Wednesday, March 30, 2011

Catatan Dhuha


“Ya Allah bahawasanya waktu dhuha itu waktu dhuha-Mu, kecantikan itu ialah kecantikan-Mu, keindahan itu ialah keindahan-Mu, kekuatan itu kekuatan-Mu, kekuasaan itu kekuasaan-Mu dan perlindungan itu perlindungan-Mu. Ya Allah jika rezekiku masih di atas langit, turunkanlah dan jika ada di dalam bumi, keluarkanlah, jika sukar mudahkanlah, jika haram sucikanlah, jika masih jauh dekatkanlah, berkat waktu dhuha, keagungan, keindahan, kekuatan dan kekuasaan-Mu, limpahkanlah kepada kami segala yang telah Engkau limpahkan kepada hamba-hamba-Mu yang soleh.”

Berkatnya waktu dhuha itu. Allah melimpahkan rezeki-Nya buat hamba-hamba-Nya yang tidak pernah melupakan-Nya. Lazimilah dhuha, nescaya akan engkau dapati Allah itu Maha Pemurah, Maha Pemberi, Maha Pengurnia. Ya Wahhab, kurniakan kami limpahan rezeki dari sisi-Mu, kurniakan kami kesihatan tubuh badan agar dapat kami lebih itqan beramal ibadat kepada-Mu.

Ya Wahhab, di pagi dhuha yang mulia ini, aku memohon, kurniakanlah kesihatan dan kesembuhan buat sahabatku, Nor Hafizah Ahmad. Aku menyaksikan beliau adalah hamba-Mu yang beriman, yang amanah dalam melaksanakan tanggungjawab, yang baik hati dan suka membantu orang-orang di dalam kesusahan. Jika sakit yang Engkau berikan ini adalah buat kaffarah dosa-dosanya, Engkau ampunkanlah Ya Allah..Engkau berikanlah kekuatan kepada beliau dan suaminya agar mereka berdua tetap teguh dan redha atas ujian-Mu ini. Sesungguhnya nikmat ujian ini adalah buat mempertingkat lagi iman mereka, insya-Allah. Dan kami juga mengerti bahawa setiap ujian yang Engkau timpakan pastinya mempunyai hikmah yang tersirat buat kami. Terimalah doa hamba-Mu yang lemah ini.

Semoga Allah meredhai. Mari semua, terus berdoa untuk Fiey, sahabat dunia akhirat kita. Amin.

Thursday, March 24, 2011

Manifestasi Syukur dan Najah

Bismillahi walhamdulillah

Lafazkan kalimah syukur..lafazkan Alhamdulillah..

Alhamdulillah, mudah dilafaz di bibir tetapi sejauh mana manifestasinya di dalam kehidupan kita? Keputusan SPM baru sahaja diumumkan semalam. Alhamdulillah gembira dengan pencapaian membanggakan daripada adik-adik semua. Tahniah! Teruskan kecemerlangan itu sampai bila-bila.

Dalam kegembiraan meraikan kejayaan cemerlang straight A+, ada juga segelintir teman-teman kita yang mungkin terkandas atau juga diuji dengan keputusan yang kurang memberangsangkan. Tidak mengapa, usah bermuram durja, bersedih keterlaluan kerana SPM bukanlah penentu segala-galanya. Tidak dinafikan SPM merupakan ‘tiket’ ke menara gading kerana jika keputusan SPM anda cemerlang, maka cerahlah peluang anda ke menara gading dengan kursus yang diidam-idamkan.

Jika keputusan tidak memberangsangkan, ayuh koreksi diri semula. Mungkin ada kesilapan-kesilapan yang telah dilakukan sebelum ini. Mungkin cara studi yang tidak menyengat, tidak faham 100 % dengan subjek yang dipelajari, tidak fokus di dalam kelas atau mungkin juga kurang pergantungan kepada Tuhan Yang Esa.

Bermuhasabahlah sentiasa. Aku juga melalui saat-saat getir ini suatu ketika dahulu. Di saat rakan-rakan lain bergembira dengan kejayaan yang cemerlang dan dapat menghadiahkan kejayaan ini kepada kedua ayahanda dan bonda, aku pula sebaliknya. Perasaan sedih yang amat sangat, hanya Allah yang tahu. Kejayaan yang tidak seberapa, aku tahu Abah dan Mak juga sedih. Tetapi tiada raut sedih yang terpancar di muka mereka. Allah..sedihnya kerana telah menghampakan harapan kedua mereka.


Adik-adik sekalian,

Jalan perjuangan untuk adik-adik masih jauh dan panjang. Bangkitlah! Jangan terus jatuh sampai tidak berdaya untuk bangun kembali. Sejarah generasi terdahulu mencatatkan bahawa kejayaan para ilmuwan dan cendekiawan hari ini adalah bermula daripada kejatuhan dan tersungkurnya mereka berkali-kali sebelum kejayaan ini digenggam dan diraih. Tentunya adik-adik memikirkan, “Oh, susahnya, payahnya! Macam mana nak cemerlang, susahlah kak!” Na’am, memang susah adik-adikku. Jika tidak, Nabi kita sendiri tentu tidak merasai kepayahan dan kesusahan dalam perjuangan dakwah baginda.

