Skip to main content

Post BERSIH 3.0 Versi Saya

Bismillahi walhamdulillah

Pertama dan selamanya saya merafa'kan setinggi-tinggi syukur kepada Tuhan saya, Allah Rabbul 'Izzati kerana Dia memilih saya untuk berada bersama-sama 300 ribu para demonstran pada 28 April baru-baru ini. Rencana saya pada awalnya adalah kemungkinan tidak dapat turut serta, rupa-rupanya salah. Betapa Allah adalah sebaik-baik Perencana, syukran Allah!

Cerita BERSIH 2.0 masih kekal kukuh di ingatan saya dan teman-teman; terbayang jelas sikap yang kasar dan biadap oleh para polisi negara sendiri..menahan dan memeriksa kandungan isi beg kami seolah-olah kami adalah penjenayah yang benar-benar dikehendaki! Namun alhamdulillah BERSIH 2.0 berjalan dengan jayanya sekali pun ianya dihalang ketat oleh pihak polis.

Pergerakan

Pagi 28 April kami memulakan dengan munajat kepada Yang Maha Esa, memohon dan merayu kepada Dia agar himpunan pada hari tersebut berjalan dengan aman dan lancar. Trauma BERSIH 2.0 masih tidak bisa dipadamkan, maka langkah berhati-hati wajib diambil. Seusai Subuh dan bersarapan, dengan penuh tawakkal kami memulakan langkah kami. Niat kami hanya SATU, menyokong pimpinan kami agar PRU 13 adalah BERSIH dan ADIL, zero KEZALIMAN dan PENIPUAN!

Memarkir kereta di salah sebuah LRT berhampiran, memandangkan sekatan jalan telah dibuat di beberapa jalan utama. Kami bergerak seawal yang mungkin kerana percaturan kami menyatakan bahawa LRT pasti akan dihentikan pada waktu kemuncak.

Mereka berbaju BERSIH!

Usai membeli tiket, kami menunggu LRT tiba. Alangkah terkejutnya kami melihatkan rakan-rakan dari kaum Cina yang begitu bersemangat memakai kemeja T BERSIH dan Anti-Lynas! Sangat cemburu dengan mereka kerana hajat kami untuk berbaju kuning terpaksa dipendamkan atas asbab keselamatan dan hazar. Namun ia bukanlah menjadi penghalang untuk semangat kami mengikuti himpunan ini luntur. Malah kami amat berbangga dengan mereka yang sangat berani dan yakin untuk menghadiri demonstrasi ini.



Kami Tiba Juga Akhirnya..

Alhamdulillah kami tiba juga akhirnya di salah satu tempat yang dicadangkan untuk berhimpun. Telah ramai yang membanjiri rupanya. Dan semangat kami semakin menyala-nyala, tidak sabar untuk bergabung di dalam crowd! Kami mempercepat langkah, mahu mengikuti crowd agar kami tidak ketinggalan dan kemungkinan untuk ditahan oleh pihak polis. 

Pelbagai latar belakang, semua kaum dan semua peringkat usia dapat dilihat pada hari himpunan ini. Masya-Allah malahan mereka yang kurang upaya (baca: berkerusi roda dan cacat penglihatan) juga menyertai BERSIH 3.0 ini! Saya sangat salute dengan mereka, semangat mereka melangkaui daya upaya mereka! Dan saya insaf.



Polis Telah 'Block'!

Dalam semangat melaungkan BERSIH! BERSIH!, secara tiba-tiba datang sekumpulan polis dan mereka telah mengadakan sekatan di beberapa penjuru jalan! Mereka telah melaksanakan tugas mereka, kami biarkan sahaja. Bukankah rakyat Malaysia ini penuh dengan adab sopan? Tiada seorang pun yang cuba melawan apabila polis melakukan sekatan.

Keadaan masih terkawal, tiada pukul-memukul atau cedera-mencederakan. Lebih kurang pukul 12 tengah hari, kami bergegas ke satu lagi kawasan himpunan yang telah pun dihadiri oleh pengasas BERSIH dan beberapa orang pimpinan yang lain. Masa berlalu dan Zuhur hampir menjenguk.

Memandangkan bangunan sekitar semuanya telah dikunci, kami berwudhu' dengan hanya sebotol air mineral! Alhamdulillah betapa kami merasai indahnya Islam..Azan berkumandang, lalu kami dirikan solat Zuhur berjamaah di atas jalan tar, dialas hanya dengan tuala kecil kami sebagai tempat sujud. Kami menggenggam kuat Islam kami, bahawa kewajipan utama ini tidak pernah ada alasan untuk ditinggalkan walau dalam keadaan apa sekali pun. Usai solat, saya dapati beberapa lensa dihalakan ke arah kami terutamaya oleh Non-Muslim, mungkin mereka tidak pernah melihat pemandangan sebegini. Biarlah, semoga mereka diberikan hidayah oleh Allah, merasai manisnya Islam..



