Skip to main content

Leading Change

Bismillah walhamdulillah..

Puja dan puji selamanya dipanjatkan kepada Yang Maha Hidup dan Maha Kekal, Allah Ya Hayyu Ya Qayyum. Mengecap nikmat usia 23 tahun ini memberikan pelajaran dan pengalaman yang cukup banyak dalam mengemudi kehidupan ini.

Selamat Ulang Tahun ke-23 buat rakan sekelas, Khalilah =), semoga nikmat umur yang dipinjamkan Allah Ta'ala ini dapat diisi sebaiknya dengan Iman dan Taqwa kepada-Nya.

Melayari blog sahabat-sahabat dan memeriksa emel sebentar tadi membuka mataku akan realiti kehidupan manusia yang sentiasa diuji oleh-Nya. Cerita ISA yang kejam dan tidak berperikemanusiaan dan cerita seniorku yang sangat dihormati amat meruntun jiwaku kala ini.

Cerita 1: ISA

Mungkin kita tidak merasai kepedihan dan kesengsaraan keluarga yang menjadi mangsa akta rimba ISA ini tetapi apabila aku membaca emel sebentar tadi, perasaan sebak dan sedih menyelubungi hatiku. Hak mangsa ISA dinafi, disekat dan ditindas. Peluang untuk bertemu keluarga yang dirindui hanyalah 2 jam, itu pun melalui talian interkom! Tak dapat nak menyentuh anak-anak dan isteri..dan banyak lagi cerita di sebalik jeriji Kem Kemunting yang kita tidak tahu.

Aku berpeluang mendengar kuliah daripada seorang ustaz yang pernah menjadi mangsa ISA. Beliau mengatakan bahawa kehidupan dalam tahanan dirasakan sekejap dan singkat atas rahmat Allah. Kerana apa? Kerana mereka menjaga 'ruhiyyah' mereka dengan Allah sehinggakan masa yang lama dirasakan cukup singkat. Subhanallah! Pengajaran yang cukup besar dapat diambil daripada bingkisan kisah ustaz ini. Allah memelihara mereka kerana mereka benar-benar yakin kepada Allah yang menjaga mereka.


Cerita 2:

Senior UIA yang sangat ku hormati, Kak Asiyah dan Akh Azreen.
Alhamdulillah, mereka telah selamat diijab kabulkan pada Jun lalu. Jodoh terbaik daripada Allah buat insan-insan terbaik. Aku mengkagumi keduanya atas sifat kepimpinan dan karismatik dalam memimpin perubahan di kampusku. Aku lewati blog Kak AC (nama panggilan beliau), beliau menceritakan tentang tawaran kerja yang diperoleh oleh beliau dan suami yang kini memiliki Deg dalam Pharmacy. Kedua-duanya amat mengharapkan ditempatkan di tanah tumpah darah mereka, Kelantan Darul Naim tetapi kuasa Allah mengatasai segalanya apabila Kak AC ditempatkan di KB manakala suaminya pula di Pahang.

Aku memahami perasaan sedih sepasang suami isteri yang berpisah. Suami mana yang tidak sedih, isteri mana yang tidak berendam air mata jika terpaksa berhadapan dengan perpisahan ini. Akan tetapi, setiap perkara yang telah diatur dan direncana oleh Allah Ta'ala pasti menyimpan hikmah yang besar. Sejarah Siti Hajar yang terpaksa ditinggalkan Nabi Ibrahim di Mekah yang pada waktu itu hanyalah tanah gersang perlulah kita hayati dan jadikan sebagai contoh dalam hidup kita. Apatah lagi jika perpisahan itu adalah kerana memenuhi tuntutan jihad! Aku mengharapkan Kak AC dan Akh Azreen tabah dan banyakkan bersabar dalam menghadapi ujian ini. Insya-Allah Allah pasti akan menghadiahkan sinar kebahagiaan kepada antuma jika antuma benar-benar beriman kepada-Nya, yakinlah!




Cerita 3:

Leading Change..

2 kisah yang cukup membuatkan aku insaf dan sedar dalam dunia kesenanganku kala ini. Aku belum lagi mempunyai kehidupanku bersama teman sehidup sematiku lagi. Dan aku tidak lagi merasai perpisahan dengan dia dan jika kelak perpisahan itu akan terjadi ke atasku, aku memohon agar Allah memberikanku kekuatan untuk menghadapi perpisahan itu. Aku harus memimpin perubahan, leading change seperti kata John P. Kotter. Leading Change aku adalah untuk memimpin perubahan dalam masyarakat sekitarku. Leading Change aku adalah memimpin perubahan dalam mentaliti wanita Malaysia.