Tanyalah guru-guru, ibu bapa, abang-abang dan kakak-kakak anda. Pastinya mereka akan mengatakan isu yang sama. Insya-Allah, di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Man jadda wa jada! Inilah kata-kata keramat yang diukir indah di bangunan sekolahku, dan untuk selamanya pepatah Arab ini melekat kukuh dalam ingatanku bahawa “barangsiapa yang bersungguh-sungguh, dia pasti akan berjaya”.

Menyelak halaman surat khabar hari ini, banyak sekali berita kejayaan yang dipaparkan dan salah satu berita yang menarik adalah mengenai seorang pelajar berbangsa Cina yang memperoleh A+ dalam mata pelajaran Tasawwur Islam! Masya-Allah, satu tamparan hebat buat kita, para pelajar Muslim. Tidak terkecuali aku, aku menyetujuinya kerana ramai sekali pelajar-pelajar bukan Islam yang menunjukkan prestasi yang membanggakan di dalam kelas Islamic Banking and Finance! Aduh, terpukul!

Kini bukan lagi masanya untuk bersedih-sedih, tidak mahu makan dan minum dsb. Masa kita amat sedikit adik-adikku, rancanglah strategi, tetapkan matlamat dan cita-cita dan berusahalah mencari ruang dan peluang untuk mengukir kejayaan fiddarain. Mereka-mereka yang cemerlang telah membuktikannya, kita sahaja yang belum. Ayuh, gerakkan langkah sekarang!

Salam kejayaan fiddarain, berjayalah untuk Ummah dan hadiahkanlah kejayaan kita buat Ayahanda dan Bonda kerana hanya dengan ini yang mampu kita berikan dan hanya ini sahaja yang mampu memberikan SENYUM di wajah mereka. Kita berjumpa di ANGKASA KEJAYAAN!

Monday, March 21, 2011

Bumi Lebih Takutkan Allah Berbanding Manusia


Dalam riwayat mursal yang disebutkan oleh Ibnu Abid Dun-ya, setelah Rasulullah menenangkan guncangan beliau berkata kepada para shahabat,
“Sesungguhnya Tuhan kalian sedang menegur kalian, maka ambillah pelajaran!”
Goncangan yang dimaksudkan di atas adalah goncangan bukit Uhud dan Gunung Tsabir di Mekah (hadith sahih).
Subhanallah, Tabarokallah! Peristiwa gempa bumi bukanlah baru sahaja berlaku namun ianya telah pun berlaku sejak zaman Rasulullah s.a.w. Apabila berlakunya goncangan di dua tempat tersebut, Nabi telah menghentakkan kaki beliau dan bersabda,
"Tenanglah Tsabir! Yang ada di atasmu tidak lain kecuali Nabi, Shiddiq dan dua orang Syahid.”
"Tenanglah Uhud! Yang ada di atasmu tiada lain kecuali Nabi, Shiddiq dan dua orang syahid.”
Sabdaan Nabi ini memberi gambaran bahawa bumi tidak akan bergoncang jika adanya manusia yang shiddiq (beriman kepada Allah tanpa ada keraguan) dan syahid (berjuang dan mati di jalan Allah).
Cerminan Tsunami Jepun yang berlaku minggu lepas memberikan signal kepada kita umat manusia bahawa Allah sedang menegur kita. Apakah bumi yang dipinjamkan Allah untuk kita telah diperbuat amal soleh atau mungkar di atasnya? Lupakah kita kepada azab Allah yang dahsyat yang telah ditimpakan ke atas kaum 'Ad dan Tsamud? Tidak ingatkah kita kepada tenggelamnya Qarun dan Fir'aun? Tidak sedar jugakah kita akan segala bencana alam (taufan, tsunami dsb) yang berlaku di zaman akhir ini?
Manusia oh manusia..kita sering sahaja angkuh dan sombong kan? Allah memberi nikmat yang melimpah ruah bukan untuk bermegah dan mengaku hak milik ke atasnya. Semuanya adalah pinjaman dan Allah mahu kita menguruskan pinjaman ini dengan adil dan hasan. Dunia merupakan medan ujian. Di sinilah orang-orang yang beriman diuji. Memilih satu antara dua destinasi, bahagia atau derita. Iman dan aqal sebagai bekal, maka bijaklah membuat pilihan.
Allahu Akbar! Wahai Tuhan, ampunkanlah segala dosa-dosa kami. Sudah banyak sekali azab dan teguran yang Engkau berikan tetapi kami tetap buta, tidak mahu membuka mata untuk menginsafi dan mengambil 'ibrah atas segala kejadian yang Engkau timpakan ini. Ya Allah, janganlah Engkau matikan kami dalam keadaan yang sia-sia, peliharalah iman kami, tambahkanlah rasa takut dan gentar akan kemurkaan dan azab-Mu. Janganlah Engkau matikan kami melainkan dalam iman dan Islam dan dalam Engkau meredhai kami. Amin Ya Rabbal 'alamin.