BERSIH 3.0 Bermula!

Tepat jam 2 petang, kami kembali bergabung di dalam crowd. Laungan BERSIH! BERSIH! BERSIH PILIHANRAYA!, RAKYAT BANGKIT! dan sebagainya telah dilaungkan dengan penuh semangat oleh pemimpin kami. Betapa rakyat benar-benar telah bangkit! Rakyat bukan bodoh untuk menerima semua penipuan yang telah dimainkan selama ini. 300 ribu rakyat telah membanjiri Kuala Lumpur! Saya berbangga dengan negeri saya, Kedah yang telah datang ke BERSIH dengan 10 buah bas! Subhanallah, semoga Allah mengganjar segala masa, tenaga dan wang ringgit yang telah dikorbankan. Dan saya pasti akan berasa malu jika saya tidak dapat hadir ke BERSIH kerana saya bermukim di sekitar KL, maka tiada alasan untuk saya tidak hadir!




Kami berarak dengan aman dan disulami dengan laungan-laungan keramat BERSIH. Semua demonstran dilihat begitu semangat dan gembira. Alhamdulillah kami melafaz syukur kerana setakat ini tiada kedengaran lagi polis menangkap para demonstran atau melepaskan tear gas atau water canon. Kami berfikir mungkin pada kali ini polis mahu bersikap baik kepada demonstran, bersangka baik kan kami?

Selepas mendengar amanat daripada beberapa orang pemimpin, kami mendapat arahan untuk bersurai. Saya melihat jam tangan saya, pukul 3.50 petang. Oh rasa awal pula demonstrasi tamat. Tetapi tidak mengapa lah, kerana kami telah menunaikan misi kami, harapan kami semoga kerajaan menunaikan 8 tuntutan BERSIH ini. 

Hadiah BERSIH 3.0

Dalam keadaan mahu bersurai, tiba-tiba kedengaran seperti letupan kecil. Rakan saya mengatakan, kemungkinan tear gas telah dilepaskan. Allah..rasa panik tiba-tiba menguasai diri. Rakan saya cepat-cepat meminta saya membasahkan tuala dan menelan garam untuk menghilangkan pedih tear gas. Kami berlari-lari untuk menjauh dari tear gas. Walau asapnya tidak kelihatan, namun pedihnya hanya Allah Yang Maha Tahu..Saya dan mereka berlari-lari, menelan garam dan meminum air tidak henti-henti. Allah..rasa perit, pedih dan sakit sistem pernafasan saya. Merah mata kami, ada yang muntah-muntah, ada yang sudah tidak mampu untuk membuka mata kerana pedih dan ada yang hampir pengsan. Ini yang dialami oleh kami yang jauh jaraknya dari semburan tear gas, tetapi mereka yang dekat jaraknya bagaimana? Allah..saya tidak terbayangkan betapa perit dan pedihnya mereka..Allah jua Yang Maha Tahu..

Rupanya kerajaan mahu memberi sedikit 'hadiah' kepada kami. Mana bisa membiarkan kami pulang dari demonstrasi dengan senyuman bukan? Pasti akan ditinggalkan sedikit 'kenangan' kepada kami. Terima kasih kami ucapkan! 

Saya menyaksikan semua demonstran bantu-membantu semasa kami kepedihan dek tear gas. Saling menghulur garam dan air mineral..Allah..betapa jahatnya kau kerajaan! Sampai hati kau menyeksa marhaen yang tidak berdosa? Anak-anak kecil turut menjadi mangsa tear gas ini..

BERSIH 4.0, mungkinkah?

Selagi 8 tuntutan ini tidak direalisasikan, BERSIH versi 4.0, 5.0 hatta 100.0 sekali pun akan dilaksanakan! Kami tidak mahu menjadi lembu yang dicucuk hidung oleh kerajaan! Kebiadapan dan kezaliman mereka tidak boleh didiamkan lagi! Rakyat Malaysia sudah sangat bersopan melayan kerenah polis-polis Malaysia ini, sehingga kami digelar 'demonstran paling sopan' di dunia. Tetapi kesopanan kami tidak diakui oleh kerajaan, mereka tetap melabel kami sebagai perusuh, perosak keamnan negara!