"Hidupkanlah Islam di dalam hatimu nescaya Islam akan hidup di atas bumimu."

-Hassan Al-Hudhaibi

Comments

Popular posts from this blog

Bulat Tekadku

  Bismillahi Walhamdulillah, Rasa bersalah menyelubungi diri apabila membuka lembaran LTC ku ini. Seolah-olah sudah hampir dilupakan. Post akhir ku adalah pada tahun lepas, masha Allah sungguh pantas masa berlalu! Benar sabdaan Nabi bahawa di akhir zaman, masa begitu singkat dirasakan, apabila kita berada di waktu pagi, kemudian tidak sedar waktu malam sudah pun muncul.  Tahun 2024 punya pelbagai cerita. Tidak lama sudah sampai penghujung tahun dan tidak lama juga Ramadhan bakal tiba. Semoga Allah mengizinkan kita berjumpa dengan bulan Ramadhan, bulan yang mulia, bulan yang menjadi dambaan orang-orang soleh. Berita dari Gaza Aku membelek Telegram sebentar tadi. Mata aku menangkap berita mengenai saudara seIslam kita di Gaza daripada group "Terkini dan Sensasi Palestin". Pedih sungguh rasa hati apabila mengetahui keadaan mereka yang terputus bekalan makanan dan tiada tempat tinggal. Mereka berpusu-pusu mendapatkan bekalan roti di Khan Younis. Allahu Akbar! Kepada Allah jua te...

Ini Mozek BERSIH 2.0 Saya

Bismillahi walhamdulillah 9 Julai 2011 pasti akan terpahat kukuh dalam seluruh memori rakyat Malaysia. Sama seperti peristiwa berdarah 13 Mei 1969. Walaupun ianya telah 42 tahun berlalu, rakyat tidak pernah melupakannya. Impaknya amat besar terutamanya kepada kaum Melayu dan Cina pada ketika itu. Mozek BERSIH 2.0 Saya cuba mengenepikan segala emosi dan rasa marah saya ketika entri ini ditulis. Sungguhpun rasa marah ini tidak lagi padam, pesan naqibah saya, SABAR, SABAR dan berSABARlah! Sesungguhnya mengamalkan Islam pada akhir zaman ini ibarat menggenggam bara api! Maka, saya cuba bersabar, seperti sabarnya para pemimpin saya tika ini. Pagi 9 Julai 2011 tiba juga. Alhamdulillah, sehari telah berlalu pergi menjadikan umur saya 25 tahun 1 hari. Ulang tahun yang pasti diingati berikutan terpalitnya sejarah hitam dalam demonstrasi BERSIH 2.0! Palitan ini sebenarnya sudah pun terjadi kepada beberapa siri demonstrasi sebelum ini, tetapi saya kira palitan kali ini lebih dahsyat, lebih jijik d...

Matematik Tambahan Yang Merumitkan

Bismillahi walhamdulillah Hampir berakhir cuti penggal ketiga persekolahan bagi sesi 2023/2024. Hari ini saya kembali ke sekolah, menggalas amanah dalam Perkampungan Akademik Siri 2. Siri 1 telah pun diadakan pada bulan Ogos yang lalu. Tahun ini merupakan tahun keempat saya menjadi guru Matematik Tambahan bagi kelas peperiksaan SPM. Tahun-tahun yang sudah saya lalui ialah tahun 2017, 2018 dan 2021. Kegerunan di hati masih ada apabila mengajar 'killer subject' ini. Soalan-soalan dalam peperiksaan SPM sesungguhnya sukar diramal. Kami diberi masa selama 4 jam dalam perkampungan akademik ini. Saya cuba merangka strategi yang boleh meraikan semua peringkat kefahaman pelajar. Maka saya telah mengadakan kumpulan-kumpulan kecil dan melantik Guru Muda bagi membantu saya dalam kumpulan mereka. Anak-anak pelajar saya ini bijak belaka. Alhamdulillah sepanjang pemerhatian saya hari ini, saya dapati guru muda telah memainkan peranan dengan sangat baik, malah memberi penerangan yang jauh lebi...