Friday, March 18, 2011

Integriti


Integriti sebenarnya berasal dari istilah bahasa Inggeris yang membawa erti keutuhan dari semua segi yang baik. Dalam bahasa Melayu, ia biasanya menjurus kearah perwatakan seseorang. Maksud integriti mengikut Kamus Dwibahasa DBP, 1985, ialah kejujuran dan ketulusan; kesempurnaan; keutuhan.

Dari maksud yang didapati dari Kamus di atas, integriti adalah sifat jati diri yang merangkumi juga keikhlasan, keterbukaan, ketelusan, amanah, benar, berpegang kepada prinsip, tidak mudah dipengaruhi, boleh dipercayai, boleh pegang cakapnya, dll.

Sumber: Wikipedia Bahasa Melayu

Integriti tidak terbatas pada tempat dan ruang. Berintegritilah walaupun di atas jalan raya!

Pengamatan saya sebagai pengguna jalan raya yang sah (baca:pemegang lesen D) amatlah mendukacitakan. Tidak memberi signal samada mahu ke kanan atau ke kiri, mencelah dengan sesuka hati, parking bukan pada tempatnya dll.

Hormatilah pengguna-pengguna yang lain, tidak rugi pun anda walaupun satu sen. Bahkan pahala berganda-ganda didebitkan dalam akaun amalan anda.

Selamat berintegriti, anda mampu mengubahnya!

Monday, March 14, 2011

Ekonomi, Bukan Matematik

Bismillahi walhamdulillah

Segala pujian kepada Allah, Tuhan Pemilik Alam, masih menghidupkan diri ini dalam keadaan sihat sejahtera, Alhamdulillah. Semoga nikmat sihat ini tidak digunakan untuk tujuan yang sia-sia, na'uzubillah.

Tuntutan Master makin meninggi grafnya. Istilah dalam graf Subjek lawan Masa, bertambahnya masa, meningkatnya tuntutan untuk memahami setiap subjekku ini. Menyamai hubungan yang berkadar langsung antara Subjek dan Masa. Itulah pandangan Matematikanya =), dan ikhlasnya diakui Matematik tetap subur mengukuh di hati ini. Manakan bisa aku melupakan begitu sahaja Ilmu Hisab tinggalan Al-Khawarizmi ini. Matematiklah asas kepada semua ilmu Sains, subhanallah!

Lalu mengapa tidak menyambung sahaja dalam bidang Matematik? Mahu kuburkan Matematikkah? Soalan lazim yang sering diajukan kepadaku apabila mengetahui sejarah latar belakang Matematikku. Aku hanya senyum. Tidaklah, aku tidak menguburkan langsung Matematikku tetapi aku memandang Ekonomi dari sudut Matematik. Ya, Matematika Ekonomi atau Mathematical Economics!

Pilihan yang dibuat ini sudah lama sekali aku fikirkan dan memohon petunjuk Ilahi agar pilihan ini adalah yang terbaik untuk aku. Sering aku mengingatkan diri sendiri bahawa inilah secebis pengorbanan yang mampu aku lakukan untuk umat, sebagaimana pengorbanan yang telah dilaksanakan oleh cendekiawan Islam terdahulu. Moga-moga Allah meredhai jalan pilihanku dan memudahkannya sehingga ke akhir destinasi.


Aku menyifatkan ilmu Ekonomi sebagai satu cabang ilmu yang dinamik. Ekonomi amat berkait rapat dengan seni membuat keputusan (decision making). Bagaimana mahu menyeimbangkan kemahuan yang tiada had (unlimited wants) dengan keadaan sumber yang terhad (limited resources). Di sinilah rukun asas yang menjadi rujukan utama iaitu graf demand dan supply dianalogikan. Jika harga (price) barangan meningkat atau menurun, apakah yang berlaku kepada demand dan supply kita?

Dinamiknya ekonomi disebabkan setiap perubahan kepada endogenous dan exogenous variables adalah bergantung kepada masa. Dan di sinilah ilmu Matematik diaplikasikan. Menarik bukan? Jika mahu tahu perubahan kuantiti barangan terhadap perubahan harga, ilmu pembezaan (derivative) harus digunakan. Bukankah pembezaan itu dijumpai dalam Matematik? Alhamdulillah =)

Terlalu banyak keunikan dan pengetahuan baru yang aku ketemu dalam dunia ekonomi ini. Semakin kita mendalami sesuatu ilmu, semakin terasa kerdilnya kita akan luas dan dalamnya ilmu Allah. Subhanallah! Pembaca budiman, doakan diri ini NAJAH kerana ada sesuatu yang ingin dilakukan untuk Ummah, insya-Allah.

Salam Najah, semoga Falah dalam genggaman!