Tetapi kami tetap tegar. Keadilan tetap akan dituntut biar hingga ke hujung nyawa sekali pun. Kerana Islam itu membawa KEADILAN kepada umatnya. BERSIH 3.0 menjadi saksi kepada dunia hegemoni Najib dan kroni-kroninya bahawa rakyat amat marah dan kesal dengan pimpinan mereka.

Untuk kesekian kalinya, saya mencoret kisah BERSIH ini sebagai legasi buat anak cucu saya nantinya, insya-Allah. Mohon maaf atas keterlanjuran kata dan rasa.

Demonstran lara,
Khaulah


Comments

Post a Comment

Popular posts from this blog

Dunia Seorang Pensyarah; Selamat Tinggal & Semoga Kembali Lagi

Kata Hamka, “Mengakui kekurangan diri sendiri adalah tangga buat mencapai cita-cita. Berusaha terus bagi mengisi kekurangan adalah keberanian luar biasa.” Alhamdulillah secara rasminya aku sudah tidak bergelar seorang pensyarah bermula hari ini. Ada sedikit kelegaan, bukan tidak menyukai profesion ini, tetapi aku sedikit tenang kerana telah melepaskan amanah ini dengan sebaik dan seoptimum khidmat yang dapat aku berikan. Semoga ianya dikira sebagai amal ibadat walaupun tidak seberapa sumbangan yang dapat dicurahkan. Mengambil kesempatan di ruangan maya ini untuk aku merakamkan jazakumullahu khairan jaza’ buat: 1) Ayahanda; Hj Yaakob Abd Manaff (Prof Madya) 2) Pn Jasmani Bidin (Koordinator CS 228) 3) Pn Nooraini Ali (Pensyarah Statistik) 4) PM Raja Sulaiman Raja Lope Ahmad (Pensyarah Matematik) 5) En Mohd Najib (Penyelaras MAT 235) 6) En Khairu Azlan (Penyelaras MAT 285) 7) Pn Rohana Dollah & suami, En Azlan (Pensyara...

Ibrah Khutbatul Wada'

Bismillahi walhamdulillah Tidak sedar masa yang amat pantas berlari. 4 Zulhijjah 1434H hari ini. Alhamdulillah kita masih diberikan modal nyawa selain nikmat Iman dan Islam dalam meneruskan perjalanan sebagai seorang hamba dan khalifah-Nya. Bulan Zulhijjah merupakan salah satu bulan yang dimuliakan Allah selain bulan Zulqaedah, Muharram dan Rejab. Justeru, kita dianjurkan untuk membanyakkan amalan-amalan sunat terutama pada 10 hari awal Zulhijjah. Selain ibrah pelaksanaan Rukun Islam kelima iaitu mengerjakan Haji di Makkah bagi yang berkemampuan, kisah pengorbanan Nabi Ibrahim, Nabi Ismail, Siti Hajar dan Siti Sarah, kita terlupa akan satu peristiwa besar yang berlaku pada hari Arafah, 9 Zulhijjah pada tahun ke-10 kenabian iaitu Khutbatul Wada' oleh Nabi yang kita kasihi Muhammad s.a.w. Pada hari yang mulia itu, Nabi menaiki untanya yang bernama 'Quswah' menuju ke Lembah Qurainah. Lalu Nabi mengumpulkan semua jemaah Haji pada waktu itu yang seramai 114 ribu ora...

Ini Mozek BERSIH 2.0 Saya

Bismillahi walhamdulillah 9 Julai 2011 pasti akan terpahat kukuh dalam seluruh memori rakyat Malaysia. Sama seperti peristiwa berdarah 13 Mei 1969. Walaupun ianya telah 42 tahun berlalu, rakyat tidak pernah melupakannya. Impaknya amat besar terutamanya kepada kaum Melayu dan Cina pada ketika itu. Mozek BERSIH 2.0 Saya cuba mengenepikan segala emosi dan rasa marah saya ketika entri ini ditulis. Sungguhpun rasa marah ini tidak lagi padam, pesan naqibah saya, SABAR, SABAR dan berSABARlah! Sesungguhnya mengamalkan Islam pada akhir zaman ini ibarat menggenggam bara api! Maka, saya cuba bersabar, seperti sabarnya para pemimpin saya tika ini. Pagi 9 Julai 2011 tiba juga. Alhamdulillah, sehari telah berlalu pergi menjadikan umur saya 25 tahun 1 hari. Ulang tahun yang pasti diingati berikutan terpalitnya sejarah hitam dalam demonstrasi BERSIH 2.0! Palitan ini sebenarnya sudah pun terjadi kepada beberapa siri demonstrasi sebelum ini, tetapi saya kira palitan kali ini lebih dahsyat, lebih jijik d...