Skip to main content

Bekerja Keras!


Bismillahi walhamdulillah

Manusia sering sahaja merungut, tidak cukup 24 jam sehari katanya..Lalu, mahu berapa jam sehari? 48 jam? 72 jam? Rasanya jika diberikan 100 jam sehari pun pasti tak cukup juga jika masa itu tidak diurus dengan baik.

Acap kali kita sering bercakap tentang masa, diperingatkan tentang masa, membaca tentang masa dan kalamullah juga menyebut tentang MASA dengan banyaknya! Masya-Allah, masih tidak malukah kita dengan Allah? Nampak sangat kita yang masih tidak bijak menguruskan masa yang berkualiti dalam hidup kita.

Diskusi bersama rakan-rakan sekelasku petang tadi, Sya juga Nadia menerbitkan rasa insaf di hati ini. Kami sama-sama berkongsi rasa, meluahkan beban yang dipikul pada semester kali ini. Rupanya bukan aku sahaja merasakan beban ini, mereka juga turut merasainya. Benarlah, beban perasaan itu jika diluahkan kepada insan senasib, rasa kurang sedikit tekanannya, Alhamdulillah..

Bukan mahu merungut apatah lagi menyesali dengan perjalanan Master kami, tetapi dengan perkongsian rasa petang tadi memuhasabahkan diri kami bahawa nilai Master itu amat tinggi, amat-teramatnya! Kami belajar untuk berkorban, kami belajar untuk keras kepada diri sendiri, kami belajar untuk meninggikan disiplin kami, kami belajar untuk melakukan banyak tugasan dalam satu masa dan kami belajar erti tingginya nilai ilmu di peringkat Sarjana kami..

Susahkah menyambung pengajian dalam peringkat Master ni? Jawapan aku susah jika kita tidak pandai mengurus masa kita dengan berkualiti dan efektif. Insan-insan hebat yang berjaya adalah mereka yang tahu menghargai masa, pandai mengurus masa dan tidak menangguhkan kerja!

Alhamdulillah, aku baru sahaja menamatkan marathon “Bila Pintu Hati Terbuka” tulisan perjalanan PhD insan hebat, Dr Ridzwan Bakar. Subhanallah, memang hebat! Kalian wajib membacanya, amat mengesankan di jiwa dan amat menginsafkan. Semoga Allah rahmati beliau dengan ilmu yang beliau miliki.

Dr. Ridzwan Bakar sebenarnya tidak perlu pun menyambung pelajaran beliau jika beliau mahu. Gaji yang diterima lebih daripada 4 angka pada setiap bulan, mampu dan amat mampu menyara hidup beliau dan keluarganya, insya-Allah. Akan tetapi kecintaan beliau kepada ilmu Allah lah yang mendorong dan memasakkan niat suci ini sehingga melayakkan beliau menerima gelaran Dr. dan sebagai graduan pertama DBA!

Sungguh aku teruja dan kagum dengan semangat kuat beliau. Terpandang keratan artikel di dinding port studi aku, “Generasi akan datang perlu percaya dengan kerja keras dan tidak berputus asa. Mereka mesti bekerja keras untuk menjadikan sesuatu yang mustahil itu menjadi kenyataan.” Inilah kata-kata azimat seorang remaja Pakistan, Ibrahim Shahid yang berjaya memperoleh 23A dalam O Level beliau!

Seperti ditusuk anak panah dan ditebak dengan tombak! Allahu Allah, bantulah hamba-Mu untuk ITQAN dan amanah dalam menuntut ilmu-Mu ini..


Comments

Popular posts from this blog

Bulat Tekadku

  Bismillahi Walhamdulillah, Rasa bersalah menyelubungi diri apabila membuka lembaran LTC ku ini. Seolah-olah sudah hampir dilupakan. Post akhir ku adalah pada tahun lepas, masha Allah sungguh pantas masa berlalu! Benar sabdaan Nabi bahawa di akhir zaman, masa begitu singkat dirasakan, apabila kita berada di waktu pagi, kemudian tidak sedar waktu malam sudah pun muncul.  Tahun 2024 punya pelbagai cerita. Tidak lama sudah sampai penghujung tahun dan tidak lama juga Ramadhan bakal tiba. Semoga Allah mengizinkan kita berjumpa dengan bulan Ramadhan, bulan yang mulia, bulan yang menjadi dambaan orang-orang soleh. Berita dari Gaza Aku membelek Telegram sebentar tadi. Mata aku menangkap berita mengenai saudara seIslam kita di Gaza daripada group "Terkini dan Sensasi Palestin". Pedih sungguh rasa hati apabila mengetahui keadaan mereka yang terputus bekalan makanan dan tiada tempat tinggal. Mereka berpusu-pusu mendapatkan bekalan roti di Khan Younis. Allahu Akbar! Kepada Allah jua te...

Ini Mozek BERSIH 2.0 Saya

Bismillahi walhamdulillah 9 Julai 2011 pasti akan terpahat kukuh dalam seluruh memori rakyat Malaysia. Sama seperti peristiwa berdarah 13 Mei 1969. Walaupun ianya telah 42 tahun berlalu, rakyat tidak pernah melupakannya. Impaknya amat besar terutamanya kepada kaum Melayu dan Cina pada ketika itu. Mozek BERSIH 2.0 Saya cuba mengenepikan segala emosi dan rasa marah saya ketika entri ini ditulis. Sungguhpun rasa marah ini tidak lagi padam, pesan naqibah saya, SABAR, SABAR dan berSABARlah! Sesungguhnya mengamalkan Islam pada akhir zaman ini ibarat menggenggam bara api! Maka, saya cuba bersabar, seperti sabarnya para pemimpin saya tika ini. Pagi 9 Julai 2011 tiba juga. Alhamdulillah, sehari telah berlalu pergi menjadikan umur saya 25 tahun 1 hari. Ulang tahun yang pasti diingati berikutan terpalitnya sejarah hitam dalam demonstrasi BERSIH 2.0! Palitan ini sebenarnya sudah pun terjadi kepada beberapa siri demonstrasi sebelum ini, tetapi saya kira palitan kali ini lebih dahsyat, lebih jijik d...

Matematik Tambahan Yang Merumitkan

Bismillahi walhamdulillah Hampir berakhir cuti penggal ketiga persekolahan bagi sesi 2023/2024. Hari ini saya kembali ke sekolah, menggalas amanah dalam Perkampungan Akademik Siri 2. Siri 1 telah pun diadakan pada bulan Ogos yang lalu. Tahun ini merupakan tahun keempat saya menjadi guru Matematik Tambahan bagi kelas peperiksaan SPM. Tahun-tahun yang sudah saya lalui ialah tahun 2017, 2018 dan 2021. Kegerunan di hati masih ada apabila mengajar 'killer subject' ini. Soalan-soalan dalam peperiksaan SPM sesungguhnya sukar diramal. Kami diberi masa selama 4 jam dalam perkampungan akademik ini. Saya cuba merangka strategi yang boleh meraikan semua peringkat kefahaman pelajar. Maka saya telah mengadakan kumpulan-kumpulan kecil dan melantik Guru Muda bagi membantu saya dalam kumpulan mereka. Anak-anak pelajar saya ini bijak belaka. Alhamdulillah sepanjang pemerhatian saya hari ini, saya dapati guru muda telah memainkan peranan dengan sangat baik, malah memberi penerangan yang jauh lebi...