh dan Tok Wan ke Alam Barzakh

Tahun ini keluarga ibuku diuji dengan pemergian dua orang ahli keluarga iaitu Mak Teh (adik kepada Mak) dan Tok Wan (ayah kepada Mak) ke alam barzakh. Tahun lepas iaitu tahun 2023, ibu mertuaku dan Mak Tok (ibu kepada Mak) dijemput oleh Ilahi. Bersama kita sedeqahkan bacaan Al-Fatihah kepada semua ahli keluarga yang telah pergi meninggalkan kita. Sesungguhnya kita semua pasti akan menyusul mereka. Wahai Allah, rahmati lah mereka, kasihi mereka, ampunkan dosa-dosa mereka dan lapangkan kubur mereka dan jadikan kubur mereka seperti taman syurga.

Tekad Kembali Bergelar Seorang Pelajar

Aku membaca kembali posting yang lama berkaitan azamku untuk menyambung pengajian peringkat PhD. Masha Allah, rupanya tekad itu sudah disemat sejak tahun 2013, semasa itu aku sedang mengandungkan anak sulungku. Aku sudah ke USM, berjumpa bakal supervisor ku dan banyak perkara yang aku tanyakan kepada beliau. Apa khabar agaknya Dr Fadzila Azni? Semoga baik-baik sahaja beliau di bawah rahmat Ilahi.

Waktu berlalu. Usai melahirkan anak sulung, aku memulakan kerjaya sebagai seorang Pegawai Penyelidik di School of Housing, Building and Planning di USM, membantu Prof Rashid dalam kajian beliau. Hampir setahun aku bekerja, Prof ada meminta untuk aku mendaftar sebagai pelajar beliau. Aku tidak dapat menerima tawaran beliau kerana pada ketika itu aku sudah menjadi guru ganti di sekolahku kini iaitu MTSD. Pada ketika itu, pelbagai rasa hadir, dalam status aku baru bergelar seorang ibu, aku merasakan keutamaan ku adalah kepada anak kecilku dan mengenepikan dahulu cita-citaku untuk menyambung pengajian di peringkat PhD.

Awal tahun 2024. Rakanku yang mengajar di MMAS mengajakku membuat PhD di UUM. Kami telah berjumpa dekan di Fakulti Pendidikan dan bertanya lebih lanjut berkenaan kursus yang ditawarkan. Bersemangat sekali aku pada ketika itu dan bertambah semangat kerana suamiku sangat menyokong cita-citaku nan satu ini.

Namun, aku sekali lagi terpaksa menangguhkan hasrat ini dengan alasan faktor kewangan. Aku menyedari bahawa perjalanan PhD memerlukan perbelanjaan yang besar dan dalam tempoh yang panjang. Maka aku bekerja seperti biasa, menangguhkan dahulu impianku.

November 2024. Aku dan suami bermuhasabah tentang perjalanan karier kami. Suami sekali lagi menyatakan bahawa sudah tiba masanya untuk aku memulakan langkah menyambung PhD. Aku menerima cadangan suami, aku melakukan solat hajat dan solat istikharah agar Allah memberikan petunjuk dan membulatkan hatiku dalam satu keputusan yang besar ini. Mungkin masanya telah tiba dan aku perlu menyiapkan mental dan fizikalku dalam mengharungi dunia seorang pelajar tidak lama lagi, inshaa Allah.

Semoga dengan niat untuk mengembara dan menggali ilmu Allah ini, aku akan menemui banyak hikmah, lebih tunduk dan mendekatkan diri kepada Allah, lebih meningkatkan ketaqwaan kepada Allah dan menjadi hamba Allah yang redha akan segala ketentuan dariNya. Aku memohon Allah menempatkan ku di tempat (universiti) yang terbaik, di bawah seliaan supervisor terbaik dan mengkaji sebuah kajian yang baik untukku, agamaku dan memberi manfaat kepada umat. Aku meyakini bahawa darjat orang yang menuntut ilmu adalah tinggi di sisi Allah. Perkenankan hajat hambaMu ini wahai Tuhanku.


Nurhafizah binti Yaakob
Kulim, 9.59 p.m.

Comments

Popular posts from this blog

Ini Mozek BERSIH 2.0 Saya

Bismillahi walhamdulillah 9 Julai 2011 pasti akan terpahat kukuh dalam seluruh memori rakyat Malaysia. Sama seperti peristiwa berdarah 13 Mei 1969. Walaupun ianya telah 42 tahun berlalu, rakyat tidak pernah melupakannya. Impaknya amat besar terutamanya kepada kaum Melayu dan Cina pada ketika itu. Mozek BERSIH 2.0 Saya cuba mengenepikan segala emosi dan rasa marah saya ketika entri ini ditulis. Sungguhpun rasa marah ini tidak lagi padam, pesan naqibah saya, SABAR, SABAR dan berSABARlah! Sesungguhnya mengamalkan Islam pada akhir zaman ini ibarat menggenggam bara api! Maka, saya cuba bersabar, seperti sabarnya para pemimpin saya tika ini. Pagi 9 Julai 2011 tiba juga. Alhamdulillah, sehari telah berlalu pergi menjadikan umur saya 25 tahun 1 hari. Ulang tahun yang pasti diingati berikutan terpalitnya sejarah hitam dalam demonstrasi BERSIH 2.0! Palitan ini sebenarnya sudah pun terjadi kepada beberapa siri demonstrasi sebelum ini, tetapi saya kira palitan kali ini lebih dahsyat, lebih jijik d...

Matematik Tambahan Yang Merumitkan

Bismillahi walhamdulillah Hampir berakhir cuti penggal ketiga persekolahan bagi sesi 2023/2024. Hari ini saya kembali ke sekolah, menggalas amanah dalam Perkampungan Akademik Siri 2. Siri 1 telah pun diadakan pada bulan Ogos yang lalu. Tahun ini merupakan tahun keempat saya menjadi guru Matematik Tambahan bagi kelas peperiksaan SPM. Tahun-tahun yang sudah saya lalui ialah tahun 2017, 2018 dan 2021. Kegerunan di hati masih ada apabila mengajar 'killer subject' ini. Soalan-soalan dalam peperiksaan SPM sesungguhnya sukar diramal. Kami diberi masa selama 4 jam dalam perkampungan akademik ini. Saya cuba merangka strategi yang boleh meraikan semua peringkat kefahaman pelajar. Maka saya telah mengadakan kumpulan-kumpulan kecil dan melantik Guru Muda bagi membantu saya dalam kumpulan mereka. Anak-anak pelajar saya ini bijak belaka. Alhamdulillah sepanjang pemerhatian saya hari ini, saya dapati guru muda telah memainkan peranan dengan sangat baik, malah memberi penerangan yang jauh lebi...